Artikel in telah disiarkan di dalam akhbar Mingguan Malaysia , Oktober 20, 2013
1. Dasar kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi (high income country) tentulah diterima baik oleh rakyat. Tetapi kita harus ambil kira kesan pendapatan tinggi, terutama dalam bentuk upah dan gaji kepada kos sara hiup Negara.2. Apabila upah atau gaji dinaikkan tidak dapat tidak kos barangan dan khidmat akan turut naik. Kenaikan ini akan mengurangkan dayabeli (purchasing power) berbanding dengan pendapatan yang dinaikkan.
3. Kita tahu benar negara-negara yang pendapatan amat tinggi dari segi upah yang diterima tetapi taraf hidup mereka jauh lebih rendah dari kita. Pendapatan tinggi semata-mata tidak bermakna kekayaan dengan taraf hidup yang tinggi.
4. Yang akan menjadi kehidupan kita setaraf dengan negara maju ialah daya beli pendapatan kita yang sama tinggi dengan dayabeli penduduk negara maju. Kenaikan pendapatan tanpa kenaikan dayabeli tidak bermakna samasekali. Sebaliknya ia akan menghalang pembangunan Negara kea rah sasaran menjadi Negara maj.
5. Negara-negara yang ditakrif sebagai negara maju tidak sahaja memiliki pendapatan per kapita yang tinggi tetapi mereka memiliki daya pengeluaran (produktiviti), yang tinggi dengan kemajuan mereka dalam bidang ilmu pengetahuan, kecanggihan dan kebesaran industri serta perniagaan dan perusahaan. Negara mereka dilengkapi dengan infrastruktur yang canggih dan mencukupi untuk keselesaan hidup rakyat serta membantu aktiviti perniagaan dan perusahaan. Infrastruktur ini termasuklah jalan-jalan yang menghubungi semua bandar dan kampong, bekalan api dan air, khidmat pelajaran dan kesihatan dan lain-lain. Banyak terdapat Negara yang berpendapatan amat tinggi tetapi tidak dianggap maju.
6. Kita perlu pisah kemajuan sesebuah negara dari pendapatannya yang tinggi. Walaupun negara maju biasanya disertai dengan pendapatan yang tinggi bagi semua rakyat, tetapi pendapatan yang tinggi dengan sendirinya tidak bermakna Negara sudah maju.
7. Hasrat Kerajaan tentulah untuk menjadi bukan sahaja negara berpendapatan tinggi tetapi menjadi negara maju dengan kuasa dayabeli rakyat yang tinggi. Untuk ini tumpuan perlu diberi kepada usaha daya keluar (produktiviti) yang meningkat yang akan menyumbang kepada dayasaing (competitiveness) negara. Kenaikan dayasaing Negara-negara Timur inilah sehingga mengalahkan Negara Barat yang menjadikan beberapa Negara Timur maju.
8. Menaikkan pendapatan adalah mudah. Umpamanya apabila gaji atau upah minimum dinaikkan maka matlamat pendapatan tinggi tercapai. Tetapi seperti yang disebut di atas, kenaikan ini tidak menjadikan rakyat lebih kaya, disebabkan dayabeli tidak naik bersama pendapatan.
9. Umpamanya kenaikkan upah minima katakanlah dari RM 700/- sebulan kepada RM 900/- sebulan akan membawa dua kesan. Mereka yang sedang menerima RM 900/- sebulan akan kecewa jika upah mereka tidak dinaikkan supaya yang berada di bawah mereka tidak mendapat gaji yang sama dengan mereka. Apabila gaji kumpulan ini dinaikkan maka yang dahulu mendapat upah yang lebih tinggi akan meminta kenaikkan supaya jarak yang lama dikekalkan. Akhirnya kenaikkan gaji minima kepada RM 900/- akan disusuli dengan kenaikkan gaji atau upah di semua pringkat. Kenaikan yang menyeluruh ini tidak dapat tidak akan menaikan kos pengeluaran semua barangan dan khidmat. Dengan perkataan lain kenaikan gaji dan upah, tanpa kenaikan produktiviti akan menaikan kos sara hidup.
10. Yang kedua kenaikan gaji dan upah tetap akan menjadikan barangan dan khidmat yang kita beri kurang kompetitif di pasaran dunia. Pelabur tempatan dan asing juga tidak akan melabur dan yang menganggur tidak dapat bekerja untuk sara hidup mereka.
11. Malaysia adalah negara dagang. Pendapatan kita datang dari ekspot barangan, bahan mentah dan khidmat yang dipasar oleh kita. Jika dagangan kita merosot ekonomi kita juga akan merosot.
12. Sebenarnya pendapatan tinggi perlu disertai dengan daya keluar (productivity) yang tinggi. Ini boleh dilakukan dengan menukar industri yang mengguna buruh kasar yang ramai (labour intensive) kepada industri yang lebih canggih yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi. Industri hitech yang memerlukan kecekapan akal fikiran lebih dari kerja tangan akan menghasilkan barangan yang tinggi tambah nilai. Tetapi industri ini memerlukan pekerja yang lebih terlatih, berpelajaran tinggi dan cekap, seperti jurutera (engineer). Gaji mereka (pendapatan) tentulah tinggi yang mana ini menepati hasrat untuk menjadi negara kita berpendapatan tinggi (high income)
13. Untuk mendapat pekerja yang berpengetahuan ini sistem dan kemudahan pelajaran mestilah terdaya untuk mengeluarkan penuntut yang memiliki ilmu-ilmu, terutama sains dan matematik. Untuk ini penguasaan Bahasa Inggeris adalah penting. Penggunaan Bahasa Inggeris untuk sains dan matematik akan menentukan kelayakan seseorang pekerja. Lagi pun Bahasa Inggeris yang sudah menjadi bahasa ilmu terpaksa diguna dalam melatih dan mengajar dan juga memberi arahan untuk membuat kerja-kerja yang canggih.
14. Kefahaman Bahasa Inggeris tetap akan menyumbang kepada penambahan pendapatan. Ini tedapat dimana-mana sahaja.
15. Untuk pengekalan dan perkembangan bahasa kebangsaan, kita tidak boleh guna Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk semua mata pelajaran. Kita perlu hadkan penggunaan Bahasa Inggeris kepada pengajaran sains dan matematik sahaja. Mata pelajaran lain mestilah disampaikan dalam bahasa kebangsaan.
16. Dimasa yang sama penguasaan Bahasa Inggeris perlu ditingkatkan. Pada kebiasaan untuk menuntut ilmu ke peringkat Masters (sarjana) dan Phd (doctorate) penuntut Malaysia kerap ke universiti luar negara. Bahasa pengantar di luar negara ialah Bahasa Inggeris, walaupun ada juga bahasa-bahasa lain yang diguna. Kebanyakkan buku teks yang diguna seluruh dunia didapati dalam Bahasa Inggeris.
17. Yang jelas ialah Bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu, bahasa dagang dan industri. Jika negara ingin menaikkan pendapatan melalui dagangan dan industri yang canggih dengan nilai ditambah yang tinggi, Bahasa Inggeris amatlah penting dan utama.
18. Oleh itu untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi, langkah pertama ialah peningkatan penguasaan ilmu moden di kalangan rakyat, bermula dari sekolah-sekolah lagi.
19. Etika kerja juga perlu ditingkatkan. Satu contoh berkenaan keburukan etika kerja merosakan ekonomi negara boleh dilihat di United Kingdom. Kerana kesatuan sekerja menjadi begitu kuat sehingga dapat mendiri Kerajaan tuntutan dari kesatuan untuk kenaikan upah melalui ugutan menyebabkan pendapatan naik tanpa kenaikan daya pengeluaran. Akhirnya semua industri British gulung tikar dan ekonomi negara merosot.
20. Kenaikkan pendapatan memang baik bagi pekerja dan pengusaha. Tetapi ia bukan sesuatu yang boleh dicapai hanya melalui dasar. Banyaklah yang perlu dipertimbangkan dan diselaraskan jika kenaikkan pendapatan tidak akan memburukkan ekonomi Negara dan kemajuannya.
No comments:
Post a Comment