KOMUNIS DAN DARURAT DI TANAH MELAYU
6.1 PENGENALAN
Keganasan komunis dan darurat yang berlaku dari tahun 1948-1960 tidak
dapat dipisahkan daripada pengkajian dan penghayatan dalam memahami
perkembangan negara kita Malaysia. Apakah yang anda fahami mengenai dua
perkataan tersebut sebagai seorang rakyat atau warganegara? Lebih-lebih lagi
sebagai warganegara yang telah didedahkan dengan pengajian kenegaraan ini?
Sebagai jawapannya, sila baca dan hayati sepenuhnya penulisan ini yang bermula
dari latar belakang perkembangan ideologi komunis dan terjejasnya kelancaran
proses mencapai kemerdekaan akibat daripada berlaku darurat.
Secara umum, perbincangan bab ini berkisar kepada:
(a) Latar belakang kewujudan Parti Komunis di Tanah Melayu
yang lebih dikenali dengan nama Parti Komunis Malaya (PKM).
(b) PKM pada zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu.
(c) Peristiwa darurat.
(d) Kesan akibat darurat.
6.2 PARTI KOMUNIS MALAYA
6.2.1 Latar Belakang Awal
Masyarakat Cina1 yang tinggal di Tanah Melayu amat
prihatin dan sensitif terhadap apa yang berlaku di tanah besar China. Keadaan
sedemikian berlaku kerana ramai yang berpendirian bahawa Tanah Melayu hanya
sebagai tempat sementara untuk mencari rezeki dan kuatnya ikatan hubungan
kekeluargaan dengan tanah air mereka. Hal ini juga disebabkan oleh proses
migrasi yang berterusan menyebabkan ramai dari kalangan mereka yang baru datang
menyebarkan berita atau memberi pandangan apa yang sedang berlaku di sana.
Dengan itu, apa yang berlaku di tanah besar China menarik perhatian mereka yang
tinggal di sini dan sering pula menjadi ikutan.
Kemunculan ideologi dan pengaruh komunis2 di Tanah
Melayu dapat di kesan pada tahun 1921 atau 1922. Sebelum ini, pengaruh
nasionalis Parti Kuomintang (KMT) pimpinan Dr. Sun Yat Sen telah bertapak sejak
tahun 1911 serentak dengan kejayaan membentuk sebuah republik di China. KMT
telah mewujudkan cawangan-cawangan partinya. Lebih awal dari itu, masyarakat
Cina telahpun mempunyai kesedaran politik dan cita-cita revolusioner melalui
Persatuan Kemuafakatan Pusat (Chung Ho Tang) yang ditubuhkan pada 1904 di Tanah
Melayu dan Singapura. Pada tahun 1906, Dr. Sun Yat Sen sendiri pula menubuhkan
Persatuan Perikatan (Tung Meng Huim) yang mempunyai matlamat yang sama.
Kemunculan awal ideologi komunis dapat dikesan melalui beberapa
penerbitan komunis dalam bahasa Cina yang tersebar, antaranya ialah
(a) Berita
mengenai negeri China dan Rusia yang dihantar terus dari Canton.
(b) Berita
propaganda mengenai buruh dan wanita yang diterbitkan di Canton.
(c) Risalah
kaedah mengajar ideologi komunis di Rusia dan China serta manifesto Parti
Komunis Amerika.
(d) Buku
bertajuk “Komunis dan Negara China” karangan Tsz Yan.
(e) Risalah
komunis yang bertajuk “Parintis” (Pioneer).
Bahan bacaan ini hanya sebagai bukti terhadap adanya penyebaran ideologi
komunis. Namun dari segi sokongan dan pengaruhnya masih boleh diperdebatkan.
Ini kerana sehingga tahun 1924 belum ada usaha dari Parti Komunis China (PKC)
untuk mengembangkan sayap ke sini. PKC mula menjalin hubungan dengan masyarakat
Cina di Tanah Melayu pada 1925 melalui usaha Alimin dan Tan Melaka. Mereka
ialah dua orang tokoh utama Parti Komunis Indonesia yang telah mendesak PKC
supaya menghantar wakil dan mengembangkan ideologi komunis di kalangan puak
yang radikal dan revolusioner. Usaha mereka terbatas kepada orang Cina sahaja
setelah orang Melayu tidak menunjukkan minat untuk turut serta.
Pada peringkat awal, Singapura dijadikan pangkalan penyebaran pengaruh.
Parti Komunis Nanyang (South Seas Communist Party – PKN) yang ditubuhkan di
Singapura ditugaskan untuk mengawasi dan menyelaras perkembangan komunis di
Asia Tenggara (kecuali Burma). Ahli-ahlinya terdiri daripada kalangan pihak
sayap kiri yang menganggotai KMT. Bagi menggerakkan organisasi, PKN mempunyai
dua badan massa iaitu Kesatuan Sekerja Umum Nanyang (Nanyang General Labour
Union) dan Liga Belia Komunis (Communist Youth League). Melalui kedua-dua badan
ini, komunis telah dapat meresap masuk ke dalam pertubuhan pekerja dan juga
belia. Akibatnya kesatuan sekerja telah lantang dan sering berbalah dengan
pihak pengurusan atas alasan eksploitasi buruh. Justeru itu, sering berlaku siri-siri
pemogokan yang sesetengahnya berakhir dengan pertempuran dengan pihak polis.
Kejadian sebegini banyak berlaku pada tahun 1927 dan 1928. Sebagai tindak
balas, selepas peristiwa rusuhan yang dikenali “Peristiwa Kereta” Air pada Mac
1928 di Singapura, kerajaan telah mengharamkan Kesatuan Sekerja Umum Nanyang
dan ramai pemimpinnya ditahan atau dihantar pulang ke China. Di sana mereka
menerima tekanan pula oleh pihak KMT. Di samping itu, kerajaan juga membuat
tangkapan atau tekanan terhadap penyokong dan pihak yang disyaki anggota
komunis atau penyokongnya.
6.2.2 Pergerakan Berorganisasi
Pengharaman ke atas kesatuan sekerja dan penangkapan pemimpinnya tidak
mematikan perjuangan dan penyebaran ideologi komunis. Ini kerana Liga Belia
masih dapat bergerak walaupun ada tekanan dan halangan. Dengan ini pengaruh
komunis tidak berjaya disekat, malahan bertambah mantap. Bagi meneruskan
perjuangan, akhirnya komunis memerlukan sebuah parti yang boleh menggerakkan
perancangannya. Parti Komunis Malaya (PKM) berjaya ditubuhkan pada 30 April
1930 dengan Fu Ta Ching menjadi Setiausaha Agungnya yang pertama. Kelahiran PKM
turut sama melahirkan kembali kesatuan sekerja dan diberi nama Kesatuan Sekerja
Umum Malaya (Malayan General Labour Union). Sekali lagi fokus komunis ialah
pekerja dan kaum buruh yang dikatakan sering tertindas oleh majikan. Dalam
tempuh setahun, PKM mengaku telah mempunyai ahli seramai 1500 orang, 50 anggota
wanita yang aktif, 10,000 anggota kesatuan sekerja yang dikuasai dan 200 orang
anggota Liga Anti-Imperialis.
Melalui pertubuhan yang berorganisasi ini, PKM bukan sahaja memberi
tumpuan kepada orang Cina yang ramai menganggotai kesatuan sekerja dan
pertubuhan buruh, malahan cuba mengembangkan pengaruh kepada seluruh masyarakat
Tanah Melayu. Ini sejajar dengan hasrat mereka untuk menubuhkan sebuah republik
komunis Tanah Melayu. Bagi tujuan tersebut, sokongan orang Melayu dan bangsa
lain amat diperlukan. Namun usaha ini sekali lagi gagal apabila orang Melayu
tidak dapat menerima ideologi komunis3. Dengan itu kekallah PKM
sebagai parti yang mirip kecinaan kerana keseluruhan pemimpin dan ahlinya
terdiri daripada orang Cina.
Sokongan terhadap PKM semakin meningkat apabila Jepun menyerang
Manchuria pada 1931. Atas semangat kenegerian, mereka telah mengeksploitasi
sentimen ini untuk meraih sokongan dengan menganjurkan beberapa siri tunjuk
perasaan dan rusuhan anti-Jepun. Apabila ada masyarakat Cina menubuhkan Tabung
Bantuan Perang dan Persatuan Tentera Pembebasan Nasional (National Salvation
Army Association), PKM memberi sokongan yang akhirnya berjaya mempergunakan
mereka pula. Melalui eksploitasi semangat bencikan Jepun, pertubuhan ini telah
ditukar nama menjadi Liga Anti-Imperialis Malaya (The Malayan Anti-Imperialist
League). Tindakan-tindakan sedemikian menyebabkan ramai daripada pemimpin
mereka ditangkap termasuklah Setiausaha Agung dan Joseph Ducroix, ejen
Comintern di Singapura.
PKM berjaya berkembang dan mendapat sokongan kerana keadaan semasa itu.
Antaranya ialah berlaku kemelesetan pada tahun 1929 hingga awal 1930an,
peristiwa serangan Jepun ke atas Manchuria pada 1931 dan diikuti dengan
serangan dan penaklukan Jepun ke atas China pada tahun 1937. Seterusnya sikap
majikan yang “tidak mesra pekerja” atau dalam kata lain lebih menekan dan mengeksploitasi
tenaga pekerja. Meskipun setelah ekonomi pulih, majikan masih enggan memberi
layanan sepatutnya terutama dalam soal kenaikan gaji. Keadaan ini memudahkan
komunis menghasut untuk melakukan pemogokan di ladang getah, lombong bijih dan
arang batu. Seperti di Singapura, terdapat juga pemogokan di Selangor dan
Negeri Sembilan yang berakhir dengan pertempuran.
Faktor keempat ialah PKM berjayanya dipulihkan dengan munculnya tokoh
baru dalam memimpin parti. Pada tahun 1935, atas usaha Loi Teck seorang anggota
komunis yang berasal dari wilayah Annam telah berjaya menyusun kembali jentera
dan disiplin parti. Melaluinya, usaha menubuhkan beberapa organisasi tempatan
dan sel-sel dalam parti telah dapat diwujudkan. Tumpuan mereka masih lagi
kepada kaum buruh dan para pekerja. Kemuncak kejayaan Loi Teck ialah apabila
dilantik menjadi Setiausaha Agung parti pada tahun 1939.
Faktor kelima ialah PKM sekali lagi berusaha membuka pintu dan bekerja
keras menarik kaum lain menjadi anggotanya. Keadaan ini sejajar dengan
perkembangan semasa bila mana puak-puak radikal telah muncul di kalangan orang
Melayu. Meskipun tidak ada bukti jelas yang mereka menyertai PKM, namun arah
tuju perjuangan hampir sama iaitu menghalau penjajah dari bumi Tanah Melayu.
Walaupun tidak berjaya mendapat sokongan dari orang Melayu, PKM melalui
kerjasama dengan pihak bukan komunis telah berjaya menempatkan diri dalam
Barisan Bersatu Pergerakan Pembebasan Nasional (National Salvation Movement)
yang di tubuh khas bagi menentang imperialis Jepun. Melalui pertubuhan ini, PKM
berjaya mempertingkatkan lagi kekuatannya.
Faktor seterusnya ialah faktor semasa yang memerlukan wujudnya kerjasama
antara PKM dengan kerajaan. Keadaan ini berlaku kerana suasana politik semasa
itu. Akibat daripada meletusnya Perang Dunia Kedua (PDK) pada tahun 1939 di
Eropah, telah menjadikan komunis Rusia sebagai angkatan bersekutu kepada
Inggeris. Penglibatan Jepun pula dalam peperangan itu di sebelah Asia sekali
lagi memaksa kerajaan mencari jalan untuk berbaik-baik dengan PKM. Dengan itu,
kelihatan seperti PKM dan kerajaan saling memerlukan. Kerajaan perlukan PKM
untuk sama-sama mempertahankan Tanah Melayu yang akan diserang oleh Jepun, dan
PKM memerlukan pengiktirafan kerajaan demi untuk mengesahkan kewujudan dan
perjuangan mereka. Oleh yang demikian, apabila adanya arahan dari pihak komunis
antarabangsa, PKM telah akur dan memberi sokongan kepada kerajaan.
6.3 PKM DALAM ZAMAN JEPUN
Penglibatan Jepun dalam PDK dan slogan “Asia Untuk Asia” banyak
memberi manfaat kepada PKM. Ini dapat di lihat melalui beberapa peristiwa yang
berlaku. Setelah berjaya mendapat pemimpin yang berdedikasi, PKM pula
berpeluang bekerjasama dengan kerajaan. Melalui perjanjian yang ditandatangani
pada 8 Disember 1940, PKM menerima tawaran untuk bekerjasama bagi menentang
Jepun. Sebagai ganjaran, kerajaan akan melatih rekrut-rekrut baru pilihan PKM
dalam peperangan secara gerila atau gerakan bawah tanah. Intisari lain
perjanjian ini ialah
(a) Kerajaan
akan membebaskan semua anggota PKM yang ditangkap dan ditahan pada 15 Disember
1941.
(b) PKM
akan menyatukan semua rakyat bagi menentang Jepun dan mempertahankan Tanah
Melayu bersama British.
(c) Membasmi
semua gerombolan sayap kelima (Fifth Colummiist); ejen musuh dan pembelot.
(d) Semua
anggota parti dan rakyat akan dilengkapi dengan senjata untuk menentang
kemaraan Jepun.
(e) Menubuh
pasukan gerakan bawah tanah bagi menentang Jepun melalui keganasan.
Sama ada perjanjian ini membawa kerjasama sepenuhnya ataupun ada
muslihat lain dapat di lihat secara tidak langsung melalui perbincangan
seterusnya. Sebagai memenuhi perjanjian, PKM berjaya mengumpul 200 orang pemuda
Cina yang terpilih untuk dihantar ke Singapura dan dilatih di Sekolah Latihan
Khas 101 (101 Special Training School). Kumpulan inilah yang kemudiannya
menjadi pemangkin (nucleus) kepada Kumpulan Tentera Anti-Jepun Rakyat
Tanah Melayu (Malayan People’s Anti-Japanese Army – MPAJA). Isi kandungan lain
perjanjian telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja Pusat PKM pada 21 Disember
1941 setelah anggota mereka dibebaskan oleh kerajaan pada 15 Disember4.
Kekuatan dan kecekapan Jepun berperang tidak mampu diatasi oleh kerajaan
dan pasukan PKM. Setelah mendarat di Kota Bahru, Kelantan, pada 8 Disember dan
mengalahkan pertahanan kerajaan di Jitra, Kedah, menjadikan arah mara mereka ke
selatan melalui dua laluan semakin mudah. Akhirnya Jepun sampai ke Singapura
pada 8 Februari dan berjaya menakluki Tanah Melayu dan Singapura pada 15
Februari 1942. Kemenangan Jepun hanya memberi kekalahan kepada kerajaan dan
tidak PKM. Melalui cawangan militannya iaitu MPAJA, komunis semakin mendapat
perhatian dan sokongan masyarakat Cina. Kelompok yang memberi sokongan kuat
ialah mereka yang teraniaya oleh keganasan Jepun dan terpaksa melarikan diri ke
pinggir-pinggir hutan untuk meneruskan kehidupan.
Sepanjang tempoh tiga tahun penjajahan Jepun, MPAJA telah berjaya
menambahkan keanggotaan mereka menjadi seramai 7000 orang. Sokongan ini tidak
mengambil kira lagi pihak yang memberi sokongan dan simpati. Dalam usaha
menentang Jepun, didapati MPAJA sering mengelak daripada mencetuskan peperangan
secara berhadapan atau terbuka bagi mengelakkan kemalangan jiwa dan kerugian
logistik. Tumpuan diberikan kepada pengumpulan maklumat dan membuat serang
hendap. Bagi pihak PKM pula mereka meneruskan usaha memantapkan organisasi dan
merekrut ahli bagi menentang Jepun dan kemudiannya sebagai persiapan menghadapi
Inggeris apabila mereka kembali semula.
PKM dan MPAJA mendapat rangsangan baru di akhir penjajahan Jepun apabila
kerajaan melancarkan perang gerila melalui Pasukan 136 (Force 136)5 yang
mula beroperasi pada Mei 1943. Pada peringkat ini, operasi mereka hanya
tertumpu kepada usaha untuk mendapat dan mengumpulkan maklumat. Pihak
pemerintah Force 136 di Colombo begitu bangga dengan maklumat dan perjuangan
yang telah dibuat oleh MPAJA. Sebagai satu tindakan susulan hasil daripada
perundingan dengan Loi Teck dan Chin Peng (pemimpin PKM negeri Perak), pihak
kerajaan dan Force 136 telah bersetuju untuk melatih gerila MPAJA dan memberi
bantuan makanan serta peralatan logistik. Melihat kepada perkembangan semasa,
Pemerintah British Asia Tenggara (The British South East Asia Command)
menetapkan supaya dapat menduduki kembali Tanah Melayu menjelang bulan November
1945.
Dengan kehadiran Force 136, MPAJA banyak melakukan serangan ke atas
Jepun. Keadaan ini bukan sahaja memperkuatkan kekuatan mereka malah telah
menambahkan lagi pengalaman anggotanya dari segi teknik dan taktik peperangan
gerila. Setiap kejayaan dalam serangan akan menambahkan lagi nama baik dan
sokongan masyarakat kepada MPAJA, terutama daripada kalangan yang amat bencikan
Jepun. Oleh yang demikian, penjajahan Jepun telah dapat memantapkan lagi
organisasi PKM dan cawangan militannya, MPAJA. Namun satu keadaan baru telah
muncul apabila keanggotaannya dimonopoli oleh orang Cina (terlalu sedikit
militan Melayu yang terlibat dalam MPAJA setelah pendudukan Jepun) dan pihak
yang dikatakan menjadi tali barut Jepun ialah orang Melayu. Sebenarnya mereka
ini ditugaskan oleh Jepun untuk menjadi polis ataupun polis rahsianya yang
dikenali sebagaikempetai. Walau bagaimanapun, dalam keadaan kehidupan
yang susah dan berlakunya penindasan, maka ramai juga yang sanggup menjadi
perisik upahan demi sesuap nasi atau jaminan kehidupan semasa. Inilah
kemudiannya memberikan satu kesan yang buruk kepada Tanah Melayu setelah Jepun
menyerah kalah.
6.4 SEBELUM PERISTIWA DARURAT
6.4.1 Pengalaman Zaman Kekosongan
PKM dan MPAJA mendapat banyak pengalaman yang berguna dan membantunya
semasa zaman Jepun. Kekalahan Jepun akibat daripada serangan bom atom di
Hiroshima pada 6 Ogos dan serangan di Nagasaki pada 9 Ogos 1945 menyebabkan
berlakunya zaman kekosongan di Tanah Melayu apabila tentera Jepun menyerah
kalah dan pentadbiran Inggeris belum lagi sampai kerana peperangan ditamatkan
dalam masa yang tidak dijangka. Melihat kepada keadaan yang sedemikian PKM dan
MPAJA telah merayakan kemenangan. Gerila yang berpangkalan di hutan telah
keluar ke bandar-bandar bagi merayakan kemenangan. Mereka juga bertindak
menawan beberapa balai polis dan melakukan kekejaman membunuh orang Melayu bagi
membalas dendam terhadap mereka yang dianggap bersubahat dengan Jepun. Akhirnya
berlaku tindak balas yang menyebabkan terjadinya rusuhan kaum di beberapa
tempat di Tanah Melayu seperti di Kampong Bekor, Manong, Kuala Kangsar dan
Sungai Maniak di Perak serta di Batu Pahat, Johor5. Suasana ini
berlangsung kira kira dua minggu. Peristiwa inilah yang telah menyebabkan imej
PKM tercemar di kalangan orang Melayu yang akhirnya tidak mendapat sokongan
mereka. Keadaan ini menyebabkan mereka berbelah bagi sama ada untuk menentang
kedatangan semula Inggeris atau memberikan kerjasama. Akhirnya, PKM memutuskan
untuk bekerjasama dan meneruskan perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu melalui
saluran perlembagaan atau politik.
Ketibaan Pentadbiran Tentera British (BMA) pada September 1945 telah
diterima semula oleh PKM dan penduduk. Tugas utama BMA ialah untuk memulihkan
kembali keamanan dan ketenteraman rakyat. Bagi tujuan itu, BMA telah meminta
pasukan MPAJA yang dianggarkan seramai 10,000 orang dibubarkan pada 1 Disember
1945. Mereka diberi ganjaran wang sebanyak RM300 seorang tanpa mengira pangkat
dan dijanjikan untuk dibantu mendapatkan pekerjaan bagi memulakan penghidupan
baru. Ramai yang bersetuju menyerah diri dan banyak senjata serta peralatan
logistik yang dibekalkan oleh kerajaan semasa Jepun diserah kembali. Namun
begitu masih ramai juga yang tidak mahu menyerah diri dan banyak juga peralatan
ketenteraan mereka yang masih tersimpan di dalam hutan. Kumpulan ini adalah
pasukan rahsia PKM yang tidak pernah terlibat dengan sebarang kerjasama. Hal
keadaan ini haruslah difahami kerana PKM mempunyai muslihat tersendiri sejak
mereka bekerjasama pada tahun 1940 lagi.
Pembubaran MPAJA tidak bermakna PKM telah memutuskan hubungan mereka
sesama sendiri. Kelompok ini masih disatukan melalui Persatuan Bekas Tentera
Anti-Jepun Rakyat Tanah Melayu (MPAJA Ex-Comrades Association). Matlamatnya
ialah bagi menjaga kebajikan ahli dan dalam masa yang sama untuk terus
meletakkan mereka di bawah pengawasan dan pengaruh parti.
6.4.2 Zaman Malayan Union dan Pengisytiharan
Persekutuan Tanah Melayu
Pelaksanaan Malayan Union bermakna kerajaan mahu meneruskan cengkamannya
terhadap Tanah Melayu dalam bentuk penjajahan yang lebih nyata. Ini bermakna
kerajaan akan mengetepikan PKM yang mengharapkan untuk berkongsi kuasa
memerintah. Inilah harapan mereka semasa memberi kerjasama awal dan menerima
kedatangan semula kerajaan. Tindakan sedemikian telah menyebabkan PKM
memperkukuhkan lagi kedudukannya dalam arena politik tanah air.
Melalui “strategi bandar” dari model Revolusi Rusia tahun 1917 dan usaha
menguasai pertubuhan buruh, PKM melancarkan gerakannya sebagai sebuah parti
politik yang sah. Dengan pemulihan kesatuan-kesatuan sekerja yang digabungkan
di bawah Kesatuan Sekerja Umum (General Labour Union), PKM memainkan semula
peranan lama mereka. Dari strategi pentadbiran pula, PKM mengguna serampang dua
mata dengan meletakkan Loi Teck dan Chin Peng sebagai pemerintah gerakan bawah
tanah, Liew Yit sebagai ketua jawatankuasa politik, dan Lau Yew mengetuai
jawatankuasa tentera yang menguruskan pentadbiran di ibu pejabat parti Kuala Lumpur.
Dalam masa yang sama, PKM meneruskan perhubungan dengan BMA. Dengan ini usaha
tetap diteruskan bagi mendapat sokongan masyarakat menerusi organisasi depannya
Malayan Democratic Union (MDU) yang ditubuhkan pada 21 Disember 1945. Dengan
kerjasama organisasi politik lain dan kesatuan sekerja, PKM telah
memperkukuhkan badan utamanya Barisan Bersatu untuk menuntut kemerdekaan. PKM
mengharapkan BMA akan berkompromi dengan tuntutan mereka setelah menghentikan
perjuangan secara militan bagi menegakkan Republik Komunis Tanah Melayu.
Apabila dilancarkan “kertas putih” mengenai Malayan Union (MU) pada
bulan Januari 1946, MDU menerimanya kerana ada syarat longgar mengenai
kewarganegaraan tetapi mendesak kerajaan memasukkan sama Singapura. Apabila
kerajaan terpaksa menangguhkan MU atas desakan orang Melayu dan tidak menerima
cadangan MDU serta tidak membawa mereka dalam perundingan perlembagaan baru,
PKM bertindak dengan mencadangkan di tubuh satu Barisan Bersatu Baru
bersama-sama Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Dewan Perniagaan Cina
bagi menentang kerajaan. Hasilnya tertubuhlah Majlis Tindakan Bersama (Council
of Joint Action) pada 14 Disember 1946 yang kemudiannya diberi nama Pan Malayan
Council of Joint Action (PMCJA). Tujuan PMCJA adalah berunding dengan kerajaan
mengenai isu memasukkan Singapura, taraf kerakyatan dan hak menubuhkan kerajaan
sendiri.
PMCJA kemudiannya bergabung dengan PUTERA (Pusat Tenaga Rakyat) yang
kemudiannya membentuk gabungan PMCJA-PUTERA. PUTERA adalah hasil daripada
gabungan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Angkatan Pemuda Insaf (API) yang
bergabung dengan PKMM yang keluar dari PMCJA. Atas faktor kewangan, akhirnya
PUTERA terpaksa bergabung semula dengan PMCJA. Dalam gabungan ini, peranan PKM
ialah meresapkan ideologi mereka untuk membentuk sebuah negara merdeka
berideologi komunis. Tamparan hebat pada gabungan ini apabila kerajaan menolak
Cadangan Perlembagaan Rakyat yang mereka kemukakan pada bulan Oktober 1947 agar
Tanah Melayu diperintah secara demokrasi. Kegagalan ini merupakan kegagalan
strategi komunis untuk mendapat kuasa memerintah negeri ini.
PKM terpaksa mengambil strategi kedua iaitu menggunakan pertubuhan buruh
dan kesatuan sekerja yang berada di bawah gabungan Pan Malayan Federation of
Trade Unions (PMFTU). Mereka telah mendalangi beberapa pemogokan di Tanah
Melayu dan Singapura dengan menghasut pekerja membuat tuntutan kepada majikan
yang kebanyakannya orang Eropah. Kerajaan pula bertindak balas dengan mengawal
dan membuat sekatan terhadap kesatuan-kesatuan dan menuduh PKM menjadi dalang
dan penggeraknya. Atas kekecewaan tidak dapat bergerak bebas lagi dan tidak
mahu ditangkap, seramai kira-kira 3,000 anggota komunis terpaksa melarikan diri
ke hutan. Mereka telah melancarkan tindakan propaganda, intimidasi (ugutan)
fizikal, pemerasan, kekacauan atau gangguan, penganiayaan (sabotaj) dan pembunuhan.
