1. Kerajaan Pusat tiada perancangan bagaimana Langat 2 akan menyelesaikan
kekurangan air sedangkan Kerajaan Negeri telah menyediakan pelan menerusi
projek mitigasi bernilai RM225 juta bagi meningkatkan penjanaan air terawat di Loji
Rawatan Air Sungai Selangor 1 (SSP1) dan Sungai Selangor 3 (SSP3).
Kerajaan Persekutuan yang sebenarnya telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan
projek-projek mitigasi bagi mengelakkan krisis air berlaku di Selangor, Kuala
Lumpur dan Putrajaya walaupun mendapat tentangan daripada Kerajaan Negeri
Selangor. Walaupun Kerajaan Persekutuan telah memaklumkan bahawa krisis air akan berlaku pada tahun 2014 sekiranya tiada
langkah-langkah diambil untuk menanganinya, Kerajaan Negeri Selangor masih
berkeras dan berpendirian bahawa bekalan air terawat adalah mencukupi sehingga
tahun 2019. Disebabkan Kerajaan Negeri Selangor tidak mengambil sebarang
tindakan sedangkan tanggung jawab untuk memastikan loji-loji rawatan air di
negeri Selangor membekalkan air terawat yang mencukupi untuk diagihkan kepada
pengguna adalah merupakan tanggung jawab Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan
telah bersetuju untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM606 juta untuk melaksanakan
projek-projek mitigasi supaya rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak mengalami krisis air pada tahun 2014.
Walau bagaimanapun, apabila Kerajaan Persekutuan meluluskan projek-projek
tersebut, Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju untuk melaksanakan 5
daripada 8 projek tersebut yang bernilai RM301 juta. Persetujuan Kerajaan
Negeri Selangor untuk melaksanakan projek-projek tersebut menunjukkan bahawa
Kerajaan Negeri sememangnya mengakui bahawa krisis air akan berlaku pada tahun
2014 jika tiada sebarang langkah diambil untuk menanganinya. Ini menunjukkan
bahawa pendirian Kerajaan Negeri Selangor yang mengatakan bahawa bekalan air terawat adalah mencukupi
sehingga tahun 2019 adalah merupakan kenyataan yang tidak disokong oleh fakta.
2. Adalah menjadi tanggung jawab Kerajaan Pusat dan Syarikat Bekalan
Air Selangor (SYABAS) untuk menyelenggara dan meningkatkan kemampuan aset-aset
air di Selangor seperti loji-loji kerana ia dipajak kepada mereka.
Kerajaan Negeri Selangor, sebagai pemilik aset-aset air negeri Selangor
yang telah diberikuasa oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara di bawah Seksyen
188 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), bertanggungjawab bagi
memastikan ketersediaan atau water supply availability di loji-loji rawatan air
di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Manakala tanggung jawab Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) sebagai operator
pengagihan air di negeri Selangor hanyalah untuk membekalkan dan mengagihkan
bekalan air terawat dan bukannya berperanan untuk memastikan ketersediaan
bekalan air terawat atau water supply availability. SYABAS telah diberi kuasa
di bawah Seksyen 191 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) oleh SPAN.
Adalah ditegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor sebagai pemilik asset-aset
air negeri, tidak pernah memajak mana-mana aset air negeri kepada Kerajaan
Persekutuan.
3. Kenyataan Timbalan Perdana Menteri bahawa tidak ada keperluan catuan
air dalam masa terdekat jelas menunjukkan Selangor tidak mengalami krisis
bekalan air sekaligus menafikan keperluan pembinaan Projek Loji Rawatan Air
Langat 2 seperti yang didesak oleh Kerajaan Persekutuan
Ketiadaan keperluan catuan air pada masa ini bukan bermakna krisis air tidak
akan berlaku pada tahun 2014. Kerajaan Persekutuan sentiasa konsisten dalam
pendiriannya bahawa krisis air akan berlaku pada tahun 2014 disebabkan Kerajaan
Negeri Selangor enggan memberi kelulusan bagi membina Loji Rawatan Air Langat 2
untuk membolehkan loji tersebut disiapkan pada tahun 2014. Atas dasar inilah
Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM606 juta untuk
melaksanakan projekprojek mitigasi untuk mengelakkan krisis air pada tahun 2014
berikutan kedegilan Kerajaan Negeri Selangor untuk memberi kelulusan
development order bagi projek Loji Rawatan Air Langat 2.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah memaklumkan bahawa sungguhpun
kedudukan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya secara
keseluruhannya masih terkawal, terdapat beberapa kawasan yang telah
dikenalpasti seringkali mengalami gangguan bekalan air disebabkan rizab
simpanan air yang sangat rendah iaitu secara puratanya ialah 2.5% sahaja
berbanding dengan paras optimum iaitu 10%. Berdasarkan pandangan SPAN ini,
Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-Isu Bekalan Air Selangor telah membuat
keputusan bahawa catuan air tidak perlu dilaksanakan sekarang ini kerana
kedudukan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya secara
keseluruhannya adalah mencukupi. Walau bagaimanapun, SPAN telah diminta mengenal pasti kawasan-kawasan
yang kerap menghadapi gangguan bekalan air dan menyediakan pelan kontingensi
bagi kawasan-kawasan ini sebagai persediaan menghadapi catuan, sekiranya
diperlukan, melalui perbincangan dengan SYABAS dan Kerajaan Negeri Selangor.
