Daim
kongsi aspirasi pelbagai kaum
Apabila beliau tidak ke luar negara, Tun Daim Zainuddin akan terperuk di meja komputernya di Wisma YPR (Yayasan Pok Rafeah yang dinamakan mengambil sempena nama Allahyarhamah ibunya). Mejanya bersepah dengan kertas cetakan dan analisis kewangan yang dihantar setiap hari oleh sebuah organisasi diketuai rakannya – bekas Perdana Menteri sebuah negara jiran di Asia. Ruang tamunya pula mempunyai corak yang berlainan. Ia seolah-olah sebuah galeri seni. Beliau memiliki lebih 2,000 lukisan.
Sesetengah lukisan itu kini bernilai 10 kali harga yang dibayarnya dulu. Beliau pernah menjadi Pengerusi Galeri Seni Kebangsaan sebelum menyertai Kabinet. Peguam yang kemudiannya bertukar menjadi pemaju perumahan dan kemudian dua kali sebagai Menteri Kewangan, tidak mempamerkan lukisan itu untuk jualan.
Apabila beliau tidak ke luar negara, Tun Daim Zainuddin akan terperuk di meja komputernya di Wisma YPR (Yayasan Pok Rafeah yang dinamakan mengambil sempena nama Allahyarhamah ibunya). Mejanya bersepah dengan kertas cetakan dan analisis kewangan yang dihantar setiap hari oleh sebuah organisasi diketuai rakannya – bekas Perdana Menteri sebuah negara jiran di Asia. Ruang tamunya pula mempunyai corak yang berlainan. Ia seolah-olah sebuah galeri seni. Beliau memiliki lebih 2,000 lukisan.
Sesetengah lukisan itu kini bernilai 10 kali harga yang dibayarnya dulu. Beliau pernah menjadi Pengerusi Galeri Seni Kebangsaan sebelum menyertai Kabinet. Peguam yang kemudiannya bertukar menjadi pemaju perumahan dan kemudian dua kali sebagai Menteri Kewangan, tidak mempamerkan lukisan itu untuk jualan.
Kegemarannya
amat luas. Beliau adalah peminat Shah Rukh Khan. Daim juga seorang pemegang
saham sebuah bank yang mempunyai banyak cawangan di Afrika. Beliau juga
Pengerusi Jawatankuasa Audit AFC (Persekutuan Bola Sepak Asia). Pada usia 74
tahun, beliau masih bermain badminton, sebilangannya orang muda. Dan, beliau
juga memakai jersi replika Manchester United yang ditandatangani oleh Sir Bobby
Charlton.
“Saya seorang yang begitu sibuk,” katanya ketika menerima kunjungan wartawan New Straits Times (NST) – Datuk A Jalil Hamid, Rashid Yusof dan Hariz Mohd – dan jurugambar Zahari Zakaria bagi memulakan siri temu ramah yang panjang lebar. Daim yang berjaya membantu mengekang kejatuhan pasaran saham pada 1994 dengan ‘nasihatnya’, bagaimanapun beliau kemudian dilabelkan sebagai ‘ketua pengkomplot’ oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kemudian timbul minat dalam kalangan pihak media berhubung pandangan bernasnya mengenai politik berikutan ramalannya yang tepat mengenai Pilihan Raya Umum pada Mac 2008. Ini mendorong NST untuk mendapatkan ramalan baru daripadanya. Kami menelusuri pemikirannya mengenai politik sambil sekali sekala mengajukan beberapa persoalan berbentuk provokasi menyentuh pelbagai topik. Sebaik saja temu ramah itu selesai, kami memperoleh perspektif baru dan barulah kami memahami dengan lebih jelas peristiwa politik yang berlaku berikutan Krisis Kewangan Asia pada 1997, mengenai masa depan UMNO, Datuk Seri Najib Razak, Anwar, Tun Dr Mahathir Mohamad, Lee Kuan Yew, kebangkitan China dan Arab Spring atau Kebangkitan Arab (sambil bergurau beliau merujuknya sebagai ‘Kejatuhan Arab’). Sesi soal jawab ini akan disiarkan dalam dua siri. Dalam bahagian pertama ini, sebahagian besarnya berkisar soal politik semasa. “Jika anda tanya saya, antara kedua-duanya, Najib atau Anwar, saya akan pilih Najib,” katanya. Dalam siri kedua esok, banyak lagi perkara disentuh antaranya, termasuk isu utama ketika ‘zaman Mahathir’...
Soalan: Tun, sejak bersara, Tun sudah ditemuramah oleh beberapa akhbar berbahasa Cina, tetapi jarang dengan media arus perdana. Apakah ada sebab tertentu?
Tun Daim: Saya diminta memberi banyak temu ramah tetapi apa yang mereka ingin tahu ialah bila pilihan raya akan diadakan dan apa pula pandangan saya berhubung keputusannya. Jadi sebelum pilihan raya, yang saya jangkakan akan diadakan menjelang bulan depan (ketawa), ini adalah temu ramah saya yang terakhir sebelum pilihan raya.
Saya tidak mahu lagi memberi apa-apa temu ramah kerana anda akan hanya bertanya mengenai pilihan raya, dan letih saya dibuatnya.
Lagipun, saya tidak memberi temu ramah kerana tidak mahu disalah petik apa yang saya katakan. Saya dengar orang kata saya berpendapat BN akan menang di tiga negeri saja. Ini tidak benar. Anda kena baca jawapan saya sepenuhnya. Saya katakan BN khususnya UMNO, mesti bekerja keras, bersatu dan meletakkan calon terbaik untuk menang.
Memang betul saya memberi banyak temu ramah kepada akhbar Cina. Orang Cina ingin memahami pemikiran orang Melayu. Untuk tujuan itu, saya harus tahu apa dalam pemikiran mereka, kebimbangan mereka dan aspirasi mereka. Mereka juga ingin tahu apakah dasar ekonomi kita itu betul. Mereka mahukan keamanan di negara ini dan mereka tahu bahawa untuk memperoleh keadaan aman, mesti ada kestabilan politik.
Apakah anda pernah membaca artikel mereka mengenai dasar kerajaan? Mungkin akan ada orang membisik kepada kerajaan mengenai itu dan ini atau kertas tertentu ataupun penulisnya antikerajaan. Saya katakan ‘Hentikan’ semua ini! Saya sudah membaca artikel mereka. Walaupun mereka mengkritik, mereka bukannya antikerajaan. Kita berhujah dengan fakta dan statistik. Proses berkenaan akan menghasilkan perbahasan yang sihat.
S: Jadi bagi Tun, bersikap kritikal tidak bererti seseorang itu antikerajaan. Apakah maksud Tun pandangan yang diluahkan oleh orang ramai tidak semestinya menjejaskan undi kepada Barisan Nasional?
J: Pastinya. Itulah hujah saya yang utama. Selalunya saya bersetuju dengan perbahasan yang baik. Sejak beberapa tahun lalu, saya juga secara peribadi mendapati ada dasar yang boleh ditentang, tetapi saya masih menyokong kerajaan kerana terdapat banyak dasar yang baik berbanding tidak baik. Bagi rakyat Malaysia, jika anda tidak bersetuju dengan dasar kerajaan, ya, terus berikan pandangan dan kritikan, tetapi dengan secara membina.
Saya lebih takut jika orang biarkan saja dan tidak peduli. Saya percaya hanya jika anda peduli dan mahu keadaan menjadi lebih baik, baru anda akan memberi pandangan. Sebuah masyarakat yang pasif dan tidak berminat akan menghancurkan negara.
S: Masih mengenai politik yang berkaitan dengan masyarakat Cina, satu perbandingan selari dibuat mengenai DAP dan PAP. Apakah ini perbandingan yang adil?
J: Saya tidak fikir ada apa-apa hubungan. Saya fikir (Lee) Kuan Yew tidak begitu menghormati kepemimpinan DAP. Kualitinya tidak ada. Pada peringkat awal ya, mungkin ketika mereka mempunyai cawangan di sini - apabila Devan Nair ada di sini, dan Zain Azahari menyertai PAP. Zain masih berada di sini dan berkhidmat dalam bidang perundangan. Saya berpendapat terdapat banyak golongan intelek yang menyertai PAP. Ini golongan yang akan mengikut Kuan Yew.
PAP lebih cerdik, dan lebih berkira-kira, pendekatan mereka lebih berhemah. DAP sebenar-benarnya sebuah parti Cina. Ia bukan parti pelbagai kaum. Ia bersifat cauvinistik tetapi mendakwa sebagai Malaysian Malaysia. Anda boleh lihat dalam pemilihan parti yang lalu, ahlinya tidak mahu walau seorangpun Melayu duduk di jawatan tertinggi parti.
Ini amat jelas. Itulah idea Malaysian Malaysia mereka. Tidak kira apa yang didakwa pemimpin mereka, ahli menjadi penentunya. PAS juga mempunyai masalah sama.
Apabila isu kalimah Allah dibangkitkan, pemimpinnya beranggapan kononnya mereka boleh ikut Anwar tetapi ahli pada peringkat akar umbi memberi respon mereka – dengan menolak pendirian pemimpin parti berkenaan. Dan Majlis Syura juga berkata tidak. Sekiranya orang Cina tidak memahami ini, mereka akan menyesal.