Perang gerila di hutan juga dilancarkan. Tindakan ini dibuat atas arahan
komunis antarabangsa yang bersidang di Culcutta pada 19 – 25 Februari 1948 dan
sebelumnya di Prague pada 1947 dan di London pada awal 1948, yang menetapkan
supaya mencetuskan revolusi bagi menentang kezaliman imperialis dan golongan
reaksioner di setiap negeri di Asia.
Satu lagi faktor yang menggerakkan tindakan revolusi ialah pertukaran
pucuk pimpinan PKM dari Loi Teck kepada Chin Peng pada bulan March 1947. Pada
masa itu beliau ialah Pengerusi PKM negeri Perak yang bersikap militan kerana
peranannya dalam perang gerila semasa Jepun dan bersama Force 136. Satu lagi
faktor ialah pengisytiharan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 yang
merupakan satu tamparan hebat dan kekalahan kepada perjuangan golongan kiri
yang menjadi dokongan PKM.
Sebagai memenuhi arahan yang ditetapkan di Culcutta, Chin Peng telah
mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kerja di Singapura pada 21 March 1948.
Keputusannya difahamkan ialah menubuhkan Republik Soviet Komunis Tanah Melayu
secara keganasan dan bersenjata. Tarikh pelancaran pemberontakan akan
ditentukan berdasarkan perkembangan dan peristiwa semasa. Namun usaha-usaha
awal telah dijalankan sebagaimana yang dinyatakan dalam perbincangan di atas.
Menjelang bulan Jun 1948, keadaan menjadi semakin tegang. Tindakan mogok dan
ancaman keselamatan semakin serius. Dilaporkan dalam satu sidang akhbar
Pesuruhjaya Tinggi Sir Edward Gent pada 13 Jun menyatakan telah berlaku sepuluh
kejadian pembunuhan dan tiga kes serangan ke atas pengurus ladang getah di
seluruh negara dalam beberapa hari ini. Dianggarkan dari bulan Oktober 1945
hingga Disember 1947, sebanyak 191 kejadian pembunuhan berlaku dan dalam masa
enam bulan pertama tahun 1948, sebanyak 107 kejadian lagi. Kejadian begini
berterusan. Pada 16 Jun, tiga orang peladang Inggeris telah dibunuh di Sungai
Siput, Perak. Atas desakan tuan punya ladang dan juga lombong-lombong yang
menjadi tumpuan utama gerakan komunis menyebabkan Pesuruhjaya Tinggi mengisytiharkan
darurat6 ke seluruh negara pada hari yang sama berpandukan
undang-undang BMA (Essential Regulation Proclamation). Apabila Rang
Undang-undang Peraturan Darurat (Emergency Regulation Bill) diluluskan oleh
Sidang Majlis Perundangan (Legislative Council) pada 5 Julai 1948,
undang-undang BMA di atas telah dibatalkan.
6.5 PERISTIWA DARURAT8
6.5.1 Kempen Awal
Undang-undang darurat memberi banyak kuasa kepada kerajaan. Pada 23
Julai 1948 kerajaan mengharamkan PKM dan membuat tangkapan besar-besaran
terhadap ahli, penyokong dan pihak yang bersimpati dengannya. Tidak kurang
daripada 1000 orang berjaya ditangkap dan kerajaan mengenakan hukuman mati
kepada mereka yang menyalahgunakan senjata api. Dalam tangkapan besar-besaran
itu, tertangkap sama Liew Pit yang menjadi wakil Jawatankuasa Pusat PKM.
Keadaan ini menyebabkan bertambah ramai ahli PKM melarikan diri ke hutan dan
bermulalah perjuangan bersenjata secara rasmi apabila PKM mengisytiharkan
‘Perang Pembebasan Anti-British’.
Dalam keadaan tidak menduga yang kerajaan akan bertindak sebegitu keras
dan persiapan yang masih belum lengkap, PKM masih lagi berjaya menghimpunkan
kembali anggota-anggota MPAJA. Dengan kekuatan seramai kira-kira 12,000 orang,
PKM berjaya membentuk sebanyak lapan rejimen yang dinamakan Tentera Rakyat
Anti-British (Malayan People Anti-British Army – MPABA). Nama ini ditukarkan
menjadi Tentera Pembebasan National Malaya (MRLA) pada bulan Februari 1948.
Bagi mendekatkan mereka dengan rakyat, PKM membentuk sel-sel yang dikenali
sebagai Min Yuen di kalangan anggota komunis. Mereka akan bertugas menjadi ejen
untuk mendapatkan bekalan makanan, rekrut baru dan juga maklumat dari rakyat.
Perkara ini amat perlu kepada perjuangan kerana kuasa darurat memperuntukkan
banyak kuasa dan kelebihan bagi kerajaan bertindak.
Mengikut peraturan darurat, kerajaan diberi kuasa:
(a) Menahan
sesiapa sahaja yang disyaki tanpa bicara dalam tempoh dua tahun.
(b) Melarang
sebarang penulisan, penerbitan dan penjualannya, atau melarang menyebarkan
mana-mana dokumen, poster, sepanduk yang pada pandangan polis menimbulkan
suasana menghasut.
(c) Kerajaan
boleh menduduki atau menggunakan mana-mana bangunan atau kenderaan bagi tujuan
menjaga keamanan.
(d) Membuat
kawalan ke atas semua laluan jalan raya.
(e) Menyurai
sebarang bentuk perhimpunan.
(f) Menguatkuasakan
perintah berkurung.
(g) Menangkap
sesiapa sahaja yang disyaki tanpa waran.
(h) Mengenakan
hukuman mati kepada mereka yang menyalahgunakan senjata api.
(i) Menghukum
mana-mana individu yang sengaja membuat laporan palsu kepada polis.
(j) Merampas
sebarang perniagaan yang keuntungannya disalurkan kepada perjuangan komunis.
(k) Menangkap
semua penduduk yang kawasannya disyaki sebagai tempat menyalur sumber makanan,
tenaga dan maklumat keselamatan kepada komunis.
(l) Kerajaan
boleh mengguna sebarang kekerasan terhadap rakyat yang tidak patuh dengan
arahan penggunaan senjata api atau bagi tujuan untuk menangkapnya.
(m) Memindahkan
rakyat yang menggunakan atau menduduki tanah kerajaan.
Melihat kepada keadaan di atas, kelihatan PKM sedang berjuang menentang
kerajaan Inggeris dan juga sebahagian besar rakyat yang telah dikepung dengan
undang-undang darurat yang menyekat pergerakan mereka. Sebagai satu tindakan
susulan agar perjuangan menubuhkan negara komunis di Tanah Melayu mencapai
matlamatnya, simpati, sokongan, bantuan dan penyertaan orang Melayu amat
diperlukan. Kesilapan masa lalu mahu diperbetulkan dengan mendekati kembali
orang Melayu. Untuk tujuan itu, satu rejimen khas untuk orang Melayu
ditubuhkan. Ia dinamakan Rejimen Kesepuluh yang beroperasi di Lubuk Kawah,
Temerloh, Pahang. Angka sepuluh itu diambil dari tarikh 10 Zulhijah (Hari Raya
Korban) sempena dengan tarikh penubuhannya. Rejimen ini diletakkan di bawah
pimpinan Abdullah C.D., dan Rashid Maidin.
6.5.2 Tindakan Awal Kerajaan
PKM melancarkan operasi secara gerila. Mereka membuat gangguan, sabotaj
dan keganasan, ugutan atau percubaan membunuh kepada penduduk ladang, pekerja
lombong dan penduduk di kawasan terpencil. PKM juga sering melakukan serang
hendap ke atas pusat kawalan kecil keselamatan mahupun semasa pasukan
keselamatan menjalankan tugas rondaan. Operasi mereka adalah di kawasan terpilih
tetapi menyeluruh. Di samping membuat gangguan kepada penduduk dan kerajaan,
PKM meneruskan usaha mendapatkan sokongan, makanan, logistik, tenaga dan
maklumat. Sebagai tindak balas terhadap operasi yang dilancarkan oleh PKM,
kerajaan telah melancarkan beberapa tindakan mencegah, membendung dan mengawal
agar ideologi dan pengaruh komunis dapat disekat dan tidak berkembang.
1. Memperkuatkan
Pasukan Keselamatan
Keganasan yang dilakukan oleh PKM perlu dibendung bagi mengembalikan
keyakinan rakyat. Pasukan keselamatan perlu diperkemas dan ditambah keanggotaan
serta peralatannya. Ini sejajar dengan dasar keselamatan pada masa itu sebagai
dasar bertahan kerana masalah kekurangan kekuatan anggota, kelengkapan logistik
dan persenjataan. Bagi menambahkan kemampuan, kecekapan dan moral anggota polis
yang seramai kira-kira 10,000 orang pada masa itu, mereka hanya dikerah
menjalankan tugas untuk mempertahankan kawasan bandar atau kampung sahaja
daripada diserang oleh komunis. Manakala pasukan tentera infantri yang sebanyak
10 batalion ditugaskan memburu musuh di pinggir atau dalam hutan. Ini bertujuan
untuk menyekat jaringan perhubungan dan komunikasi serta memusnahkan pangkalan
yang telah diwujudkan. Dalam masa yang sama untuk menghalang kewujudan
pangkalan baru.
Bagi memenuhi keperluan tugas ini, kerajaan telah menambahkan kekuatan
pasukan polis dan juga tentera. Pada akhir tahun 1949, kekuatan polis telah
meningkat menjadi seramai 47,000 orang. Dari jumlah tersebut seramai 17,000
adalah anggota polis biasa (termasuk 3500 EPC) manakala baki 30,000 adalah
pasukan Polis Khas (Special Constable – SC) yang dibentuk pada 26 Jun 1948.
Pasukan tentera juga ditambah dan diperbesarkan kekuatan. Sebanyak tiga
batalion Pasukan Pengawal telah dibawa dari England untuk memperkuatkan kawalan
keselamatan. Sehingga pada tahun 1950, dianggarkan seramai 32,000 orang tentera
telah ditugaskan di Tanah Melayu dan Singapura bagi tujuan tersebut.
Selain daripada menambahkan kekuatan dari segi jumlah anggota keselamatan,
kerajaan juga berusaha mempertingkatkan banyak perkara dalam tugas keselamatan.
Antaranya ialah meningkatkan kualiti kecekapan anggota. Tempoh latihan anggota
rekrut telah ditambah dari enam bulan kepada lapan bulan bagi polis biasa. Ini
bertujuan untuk membolehkan mereka mendapat latihan yang secukupnya berkaitan
taktik melawan musuh secara perang gerila. Sistem perhubungan wayarles
diperluaskan. Di samping itu, balai polis, pondok dan pos-pos baru
diperbanyakkan di seluruh negara.
Satu lagi perkara penting dalam mempertingkatkan kekuatan pasukan
keselamatan ialah terbentuknya Pasukan Sempadan (Frontier Force) yang bertugas
bagi mengawal sempadan Tanah Melayu-Thailand. Tugas utama pasukan ini ialah
untuk mengawal sempadan daripada menjadi tempat penyeludupan senjata dan
mengawal penduduk daripada memberi kerjasama dengan komunis. Sebagai tindakan
susulan, kerajaan telah mengadakan perjanjian dengan kerajaan Thailand bagi
kerjasama menentang musuh bersama komunis. Kedua-dua kerajaan telah bersetuju membenarkan
pasukan polis masuk ke kawasan jiran bagi tujuan memburu komunis sehingga ke
tempat yang dihadkan. Perkara yang tidak kurang juga pentingnya dalam menangani
komunis ialah tindakan kerajaan melaksanakan rancangan Pendaftaran Kebangsaan
bermula pada bulan September 1948. Rancangan ini telah dilakukan dalam tempoh
dua tahun dengan mencapai kejayaan. Dengan ini gerakan gerila komunis peringkat
pertama telah dapat dikawal.
Keupayaan kerajaan mengawal tindakan keganasan PKM bukanlah terletak
semata-mata kepada faktor kekuatan pasukan keselamatan. Ia berkait rapat dengan
tindakan komunis itu sendiri juga. Tindakan keganasan yang mereka lakukan
terhadap masyarakat di ladang, lombong atau di kampung terpencil telah
menyebabkan perjuangan mereka dibenci dan ditakuti. Lebih-lebih lagi tumpuan
mereka ialah kepada orang Melayu dan majoriti anggota PKM pula terdiri daripada
kaum Cina. Sentimen ini telah mengurangkan sokongan kepada mereka yang hanya
mendapat sokongan satu kaum sahaja. Walau bagaimanapun sentimen ini juga
berbalas apabila pasukan keselamatan mengambil tindakan yang keras terhadap
penduduk yang disyaki dan tidak dapat memberi kerjasama yang memuaskan kepada
kerajaan. Wujud juga sentimen anti-kekerasan yang dilaksanakan oleh kerajaan,
terutamanya terhadap orang Cina di pinggir hutan atau kawasan pendalaman.
Misalnya antara bulan Jun 1948 hingga Disember tahun yang sama, seramai 5097
orang telah ditahan tanpa bicara atau pertuduhan yang jelas. Kerajaan juga
telah memusnahkan perkampungan Kachau di Selangor dan Pulai di pendalaman
Kelantan kerana mereka tidak memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan.
Secara kebetulan pula majoriti anggota pasukan keselamatan terdiri daripada
kalangan orang Melayu. Jadilah keadaannya orang Cina membenci kerajaan, dan
orang Melayu membenci komunis. Namun begitu, tindakan kerajaan memperkuatkan
pasukan polis bagi mengawal bandar dan kampung serta tindakan tentera yang
sentiasa memburu anggota komunis di pinggir dan di dalam hutan telah menjadikan
kedudukan mereka semakin terancam dan terputus hubungan dengan massa. Dengan
itu, PKM terpaksa mengurangkan gerakan keganasan mereka.
2. Rancangan
Briggs
Leftenan General Sir Harold Briggs ialah Pengarah Gerakan Tanah Melayu
yang dilantik pada bulan April 1950. Beliau berpendapat bahawa komunis tidak
boleh dihapuskan selagi adanya sokongan rakyat kerana gerakan PKM melibatkan
ideologi dan kepercayaan. Baginya gerakan ketenteraan semata-mata tidak akan
mampu mengatasi keganasan selagi mereka mendapat sokongan rakyat dari segi
tenaga, makanan, logistik dan maklumat pergerakan pasukan keselamatan. Untuk
itu beliau telah memperkenalkannya Rancangan Briggs bagi mengawal sokongan
massa dan memutuskan hubungan mereka dengan komunis. Rancangan ini merupakan
satu usaha bersepadu pasukan keselamatan meneruskan pemburuan dan memusnahkan
komunis dan dalam masa yang sama rakyat “dimenangi hati dan perasaan” mereka (to
win the hearts and minds of the people) untuk memberi sokongan dan
kepercayaan kepada kerajaan. Untuk itu beberapa langkah yang telah dilaksanakan
seperti memperkenalkan rancangan kampung baru, memperkukuhkan bidang perisikan
dan beberapa rancangan lain yang akan dibincangkan seterusnya.
(a) Memperkenalkan
Rancangan Kampung Baru
Konsep ini ialah menempatkan penduduk Cina yang tinggal bertaburan di
pinggir-pinggir hutan atau perkampungan ke satu kawasan yang boleh dikawal. Ia
dilaksanakan melalui undang-undang penempatan dalam Peraturan Darurat
(Emergency Regulations). Pemindahan dan penempatan semula ini telah dilakukan
secara besar-besaran dan segera di seluruh negara. Penempatan semula ini
melibatkan lebih 650,000 penduduk dengan ditempatkan ke 600 petempatan baru
yang dikenali sebagai Kampung Baru. Petempatan ini telah memakan masa selama
empat tahun dengan belanja AS$44.3 juta. Selain diberi kawalan, kampung ini
diberi kemudahan asas kawasan perumahan dan kemudahan sosial yang diperlukan.
Selain daripada mengumpulkan penduduk yang bertaburan di pinggir hutan,
kerajaan juga mengumpulkan pekerja ladang dan lombong yang berselerak di
kawasan baru yang mudah diberi kawalan atau perlindungan di tempat mereka
bekerja. Misalnya, di kawasan ladang, mereka dikumpulkan dekat dengan kawasan
jalan laluan utama masuk ke ladang dan tidak jauh dari kawasan pentadbiran.
Manakala pekerja lombong pula mereka di tempatkan dekat dengan bandar atau
pekan yang tidak jauh dari kawasaan lombong mereka. Dengan petempatan yang
sebegini, menyebabkan perhubungan antara mereka dengan ejen, penyokong atau komunis
sendiri dapat dikurangkan dan akhirnya terputus sama sekali kemudiannya.
(b) Memperkukuhkan
Bidang Perisikan
Dalam situasi berperang atau melawan gerila, perisikan merupakan alat
terpenting bagi menangani musuh. Pada awal zaman darurat, badan perisikan
Malayan Security Service (MSS) amat kecil dan kekurangan kakitangan. Ia juga
sering bercanggah peranan dengan Jabatan Siasatan Jenayah (CID). Dengan itu,
badan ini telah dibubarkan kemudiannya. Semua tugas perisikan dan siasatan
diserahkan kepada CID. Namun CID lebih banyak memberi tumpuan kepada tugas
siasatan dan membasmi jenayah. Bagi menangani masalah ini, Pengarah Gerakan
telah melantik Guy C. Madoc mengetuai badan perisikan yang dinamakan Cawangan
Khas (Special Branch – SB). Badan ini telah dijadikan sebahagian daripada
pasukan polis yang tugasnya mengumpul, mengklasifikasikan, menilai dan
menyebarkan maklumat komunis dan hal-hal keselamatan kepada pihak berkenaan.
(c) Menubuhkan Pasukan Kawalan
Keselamatan Tambahan
Selain daripada menubuhkan pasukan SC, kerajaan juga telah menubuhkan
Pasukan Kawalan Kampong (Home Guard). Pasukan yang diletakkan dibawah kawalan
Angkatan Tentera ini berperanan menjaga keselamatan penduduk dan harta benda di
kampung daripada pencerobohan dan gangguan komunis. Dengan cara ini sesebuah
kampung akan mempunyai pasukan yang akan mempertahankan penduduknya dari
gangguan atau serangan komunis sementara menanti bantuan dari balai polis
berdekatan atau ketibaan pasukan tentera. Kerajaan juga menubuhkan satu sistem
kawalan khas yang dinamakan Jawatankuasa Eksekutif Perang (War Executive
Committees) yang melibatkan banyak jabatan kerajaan dari peringkat pusat
sehingga ke peringkat daerah. Penempatan jawatankuasa ini sehingga ke peringkat
yang terendah bagi memudahkan menempatkan pasukan keselamatan di sesuatu tempat
dan kawasan. Jawatankuasa ini juga dapat mengintegrasikan pelbagai jabatan awam
dengan tentera dan polis bagi membendung dan memerangai komunis.
(d) Mengistiharkan “Kawasan Hitam
atau Putih”
Penempatan penduduk ke kampung-kampung baru dan gerakan ketenteraan yang
berterusan telah memutuskan perhubungan antara PKM dengan para penyokongnya.
Dengan ini PKM telah mengubah strategi operasi atau corak perjuangan mereka.
Mulai daripada bulan Ogos 1950 mereka telah mengurangkan tindakan mengganggu
penduduk dan serangan ke atas pasukan keselamatan. PKM juga telah menyusun kembali
gerakan mereka setelah bertambahnya ahli baru. Kejadian ini berpunca daripada
ramainya pemuda Cina melarikan diri ke dalam hutan kerana tidak mahu turut
serta dalam program kerahan tenaga setelah kerajaan melancarkan Skim Kerahan
Tenaga pada 21 November 1950. Ada juga yang melarikan diri balik ke negeri
China. Bagi PKM, kehadiran anggota baru sedikit sebanyak telah memberi tambahan
kekuatan tenaga, tetapi mereka masih lagi kekurangan peralatan dan
persenjataan.
Sebagai satu usaha, PKM telah melancarkan sekali lagi serangan
besar-besaran bagi menggagalkan Rancangan Briggs, terutamanya petempatan
Kampung Baru. Serangan ini dilakukan pada bulan Februari hingga Ogos 1951.
Tumpuan mereka ialah orang kampung, balai dan pondok polis terpencil serta
pasukan tentera yang membuat rondaan. Tindakan serangan hendap dan keganasan
terhadap rakyat menambahkan lagi jurang antara mereka dengan penduduk. PKM mula
merasa kecewa setelah orang Cina sendiri semakin merenggangkan diri daripada
memberi sokongan dan bantuan.
Seterusnya PKM telah mengaturkan strategi baru dengan mendekatkan diri
kepada masyarakat Orang Asli dan hanya mengganggu pasukan keselamatan sahaja.
Tindakan ini juga tidak berapa berjaya kerana tidak banyak bantuan yang dapat
diberikan oleh Orang Asli, dan kerajaan juga telah bertindak pantas memintas
perhubungan mereka dengan Orang Asli. Pasukan keselamatan juga telah
ditempatkan di perkampungan Orang Asli bagi memberi perlindungan dan mengambil
hati mereka. Meskipun pada tempuh ini merupakan musim ‘menurun’ dalam
perjuangan, namun PKM telah mencapai kemenangan moral setelah berjaya membuat
satu serangan hendap dan dapat membunuh Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi
British di Bukit Frazer pada 6 Oktober 1951. Kejadian ini juga sebaliknya
menjadikan mereka mendapat tekanan lebih besar lagi daripada pasukan
keselamatan.
Dalam keadaan yang tertekan kerana kurangnya bantuan dan sokongan serta
Arahan Oktober 1951 (October Directive) yang mengarahkan tidak melakukan
keganasan telah menyebabkan kegiatan mereka semakin berkurangan. Operasi di
kawasan selatan Tanah Melayu terus berkurangan dan diberhentikan. Keadaan ini
membolehkan kerajaan dan pasukan keselamatan membuat penumpuan kepada kawasan
tertentu setelah adanya kawasan yang diisytiharkan sebagai “Kawasan Putih”.
Melaka telah diisytiharkan sebagai kawasan pertama mendapat taraf Kawasan Putih
bagi seluruh negerinya pada 3 September 1953. Oleh itu, pasukan keselamatan
telah dapat memberi tumpuan kepada kawasan di bawah pemerintahan Setiausaha
Agung PKM Chin Peng dan Jawatankuasa Pusatnya. Gerakan besar-besar yang
dilancarkan di negeri Pahang, telah memaksa Chin Peng dan kumpulan serta
pasukan di bawahnya yang berpusat di Mentakab melarikan diri ke sempadan Tanah
Melayu-Thailand di kawasan Kroh-Betong. Pengunduran diri ini dituruti sama oleh
rejimen lain termasuklah Rejimen Kesepuluh.
(a) Pengiktirafan
Politik dan Pentadbiran
Kerajaan juga melihat ideologi dan perjuangan komunis mesti diatasi
dengan cara politik, selain daripada operasi ketenteraan dan jentera
pentadbiran. Pada masa ini sentimen perkauman begitu meluas. Rasa marah orang
Melayu terhadap orang Cina dan komunis begitu menebal. Keadaannya seolah-olah
disebutkan Cina sahaja tergambarlah kekejaman komunis dan disebut pula komunis,
itulah orang Cina. Keadaan begini jika dibiarkan akan menambahkan lagi
kerenggangan perhubungan antara kaum. Untuk itu kaum imigran mesti ditarik
perhatian mereka supaya merasakan Tanah Melayu ialah negara mereka. Bagi
menjayakan rancangan ini, beberapa program dilaksanakan yang antaranya ialah
(i) Melalui
penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, hak kewarganegaraan telah diperluaskan
kepada kaum imigran yang telah tinggal berterusan selama lapan tahun dan boleh
berbahasa Melayu atau Inggeris serta sanggup memberi ketaatan kepada Tanah
Melayu.
(ii) Orang bukan Melayu digalakkan
menubuhkan parti politik mereka sendiri. Melalui sokongan kerajaan, parti bagi
orang Cina ditubuhkan dengan diberi nama Malayan Cinese Association (MCA) pada
bulan Februari 1949. Manakala orang India telah menubuhkan Malayan Indian
Congress (MIC) terlebih awal lagi.
Tanah Melayu akan diberi taraf bekerajaan sendiri sebelum mencapai
kemerdekaan. Justeru itu beberapa langkah awal telah dibuat seperti menubuhkan
Jawatankuasa Perhubungan Kaum (Communities Liaison Committee) pada tahun 1949,
memperkenalkan Sistem Ahli (Membership System) pada tahun 1951, memperkenalkan
pilihanraya peringkat bandaran di negeri-negeri dan memerdekakan Tanah Melayu
dalam masa yang terdekat
1. Rundingan
Baling9
Akibat tekanan daripada pelbagai penjuru oleh kerajaan, PKM merasakan
corak dan cara perjuangan harus disesuaikan kembali pada tahun 1955. Perjuangan
bersenjata dan kekerasan tidak lagi praktikal kerana pasukan keselamatan telah
diperbesar dan diperlengkapkan, para penyokong dan yang memberi simpati telah
dikawal serta sebahagian besar rakyat telahpun selesa dengan sistem dan
peraturan yang kerajaan laksanakan. Lagipun, pada peringkat negara sekeliling
dan antarabangsa telah memperlihatkan satu kompromi atau usaha damai antara
perjuangan komunis dengan demokrasi. Misalnya di Indochina dan di Korea telah
diadakan gencatan senjata pada tahun 1951 dan 1953 lagi. Perjuangan
pemberontakan Huk di Filipina telah ditewaskan pada tahun 1954, dan pemimpin
utama komunis Russia Khruschev telah menyarankan supaya diwujudkan suasana aman
damai (peaceful coexistence), dan komunis China telah menyuarakan
tidak akan membantu lagi perjuangan PKM semasa Sidang Bandung tahun 1955. Semua
ini telah mempengaruhi arah tuju dan perjuangan PKM.
Satu lagi peristiwa dalam negeri yang mengubahkan pendirian mereka ialah
Pilihanraya Umum Persekutuan Tanah Melayu pada Julai 1955. Bagi menyelamatkan
maruah daripada gagal dalam perjuangan bersenjata, PKM merasakan perlu bagi
mereka untuk turut serta dalam pilihanraya tersebut. Dengan ini mereka telah
menawarkan untuk mengadakan perundingan dengan pemimpin-pemimpin politik. Dalam
keadaan kesibukan mengadakan pilihanraya, tidak dapat diaturkan sebarang
pertemuan. Lagipun, setiap pertemuan dengan PKM harus mendapat kelulusan pihak
kerajaan. Setelah Tunku Abdul Rahman (Tunku) dilantik menjadi Ketua Menteri
pada 31 Julai 1955, beliau telah mendapat kebenaran kerajaan bagi memberi
pengampunan kepada PKM yang menyerahkan diri mulai 9 September 1955. Namun
tawaran ini tidak menarik perhatian anggota PKM yang mana mereka mahu keluar
dari hutan dengan cara yang lebih terhormat.
Sehubungan itu, satu perundingan yang dikenali sebagai Rundingan Baling
telah berlangsung selama dua hari pada 28 dan 29 Disember 1955. Rundingan ini
telah diadakan di Dewan Persidangan di pekan Baling, Kedah. Persidangan pertama
berlangsung pada jam 1415. Wakil kerajaan diketuai oleh Tunku dengan ditemani
oleh David Marshall (Ketua Menteri Singapura) dan Tan Cheng Lok. Manakala PKM
diketuai oleh Chin Peng dan dibantu oleh Chen Tien (menjadi penghubung PKM
dalam menjayakan pertemuan perundingan) dan Abdul Rashid Maidin. Dari apa yang
digambarkan oleh Tunku bahawa Chin Peng tidak bersedia menerima syarat menyerah
diri dan meletakkan senjata. Meskipun Tunku memberinya peluang untuk tidak
tergesa-gesa memberi jawapan, namun beliau terus bertegas tidak dapat menerima
tawaran tersebut dalam pertemuan kedua pada esoknya. Bagi pihak Tunku pula,
beliau tidak dapat menerima tuntutan PKM untuk menyerah diri dan meletakkan
senjata tanpa syarat dan dibenarkan partinya bergerak sebagai parti politik
yang sah.
Oleh kerana terdapat perbezaan matlamat dan cita-cita perjuangan, maka
perundingan itu berakhir dengan tidak mendapat sebarang keputusan yang jelas
dan dianggap gagal. Bagi Tunku, pengampunan yang diberi sebagai jalan
penyelesaian kepada perjuangan PKM yang menakut-nakutkan dan keganasan pada
rakyat bukannya cara terbaik untuk menghalau penjajah. Ini disebabkan penjajah
telah bersetuju untuk memberikan kemerdekaan dan beliau dalam tempoh yang
terdekat akan berangkat ke London bagi merundingkan tarikh dan syarat
kemerdekaan. Kebebasan bergerak bermakna memudahkan PKM mendampingi rakyat bagi
mengembangkan ideologi komunis yang telah ditolak oleh hampir keseluruhan
rakyat. Chin Peng pula melihatkan pengampunan sebagai satu kegagalan dalam
perjuangannya menghalau penjajah yang selama ini diperjuangkannya. Mereka lebih
mengharapkan perundingan ini untuk mendapatkan kerjasama pemimpin politik bagi
sama-sama menghalau penjajah. Mereka mempunyai hasrat atau matlamat yang
tersembunyi, iaitu setelah berjaya menghalau penjajah, mudahlah bagi mereka
mengambil semula negara ini kerana mereka mempunyai kekuatan ketenteraan dan
para pendokong perjuangan.
Semasa perundingan berlangsung, kawalan keselamatan diperketatkan bagi
menjamin tidak berlakunya sebarang kejadian buruk. Pihak keselamatan dan PKM
telah bersetuju mengadakan genjatan senjata bagi membolehkan pihak PKM keluar
mengiring dan memerhati perkembangan perbincangan. Apa yang menariknya
perbincangan ini telah berjalan dengan suasana tenteram tanpa sebarang
gangguan. Pihak PKM yang mengiringi wakil mereka telah dibenarkan
berjalan-jalan di pekan Baling dan membeli keperluan makanan di pasar. Ini
kerana Chin Peng meminta penyediaan makanan untuk mereka disediakan sendiri
selain daripada makanan dalam tin kegunaan tentera yang disediakan untuk
mereka.
Kegagalan rundingan ini telah diduga. Pihak kerajaan sebenarnya tidak
begitu merestui rancangan Tunku memberi pengampunan dan mengadakan perundingan.
Atas usaha yang telah dibuat, Tunku berjaya mendapat kebenaran mengadakan
perbincangan itu bagi sekurang-kurangnya untuk melihat dan menilai perjuangan
sebenar PKM. Selain pihak kerajaan, akhbar-akhbar diseluruh dunia turut tidak
yakin dengan hasil perundingan itu nanti. Bagi mereka Tunku seperti memperjudikan
nasib negara dan masa depan politiknya apabila mengadakan perundingan tersebut.
Memang tepatlah seperti apa yang diduga.
PKM tidak berputus asa. Ada usaha untuk mengadakan rundingan kedua
setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Usaha ini ditolak oleh Tunku kerana
yakin negara akan dapat mengatasi masalah komunis. Setelah gagal dengan usaha
ini, bermakna untuk meneruskan perjuangan melalui saluran politik yang sah
telah tertutup. Untuk meneruskan perjuangan dengan kekerasan pula telah tidak berkemampuan
setelah ramai anggota terkorban dan kurangnya sokongan daripada rakyat. Dengan
itu, Chin Peng telah mengarahkan para anggota dan penyokongnya di hutan supaya
mengelakkan diri daripada bertembung dan bertempur dengan pasukan keselamatan.
Tujuannya bagi mengelakkan anggota yang terlatih daripada terkorban dan dalam
masa yang sama dapat menyusun strategi dan mempertingkatkan lagi latihan. Dalam
masa yang sama PKM berusaha untuk memanjangkan lagi suasana darurat yang boleh
melambatkan proses pembangunan dan menyusahkan rakyat setelah banyak peruntukan
disalurkan kepada pasukan keselamatan. Bagi komunis, apabila negara menjadi
lemah dan mundur, mudahlah rancangan jangka panjang mereka dapat dilaksanakan
melalui kaedah pengeksploitasian isu semasa10
6.6 KESAN DARURAT KEPADA KEMERDEKAAN
Persekutuan Tanah Melayu terus mengalami perkembangan politik dan juga
perjuangan komunis. Pejuang kemerdekaan melalui saluran politik berusaha
meyakinkan pihak pemerintah yang rakyat negeri ini telah mula bersatu melalui
permuafakatan. Bagi PKM pula, percubaan untuk menghalang proses kemerdekaan
melalui keganasan telah tidak berjaya. Namun ikhtiar masih diteruskan dengan
menumpang dan mengembangkan pengaruh ideologi politik melalui parti politik
berhaluan kiri seperti Parti Front Sosialis, Parti Rakyat, Parti Buruh, Parti
Progresif Rakyat dan Parti Pemuda Sosialis. Dengan ini dapat di lihat PKM dan
darurat telah menjadi penghalang kepada kelancaran proses kemerdekaan dan dalam
masa yang sama telah memperkuatkan usaha untuk mendapatkan kemerdekaan
tersebut.
Banyak kesan yang dapat di lihat daripada peristiwa pemberontakan PKM
dan perlaksanaan darurat. Antaranya ialah
1. Ketegangan
Hubungan antara Kaum
Peristiwa darurat telah melukakan kembali hati dan perasaan penduduk
yang berbilang bangsa di Tanah Melayu yang mulai pulih selepas penjajahan
Jepun. Ini disebabkan berlakunya beberapa peristiwa yang sengaja atau tidak
dapat dielakkan daripada berlaku sepanjang masa darurat tersebut. Antaranya
ialah:
(a) Prasangka
Perkauman Memuncak
Keadaan ini memperlihatkan satu suasana tegang antara orang Cina dengan
orang Melayu. Kejadian pertama telah berlaku semasa zaman kekosongan dan
diikuti pula peristiwa pemberontakan komunis ini. Sekali lagi dua bangsa yang
mempunyai sejarah “pergaduhan” dihadapkan oleh suasana baru. Walaupun
perjuangan komunis untuk memerdekakan Tanah Melayu, tetapi mereka terpaksa
berhadapan dengan pasukan keselamatan penjajah yang terdiri daripada kalangan
orang Melayu yang menganggapkan kerja mereka sebagai perjuangan mempertahankan
tanah air daripada jatuh ke tangan komunis. Maka berjuanglah dua bangsa ini
bagi matlamat yang berlainan, meskipun pada akhirnya menuju cita-cita yang
satu, iaitu kedaulatan tanah air.
Dalam perjuangan ini, daripada apa yang telah direkodkan, PKM telah
kehilangan nyawa seramai 6,710 orang, tercedera dalam pertempuran seramai 2,819
orang, ditawan seramai 1,286 orang dan kehilangan anggota yang menyerah diri
seramai 2,702 orang. Dari jumlah ini sebahagian besarnya ialah orang Cina. Di
pihak pasukan keselamatan pula, anggota pasukan polis biasa yang terkorban
dalam pertempuran ialah 511 orang manakala 701 orang lagi tercedera; Polis
Khas: terkorban seramai 593 dan cedera 746 orang; Pasukan Polis Tambahan:
terkorban seramai 242 orang dan cedera 154 orang. Pasukan Angkatan Tentera pula
kehilangan nyawa dalam pertempuran atau diserang hendap seramai 519 orang dan
959 orang lagi tercedera. Hampir keseluruhan mereka yang terlibat ialah orang
Melayu. Di samping kedua-dua pihak yang terlibat secara terus, ada pihak lain
yang mengalami nasib sama, iaitu orang awam atau rakyat jelata. Seramai 2,473
orang telah terkorban, 1,385 orang tercedera, dan 818 orang lagi dilaporkan
hilang tanpa dikesan akibat kekejaman dan keganasan komunis. Mereka menerima
nasib malang ini akibat daripada tidak memberi kerjasama atau tidak mampu lagi
untuk bekerjasama dengan PKM.
(b) Petempatan
yang Berasingan
Sejarah telah menyaksikan penjajah telah mengasing penduduk di sini.
Peristiwa darurat sekali lagi menyaksikan kejadian yang sama apabila konsep
kampung baru diperkenalkan. Dari jumlah 600 petempatan kampung baru tersebut,
hanya sembilan peratus sahaja petempatan untuk orang Melayu dan empat peratus
untuk orang India serta satu peratus untuk lain-lain kaum. Apa yang menebalkan
permusuhan ini ialah dari segi kemudahan asas dan infrastruktur yang disediakan
oleh kerajaan. Penduduk kampung baru yang hampir 500 petempatannya didiami oleh
orang orang Cina mendapat semua kemudahan yang diperlukan. Manakala kampung
Melayu tradisi yang berhampiran diabaikan oleh kerajaan. Ini menyebabkan orang
Melayu terasa pihak mereka yang sentiasa memberi sokongan dan berkorban
membantu kerajaan dalam menangani komunis diabaikan, sedangkan pihak yang
membantu ataupun menjadi tali barut komunis diberi layanan yang baik. Ini belum
mengambil kira perasaan mereka yang kehilangan keluarga yang terkorban dalam
tugas pasukan keselamatan atau dibunuh oleh komunis. Semua ini telah menebalkan
perasaan perkauman orang Melayu.
(c) Ketaatsetiaan
yang Dipertikaikan
Rasa marah dan kecewa orang Melayu terhadap orang Cina ditambah lagi
akibat sikap yang ditunjukkan oleh belia-belia Cina dan India yang tidak
menyahut seruan kerajaan dalam menentang komunis melalui Skim Kerahan Tenaga
yang dilancarkan pada 21 November 1950. Skim ini telah mewajibkan penduduk yang
berusia 20-30 tahun mendaftarkan diri menjadi anggota pasukan keselamatan. Apa
yang berlaku antara bulan Februari hingga Ogos 1951 telah menyaksikan tidak
kurang dari 10,000 pemuda dan belia Cina telah melarikan diri ke negeri China
dan tidak kurang juga yang masuk hutan menyertai PKM. Hal yang sama dapat di
lihat kepada pemuda India apabila dalam tempuh yang sama jumlah penumpang kapal
ke India sentiasa meningkat. Hal inilah yang menimbulkan rasa kecewa orang
Melayu dan juga kerajaan terhadap sikap mereka ke atas sikap mereka terhadap
negeri ini yang hanya sekadar tempat untuk mencari kekayaan semata-mata. Walau
bagaimanapun, ada juga pemuda Cina yang berjiwa patriotik apabila seramai 200
orang telah menyahut seruan berkhidmat dalam pasukan keselamatan, terutamanya
pasukan polis. Angka ini adalah dari akhir tahun 1949 hingga tahun 1951.
(d) Hak Kewarganegaraan dan Berpolitik
Kewarganegaraan merupakan isu yang sensitif. Ia adalah hak mutlak rakyat
asal atau pribumi sesebuah negeri. Memberi kerakyatan yang membawa kepada
persamaan taraf terhadap kaum imigran, merupakan satu pengorbanan yang
semestinya diberi timbal balas. Setelah orang Cina diberikan hak
kewarganegaraan, sekali lagi kerajaan menunjukkan sikap kasih kepada mereka
dengan mendorongkan penubuhan MCA bagi menghilangkan prasangka atau prejudis
“Cina itu Komunis, dan Komunis itu Cina”. Setelah kedua-dua ini diberi, rasa
kasih mereka terhadap negeri ini masih lagi berbelah bagi sebagaimana yang
diterangkan pada perenggan di atas. Rasa kecewa orang Melayu sekali lagi terasa
setelah adanya orang-orang Cina di Pulau Pinang dan Melaka yang mahu terus
menjadi warganegara Kerajaan Queen dan tidak mahu mencapai kemerdekaan bersama.