Pelan ini penting bagi memastikan orang ramai di kawasan-kawasan yang terlibat mendapat
maklumat yang jelas mengenai sebarang catuan air yang akan dilaksanakan untuk
membolehkan mereka membuat persediaan yang sewajarnya.
4. Kalau tidak ada catuan air, maka tidak ada masalah air. Kalau tidak
ada masalah air, mengapa mereka ingin membina Loji Rawatan Air Langat 2? Ini
tidak masuk akal.
Ketiadaan keperluan untuk mencatu air pada masa sekarang tidak bermakna
bahawa tiada masalah air pada masa akan datang. Loji Rawatan Air Langat 2
dirancang untuk dibina bagi memenuhi permintaan bekalan air pada tahun 2014
berdasarkan kajian yang telah dibuat pada tahun 2000. Hasil kajian tersebut
terbukti benar apabila SPAN turut mengunjurkan bahawa jumlah bekalan air dalam
sistem bekalan air sedia ada tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan pada
tahun 2014. Malah, SPAN mengunjurkan bahawa bekalan air yang dapat dikeluarkan
oleh 34 loji rawatan air di Selangor hanya dapat memenuhi permintaan air
sehingga penghujung tahun 2012 sahaja.
Selain itu, pembinaan infrastruktur bekalan air memerlukan tempoh masa yang
panjang untuk disiapkan. Oleh itu, Loji Rawatan Air Langat 2 perlu dibina
sekarang bagi memastikan para pengguna tidak menghadapi masalah bekalan air
pada masa akan datang.
5. Tindakan terdesak ini (untuk membina Loji Rawatan Air Langat 2)
antara lain bertujuan memastikan kroni UMNO-BN mendapat kontrak pembinaan dan
mencongak keuntungan berlipat-ganda sekiranya usaha berkenaan diluluskan.
Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan projek Loji Rawatan Air Langat 2
secara tender terbuka kepada semua syarikat yang berkelayakan dan mengalu-alukan
anak-anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor untuk menyertai tender tersebut
apabila diiklankan kelak.
6. Kerajaan Negeri Selangor mahu ambil alih operasi SYABAS kerana
SYABAS tidak mampu urus bekalan air. Namun tidak diluluskan oleh Kerajaan Pusat.
Kerajaan Persekutuan tidak dapat mempertimbangkan permohonan Kerajaan
Negeri Selangor untuk mengambil alih operasi SYABAS kerana:
(i) kes mahkamah yang masih belum selesai. Kes tersebut difailkan oleh SYABAS
untuk menuntut pampasan kerana Kerajaan Negeri Selangor tidak bersetuju untuk
menaikkan tarif air di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak tahun
2009 ; dan
(ii) kedua-dua pihak iaitu Kerajaan Negeri Selangor dan SYABAS didapati
telah melakukan keingkaran dan tuduhan Kerajaan Negeri Selangor ke atas
keingkaran yang dilakukan oleh SYABAS didapati tidak
mencukupi untuk membolehkan Kerajaan Negeri Selangor mengambil alih
operasi SYABAS berdasarkan Klausa 32 Perjanjian Konsesi.
Walaubagaimanapun, Kerajaan akan mendapatkan pandangan muktamad daripada
Peguam Negara sebelum mengambil sebarang tindakan.
7. Kapasiti pengeluaran 34 loji rawatan air di Selangor pada masa ini
ialah 4,807JLH berbanding dengan kapasiti yang boleh diagihkan oleh SYABAS iaitu
4,371JLH. Ini bermakna bahawa SYABAS beroperasi di bawah keupayaan sebenar.
Berdasarkan maklumat SPAN, 34 buah loji rawatan air di Selangor direka bentuk
untuk menghasilkan 4,581 juta liter sehari (JLH). Walau bagaimanapun, terdapat
kekangan dalam sistem pengeluaran beberapa loji dan sistem pengagihan pada
ketika ini yang hanya membolehkan kapasiti air diagihkan kepada pengguna
sebanyak 4,371 JLH sahaja. Projek-projek Mitigasi 1 dan 2 yang berjumlah RM606
juta yang merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan apabila siap kelak, akan
dapat mengoptimumkan
pengeluaran air kepada 4,581 JLH. Kementerian ingin menegaskan bahawa Kerajaan
Negeri tidak pernah mencadangkan sebarang projek mitigasi seperti yang
dinyatakan oleh YAB. Menteri Besar dan beberapa EXCOnya di media massa untuk
meningkatkan kapasiti loji-loji rawatan air sedia ada di negeri Selangor
baru-baru ini walaupun 33 daripada 34 buah loji tersebut merupakan milik
Kerajaan Negeri Selangor.
Jumlah kapasiti pengeluaran yang dinyatakan oleh Kerajaan Negeri Selangor
pula iaitu sebanyak 4,807 JLH merupakan jumlah kapasiti reka bentuk loji dan
mengambil kira kapasiti lebihan yang dihasilkan oleh 5 buah loji yang sedang
dioperasikan melebihi tahap reka bentuk iaitu Loji Rawatan Air (LRA) Sungai
Selangor 2, LRA Sungai Semenyih, LRA Sungai Langat, LRA Sungai Batu dan LRA
Bukit Tampoi.
Dalam merancang bekalan air kepada pengguna, kapasiti yang perlu
diambil kira ialah kapasiti yang boleh diagihkan iaitu 4,371JLH kerana ia menentukan
jumlah air yang sampai ke premis pengguna. Sekiranya kapasiti reka bentuk iaitu
4,581JLH atau kapasiti pengeluaran loji yang dinyatakan oleh Kerajaan Negeri
Selangor iaitu 4,807 JLH diguna pakai, ia tidak akan mencerminkan jumlah
bekalan air sebenar yang boleh diagihkan kepada pengguna dan seterusnya
memberikan gambaran yang salah
tentang kadar rizab simpanan bekalan air di Selangor pada ketika ini. Penggunaan
fakta yang salah dalam membuat perancangan bekalan air akan menyebabkan para
pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menghadapi risiko krisis
air pada masa hadapan.
8. Kos projek Loji Rawatan Air Langat 2 ialah RM8.65 bilion.
Bagi memenuhi permintaan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya
pada tahun 2014, Kerajaan Persekutuan telah memulakan perancangan bagi
pelaksanaan Skim Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor sejak tahun 1980an. Skim
tersebut terdiri daripada 2 komponen iaitu :
(i) Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS)
(ii) Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2)
Ringkasan projek-projek tersebut adalah seperti berikut:
A. Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) Dibahagikan
kepada empat (4) pakej pembinaan iaitu:
(i) Pakej Lot 1-1 : Pembinaan Terowong Penyaluran Air dari Pahang Ke
Selangor;
(ii) Pakej Lot 1-2 : Pembinaan Empangan Kelau;
(iii) Pakej Lot 1-3A : Pembinaan Muka Sauk dan Stesen Pam Semantan; dan
(iv) Pakej Lot 1-3B : Pembinaan Saluran Paip dan Kerja-kerja Berkaitan
Anggaran Kos : RM3.936 bilion
Sumber Pembiayaan : 75% Japan International Cooperation Agency (JICA) 25%
Kerajaan Persekutuan
B. Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2) Dibahagikan kepada 3
komponen utama:
(i) Pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2;
(ii)Pembinaan Kolam-Kolam Air (Reservoir) di Bukit Enggang & Hulu Langat,
Sg. Besi, Bukit Jalil, Petaling, Ampang, AU3; dan
(iii) Pembinaan Sistem Paip Agihan untuk membolehkan bekalan air dari LRAL2
disalurkan kepada pengguna.
Anggaran Kos Projek : RM4 bilion
Sumber Pembiayaan : Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB)
Oleh itu, kenyataan bahawa kos pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2
ialah RM8.65 bilion adalah tidak benar. Anggaran kos pelaksanaan ketiga-tiga komponen
Projek Loji Rawatan Air Langat 2 ialah RM4 bilion. Walau bagaimanapun, kos
sebenar hanya akan diketahui setelah tender bagi Projek Loji Rawatan Air Langat
2 dapat dimuktamadkan.
Datuk Loo Took Gee
Ketua Setiausaha
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA)
Merangkap
Pengerusi Pasukan Petugas Bagi Menangani Isu-Isu Bekalan Air Selangor
27hb Julai 2012