S: Bagaimana pula dengan Parti Keadilan Rakyat?
J: PKR sentiasa parti ‘one man show’. Sejarahnya ialah parti yang memperjuangkan Anwar. Mereka adalah bekas ahli UMNO. Kemudian beberapa orang berfikiran liberal menyertai mereka, yang terpengaruh dengan nada keadilan dan kesaksamaan, tetapi pada hakikatnya ia sekadar satu slogan. Ia sebenarnya perjuangan untuk satu orang, bukan pun untuk keadilan. Siapakah yang sudah mereka perjuangkan? Apakah yang diperjuangkan mereka? Lihat saja pendirian mengenai Palestin. Ia adalah persoalan mengenai keadilan dan kemanusiaan. Mereka memberi sokongan kepada Israel.
S: Dan Pakatan Rakyat?
J: Apabila anda dipilih menjadi wakil rakyat, anda berbahas di Parlimen. Kita lakukannya dengan secara bertamadun. Kita memilih orang dan memanggil mereka dengan nama ‘Yang Berhormat’. PKR adalah parti yang lahir di jalanan. Jadi ia akan kembali ke jalanan. Itulah budayanya. Justeru, kita dapat saksikan demonstrasi di jalan raya yang dianjurkan atau disokong oleh mereka. PAS sebelum ini bukan seperti itu. DAP juga bukan macam itu. Anwar sudah beberapa kali menyatakan akan berlaku demonstrasi seperti Arab Spring – jika Pakatan kalah pada pilihan raya akan datang atas alasan kononnya berlaku ‘penipuan’.
Beliau sudah menyediakan perancangan sekiranya mereka kalah pada pilihan raya akan datang. Keseluruhan Pakatan sedang menyediakan pemikiran orang ramai supaya menyalahkan kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pertama, kita bukan negara Arab. dan kedua, jika berlaku penipuan pada pilihan raya umum lalu, bagaimana boleh pakatan menang di empat negeri pada 2008?
Arab Spring akhirnya menjadi kejatuhan Arab (akibat tiada kepemimpinan yang boleh menyatupadukan dan ketidakstabilan).
S: Kejatuhan negara Arab?
J: Anda perlu kaji sejarah Mesir di bawah pemerintahan Raja Farouk barulah dapat memahami mood dan suasana rampasan kuasa 1952. Saya pernah melawat Mesir pada akhir zaman belajar lewat 1950-an dan ia amat menyedihkan saya bagaimana pejuang pembebasan gagal untuk mentadbir negara mereka dengan jayanya.
Mereka gagal menaikkan taraf hidup rakyat dan ketika lawatan akhir saya beberapa tahun lalu, masih berlaku kemiskinan yang sama. Kita perlu membaca buku Revolt of the Nile, tulisan Gamal Nasser yang sangat membimbangkan Barat sehingga mereka menyamakannya dengan Hitler. Kita bukannya dari dunia Arab.
Kita perlu faham latar belakang Asia Barat mengapa ia tidak berlaku dan tidak mungkin berlaku di Timur. Kita mahu kematian di jalanan? Kita mahu melihat pertumpahan darah? (Kebangkitan Kebangsaan Arab berlaku pada Julai 1952 apabila Gamal Nasser, Kolonel dalam pasukan tentera Mesir mengetuai kumpulan ‘Pegawai Pembebasan’ untuk menggulingkan Raja Mesir dan Sudan iaitu Raja Farouk 1.
Kejayaan pemberontakan bersenjata pimpinan Gamal menjadi ikutan beberapa pegawai tentera negara Arab untuk menyingkirkan raja mereka, termasuk jeneral tentera Iraq, Abd al-Karim Qasim pada 1958 bagi menghapuskan kuasa monarki Kesultanan Hashem dan diikuti di Libya dilakukan Muammar Gaddafi yang memimpin sekumpulan pegawai tentera muda menggulingkan Raja Idris 1 pada 1969).
S: Bagaimana keadaan politik Malaysia dan perubahan landskap geopolitik serta peristiwa di tempat lain?
J: China dan Jepun membuktikan kualiti mereka sebagai rakan sejati dengan negara ini ketika kemuncak krisis kewangan Asia. China membuat keputusan untuk tidak menurunkan nilai mata wang, manakala Jepun membantu Malaysia menerusi pinjaman mudah berjumlah AS$5 bilion. Naib Menteri Kewangan, Eisuke Sakakibara kemudian meminta saya supaya tidak memberitahu Amerika Syarikat (AS) mengenai bantuan itu. AS tidak mahu membantu kita atas sebab yang terlalu banyak dan tidak diketahui. Anwar dilihat mempunyai kecenderungan untuk mengikut kehendak AS.
Jika berlaku sesuatu kepada ekonomi Malaysia, AS dan Eropah yang ketika itu ekonominya turut merudum, tidak akan ambil peduli untuk membantu. Jika kita terus mengikut telunjuk Amerika, apa yang akan negara rakan kita fikir? Merekalah yang membantu kita tetapi AS cuba untuk melemaskan kita. China kini menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar, dan ia berkembang.
Presiden Barack Obama dengan segera melawat Myanmar dan dasar luar beliau kini condong terhadap negara rantau Pasifik bertujuan mengimbangi pengaruh China. Ketika ini berlaku krisis ekonomi di Eropah, AS dan Jepun. China, India, Brazil, Russia agak perlahan, maka kita tidak perlu mempunyai pasukan yang salah untuk menguruskan ekonomi. Bahaya yang timbul di sini ialah apabila seseorang tidak mempunyai pengalaman dan terbukti tidak mempunyai keupayaan mengendalikan krisis silam. Ia menimbulkan bahaya kerana kita boleh jatuh terduduk. Dan tiada siapa yang akan membantu kita.
AS, rakan sekutu mereka dan Eropah tidak akan membantu kita. Mereka mementingkan diri sendiri apabila berada dalam kesusahan. Ia memang amat berbahaya jika pakatan pembangkang di bawah pimpinan Anwar menerajui negara. Saya bimbang kerana dia tidak mempunyai ilmu mendalam dalam ekonomi, memerlukan orang di sekelilingnya untuk membantunya. Apa yang perlu difikir dan apa yang perlu dilakukan.
Setakat ini, tiada satu pun idea besar daripada Anwar sebagai penasihat ekonomi kepada Kerajaan Negeri Selangor. Lebih buruk lagi, Selangor gagal mengendalikan isu air yang mana ia amat mengecewakan rakyat dan pelabur.
Sudah tentu mereka akan menyalahkan segala-galanya kepada kerajaan Persekutuan walaupun projek pemindahan air menerusi Loji Langat 2 sudah dirancang sebelum mereka memerintah di negeri itu. Kenapa beliau tidak menjadi penasihat ekonomi kepada Kelantan dan Kedah jika Pakatan Pembangkang mendakwa beliau begitu baik? Fikirkanlah dengan serius. Fikirkan masa depan kita.
Perpaduan kukuh komponen BN syarat menang PRU-13
S: Anwar percaya bahawa beliau ditakdirkan untuk menjadi Perdana Menteri pada masa akan datang.
J: Hakikatnya, nasib manusia ditentukan Tuhan. Anda mungkin hanya tinggal satu denyutan jantung lagi daripada jawatan itu tetapi orang berkata, Tuhan menentukan. Saya fikir Tuhan masih menyayangi Malaysia.
S: Apakah peluang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kali ini? Adakah BN berpeluang mendapat sokongan majoriti dua pertiga?
J: Sekali lagi, soalan berkaitan pilihan raya. Saya katakan BN akan menang. Ia adalah baik kerajaan (BN) berpendapat ia boleh mendapatkan sokongan dua pertiga, yang sepatutnya menjadi sasaran mereka. UMNO mempunyai kira-kira 3.3 juta ahli, MCA kira-kira satu juta, MIC kira-kira 600,000. Itu sudah dikira separuh daripada pengundi.
Sekarang anda hanya perlu sedikit sokongan daripada golongan atas pagar, maka anda berpeluang untuk menang. Tetapi BN mesti meletakkan calon yang bersih, baru diterima pengundi. Tetapi sebelum BN boleh menang, mesti wujud perpaduan dalam gabungan itu. Jika mereka tidak bersatu, pembangkang akan melakukan yang lebih baik.
Itulah apa yang berlaku pada 2008. Kekal bersatu, setia dan tidak sabotaj. Kita memerlukan pemimpin yang stabil dan berpengalaman. Hanya BN mempunyai pengalaman. Kita sudah melalui krisis demi krisis, dan pulih dengan cepat. Kita perlu memujuk pengundi Cina bahawa kita tidak boleh bereksperimen. Lihatlah Jepun. Lihatlah di sekeliling kita. Lihat di Britain. Kaji apa yang sedang berlaku.
S: Secara peribadi, adakah anda mahu melihat Najib memenangi pilihan raya ini?
J: Jika anda bertanya kepada saya, di antara Najib atau Anwar, saya akan pilih Najib. Saya akan memberikan Najib peluang. Berikan beliau mandat dan lihat jika adakah mampu memenuhi kehendak kerana Anwar sudah mempunyai peluang, tetapi dia mensia-siakannya. Saya mahu Najib menang kerana saya tidak fikir Anwar adalah calon tepat untuk menjadi perdana menteri. Saya percaya beliau (Anwar) akan mengacau-bilaukan negara dengan mendapatkan nasihat daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan (Paul) Wolfowitz (bekas Presiden Bank Dunia).
Saya akan menyokong Najib, tetapi beliau mesti memerangi rasuah dan jenayah, mengukuhkan keselamatan negara dan mengkaji sistem pendidikan. Jadikan bahasa Inggeris wajib di semua sekolah kebangsaan. Tanpa bahasa Inggeris kita semua ‘mati’, terutama orang Melayu. Orang Melayu mesti sedar, tanpa bahasa Inggeris mereka tidak boleh bersaing.
Kita mesti bertegas menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Ia bukan satu kesilapan menukar medium arahan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Ia bahasa negara dan perpaduan. Jika tidak bercakap bahasa yang sama bagaimana kita memahami antara satu sama lain. Kesilapan dalam dasar kita mengangkat martabat bahasa Melayu, kita juga perlu mengutamakan bahasa Inggeris. Kita tidak boleh mengabaikan bahasa Inggeris hanya kerana menjadikan bahasa Melayu sebagai lingua franca di negara ini. Dan jika boleh, kita harus cuba untuk belajar bahasa Arab, kerana wang mengalir dari negara Arab yang kaya. Mengenai keselamatan negara, setiap hari dalam media dan di televisyen terdapat laporan berita pembunuhan serta pelbagai kejadian jenayah.
Anda mengatakan negara kita selamat, tetapi jika rakyat tidak berasa selamat, maka tanpa mengambil kira statistik, rakyat tidak akan mempercayai anda? Mengenai rasuah, beritahu kepada rakyat bahawa kerajaan amat serius untuk menanganinya tetapi tidak dapat melakukannya sendirian, ia perlu sokongan rakyat. Tingkatkan kesedaran rakyat mengenai keburukan rasuah, babitkan sekolah dalam usaha memerangi rasuah. Didik pelajar.
Jika kerajaan dan rakyat bekerjasama, kita boleh berjaya. Ia adalah satu usaha bersama. Kerajaan tidak boleh melawan rasuah sendirian. Rakyat mestilah bersih dan jujur. Jangan hanya menyalahkan kerajaan. Tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Jika rakyat jujur dan bersih, kerajaan juga boleh menjadi bersih. Kerajaan mesti bertegas terhadap mereka yang rasuah.
S: Najib sudah melaksanakan ikrar dan janjinya, adakah ia baik untuk negara?
J: Beri peluang kepada Najib. Lima tahun. Uji beliau. Berikan beliau mandat. Beliau melaksanakan amanah dengan baik, mari kita lihat beliau terus membuktikan kemampuannya dan meneruskan dasar transformasi beliau. Najib juga perlu merombak Kabinet. Bawa masuk muka baru. Orang fikir beliau membawa banyak pemimpin yang ‘kayu mati’ dalam Kabinet. Kebanyakan mereka sudah melepasi era masing-masing.
Wartawan:
Laporan media menyatakan ketika pengunduran Tun daripada Kabinet pada 1991, Tun
Dr Mahathir mempunyai tiga nama untuk dipertimbangkan sebagai Menteri Kewangan
baru, iaitu Tan Sri Sanusi Junid, Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Anwar
Ibrahim. Adakah ini benar?
Tun Daim Zainuddin: Rafidah ketika itu adalah Menteri Perdagangan yang dilantik ke jawatan itu selepas perpecahan antara Team A dan Team B pada 1987. Sanusi ketika itu Menteri Pertanian. Dr Mahathir tidak begitu yakin mengenai Anwar. Beliau berkata: “Saya tidak rasa Anwar mampu mengendalikan Kementerian Kewangan jika melihat latar belakang akademiknya. Anwar lulusan Pengajian Melayu.”
Tun Daim Zainuddin: Rafidah ketika itu adalah Menteri Perdagangan yang dilantik ke jawatan itu selepas perpecahan antara Team A dan Team B pada 1987. Sanusi ketika itu Menteri Pertanian. Dr Mahathir tidak begitu yakin mengenai Anwar. Beliau berkata: “Saya tidak rasa Anwar mampu mengendalikan Kementerian Kewangan jika melihat latar belakang akademiknya. Anwar lulusan Pengajian Melayu.”
Hujah balas saya lebih kurang seperti ini: “Saya rasa jika anda mahu menjadikan beliau pengganti anda, anda perlu melatih beliau.” Saya boleh bantu dia dan beri tunjuk ajar, beri nasihat. Akhirnya saya berjaya meyakinkan Dr Mahathir.
Anwar sering ke rumah saya untuk meminta nasihat mengenai perkara berkaitan Kementerian Kewangan. Beliau juga sering membawa saya ke rumahnya untuk makan tengah hari. Ibu saudaranya memasak lauk kegemaran saya.
S: Anwar kemudian menuduh Tun sebagai ‘ketua konspirator’ yang menyebabkan pemecatannya daripada Kabinet pada 1998. Bila agaknya hubungan menjadi renggang?
J: Tiada masalah antara kami sehingga beliau mula menuduh saya sebagai ketua konspirator. Ini cerita lama, tiada siapa yang berminat lagi untuk tahu mengapa dan alasannya. Orang berminat mengenai apa yang berlaku sekarang dan pada masa depan. Sepatutnya kita tidak patut buang masa dengan Anwar. Masa Anwar sudah berlalu, beliau datang dan pergi.
Saya juga rasa yang kita tidak seharusnya memberi terlalu banyak ruang berita kepadanya. Inilah yang disukainya. Beliau tidak suka jika tidak dihiraukan, jadi pada saya abaikan saja. Biarkan dia menjadi penghibur, menari dan menyanyi dalam ceramahnya. Seperti yang saya kata, masa dia sudah berlalu, seperti burung pungguk rindukan bulan.
Tetapi jika anda tetap mendesak, saya akan jawab. Orang terbaik untuk bercakap mengenai Anwar adalah Sanusi. Mereka bersekolah bersama, mereka bersama dalam ABIM dan Kabinet dan Sanusi adalah bekas Setiausaha Agung UMNO. Bagaimanapun, saya berjanji untuk menjawab, maka saya akan jawab.
Baiklah, jawapan saya kepada Anwar – saya bukan Cassius. Saya mungkin kurus tetapi saya bukan kemaruk. Pastinya saya juga bukan Brutus. Apabila Anwar mendakwa yang saya adalah konspirator, beliau tahu hal sebenar bahawa saya tidak memainkan sebarang peranan, apa juga peranan pun. Saya tidak tahu apa-apa mengenai kes itu sehingga saya diberitahu. Saya mungkin penyibuk tetapi saya tidak masuk campur dalam hal peribadi orang lain. Saya juga tidak mahu orang tahu hal saya. Saya tidak mahu tahu apa yang orang lakukan di luar pengetahuan umum. Saya tidak berminat. Orang menyampaikan kepada saya, tetapi saya kata: “Lihat, kita semua manusia, kita semua ada kelemahan.”
Tetapi saya faham yang beliau tertekan, ia adalah kelangsungan politik beliau dan beliau sedang tenggelam, berpaut pada apa saja bagi menyelamatkan diri. Beliau juga tahu saya tidak pernah menjawab sebarang pertuduhan yang dilemparkan kepada saya. Dia sangka saya kawannya dan beliau dalam kesusahan dan saya biarkannya.
Saya juga fikir ia sesuatu yang amat sukar dipercayai sehingga menggelikan hati. Anwar, misalnya mendakwa saya membawa RM2 bilion wang tunai dengan pesawat. Tentulah saya seorang yang bodoh dan berapa banyaklah wang tunai RM2 bilion? Mungkin memerlukan beberapa buah lori untuk mengangkutnya. Bagi penyokongnya, biarpun jika beliau memang melakukan apa yang beliau dituduh, walaupun di depan mata mereka, mereka tetap tidak akan percaya. Bagi mereka semuanya konspirasi.
Masalah Anwar ialah imejnya lebih bersih daripada bersih. Apabila cerita mengenainya tersebar, beliau ada imej yang menyebabkan orang ramai sukar mempercayainya. Dalam hidup ini, ada perkara yang agak pelik untuk dipercayai benar tetapi hakikatnya ia adalah benar. Seperti kata Sherlock Holmes: “Jika anda sudah membuangkan perkara mustahil, apa saja yang tinggal biarpun sukar diterima akal, ia mestilah kebenaran.”
Ada juga mitos mengenai Kennedy (Presiden John F Kennedy), tetapi orang tidak bercakap mengenainya ketika hayatnya. Selepas kematiannya, anda baca mengenainya dan apa yang dilakukannya di luar pengetahuan umum.
S: Ada cakap-cakap sebelum ini yang menyatakan dorongan Tun untuk menyingkirkan Anwar adalah kerana mahu melindungi kepentingan perniagaan Tun?
J: Itu adalah apa yang beliau katakan, iaitu beliau adalah adiwira yang memerangi jenayah dan rasuah dan perlu ditumpaskan. Jika anda tahu perkara mengenai beliau yang saya tahu, bahawa dakwaannya adalah kelakar, dan paling berani ialah menyatakan ia adalah menegakkan kebenaran.
Saya pada masa itu sudah bersara, dan apa kepentingan perniagaan yang saya ada? Saya terpaksa menjual semua aset sebelum menyertai kerajaan pada 1984. Tetapi kemudian, selepas saya keluar Kabinet, saya dilantik pengerusi segi tiga utara, ada klausa dalam perjanjian yang saya boleh menceburi perniagaan. Saya juga bukan lagi anggota Kabinet. Saya berniaga di luar negara selepas bersara. Saya tidak mahu menjalankan perniagaan di Malaysia. Tetapi selepas bank saya di luar negara meraih kejayaan, saya perlu ada bank tempatan, jadi saya beli satu bank. Anda boleh semak, ia sangat mahal, saya bayar lebih mahal daripada orang lain.
Pada masa itu, ia adalah harga paling mahal yang pernah dibayar untuk sebuah bank. Ia hanya bank satu cawangan. Kemudian saya jual bank itu ketika saya menyertai semula kerajaan ketika krisis kewangan lalu. Saya benar-benar perlu berhenti membeli bank di Malaysia. Setiap kali saya beli satu, saya dilantik sebagai Menteri Kewangan dan terpaksa menjualnya.
Sejurus bersara, saya ke Universiti Harvard, untuk menjadi sarjana tamu di Kennedy School of Government. Anwar masih menghubungi saya di Boston. Beliau bertanya kenapa saya tinggal di sana dan ajak saya balik. Beliau memerlukan saya untuk membantunya tetapi saya kata saya seronok di sana. Saya berjumpa ramai orang.
Di Havard saya berjumpa Francis Seow (yang pernah berkhidmat sebagai Peguam Cara Negara Singapura). Beliau menulis buku. Buku-buku menarik. Anda patut membacanya. Kami menjadi kawan baik dan sering bertukar pandangan ketika makan tengah hari.
Pada masa itu juga timbul apa yang dikatakan ‘Orang Daim’. Mereka juga sangat rapat dengan Anwar selepas saya pergi. Kebanyakan bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar. Mereka bersekolah bersama Anwar. Yahya (Allahyarham Tan Sri Yahya Ahmad) ketika itu ketua pengikutnya, Halim (Tan Sri Halim Saad) juga di Kolej Melayu Kuala Kangsar.
Anwar, menerusi tuduhannya berkali-kali berbohong bahawa saya mahukan kontrak ini dan itu, dan disebabkan dia menjadi penghalang, saya menyingkirkan beliau. Pembohongan yang diulang-ulang malangnya menjadi seperti kebenaran. Kontrak apa? Saya nak tanya, kontrak mana yang saya atau keluarga saya dapat? Tunjukkan saya. Tunjukkan saya satu saja kontrak yang saya dapat daripada kerajaan.
Sebab itu saya sentiasa tegaskan bahayanya Anwar ialah beliau lebih Sukarno daripada perkara lain. Semua ucapan berapi-apinya siap dengan kenyataan ekonomi, sebenarnya penghasut yang hebat.
S: Apakah ada titik perubahan yang menyebabkan persengketaan?
J: Tidak ada persengketaan khusus. Saya adalah kambing hitam dia, daripada banyak lagi kambing hitam. Saya kawan dia, Dr Mahathir mempertahankan dia. Saya beritahu dia jangan jolok sarang tebuan dengan membuat laporan polis tetapi beliau ingat beliau bijak.
Seperti saya katakan tadi, anda tak perlu buang ruang untuk Anwar tetapi anda mendesak dan jawapan saya hanya untuk menegaskan jika kita pilih pakatan dan dia mengetuai pakatan, kita menuju jalan kehancuran. Dia sudah diuji ketika krisis kewangan Asia dan dia gagal. Saya fikir dia gagal bukan hanya disebabkan dasar beliau tetapi juga dorongannya.
Dr Mahathir, misalnya, benar-benar tersinggung dengan krisis itu hingga beliau tidak sanggup melihat apa yang dibina selama ini musnah disebabkan ketamakan spekulator dan penyangak mata wang, dan beliau mahu pastikan negara selamat semula.
S: Sesetengah pengulas mendakwa ketika krisis, Anwar tidak membantu kerana menaikkan kadar faedah ke paras yang amat tinggi.
J: Dalam kes Anwar, pada masa itu, beliau diberi nasihat yang amat tidak betul. Kita tahu selama ini, Anwar sebenarnya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Dia perlu mendapatkan nasihat orang lain dan itu bukan satu masalah asalkan dia dapat nasihat yang betul.