Walau bagaimanapun, kelahiran MCA telah membawa satu kesan baik kemudiannya
apabila pemimpin parti ini dapat duduk bersama dengan pemimpin nasionalis Melayu
dalam Komiti Perhubungan Kaum yang akhirnya dapat menubuhkan gabungan
parti-parti dalam PERIKATAN.
2. Peruntukan
Keselamatan yang Meningkat
Darurat telah menyaksikan kerajaan membelanjakan sejumlah peruntukan
yang besar bagi menangani pemberontakan komunis. Antara perkara yang ditumpukan
ialah pembesaran dan menambah kekuatan pasukan keselamatan. Dalam tempoh
darurat, jumlah anggota Pasukan polis diperkuatkan menjadi sejumlah 75,281
anggota dengan 31,164 orang pasukan Polis Biasa dan 44,117 orang Polis Khas.
Seramai 86,000 orang lagi berkhidmat sebagai Polis Bantuan. Manakala Angkatan
Tentera juga diperbesarkan dari empat kepada enam batalion Askar Melayu.
Kerajaan juga telah menambah kekuatan menjadi dua batalion Tentera British, lima
batalion Tentera Gurka dan penambahan satu skuadron Tentera Udara. Kekuatan
pasukan keselamatan diperkuatkan lagi apabila kerajaan membawa masuk tentera
Komanwel dari Australia, New Zealand dan Fiji. Kerajaan dikatakan pernah
berbelanja antara $250,000.00 ke $300,000.00 sehari bagi tujuan keselamatan
memerangi komunis. Untuk tujuan pertahanan, dianggarkan sebanyak
$136,239,000.00 telah dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan. Ini tidak
mengambil kira lagi perbelanjaan membina petempatan di kampung baru dan
lain-lain perbelanjaan yang ditanggung oleh pelbagai jabatan dan agensi yang
sama-sama turut membantu melumpuhkan kegiatan komunis setelah operasi
keselamatan bukanlah satu-satunya jalan muktamad menghancurkan gerakan komunis.
Secara keseluruhan, kira-kira $721.9 juta yang dibelanjakan telah merugikan
kerajaan dan negara dalam dalam usaha mencapai kemerdekaan.
3. Ekonomi
Negara Hampir Lumpuh
Keganasan dan pembunuhan yang dilakukan oleh gerila komunis serta tindak
balas pasukan keselamatan menjejaskan ekonomi negara. Akibat daripada ancaman
dan gangguan komunis, banyak ladang getah dan lombong tidak dapat beroperasi
dengan sempurna kerana pekerja menjadi takut. Komunis juga mengganggu mereka
yang bercucuk tanam di tepi kampung atau pinggir hutan. Ini juga menjejaskan
hasil sayuran dan tanaman. Apabila kerajaan melancarkan tindak balas memburu
mereka, perintah berkurung terpaksa dilaksanakan. Sekali lagi para pekerja dan
petani tidak dapat bekerja. Dengan ini hasil negara kian merosot dan kekurangan
barang makanan kian meningkat. Bukan sahaja negara mengalami defisit, misalnya
pada tahun 1953 sebanyak $1.46 juta malahan catuan makanan terpaksa dilakukan.
Catuan ini berpunca daripada kekurangan beras apabila orang Melayu tidak
dapat mengusahakan sawah padi dan berhuma dipinggir hutan. Misalnya pada tahun
1948, kawasan tanaman padi ialah seluas 95,757 ekar. Keadaan ini telah
berkurangan menjadi 67,465 ekar pada tahun 1951. Begitu juga dengan tanaman
sayuran dan hasil pertanian lain tidak dapat ditambah atau dikeluarkan apabila
petempatan berpindah ke kampung baru. Mereka terpaksa meninggalkan tanaman yang
diusahakan kerana berpindah. Keadaan yang sama terjadi kepada usaha
penternakan. Bagi orang Melayu, bersawah padi sering beriringan dengan
memelihara kerbau ataupun lembu. Pada zaman ini penternakan turut juga terjejas
setelah penduduk lebih mengutamakan keselamatan diri dan keluarga daripada
menambahkan pendapatan sampingan.
4. Hubungan
Baik
Rahmat tersembunyi di
sebalik keganasan komunis ialah wujudnya perhubungan yang baik antara para
pekerja dan majikan. Para majikan mula merasakan kesan darurat ialah penguasaan
pihak kominis terhadap kesatuan sekerja. Hal ini terjadi kerana sikap mereka
yang mengabai dan tidak prihatin kepada pekerja yang telah memberi sumbangan
kepada industri mereka dan juga ekonomi negara. Akibat seringnya berlaku krisis
dan pemogokan pekerja, akhirnya mereka juga yang mengalami kerugian. Keadaan
semakin tertekan setelah ramai pekerja hilang pekerjaan setelah ditangkap
kerana terlibat dan bersimpati dengan komunis. Pekerja juga sering tidak dapat
hadir bekerja kerana gangguan atau perintah berkurung. Kehilangan dan ketidakhadiran
pekerja mahir tentu sahaja merugikan para majikan. Dengan itu, apabila suasana
darurat telah beransur pulih, hubungan antara majikan-pekerja juga turut pulih
sama. Majikan amat mengharapkan suasana baik ini supaya pekerja tidak lagi
diresapi oleh anasir-anasir komunis.
Selain pekerja-majikan mendapat rahmat, parti politik yang bersemangat
nasionalis kanan juga mendapat keuntungan setelah diwujudkan usaha menyatukan
kaum-kaum yang ada. Misalnya, UMNO begitu lantang memperjuangkan kebajikan orang
Melayu dan mengajak mereka bersatu bagi menentang komunis dan berusaha untuk
mencapai kemerdekaan. Antara yang diperjuangkan ialah supaya lebih ramai
pegawai-pegawai Melayu dilantik ke jawatan dan pangkat yang sewajarnya bagi
menggantikan pegawai Inggeris yang telah tamat perkhidmatan. Turut sama
diperjuangkan ialah menuntut supaya Kerajaan British memberi bantuan peruntukan
sebanyak 10,000,000 juta pound atau kira-kira $85 juta bagi memajukan bidang
pertanian dan ekonomi orang Melayu dalam tempoh lima ke sepuluh tahun. Walau
bagaimanapun perkara ini tidak disentuh dengan mendalam dalam ruang ini kerana
telah dibincangkan dengan ringkas di atas dan juga dalan perbincangan tajuk
lain. Namun begitu, harus juga diingatkan, bagi parti yang bersifat nasionalis
kiri11, pada musim ini menghadapi nasib yang hampir sama dengan PKM
setelah pergerakan serta aktiviti disekat dan pemimpinnya pula dipenjarakan
atas alasan mengancam keselamatan negara.
Satu lagi perkara
yang tidak kurang penting ialah terujinya kefahaman tentang Islam kepada orang
Melayu. Orang Melayu yang sinonim dengan Islam telah berjaya mempertahankan
akidah mereka apabila menolak bulat-bulat fahaman komunis yang tidak
mempercayai wujudnya Tuhan. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh komunis seperti
menyamar diri sebagai orang Islam oleh Chong Yin Nam dengan nama Haji Hashim
untuk mempengaruhi orang Melayu, namun masih tidak berjaya memikat hati nurani
mereka supaya berpihak kepada komunis. Sebaliknya beliau turut terbunuh
kemudiannya. Begitu juga dengan penonjolan tiga tokoh komunis Melayu iaitu
Abdullah C.D., Rashid Maidin dan Musa Ahmad tidak banyak membawa kesan. Mereka
ini sendiri dikatakan lebih mengamalkan prinsip “Islam didahului, barulah
Komunis”, sekurang-kurang pada perkara yang melibatkan hal makan dan minum.
1. Rundingan
Baling9
Akibat tekanan daripada pelbagai penjuru oleh kerajaan, PKM merasakan
corak dan cara perjuangan harus disesuaikan kembali pada tahun 1955. Perjuangan
bersenjata dan kekerasan tidak lagi praktikal kerana pasukan keselamatan telah
diperbesar dan diperlengkapkan, para penyokong dan yang memberi simpati telah
dikawal serta sebahagian besar rakyat telahpun selesa dengan sistem dan
peraturan yang kerajaan laksanakan. Lagipun, pada peringkat negara sekeliling
dan antarabangsa telah memperlihatkan satu kompromi atau usaha damai antara
perjuangan komunis dengan demokrasi. Misalnya di Indochina dan di Korea telah
diadakan gencatan senjata pada tahun 1951 dan 1953 lagi. Perjuangan
pemberontakan Huk di Filipina telah ditewaskan pada tahun 1954, dan pemimpin
utama komunis Russia Khruschev telah menyarankan supaya diwujudkan suasana aman
damai (peaceful coexistence), dan komunis China telah menyuarakan
tidak akan membantu lagi perjuangan PKM semasa Sidang Bandung tahun 1955. Semua
ini telah mempengaruhi arah tuju dan perjuangan PKM.
Satu lagi peristiwa dalam negeri yang mengubahkan pendirian mereka ialah
Pilihanraya Umum Persekutuan Tanah Melayu pada Julai 1955. Bagi menyelamatkan
maruah daripada gagal dalam perjuangan bersenjata, PKM merasakan perlu bagi
mereka untuk turut serta dalam pilihanraya tersebut. Dengan ini mereka telah
menawarkan untuk mengadakan perundingan dengan pemimpin-pemimpin politik. Dalam
keadaan kesibukan mengadakan pilihanraya, tidak dapat diaturkan sebarang
pertemuan. Lagipun, setiap pertemuan dengan PKM harus mendapat kelulusan pihak
kerajaan. Setelah Tunku Abdul Rahman (Tunku) dilantik menjadi Ketua Menteri
pada 31 Julai 1955, beliau telah mendapat kebenaran kerajaan bagi memberi pengampunan
kepada PKM yang menyerahkan diri mulai 9 September 1955. Namun tawaran ini
tidak menarik perhatian anggota PKM yang mana mereka mahu keluar dari hutan
dengan cara yang lebih terhormat.
Sehubungan itu, satu perundingan yang dikenali sebagai Rundingan Baling
telah berlangsung selama dua hari pada 28 dan 29 Disember 1955. Rundingan ini
telah diadakan di Dewan Persidangan di pekan Baling, Kedah. Persidangan pertama
berlangsung pada jam 1415. Wakil kerajaan diketuai oleh Tunku dengan ditemani
oleh David Marshall (Ketua Menteri Singapura) dan Tan Cheng Lok. Manakala PKM
diketuai oleh Chin Peng dan dibantu oleh Chen Tien (menjadi penghubung PKM
dalam menjayakan pertemuan perundingan) dan Abdul Rashid Maidin. Dari apa yang
digambarkan oleh Tunku bahawa Chin Peng tidak bersedia menerima syarat menyerah
diri dan meletakkan senjata. Meskipun Tunku memberinya peluang untuk tidak
tergesa-gesa memberi jawapan, namun beliau terus bertegas tidak dapat menerima
tawaran tersebut dalam pertemuan kedua pada esoknya. Bagi pihak Tunku pula,
beliau tidak dapat menerima tuntutan PKM untuk menyerah diri dan meletakkan
senjata tanpa syarat dan dibenarkan partinya bergerak sebagai parti politik
yang sah.
Oleh kerana terdapat perbezaan matlamat dan cita-cita perjuangan, maka perundingan
itu berakhir dengan tidak mendapat sebarang keputusan yang jelas dan dianggap
gagal. Bagi Tunku, pengampunan yang diberi sebagai jalan penyelesaian kepada
perjuangan PKM yang menakut-nakutkan dan keganasan pada rakyat bukannya cara
terbaik untuk menghalau penjajah. Ini disebabkan penjajah telah bersetuju untuk
memberikan kemerdekaan dan beliau dalam tempoh yang terdekat akan berangkat ke
London bagi merundingkan tarikh dan syarat kemerdekaan. Kebebasan bergerak
bermakna memudahkan PKM mendampingi rakyat bagi mengembangkan ideologi komunis
yang telah ditolak oleh hampir keseluruhan rakyat. Chin Peng pula melihatkan
pengampunan sebagai satu kegagalan dalam perjuangannya menghalau penjajah yang
selama ini diperjuangkannya. Mereka lebih mengharapkan perundingan ini untuk
mendapatkan kerjasama pemimpin politik bagi sama-sama menghalau penjajah.
Mereka mempunyai hasrat atau matlamat yang tersembunyi, iaitu setelah berjaya
menghalau penjajah, mudahlah bagi mereka mengambil semula negara ini kerana
mereka mempunyai kekuatan ketenteraan dan para pendokong perjuangan.
Semasa perundingan berlangsung, kawalan keselamatan diperketatkan bagi
menjamin tidak berlakunya sebarang kejadian buruk. Pihak keselamatan dan PKM
telah bersetuju mengadakan genjatan senjata bagi membolehkan pihak PKM keluar
mengiring dan memerhati perkembangan perbincangan. Apa yang menariknya
perbincangan ini telah berjalan dengan suasana tenteram tanpa sebarang
gangguan. Pihak PKM yang mengiringi wakil mereka telah dibenarkan berjalan-jalan
di pekan Baling dan membeli keperluan makanan di pasar. Ini kerana Chin Peng
meminta penyediaan makanan untuk mereka disediakan sendiri selain daripada
makanan dalam tin kegunaan tentera yang disediakan untuk mereka.
Kegagalan rundingan ini telah diduga. Pihak kerajaan sebenarnya tidak
begitu merestui rancangan Tunku memberi pengampunan dan mengadakan perundingan.
Atas usaha yang telah dibuat, Tunku berjaya mendapat kebenaran mengadakan
perbincangan itu bagi sekurang-kurangnya untuk melihat dan menilai perjuangan
sebenar PKM. Selain pihak kerajaan, akhbar-akhbar diseluruh dunia turut tidak
yakin dengan hasil perundingan itu nanti. Bagi mereka Tunku seperti
memperjudikan nasib negara dan masa depan politiknya apabila mengadakan
perundingan tersebut. Memang tepatlah seperti apa yang diduga.
PKM tidak berputus asa. Ada usaha untuk mengadakan rundingan kedua
setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Usaha ini ditolak oleh Tunku kerana
yakin negara akan dapat mengatasi masalah komunis. Setelah gagal dengan usaha
ini, bermakna untuk meneruskan perjuangan melalui saluran politik yang sah
telah tertutup. Untuk meneruskan perjuangan dengan kekerasan pula telah tidak
berkemampuan setelah ramai anggota terkorban dan kurangnya sokongan daripada
rakyat. Dengan itu, Chin Peng telah mengarahkan para anggota dan penyokongnya
di hutan supaya mengelakkan diri daripada bertembung dan bertempur dengan
pasukan keselamatan. Tujuannya bagi mengelakkan anggota yang terlatih daripada
terkorban dan dalam masa yang sama dapat menyusun strategi dan mempertingkatkan
lagi latihan. Dalam masa yang sama PKM berusaha untuk memanjangkan lagi suasana
darurat yang boleh melambatkan proses pembangunan dan menyusahkan rakyat
setelah banyak peruntukan disalurkan kepada pasukan keselamatan. Bagi komunis,
apabila negara menjadi lemah dan mundur, mudahlah rancangan jangka panjang
mereka dapat dilaksanakan melalui kaedah pengeksploitasian isu semasa10
6.6 KESAN DARURAT KEPADA KEMERDEKAAN
Persekutuan Tanah Melayu terus mengalami perkembangan politik dan juga
perjuangan komunis. Pejuang kemerdekaan melalui saluran politik berusaha
meyakinkan pihak pemerintah yang rakyat negeri ini telah mula bersatu melalui
permuafakatan. Bagi PKM pula, percubaan untuk menghalang proses kemerdekaan
melalui keganasan telah tidak berjaya. Namun ikhtiar masih diteruskan dengan
menumpang dan mengembangkan pengaruh ideologi politik melalui parti politik
berhaluan kiri seperti Parti Front Sosialis, Parti Rakyat, Parti Buruh, Parti
Progresif Rakyat dan Parti Pemuda Sosialis. Dengan ini dapat di lihat PKM dan
darurat telah menjadi penghalang kepada kelancaran proses kemerdekaan dan dalam
masa yang sama telah memperkuatkan usaha untuk mendapatkan kemerdekaan tersebut.
Banyak kesan yang dapat di lihat daripada peristiwa pemberontakan PKM
dan perlaksanaan darurat. Antaranya ialah
1. Ketegangan
Hubungan antara Kaum
Peristiwa darurat telah melukakan kembali hati dan perasaan penduduk
yang berbilang bangsa di Tanah Melayu yang mulai pulih selepas penjajahan
Jepun. Ini disebabkan berlakunya beberapa peristiwa yang sengaja atau tidak
dapat dielakkan daripada berlaku sepanjang masa darurat tersebut. Antaranya
ialah:
(a) Prasangka
Perkauman Memuncak
Keadaan ini memperlihatkan satu suasana tegang antara orang Cina dengan
orang Melayu. Kejadian pertama telah berlaku semasa zaman kekosongan dan
diikuti pula peristiwa pemberontakan komunis ini. Sekali lagi dua bangsa yang
mempunyai sejarah “pergaduhan” dihadapkan oleh suasana baru. Walaupun
perjuangan komunis untuk memerdekakan Tanah Melayu, tetapi mereka terpaksa
berhadapan dengan pasukan keselamatan penjajah yang terdiri daripada kalangan
orang Melayu yang menganggapkan kerja mereka sebagai perjuangan mempertahankan
tanah air daripada jatuh ke tangan komunis. Maka berjuanglah dua bangsa ini
bagi matlamat yang berlainan, meskipun pada akhirnya menuju cita-cita yang
satu, iaitu kedaulatan tanah air.
Dalam perjuangan ini, daripada apa yang telah direkodkan, PKM telah
kehilangan nyawa seramai 6,710 orang, tercedera dalam pertempuran seramai 2,819
orang, ditawan seramai 1,286 orang dan kehilangan anggota yang menyerah diri
seramai 2,702 orang. Dari jumlah ini sebahagian besarnya ialah orang Cina. Di
pihak pasukan keselamatan pula, anggota pasukan polis biasa yang terkorban
dalam pertempuran ialah 511 orang manakala 701 orang lagi tercedera; Polis
Khas: terkorban seramai 593 dan cedera 746 orang; Pasukan Polis Tambahan:
terkorban seramai 242 orang dan cedera 154 orang. Pasukan Angkatan Tentera pula
kehilangan nyawa dalam pertempuran atau diserang hendap seramai 519 orang dan
959 orang lagi tercedera. Hampir keseluruhan mereka yang terlibat ialah orang
Melayu. Di samping kedua-dua pihak yang terlibat secara terus, ada pihak lain
yang mengalami nasib sama, iaitu orang awam atau rakyat jelata. Seramai 2,473
orang telah terkorban, 1,385 orang tercedera, dan 818 orang lagi dilaporkan
hilang tanpa dikesan akibat kekejaman dan keganasan komunis. Mereka menerima
nasib malang ini akibat daripada tidak memberi kerjasama atau tidak mampu lagi
untuk bekerjasama dengan PKM.
(b) Petempatan
yang Berasingan
Sejarah telah menyaksikan penjajah telah mengasing penduduk di sini.
Peristiwa darurat sekali lagi menyaksikan kejadian yang sama apabila konsep
kampung baru diperkenalkan. Dari jumlah 600 petempatan kampung baru tersebut,
hanya sembilan peratus sahaja petempatan untuk orang Melayu dan empat peratus
untuk orang India serta satu peratus untuk lain-lain kaum. Apa yang menebalkan
permusuhan ini ialah dari segi kemudahan asas dan infrastruktur yang disediakan
oleh kerajaan. Penduduk kampung baru yang hampir 500 petempatannya didiami oleh
orang orang Cina mendapat semua kemudahan yang diperlukan. Manakala kampung
Melayu tradisi yang berhampiran diabaikan oleh kerajaan. Ini menyebabkan orang
Melayu terasa pihak mereka yang sentiasa memberi sokongan dan berkorban
membantu kerajaan dalam menangani komunis diabaikan, sedangkan pihak yang
membantu ataupun menjadi tali barut komunis diberi layanan yang baik. Ini belum
mengambil kira perasaan mereka yang kehilangan keluarga yang terkorban dalam
tugas pasukan keselamatan atau dibunuh oleh komunis. Semua ini telah menebalkan
perasaan perkauman orang Melayu.
(c) Ketaatsetiaan
yang Dipertikaikan
Rasa marah dan kecewa orang Melayu terhadap orang Cina ditambah lagi
akibat sikap yang ditunjukkan oleh belia-belia Cina dan India yang tidak
menyahut seruan kerajaan dalam menentang komunis melalui Skim Kerahan Tenaga
yang dilancarkan pada 21 November 1950. Skim ini telah mewajibkan penduduk yang
berusia 20-30 tahun mendaftarkan diri menjadi anggota pasukan keselamatan. Apa
yang berlaku antara bulan Februari hingga Ogos 1951 telah menyaksikan tidak
kurang dari 10,000 pemuda dan belia Cina telah melarikan diri ke negeri China
dan tidak kurang juga yang masuk hutan menyertai PKM. Hal yang sama dapat di
lihat kepada pemuda India apabila dalam tempuh yang sama jumlah penumpang kapal
ke India sentiasa meningkat. Hal inilah yang menimbulkan rasa kecewa orang
Melayu dan juga kerajaan terhadap sikap mereka ke atas sikap mereka terhadap
negeri ini yang hanya sekadar tempat untuk mencari kekayaan semata-mata. Walau
bagaimanapun, ada juga pemuda Cina yang berjiwa patriotik apabila seramai 200
orang telah menyahut seruan berkhidmat dalam pasukan keselamatan, terutamanya
pasukan polis. Angka ini adalah dari akhir tahun 1949 hingga tahun 1951.
(d) Hak Kewarganegaraan dan Berpolitik
Kewarganegaraan merupakan isu yang sensitif. Ia adalah hak mutlak rakyat
asal atau pribumi sesebuah negeri. Memberi kerakyatan yang membawa kepada
persamaan taraf terhadap kaum imigran, merupakan satu pengorbanan yang
semestinya diberi timbal balas. Setelah orang Cina diberikan hak
kewarganegaraan, sekali lagi kerajaan menunjukkan sikap kasih kepada mereka
dengan mendorongkan penubuhan MCA bagi menghilangkan prasangka atau prejudis
“Cina itu Komunis, dan Komunis itu Cina”. Setelah kedua-dua ini diberi, rasa
kasih mereka terhadap negeri ini masih lagi berbelah bagi sebagaimana yang
diterangkan pada perenggan di atas. Rasa kecewa orang Melayu sekali lagi terasa
setelah adanya orang-orang Cina di Pulau Pinang dan Melaka yang mahu terus
menjadi warganegara Kerajaan Queen dan tidak mahu mencapai kemerdekaan bersama.
Walau bagaimanapun, kelahiran MCA telah membawa satu kesan baik kemudiannya
apabila pemimpin parti ini dapat duduk bersama dengan pemimpin nasionalis
Melayu dalam Komiti Perhubungan Kaum yang akhirnya dapat menubuhkan gabungan
parti-parti dalam PERIKATAN.
2. Peruntukan
Keselamatan yang Meningkat
Darurat telah menyaksikan kerajaan membelanjakan sejumlah peruntukan
yang besar bagi menangani pemberontakan komunis. Antara perkara yang ditumpukan
ialah pembesaran dan menambah kekuatan pasukan keselamatan. Dalam tempoh
darurat, jumlah anggota Pasukan polis diperkuatkan menjadi sejumlah 75,281
anggota dengan 31,164 orang pasukan Polis Biasa dan 44,117 orang Polis Khas.
Seramai 86,000 orang lagi berkhidmat sebagai Polis Bantuan. Manakala Angkatan
Tentera juga diperbesarkan dari empat kepada enam batalion Askar Melayu.
Kerajaan juga telah menambah kekuatan menjadi dua batalion Tentera British,
lima batalion Tentera Gurka dan penambahan satu skuadron Tentera Udara.
Kekuatan pasukan keselamatan diperkuatkan lagi apabila kerajaan membawa masuk
tentera Komanwel dari Australia, New Zealand dan Fiji. Kerajaan dikatakan
pernah berbelanja antara $250,000.00 ke $300,000.00 sehari bagi tujuan
keselamatan memerangi komunis. Untuk tujuan pertahanan, dianggarkan sebanyak
$136,239,000.00 telah dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan. Ini tidak
mengambil kira lagi perbelanjaan membina petempatan di kampung baru dan
lain-lain perbelanjaan yang ditanggung oleh pelbagai jabatan dan agensi yang
sama-sama turut membantu melumpuhkan kegiatan komunis setelah operasi
keselamatan bukanlah satu-satunya jalan muktamad menghancurkan gerakan komunis.
Secara keseluruhan, kira-kira $721.9 juta yang dibelanjakan telah merugikan
kerajaan dan negara dalam dalam usaha mencapai kemerdekaan.
3. Ekonomi
Negara Hampir Lumpuh
Keganasan dan pembunuhan yang dilakukan oleh gerila komunis serta tindak
balas pasukan keselamatan menjejaskan ekonomi negara. Akibat daripada ancaman
dan gangguan komunis, banyak ladang getah dan lombong tidak dapat beroperasi
dengan sempurna kerana pekerja menjadi takut. Komunis juga mengganggu mereka
yang bercucuk tanam di tepi kampung atau pinggir hutan. Ini juga menjejaskan
hasil sayuran dan tanaman. Apabila kerajaan melancarkan tindak balas memburu
mereka, perintah berkurung terpaksa dilaksanakan. Sekali lagi para pekerja dan
petani tidak dapat bekerja. Dengan ini hasil negara kian merosot dan kekurangan
barang makanan kian meningkat. Bukan sahaja negara mengalami defisit, misalnya
pada tahun 1953 sebanyak $1.46 juta malahan catuan makanan terpaksa dilakukan.
Catuan ini berpunca daripada kekurangan beras apabila orang Melayu tidak
dapat mengusahakan sawah padi dan berhuma dipinggir hutan. Misalnya pada tahun
1948, kawasan tanaman padi ialah seluas 95,757 ekar. Keadaan ini telah
berkurangan menjadi 67,465 ekar pada tahun 1951. Begitu juga dengan tanaman
sayuran dan hasil pertanian lain tidak dapat ditambah atau dikeluarkan apabila
petempatan berpindah ke kampung baru. Mereka terpaksa meninggalkan tanaman yang
diusahakan kerana berpindah. Keadaan yang sama terjadi kepada usaha
penternakan. Bagi orang Melayu, bersawah padi sering beriringan dengan
memelihara kerbau ataupun lembu. Pada zaman ini penternakan turut juga terjejas
setelah penduduk lebih mengutamakan keselamatan diri dan keluarga daripada
menambahkan pendapatan sampingan.
4. Hubungan
Baik
Rahmat tersembunyi di
sebalik keganasan komunis ialah wujudnya perhubungan yang baik antara para
pekerja dan majikan. Para majikan mula merasakan kesan darurat ialah penguasaan
pihak kominis terhadap kesatuan sekerja. Hal ini terjadi kerana sikap mereka
yang mengabai dan tidak prihatin kepada pekerja yang telah memberi sumbangan kepada
industri mereka dan juga ekonomi negara. Akibat seringnya berlaku krisis dan
pemogokan pekerja, akhirnya mereka juga yang mengalami kerugian. Keadaan
semakin tertekan setelah ramai pekerja hilang pekerjaan setelah ditangkap
kerana terlibat dan bersimpati dengan komunis. Pekerja juga sering tidak dapat
hadir bekerja kerana gangguan atau perintah berkurung. Kehilangan dan
ketidakhadiran pekerja mahir tentu sahaja merugikan para majikan. Dengan itu,
apabila suasana darurat telah beransur pulih, hubungan antara majikan-pekerja
juga turut pulih sama. Majikan amat mengharapkan suasana baik ini supaya
pekerja tidak lagi diresapi oleh anasir-anasir komunis.
Selain pekerja-majikan mendapat rahmat, parti politik yang bersemangat
nasionalis kanan juga mendapat keuntungan setelah diwujudkan usaha menyatukan
kaum-kaum yang ada. Misalnya, UMNO begitu lantang memperjuangkan kebajikan
orang Melayu dan mengajak mereka bersatu bagi menentang komunis dan berusaha
untuk mencapai kemerdekaan. Antara yang diperjuangkan ialah supaya lebih ramai
pegawai-pegawai Melayu dilantik ke jawatan dan pangkat yang sewajarnya bagi
menggantikan pegawai Inggeris yang telah tamat perkhidmatan. Turut sama
diperjuangkan ialah menuntut supaya Kerajaan British memberi bantuan peruntukan
sebanyak 10,000,000 juta pound atau kira-kira $85 juta bagi memajukan bidang
pertanian dan ekonomi orang Melayu dalam tempoh lima ke sepuluh tahun. Walau
bagaimanapun perkara ini tidak disentuh dengan mendalam dalam ruang ini kerana
telah dibincangkan dengan ringkas di atas dan juga dalan perbincangan tajuk
lain. Namun begitu, harus juga diingatkan, bagi parti yang bersifat nasionalis
kiri11, pada musim ini menghadapi nasib yang hampir sama dengan PKM
setelah pergerakan serta aktiviti disekat dan pemimpinnya pula dipenjarakan
atas alasan mengancam keselamatan negara.
Satu lagi perkara yang tidak kurang penting ialah terujinya kefahaman
tentang Islam kepada orang Melayu. Orang Melayu yang sinonim dengan Islam telah
berjaya mempertahankan akidah mereka apabila menolak bulat-bulat fahaman
komunis yang tidak mempercayai wujudnya Tuhan. Pelbagai usaha telah dilakukan
oleh komunis seperti menyamar diri sebagai orang Islam oleh Chong Yin Nam
dengan nama Haji Hashim untuk mempengaruhi orang Melayu, namun masih tidak berjaya
memikat hati nurani mereka supaya berpihak kepada komunis. Sebaliknya beliau
turut terbunuh kemudiannya. Begitu juga dengan penonjolan tiga tokoh komunis
Melayu iaitu Abdullah C.D., Rashid Maidin dan Musa Ahmad tidak banyak membawa
kesan. Mereka ini sendiri dikatakan lebih mengamalkan prinsip “Islam didahului,
barulah Komunis”, sekurang-kurang pada perkara yang melibatkan hal makan dan
minum.
6.7 KESIMPULAN
Darurat tidak pernah menghalang cita-cita utama sebahagian besar rakyat
yang mahukan kemerdekaan. Peluang ke arah kemerdekaan terus terbuka cerah
setelah kerajaan menyedari dan mengambil pendekatan bahawa keganasan komunis
tidak wajar diatasi dengan kekerasan bersenjata semata-mata. Strategi yang
melibatkan semua organisasi dan jabatan kerajaan serta memenangi “hati dan
pemikiran” rakyat telah membuka peluang yang lebih cerah dan meluas kepada
mereka untuk sama-sama terlibat dalam membanteras komunis dan dalam masa yang
sama memperjuangkan cita-cita asal untuk mencapai kemerdekaan.
Pembanterasan komunis mula menampakkan kejayaan setelah orang Melayu
menyahut seruan pemimpin dan kerajaan dengan melibatkan diri dalam pasukan
keselamatan. Mereka turut sama membuat pertahanan sendiri di kawasan petempatan
masing-masing. Bagi orang bukan Melayu pula (terutamanya orang Cina) telah
menunjukkan sikap bekerjasama dengan tidak membantah apabila dipindahkan. Maka
perjuangan keganasan komunis dapat direda dan dikurangkan. Sebagai tindak
balas, PKM melancarkan beberapa gerakan intensif yang semuanya berakhir dengan
kegagalan. Ini semua kerana sokongan awal yang mereka jangka dan harapkan tidak
kecapaian. Akhirnya telah memaksa pemimpin PKM meminta pemimpin parti politk utama
negara pada masa itu (Tunku) supaya mengadakan perundingan. Namun kerana sikap
tidak menerima kenyataan sebagai pihak yang mahu berunding dan sedang berada
dalam keadaan hampir kalah, perundingan berakhir tanpa penyelesaian dan gagal.
Apa yang terserlah daripada kegagalan perundingan tersebut ialah arah
tuju perjuangan dan sikap mahu mengambil kesempatan dan sentiasa mahu
memperkudakan orang lain bagi kepentingan mereka (komunis). Digambarkan
kemudiannya mereka berunding lebih kepada mengajak Tunku bermuafakat
bersama-sama menentang penjajah mengikut cara mereka dengan membenarkan mereka
turut sama terlibat dalam politik. Setelah berjaya menghalau penjajah, mereka
menyimpan hasrat awal untuk menjatuhkan sekutu mereka pula yang dianggap lebih
mudah dilakukan berbanding dengan menghalau penjajah secara bersendirian.
Taktik ini telah diperlihat dari sejarah awal perjuangan mereka yang selalu
menggunakan pertubuhan buruh dan para pekerja. Apa yang berlaku sebenarnya,
setelah wujud krisis yang memanjang antara pekerja dan majikan, mereka mengaut
keuntungan dengan mendesak pemimpin dan pekerja melarikan diri untuk mengelak
daripada ditangkap. Akhirnya kesatuan sekerja ditekan dan majikan menjadi
lumpuh, sedangkan mereka telah mendapat pemimpin dan anggota yang akan berjuang
bersama. Jika berlaku keadaan huru hara, itulah yang menjadi harapan mereka
supaya mudah lagi proses mempengaruhi dengan meracuni pemikiran rakyat yang
lebih ramai.
Namun, daripada apa yang diperlihatkan dalam tempoh darurat, PKM
tersalah perhitungan. Mungkin kerana terlalu kagum dengan kejayaan Komunis di
Russia dan China, mereka menyangka akan turut sama mencapai kejayaan di Tanah
Melayu. Mereka sebenarnya melakukan salah perhitungan dari segi masyarakat dan
agama anutan penduduk setempat. Meskipun pada awalnya, mereka mendapat sokongan
daripada kalangan masyarakat Cina, tetapi setelah dikenakan sekatan oleh
kerajaan dan dipaksa supaya menentang komunis, ramai yang melarikan diri balik
ke negeri China. Mereka tidak mahu terlibat kerana bertentangan dengan hasrat
asal ke Tanah Melayu untuk mencari kesenangan yang tidak tercapai di tanah air
sendiri, bukannya untuk menempah kesusahan yang sama atau lebih teruk lagi. Seperkara
lagi, orang Melayu yang beragama Islam tidak akan menerima sebarang bentuk
kekejaman dan kezaliman. Lebih-lebih lagi jika tidak percaya pula kepada Tuhan12.
Apa yang berlaku sebelum ini, orang Melayu mengambil tindakan kekerasan kerana
mempertahankan hak mereka atau hak Raja dan agama mereka. Sedangkan komunis
pula mengajak orang Melayu merampas hak mereka sendiri. Tambahan pula komunis
yang mengajak mereka berjuang itu adalah lebih buruk dan lebih teruk lagi
daripada penjajah yang sedia ada. Sekurang-kurangnya penjajah tidak melakukan
kezaliman secara terang-terang dan masih menghormati orang Melayu dan agama
Islam. Oleh itu, kegagalan mendapatkan sokongan orang Melayu bermakna separuh
daripada perjuangan telah gagal.
Seperkara lagi daripada peristiwa darurat ini telah menjadikan orang
Melayu terus bersatu setelah mereka memperlihatkan semangat itu semasa
menentang Malayan Union. Malayan Union berjaya ditumbangkan melalui usaha yang
dilakukan oleh UMNO. Kewujudan Persekutuan Tanah Melayu memberikan pertambahan
keyakinan yang negara ini akan mencapai kemerdekaan juga akhirnya. Jadi
tidaklah timbul usaha untuk mencapai kemerdekaan melalui cara lain seperti yang
diperjuangkan oleh komunis. Secara mudahnya, perjuangan yang berhaluan kiri
kurang mendapat sambutan rakyat, terutamanya orang Melayu, apatah lagi
perjuangan PKM bercorak keganasan dan melakukan pembunuhan. Dengan
peluang-peluang yang diberikan oleh kerajaan terhadap orang Melayu dan seluruh
rakyat sama-sama memikul tanggungjawab terhadap negara ini, perjuangan komunis
semakin ditolak dan tidak lagi mendapat sokongan yang diharapkan.
Tamparan menjadi lebih hebat kepada PKM setelah gagal dalam Perundingan
Baling. Tunku pula mencapai kejayaan besar dalam perundingan di London. Tarikh
kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 diumumkan ke seluruh
negara sekembalinya Tunku dan rombongan dari London pada pertengahan bulan
Februari 1956. Ternyatalah apa yang mereka cuba perjuangkan selama ini telahpun
dicapai oleh Tunku melalui saluran parti dan politik serta berunding, bukannya
konfrontasi dan keganasan. Negara kian berada diambang kemerdekaan dan
perjuangan PKM kian pudar, lebih-lebih lagi setelah pemimpin dan pusat
perjuangan mereka telah menumpang di negara orang lain iaitu Thailand.
Sebuah demi sebuah kawasan putih diisytiharkan menjelang tarikh
kemerdekaan. Tugas membanteras komunis semakin mudah setelah kawasan hitam
semakin mengecil. Dengan tumpuan operasi yang berterusan diperhebatkan, PKM
semakin tidak bermaya. Atas semangat kemerdekaan, sekali lagi Tunku
mengisytiharkan pengampunan pada 31 Ogos untuk selama lapan bulan. Hasilnya
seramai lebih 130 orang menyerah diri mulai dari 1 September hingga 31 Disember
1957. Setelah negara mencapai kemerdekaan, gerakan ketenteraan terus diperhebatkan
di negeri Pahang dan Perak yang masih mempunyai saki baki komunis. Dalam
keadaan yang terdesak, setelah strategi merapatkan diri dengan golongan massa
juga gagal, akhirnya Chin Peng dan pemimpin utama lain tidak ada pilihan selain
daripada menetap terus di selatan Thailand sebagai tempat persembunyian.
Sebelum darurat diisytiharkan tamat pada 19 April 1960 di Parlimen yang
berkuatkuasa pada 31 Julai kemudiannya, PKM dianggarkan hanya mempunyai
kekuatan antara 400 ke 500 orang anggota sahaja yang sebahagian besarnya telah
diarahkan supaya meletakkan senjata dan kembali hidup bersama masyarakat sama
ada di Tanah Melayu atau di selatan Thai. Perjuangan selama 12 tahun satu bulan
dan 15 hari telah berakhir dengan sia-sia dari segi perjuangan bersenjata
mahupun politik. Namun kerana komunis itu merupakan ideologi, kegagalan kali
ini tidak bermakna terputus sudah perjuangan. Oleh kerana organisasi masih
belum musnah, tenaga kerja masih ada dan simpati orang ramai belum lagi luput
sepenuhnya, perjuangan mereka belumlah dianggap selesai. Jadilah perjuangan
mereka seperti agenda “perjuangan yang belum selesai...