Thursday, July 18, 2013

Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau Trans-Pacific Partnership Agreement

Che Det: Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) Ikat Kaki Tangan Kita

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran bahawa Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) adalah merugikan Malaysia dan menyifatkan TPPA sebagai "perkongsian yang tidak sama rata".

"Apabila penyangak mata wang menyerang kita dengan tujuan untuk mendapatkan kawalan ke atas ekonomi kita, kita menentangnya kerana pada masa itu kita masih bebas.

"Tetapi selepas kita menandatangani TPPA, kaki dan tangan kita akan terikat. Tiada lagi kawalan modal. Kami akan dijajah lagi. Presiden Sukarno memang betul tentang neo-kolonialisme," tulis Mahathir dalam blog beliau semalam.

Beliau menyifatkan TPPA sebagai "satu percubaan" Amerika Syarikat untuk membolehkan syarikat-syarikat besar mereka menembusi pasaran domestik negara-negara kecil, khususnya dalam perolehan kerajaan.

Percubaan sebelumnya, menurut Mahathir, adalah melalui Perjanjian Am Mengenai Perdagangan dan Tarif (GATT), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec).

"Mereka memperkenalkan perjanjian perdagangan bebas dua hala. Kemudian mereka mempromosi dunia global, dunia tanpa sempadan di mana wang mereka boleh masuk ke mana-mana, memusnahkan ekonomi dan kemudian tarik keluar.

"Seandainya kita terlupa, mereka melakukan ini pada 1997/1998," katanya.

Sehubungan itu, Mahathir menggesa kerajaan persekutuan untuk menunjukkan ketelusan mengenai rundingan TPPA dan abaikan kata-dua supaya memuktamadkan rundingan mengenainya pada Oktober.

Mahathir berkata, beliau tahu bahawa MITI sudah bersedia untuk bersetuju dengan TPPA dan tidak akan melayan hujah-hujah sebaliknya.

Antara perjanjian sebelum ini yang berat sebelah, menurut Mahathir, ialah jualan air murah kepada Singapura sebanyak 6 sen bagi setiap 1,000 gelen sehingga tahun 2060, perolehan pesawat F/A-18 dengan fungsi yang terhad yang beliau sifatkan "alat permainan yang sangat mahal" dan bagaimana Perjanjian Perdagangan Bebas Asia (Afta) yang merugikan Proton.

TPPA melibatkan sembilan negara - Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Chile, Malaysia, New Zealand, Peru, Singapura, dan Vietnam - yang mengadakan rundingan mengenai terma perjanjian itu secara rahsia.

Berdasarkan apa yang diketahui melalui dokumen yang bocor, pengkritik memberi amaran bahawa perjanjian itu akan menyebabkan rakyat Malaysia membayar ubat-ubatan pada harga yang lebih mahal, menjejaskan undang-undang hak cipta dan tertakluk kerajaan persekutuan untuk tindakan undang-undang luar pesisir oleh syarikat-syarikat besar.

Sabah akan menjadi tuan rumah untuk pusingan ke-18 rundingan TPPA. Ia akan diadakan di Sutera Harbour itu dari 15 Julai hingga 25 Julai.


*********************************************************
Komen Prof Agus tentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau Trans-Pacific Partnership Agreement

SAYA menerima banyak permintaan dari sahabat supaya menulis tentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau Trans-Pacific Partnership Agreement yang akan ditandatangani pada Oktober nanti. Pada mulanya saya tidak mahu menulis tentang isu ini kerana mahu serahkan kepada pakar ekonomi untuk menulis mengenainya. Tetapi apabila tidak ada ulasan yang saya harapkan, maka saya menulis juga untuk memberi pencerahan kepada kawan-kawan supaya kita semua tahu tentang inti Perjanjian ini dan kesannya kepada kita.

TPPA adalah perjanjian multilateral terikat yang melibatkan negara Asia Pasifik seperti Australia, AS, New Zealand, Kanada, Mexico, Chile, Brunei, Malaysia dan Vietnam. TPPA ini alah tentang liberalisasi pasaran di mana negara ahli bebas berniaga di pasaran negara ahli secara terbuka sesuai dengan konsep globalisasi.

Masalahnya dengan TPPA ini ialah semua perbincangannya dibuat secara rahsia dan semua teks perbincangan adalah rahsia sehinggalah selepas empat tahun perjanjian dimeterai. Ini bermakna perjanjian TPPA ini meletakkan rakyat dalam kegelapan, sesuatu yang cukup pelik dalam sebuah dunia terbuka tanpa sempadan.

Apabila ditanya mengapa dirahsiakan, jawapan kerajaan adalah standard: Perjanjian ini baik untuk negara kerana memudahkan barangan kita untuk memasuki pasaran luar. Persoalannya, jika TPPA begitu bermanfaat, mengapa teks perjanjian yang sedang dirundingkan tidak dibentangkan untuk pengetahuan umum? Mengapa perlu berahsia?

Saya tanyakan hal di atas kerana terdapat beberapa klausa dalam TPPA ini yang akan memberikan kesan yang cukup besar kepada rakyat dan negara dan cukup membimbangkan saya. Untuk maklumat ringkas, di bawah ini saya perturunkan beberapa kesan negatif yang perlu sangat kita ketahui:

i. Hampir 80% harga ubat akan menjadi mahal, sehingga mencecah 1000% dari harga sekarang. Ini kerana ubat generik yang lebih murah tidak boleh dijual lagi kerana Malaysia terikat menggunakan ubat patented (asli) yang dihasilkan syarikat famarkeutikal dari luar negara. Kesannya akan menyukarkan pesakit berpendapatan rendah dan sederhana kerana kos untuk mendapatkan ubatan menjadi sangat tinggi. Bayangkan jika seorang guru menghidap penyakit barah yang memerlukan ubat bernilai RM7000 sebulan, mampukah mereka untuk membayar kos perubatan semahal itu? Apakah nasib ramai rakyat di negara kita nanti?

ii. Syarikat gergasi akan bebas berniaga di negara kita menyebabkan usahawan-usahawan kecil terpaksa bersaing dengan syarikat gergasi dari luar negara. Ini seolah-olah meletakkan kepentingan syarikat asing mengatasi kepentingan rakyat kita. Ini juga seperti memberi kuasa kepada negara maju seperti AS, Singapura dan Australia untuk mencereboh ekonomi negara kita.

iii. Kerajaan boleh disaman oleh pelabur luar di tribunal antarabangsa yang berpangkalan di Washington dan Geneva jika terdapat dasar-dasar kerajaan yang boleh merugikan hak pelabur luar dan menghalang aktiviti perdagangan mereka. Ini tentunya menjejaskan bidang kuasa kerajaan dalam menentukan apa yang terbaik untuk rakyat dan negara.

iv. Petani kita terpaksa bersaing dengan hasil pertanian luar negara. Lebih merisaukan lagi ialah TPPA bakal memberi kesan buruk ke atas industri padi negara apabila beras dari AS yang menerima subsidi yang tinggi dipasarkan di negara ini. Ratusan ribu keluarga petani padi di negara ini akan terjejas jika TPPA dimeterai.

v. TPPA juga menyebabkan bidang pelaburan dan khidmat undang-undang dan pelbagai khidmat profesional tempatan yang lain terpaksa berhadapan dengan persaingan pasaran terbuka. Mampukah industri perkhidmatan kita berhadapan dengan kemasukan syarikat gergasi ini?

vi. TPPA melanjutkan perlindungan hakcipta bahan-bahan rujukan dari 50 tahun selepas kematian penerbit kepada 120 tahun. Ini bermakna segala bahan-bahan rujukan yang kini percuma dan telah didigitalkan akan menjadi terhad kepada pengguna. Ini juga bermakna segala bahan rujukan wajib dibeli atau wajib dibayar sewa, sekaligus menghadkan kemudahan ilmu kepada rakyat yang kurang mampu.

Justeru implikasi TPPA ini besar kepada rakyat dan negara, maka saya merayu supaya kerajaan mengambil tindakan berikut terlebih dahulu sebelum memetarai perjanjian ini. Antaranya:

i. Menangguhkan perundingan TPPA sehingga segala teks mengenainya didedahkan kepada rakyat untuk mendapatkan maklumbalas. Rakyat berhak tahu dan diberi hak memberi pandangan kerana perjanjian ini melibatkan kualiti hidup mereka.

ii. Ahli parlimen perlu diberi pencerahan dan perlu membahaskan baik buruk Perjanjian ini. Semasa membahaskan hal ini, ahli parlimen perlulah melihat Perjanjian ini dari aspek kebaikannya untuk rakyat dan negara, bukannya berterusan terikat kepada kepentingan parti.

iii. Kerajaan mesti menolak status layanan tempatan yang perlu diberikan kepada syarikat gergasi luar.

Saya akui TPPA ini ada baiknya untuk negara kerana kita bergantung kepada kemasukan pelaburan luar untuk memacu ekonomi negara kita. Namun, setelah mengamati kesan perjanjian ini, saya dapati perundingan TPPA ini perlu disemak semula dengan teliti oleh kerajaan kerana ia memberi kesan besar kepada rakyat. Sekiranya kerajaan mendapati keburukannya lebih banyak dari kebaikan, maka masih belum terlewat untuk kita menarik diri daripada Perjanjian ini.

Harapan saya cuma satu dari keputusan muktamad yang bakal diambil oleh kerajaan nanti: Jangan biarkan anak cucu kita tergadai melalui perjanjian yang bersifat globalisasi ini. Jangan biarkan menang sorak kampung tergadai. - Mohammad Agus Yusoff


**************************************************

HARGA rumah yang telah dianggap terlalu tinggi pada masa ini akan melonjak naik jika perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang sedang dirundingkan Malaysia dengan 11 negara lain ditandatangani.

Wakil Persatuan Usahawan Arkitek Melayu Malaysia (Arkim) Mohamad Mokhtar Abdullah berkata, persaingan yang semakin meningkat antara firma luar negara dan tempatan akan meningkatkan harga lot tanah di mana projek perumahan akan dibina, menyebabkan kenaikan dalam harga rumah.

“Pasaran hartanah bukan macam jual baju. Kalau baju, lagi banyak kilang dibuka lagi murah.

“Tapi dalam hartanah, akan berlaku persaingan (dengan syarikat luar) untuk dapatkan tanah, permintaan akan semakin meningkat tetapi jumlah tanah tetap sama, jadi harga akan naik,” katanya dalam sidang media berhubung impak TPP kepada industri pembinaan di Kuala Lumpur, semalam.

Sidang media oleh Gabungan Persatuan NGO-NGO Kluster Pembinaan Melayu yang bernaung di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Melayu itu turut dihadiri Presiden Persatuan Pengilang, Pembekal, Kontraktor, Industri Elektrikal, Elektronik, Mekanikal dan ICT Melayu dan Bumiputera Malaysia (Perkem) Mohsen Hasbollah serta Presiden Persatuan Kontraktor Penyelenggaraan dan Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PKPP) Jamaliah Abdul Hamid.

Rundingan TPP yang bermula pada 2010 kini memasuki pusingan ke-18 yang sedang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah dan dihadiri wakil semua 12 negara peserta TPP iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Mohamad Mokhtar juga berkata, peluang untuk berniaga di negara anggota TPP lain dianggap tidak wujud kerana pelbagai syarat dan terma ketat yang dikenakan dan tiada data yang boleh menyokong jangkaan kerajaan bahawa syarikat pembinaan akan dapat menembusi pasaran luar walaupun TPP memberi akses pasaran yang lebih besar.

“Bukan  mereka tak benarkan kita berniaga di sana tapi firma Malaysia ini kebanyakannya kecil dan sederhana (PKS), jadi kalau diikut dari segi modal dan keupayaan, awal-awal lagi dah ditolak,” katanya.

Mengikut perangkaan SME Corporation Malaysia, sebanyak 97.3 peratus perniagaan di Malaysia terdiri daripada PKS.

Sementara itu, Mohsen berkata, keupayaan syarikat kontraktor Melayu dan bukan Melayu di Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan negara lain dan menganggap pembukaan pasaran seperti dirundingkan dalam TPP ibarat gergasi melawan manusia.

“Bila buka pasaran, macam gergasi (syarikat asing) melawan manusia (syarikat tempatan). Adakah kita bersedia?

“Bukan sahaja kami sektor swasta perlu bersedia tapi adakah kerajaan sendiri bersedia? Bagaimana dengan kesan aliran keluar mata wang jika projek di negara ini diberi kepada syarikat luar?,” soalnya.

Beliau turut meminta kerajaan ikut langkah negara lain seperti Jepun yang memberi keutamaan kepada syarikat tempatan mereka sehingga membolehkan nilai mata wang mereka kekal kukuh. 

2 comments:

Adams said...

Hey tony! Nama saya Julia, terima kasih atas ketenangan maklumat yang anda bagikan mengenai Dr. Iyabiye mengenai penyembuhan hepatitis, dia dalam keberkahan saya menghubungi dia dan saya sembuh selepas memohon rawatannya. Beliau menghantar saya ubat melalui khidmat kurier DHL yang mudah untuk saya dapatkan dan mengambil ubat selama 4 minggu dan saya pergi ke hospital selepas itu untuk ujian dan negatif. Saya datang ke sini untuk memberitahu anda bahawa anda betul-betul di mana-mana ubatnya, semuanya baik dengan saya sekarang. Terima kasih banyak - banyak. Hanya sekiranya ada sesiapa di luar sana yang ingin menghubunginya, di sini adalah kenalannya: iyabiyehealinghome@gmail.com Panggilan / Whatsapp: +2348072229413

Agata Borowska said...

Świetna sprawa. Pozdrawiam serdecznie.