Dan sudah tentu pada masa itu beliau amat sukakan Michel Camdessus daripada Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan James Wolfensohn daripada Bank Dunia. beliau juga rapat dengan Robert Rubin (Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat). Mereka semua kemudian menyokong beliau. Tetapi, lain negara lain persekitarannya, lain tahap pembangunannya dan lain keadaannya. Ketika krisis itu, lihat apa berlaku kepada Korea, Thailand, Indonesia dan kita (Malaysia). Begitu juga Singapura, China dan Jepun. Masa itu, pendirian Anwar ialah mengikut nasihat IMF dan Bank Dunia.
Itu adalah reaksi biasa, dalam krisis seperti ini anda perlukan orang besar untuk datang dan memberi nasihat kerana sebarang masalah, IMF dan Bank Dunia akan datang membantu. Jika Amerika menyokong kita juga baik. Amerika ada pengaruh besar ke atas IMF dan Bank Dunia. Dalam kes Korea, negara itu ingin meminjam daripada Jepun supaya mereka tidak rebah tetapi Amerika enggan membantu.
Amerika beritahu Jepun supaya jangan tolong, jadi Korea rebah dan kita kena ingat, Korea baik dengan Amerika. Justeru, jangan harap Amerika akan tolong kita. Pada masa itu, Timbalan Setiausaha Negara Amerika, Robert Zoellick, memberitahu dengan jelas bahawa pintu terbuka kepada syarikat Amerika untuk masuk dan mengambil alih syarikat pada harga rendah.
Ini yang berlaku kepada Indonesia apabila mereka masuk dan ambil semua yang mereka mahu.
Mereka juga bunuh Thailand. Kita saksikan apa yang terjadi. Dr Mahathir faham, beliau kata:
“Apa yang kita bina akan dimusnahkan.” Pembangunan dan kestabilan yang dinikmati selama bertahun-tahun akan hilang begitu saja dan jika kita tidak berhati-hati, akan berlaku rusuhan seperti di Indonesia, Korea dan Thailand, mungkin lebih buruk lagi. Justeru, beliau perlu fikirkan bagaimana hendak mengatasinya.
S: Berdasarkan penjelasan anda berhubung senario politik, anda lebih risaukan karakter Anwar berbanding apa yang dikatakan sebagai salah laku beliau?
J: Saya bimbang beliau tidak mempunyai kefahaman mendalam dalam ekonomi. Jika beliau menjadi Menteri Kewangan sekali lagi atau Perdana Menteri, beliau lebih cenderung mengikut Amerika. Amerika sedang dalam krisis, Eropah sedang dalam krisis. Beliau suka dikaitkan dengan Eropah, Amerika dan Australia. Beliau cuba dapatkan sokongan Australia untuk untuk mengutuk dan mengatakan pilihan raya kita tidak adil. Beliau bercakap mengenai Arab Spring tetapi berkata Arab Spring di sini bukan revolusi sebaliknya menerusi peti undi.
Beliau beritahu dunia beliau akan menang pilihan raya kali ini. Jika pakatan kalah, ia disebabkan amalan yang tidak adil dan gerombolan perusuh akan ke jalanan untuk menunjuk perasaan. Beliau janji nak bentuk kerajaan pada September 2008. Semua orang gementar dan ramai yang percaya. Itu gaya beliau, hanya cakap dan berjanji. Sekarang beliau beritahu dunia beliau akan menang.
Tetapi kerajaan langsung tidak memberikan reaksi. Tidak pernah berlaku penipuan dalam pilihan raya di negara ini. Pada pilihan raya lalu, mereka membentuk empat kerajaan negeri. Jika kerajaan menipu pada pilihan raya, bagaimana pembangkang boleh menang banyak kerusi. Tiada pilihan raya yang sempurna dalam dunia ini.
Tetapi beliau sudah mulakan perkara ini dan kerajaan terpaksa memberi reaksi. Anwar sedang mempengaruhi pemikiran rakyat dan memberitahu dunia Pakatan akan menang dan beliau sendiri tahu beliau tak akan menang. Seperti saya katakan awal tadi, saya persoalkan motif beliau dan Pakatan. Cita-cita peribadinya mengatasi segala-galanya dan menghantui dirinya hingga beliau tidak kisah mengorbankan keamanan dan kestabilan negara.
Bolehkah anda bayangkan jika Pakatan tidak berjaya ke Putrajaya? Beliau akan terus mendakwa berlaku penipuan dan cuba membawa Arab Spring ke sini. Menghasut rakyat bahawa di bawah Barisan Nasional, undi mereka dicuri dan mereka terpaksa merusuh di jalanan untuk mendapatkan balik undi mereka. Ini akan timbulkan huru hara dan beliau tidak peduli kerana cita-citanya mengatasi segala pertimbangan. Pakatan pun tidak peduli kerana mereka di pihak yang sama.
sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment