Thursday, June 27, 2013

ANALISIS : UMNO MASIH LAGI POPULAR

BARISAN Nasional (BN) terus diberi mandat memerintah negara ini apabila memperolehi majoriti mudah 133 kerusi Parlimen pada PRU13 yang lalu sementara pakatan pembangkang yang dibarisi PKR, DAP dan Pas hanya memperoleh 89 kerusi sahaja.

Pada PRU12 di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, BN memenangi 140 kerusi Parlimen.Pada PRU13, rakyat Malaysia masih lagi mengundi dalam pilihan raya yang disertai pelbagai parti yang menyaksikan 11,257,147 juta (84 peratus) daripada 13,268,002 pengundi berdaftar keluar mengundi bagi 222 kerusi Parlimen.

Dari segi undi popular, daripada keseluruhan pengundi yang keluar mengundi dalam pilihan raya pelbagai parti itu, BN berada di tempat pertama dengan memperoleh undi sebanyak 5,237,699; kedua, PKR (2,254,328), ketiga, DAP (1,736,267), keempat, Pas (1,633,389) manakala parti-parti lain dan Bebas (192,904).

Bagaimanapun, DAP yang berada di tempat ketiga dari segi jumlah undi telah memperoleh 38 kerusi Parlimen, iaitu jauh lebih tinggi daripada PKR.

Berdasarkan analisis Sinar Harian mengenai keputusan pengundian PRU13, BN memperolehi undi popular di Perlis, Kedah dan Perak berbanding PR.

Di Kedah, Umno berjaya menguasai negeri itu dengan memperoleh undian sebanyak 399,890 bersamaan 45.28 peratus.

Manakala, Pas dan PKR pula hanya memperolehi sekitar 24.2 peratus. Perlis juga menjadi kubu kuat Umno kerana memenangi kesemua tiga kerusi Parlimen yang dipertandingkan dengan memperolehi 64,192 undi bersamaan 55.55 peratus.

Umno juga mendominasi Perak apabila memperolehi undi sebanyak 277,859 bersamaan 24.64 peratus mengatasi undi parti lain. Calon BN tewas di beberapa kawasan kerana bilangan pengundi kaum Cina yang ramai.

DAP pula mendapat 261,882 undi, manakala Pas dan PKR masing mendapat 109,913 dan 244,073 undi di Perak.

Bagaimanapun, di Pulau Pinang terutamanya di kawasan bandar dikuasai DAP yang memenangi kesemua enam kerusi Parlimen dan memperoleh undian tertinggi berbanding parti-parti lain.

Sebanyak 13 kerusi Parlimen yang dipertandingkan Pulau Pinang, hanya enam kerusi sahaja dimenangi DAP tetapi jumlah undiannya iaitu 272,664 bersamaan 37.72 peratus berbanding PKR hanya lima kerusi iaitu 177,896 bersamaan 24.61 peratus.

Umno yang bertanding di lima kerusi di Pulau Pinang hanya memperoleh 118,613 undian bersamaan 16.41 peratus.

Agak mengejutkan apabila analisis mendapati Umno mendominasi  peratusan undian di kubu kuat Pas di Kelantan iaitu 49.8 peratus berdasarkan jumlah undian sebanyak 402,503 untuk kerusi Parlimen.

Pas memperoleh 41.1 peratus dengan 332,407 jumlah undi. Bagaimanapun, PKR tewas di ketiga-tiga kerusi yang ditandingi dan hanya mendapat 9 peratus undian dengan 73,071 undian sahaja.

Rekod kerusi Parlimen di Terengganu pula menunjukkan Umno mendahului dalam kutipan jumlah undian, iaitu 283,455 dengan 51.5 peratus, hasil daripada kemenangan empat daripada lapan kerusi yang ditandingi.

Pas pula memperoleh 42.5 peratus dengan jumlah undi 233,893, manakala PKR tidak memenangi sebarang kerusi Parlimen di Terengganu.

Umno turut merekodkan pencapaian  tertinggi mendahului parti lain dengan 55.5 peratus atau 337,896 undi, berdasarkan kemenangan 10 kerusi yang ditandingi di Pahang.

Ini diikuti PKR yang mencatat 17.7 peratus dan memenangi tiga daripada lima kerusi yang ditandingi, sementara Pas merekodkan peratusan 17.2 peratus (104,743 undi).

DAP di Pahang tidak mendapat sambutan, di mana parti itu hanya memenangi satu daripada tiga kerusi Parlimen yang ditandingi dengan jumlah undi dipungut sebanyak 59,027 undi.

Di Selangor, PKR mendominasi kerusi Parlimen apabila memenangi sembilan daripada 11 kerusi ditandingi dengan jumlah 550,950 undi. Namun, pengaruh Umno tetap tidak boleh dinafikan kerana parti itu berjaya memporehi 335,406 undi berbanding Pas (270,506) dan DAP (253,302).

Di Wilayah Persekutuan, DAP memperlihatkan penguasaan apabila memenangi kesemua lima kerusi Parlimen ditandinginya dengan 229,337 undi. Pengaruh PR di Wilayah Persekutuan juga dibuktikan dengan jumlah undi dimenangi PKR iaitu 154,457 undi mengatasi Umno (127,771 undi) walaupun kedua-dua parti menang empat kerusi.

Di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, pengaruh Umno ternyata masih belum boleh digugat. Jumlah kerusi dan undi yang dimenangi parti ini tetap mendahului PR dengan peratusan melebihi 40 peratus di setiap negeri.

Sabah  terus kekal menjadi negeri simpanan tetap Umno berdasarkan analisis mendapati  parti itu mendominasi keseluruhan kerusi Parlimen dengan peratusan 88.2 peratus, manakala PKR hanya menang satu kerusi dengan jumlah 22,598 undi dengan peratusan 7.2 peratus manakala DAP hanya mendapat 14,226 undi atau 4.5 peratus.

Umno tidak ada di Sarawak tetapi neheri itu kekal sebagai kubu kuat BN.

Analisis juga mendapati jumlah undian rakyat di Sarawak terhadap  DAP ialah 139,480 undi, manakala PKR memperoleh 26,909 undian hasil kemenangan satu kerusi.

Secara keseluruhan, Umno dan BN masih lagi kekal sebagai popular hampir di kesemua negeri, kecuali Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

Ini diikuti oleh DAP yang masih kekal mendominasi di Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan, manakala dominasi PKR kekal di Selangor.

Umno kekal mendominasi di peringkat Parlimen kerana mampu untuk mendapat 3,416,310 undi dari 120 kerusi yang ditandingi dan mereka berjaya menang 88 daripadanya.

Manakala DAP pula mendapat 1,386,404 dari 51 kerusi Parlimen yang ditandingi, jumlah ini membuktikan bahawa DAP adalah parti yang masih popular dan menjadi pilihan kepada pengundi bukan Melayu khususnya di kawasan bandar.

http://www.sinarharian.com.my/politik/analisis-umno-masih-lagi-popular-1.162123

**************************************************************

Mitos Undi Popular PRU-13

Tawadhu’ dalam kemenangan, berlapang dada dalam kekalahan! Itulah sikap yang sepatutnya diambil oleh mana-mana insan yang berjiwa besar dalam menghadapi apa-apa pertandingan.
Sebaliknya Anwar Ibrahim, yang sebelum ini menyatakan akan bersara dan menjadi pensyarah jika kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), mengambil sikap berdolak dalik; enggan mengaku dia sudah ditolak secara muktamad oleh rakyat. Malah mengaku menang pula! Dan asas pengisytiharan kemenangan itu ialah kononnya undi popular (iaitu jumlah undi yang diperolehi oleh pakatan pembangkang DAP-PKR-Pas) melebihi jumlah undi yang diperolehi Barisan Nasional (BN)!
Anwar dengan pembohongan dan putar-belit yang hebat cuba memperdaya dan memperbodohkan rakyat yang sudah sedia maklum kaedah pilihan raya yang telah diterima pakai oleh Malaysia sejak mula lagi (termasuk di banyak negara maju lain seperti Britain) adalah sistem first-past the-post; iaitu parti mana yang mendapat 112 kerusi dahulu adalah pemenang dalam PRU-13 dan berhak membentuk kerajaan.
Jumlah undi dikutip secara keseluruhan tidak pernah diterima sebagai kayu ukur kemenangan!
Namun agak malang ada segelintir rakyat terutama penyokong tegar dan taksub yang begitu mudah terpedaya dan diperbodohkan oleh Anwar! Dan kini mereka cuba menggulingkan kerajaan yang sah dipilih rakyat melalui jalan raya; setelah mereka ditolak di dalam pilihan raya!
Bayangkan dalam pertandingan akhir badminton Piala All-Malaysia di mana Datuk Seri Najib Tun Razak menentang Anwar, keputusannya seperti berikut:
1. Set 1 – Najib 21 Anwar 19;
2. Set 2 – Anwar 21 Najib 03;
3. Set 3 – Najib 21 Anwar 19.
Apabila pengadil mengumumkan Najib menang dengan 2-1, Anwar tiba-tiba bangkit melalak mendakwa dia patut menang kerana mendapat 59 poin atau 57% daripada jumlah keseluruhan point pertandingan (sebanyak 104); sedangkan Najib hanya mendapat 45 point atau 43% daripada keseluruhan point pertandingan!
Saya cukup pasti kalau Anwar mendakwa sedemikian, penonton sama ada akan berkata dia sakit otak, atau tidak ada otak langsung! Kerana apa? Kerana kita semua tahu dalam pertandingan badminton, penentuan juara ditentukan melalui jumlah set yang dimenangi, bukan jumlah point yang dikutip!
Begitu jugalah dengan pilihan raya umum. Rakyat Malaysia dan seluruh dunia tahu bahawa pemenang PRU-13 ditentukan melalui jumlah kerusi yang diperolehi, bukan jumlah undi yang dikutip! Tetapi namanya Anwar, nafsu serakah yang meluap-luap untuk dimahkotakan sebagai Perdana Menteri bersemayam di Putrajaya menyebabkan dia sanggup melakukan pembohongan besar dan memutar-belit fakta. Ini satu penghinaan kepada rakyat Malaysia!
Walau bagaimana pun, saya mahu mengupas isu berkenaan undi popular ini dan membuktikan kepada rakyat bahawa Anwar ini sebenarnya pembohong tegar dan kaki putar-belit yang cukup hebat.
Isunya, benarkah Anwar dan pembangkang DAP-PKR-Pas memperolehi undi popular terbanyak dalam PRU-13? Atau ia hanya sekadar mitos yang dibohongi dan diputarbelitkan untuk memperdaya golongan yang mudah diperdaya?
Mari kita lihat analisis berikut:
1. UNDI POPULAR BN YANG TERBANYAK
Dalam PRU-13, parti utama yang bertanding ialah BN, Democratic Action Party (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam SeMalaysia (Pas).
BN menggunakan lambang Dacing, DAP lambang roket, PKR lambang mata satu, dan Pas lambang bulan.
Jumlah pengundi berdaftar yang layak mengundi dalam PRU-13 ialah 13,268,002; namun yang turun mengundi hanyalah 11,257,147 atau 84%. Pengundi akan memangkah nama calon mengikut nama dan nama serta lambing parti yang bertanding.
Kita tengok carta keputusan PRU-13 seperti berikut (setelah ditolak undi rosak 1.8%):
Jelas daripada carta di atas bahawa kalau mengikut undi popular, kedudukannya adalah seperti berikut:
1. BN memperolehi undi popular paling banyak iaitu 46.53% atau 5,237,699;
2. PKR kedua dengan 20.03% atau 2,254,328;
3. DAP tempat ketiga dengan 15.42% atau 1,736,267;
4. Pas tempat keempat dengan 14.51% atau 1,633,389;
5. Parti-parti lain & Bebas di tempat kelima dengan 1.71% atau 192,904;
6. Undi rosak pula adalah sebanyak 1.8% atau 202,560.
Jadi di mana logik Anwar menyatakan dia memperolehi undi popular paling banyak. Tohmahan Anwar mendakwa jumlah undi yang diperolehi oleh gabungan DAP-PKR-Pas sebanyak 5,623,984 (atau 49.96%), melebihi 386,285 undi (atau 3.43%) berbanding BN (yang memperolehi 5,237,699 atau 46.53%) adalah satu pembohongan dan putar-belit kerana:
1. DAP-PKR-Pas bertanding berasingan menggunakan lambang masing-masing; yang tertera di atas kertas undi ialah lambang roket (DAP)-bulan(Pas)-mata satu (PKR); langsung tidak ada lambang bersama pembangkang;
2. Ada konstituensi di mana berlaku pertandingan sesama sendiri di antara DAP-PKR-Pas; seperti Sg Aceh, Kota Damansara dan lain-lain;
3. Gabungan DAP-PKR-Pas sebagai Pakatan Rakyat tidak ujud dalam PRU-13 ini, malah ia sebuah badan yang tidak berdaftar dan tidak bertanding atas lambang sendiri pun!
Rumusannya ialah jika menggunakan kaedah undi popular sebagai kayu pengukur kemenangan dalam PRU-13, sebenarnya BN memperolehi undi terbanyak berbanding dengan tiga parti utama lain iatu DAP, PKR mahupun Pas!
Sewajarnya BN memenangi PRU-13, dan membentuk Kerajaan Persekutuan!
2. KENAPA DAP MENDAPAT 38 KERUSI?
Kalau mengikut logik Anwar bahawa undi popular sepatutnya menentukan jumlah kerusi, maka urutan jumlah kerusi sepatutnya saperti berikut:
1. BN dengan 46.53% undi sebanyak 103 kerusi (sebenarnya 133 kerusi);
2. PKR dengan 20.03% undi sebanyak 45 kerusi (sebenarnya 30 kerusi);
3. DAP dengan 15.42% undi sebanyak 34 kerusi (sebenarnya 38 kerusi);
4. Pas dengan 14.51% undi sebanyak 32 kerusi (sebenarnya 21 kerusi);
5. Bebas dengan 1.71% undi sebanyak 4 kerusi (sebenarnya tiada kerusi);
6. Undi rosak sebanyak 1.8% mewakili 4 kerusi.
Persoalannya ialah bagaimana DAP yang memperolehi undi popular ketiga sebanyak 15.42% sepatutnya hanya mendapat tempat ketiga dengan 34 kerusi kalau mengikut kaedah perkiraan undi popular. Tetapi sebaliknya DAP mendapat jumlah kerusi kedua terbanyak iaitu 38 melebihi PKR yang kononnya mendapat undi popular kedua terbanyak? Sedangkan PKR yang memperolehi undi popular kedua selepas BN sebanyak 20.03% hanya memperolehi 30 kerusi ditempat ketiga!
Mengapa Anwar tidak menjerit melalak mendesak kerusi DAP dikurangkan sebanyak 4 kerusi kepada 34 kerusi daripada 38 kerusi yang sebenarnya dimenangi oleh DAP?
Jawapannya mudah. Anwar sekadar memutar-belit fakta yang hanya menguntungkan dia dari segi politik. Tetapi bila kena batang hidung sendiri, dia sepi membisu sebagaimana dia membisu tentang dimana jam Omega yang ditemui Datuk Eskay dalam peristiwa China-Doll!
Datuk Zulkifli Noordin ialah Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Malaysia (Perkasa)


No comments: