Thursday, May 20, 2010

Dr Zambry Yang Disayangi


Suara Keadilan, lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) telahpun memohon maaf kerana menyiarkan artikel memfitnah Dato’ Seri Dr. Zambry Abd. Kadir kononnya Menteri Besar Perak itu dihalang memasuki Amerika Syarikat atas alasan namanya tersenarai dalam pangkalan data pengganas antarabangsa.Permohonan maaf itu dinyatakan dalam edisi terbaru akhbar tersebut keluaran bertarikh 30 Mac hingga 6 April, yang berbunyi :
“Kami,... Lembaga Pengarang Suara Keadilan, dengan ini secara sepenuhnya menarik balik kesemua tuduhan-tuduhan dan dakwaan bahawa penghantaran dan penglibatan keganasan yang disyaki, yang telah dibuat di bawah artikel tersebut terhadap aksara, reputasi, kedudukan dan perbuatan Datuk Seri Dr. Zambry bin Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Negeri Perak.
Penyataan-penyataan tersebut tidaklah disokong oleh sebarang sumber yang berwibawa dan adalah oleh itu, tidak benar dan salah. Justeru, kami mengakui tidak mempunyai asas di dalam pernyataan tersebut. Kami ingin mengambil kesempatan ini menarik balik sepenuhnya artikel tersebut dan kesemua tuduhan-tuduhan dan dakwaan-dakwaan terhadap Datuk Seri Dr. Zambry bin Abd. Kadir serta melahirkan kekesalan kami atas penerbitan artikel tersebut.
Kami juga dengan ikhlasnya meminta maaf kepada Datuk Seri Dr. Zambry bin Abd Kadir atas keaiban dan kesulitan yang diakibatkan oleh penerbitan artikel tersebut.”Salah satu soalan saya semasa Sidang DUN Perak pada 30 Mac lalu berkaitan isu ini. Soalan saya berbunyi begini :
"YAB Menteri Besar telah membawa misi dagang Kerajaan Negeri Perak ke Amerika Syarikat pada bulan Disember 2009 dan telah bertemu kumpulan pelabur yang berada di Silicon Valley, San Francisco dan Boston. a) Apakah kejayaan-kejayaan yang telah dicapai melalui misi dagang itu?b) Benarkah tuduhan akhbar Suara Keadilan kononnya YAB Menteri Besar telah ditahan di Lapangan Terbang San Francisco kerana nama beliau berada dalam pangkalan data pengganas?c) Jika tidak benar, apakah tindakan yang telah dan akan diambil terhadap akhbar Suara Keadilan kerana laporan ini telah mengelirukan rakyat dan memberi imej cukup buruk kepada YAB Menteri Besar."Dan jawapan dari YAB Menteri Besar Perak adalah seperti ini :
“Saya telah membuat lawatan kerja ke Amerika Syarikat dari 7 hingga 11 Disember 2009 yang lalu untuk bertemu dengan beberapa pelabur perindustrian dan syarikat modal teroka (venture capital companies) yang telah dikenalpasti berpotensi untuk melabur di Negeri Perak.
Di antara kejayaan-kejayaan yang telah dicapai melalui misi tersebut ialah pelaburan oleh Twin Creek Technologies Incorporated, sebuah syarikat pengeluaran “solar cell” yang akan melabur secara usahasama dengan syarikat Malaysia dengan pelaburan berjumlah USD 250 juta (RM825 juta).
Syarikat-syarikat modal teroka yang telah saya temui ialah Cross Link Capital dan Artis Capital.Selain itu saya juga telah mengadakan perbincangan dengan pengusaha-pengusaha dalam bidang bioteknologi, “medical devices” dan lain-lain termasuk dengan Massachussets Office of International Trade and Investment, Massachussets Medical Devices Council dan Massachussets Life Science Centre.
Antara syarikat-syarikat yang terkemuka di Boston yang telah saya temui adalah Neurodyne Medical Corporation, Fresenius Medical Care, Biogen-Idec Incorporated, Sensata Technologies, JT Venture Partners dan Pratt & Whitney.
Lanjutan daripada lawatan kerja tersebut, dua buah syarikat telahpun datang ke Negeri Perak untuk meninjau dan membuat “site selection”. Antara syarikat-syarikat yang telah membuat demikian adalah American River Nutrition Incorporated dan Diamond Wire Incorporated. Terdapat juga syarikat-syarikat lain yang telahpun menyatakan hasrat mereka untuk datang dalam masa terdekat untuk meninjau sendiri peluang-peluang dan kemudahan-kemudahan pelaburan yang wujud di Negeri Perak.
Tuduhan bahawa saya telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco adalah tidak benar sama sekali. InvestPerak telah mengatur kesemua urusan berkaitan dengan lawatan kerja saya ke Amerika Syarikat yang bermula dari 7-11 Disember 2009.
Pihak Kedutaan Malaysia di Washington telah dimaklumkan melalui surat yang dialamatkan kepada Tuan Yang Terutama Duta Malaysia sendiri mengenai lawatan kerja ini. Surat tersebut mengandungi senarai delegasi, jadual penerbangan dan keseluruhan itinerary misi pelaburan untuk urusan pihak Kedutaan Malaysia berurusan dengan pentadbiran Amerika Syarikat yang berkaitan.
Urusan ini adalah tatacara lazim yang dilakukan oleh mana-mana agensi kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat apabila melibatkan misi-misi pelaburan dan perdagangan yang diketuai oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri. Pihak Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) juga telah dimaklumkan.
Lanjutan dari itu pihak Kedutaan Malaysia di Washington telah menghantar dua orang pegawai MIDA untuk menyambut ketibaan delegasi sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang San Francisco pada 7 Disember 2009. Manakala pihak InvestPerak telah menunggu dan menerima rombongan sebaik sahaja urusan imigrasi dan kastam selesai.
Oleh itu tuduhan tersebut adalah tidak berasas sama sekali. Perkara ini adalah di dalam tindakan peguam saya.”Komen saya : Nilaikanlah maruah dan kredibiliti sebuah lidah rasmi parti yang ditunjangi Anwar Ibrahim.

No comments: