Friday, October 27, 2017

Menjawab tuduhan MESIN ROSAK, GUNA SEMULA ALAT, UBAT TIRUAN DI HOSPITAL AWAM

Penulis: Anwari Hamzah
Terbaca saya sebentar tadi satu petikan artikel yang dikarang seorang wartawan tabloid Free Malaysia Today (FMT), saudara Michael Murty pada 25 Oktober 2017 yang bertajuk; MESIN ROSAK, GUNA SEMULA ALAT, UBAT TIRUAN DI HOSPITAL AWAM. Anda boleh baca disini : https://goo.gl/3NyCuk
Bagi para pembaca tegar FMT yang rata-rata hanya membaca tajuk petikan semata-mata, melalui tajuk sahaja sudah jelas terpampang keburukan pihak hospital awam dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Apatah lagi apabila hasil penulisan ini dicanang seluruh negara tanpa penjelasan lanjut.
Bagi saya, mudah sahaja bidasan yang saya mahu kemukakan.
WARTAWAN FREE MALAYSIA TODAY CETEK PENGETAHUAN DAN JAHIL TENTANG ASAS PERAWATAN HOSPITAL AWAM.
Ya, mungkin mereka hebat dalam mengarang dan mewartakan berita, akan tetapi nampaknya mereka terlalu jahil dalam pengurusan dan perawatan hospital.
- - - - -
Yang pertama, FMT menuduh hospital awam menggunakan semula peralatan yang hanya boleh dipakai sekali sahaja (pakai-buang). Kebersihan alatan yang meragukan dicanang FMT seolah-olah KKM tidak mementingkan keselamatan pesakit. Perkataan yang digunakan FMT dalam penulisannya adalah "mengitar semula peralatan".
Sesetengah peralatan yang digunapakai, melibatkan prosedur invasif (yang menembusi kulit atau rongga pesakit) dan melibatkan cecair badan pesakit, sudah tentulah dipakai-buang. Sebagai contoh, penggunaan jarum, picagari, spatula, tiub kencing, kateter, branula, blood adapter, atau tiub pemakanan sudah tentu akan dibuang terus setelah digunakan kepada seorang pesakit. Ini adalah untuk memastikan jangkitan silang tidak berlaku sesama pesakit dan anggota kesihatan.
Akan tetapi, sesetengah peralatan lainnya (terutama sekali peralatan yang mahal, bersaiz besar atau sukar didapati) perlu dibasuh semula dan disterilkan sebelum digunakan semula keatas pesakit lain. Bukan "kitar semula", ya. Peralatan seperti bedpan, botol urinal, botol kaca tiub dada, set alatan pembedahan, mesin hemodialysis, pinggan dan cawan, mesin pernafasan mekanikal, mesin sedutan kahak perlu digunakan semula setelah dibersihkan untuk memastikan hospital awam menjalankan perawatan dan perkhidmatannya berasaskan prinsip 'cost-effective'.
Bayangkan jika satu set alat pembedahan yang bersifat keluli tahan karat, bernilai ratusan Ringgit Malaysia setiap satu, sukar diperolehi dan hanya boleh diimport dari tempat-tempat tertentu sahaja, hanya boleh dipakai keatas seorang pesakit dan dibuang terus walaupun penggunaannya amat minima, adakah ianya menjimatkan atau bersifat membazir?
Ya, sudah tentu ada yang akan bertanya, jika alatan sebegini digunakan semula, adakah ianya selamat buat pesakit?
Ianya sudah tentu selamat. Untuk pengetahuan FMT dan para pembaca, terdapat dua jenis tahap kebersihan alatan yang digunapakai oleh mana-mana hospital seluruh dunia. BERSIH dan STERIL.
Alatan yang BERSIH adalah alatan yang berada ditahap kebersihan kotoran sifar. Alatan seperti ini boleh dibersihkan menggunakan teknik basuhan biasa menggunakan pencuci dan air. Antara alatan yang melalui proses pembersihan seperti ini adalah pinggan mangkuk, peralatan kebersihan diri dan katil.
Bagi alatan bersih yang digunapakai keatas pesakit berjangkit, alatan ini akan direndam kedalam larutan nyahkuman selama beberapa tempoh masa yang diwajibkan, kemudiannya dibersihkan melalui cucian biasa sebelum dikeringkan dan disimpan untuk penggunaan semula.
Alatan yang STERIL pula merupakan alatan yang mempunyai kebersihan ditahap sifar kuman (aseptik) atau langsung tiada kuman. Tahap kebersihan ini boleh diperolehi dengan cara membersihkannya menggunakan kaedah sterilization.
Peralatan seperti ini akan melalui proses pembersihan atau proses sterilisasi tersendiri untuk memastikan tahap kebersihannya. Setiap hospital kerajaan terutama sekali hospital besar mempunyai unit tersendiri yang menguruskan kebersihan peralatan seperti ini, yang dinamakan sebagai Jabatan Servis Pensterilan Pusat (Central Sterile Service Department / CSSD). Jabatan inilah yang akan memastikan setiap peralatan yang dibekalkan kepada wad dan unit telah melalui proses pembersihan paling optima sebelum digunapakai. Bahkan, terdapat unit dan klinik yang sudahpun mempunyai mesin pensterilan tersendiri tanpa menggunakan servis dari CSSD.
Melalui CSSD dan mesin pensterilan ini, peralatan bukan sahaja dijamin bersih, malah ia menjimatkan lagi penggunaan alatan dan pengeluaran modal setiap hospital, termasuk hospital swasta.
Maka, penggunaan semula alatan bukanlah suatu isu jika si pengarang memahami dua konsep, tahap kebersihan dan proses pembersihan ini sebelum mengarang berita tidak sahih dan bersifat karut.
- - - - -
Kedua, FMT menceritakan bahawa kebanyakan peralatan di hospital telahpun rosak dan hanya tersadai diwad tanpa digunakan lagi. FMT menggunakan perkataan 'tidak dapat dipulihkan' bagi menggambarkan betapa teruknya keadaan peralatan di hospital.
Apa yang perlu difahami adalah, hospital awam di Malaysia mempunyai kualiti peralatan yang berada dalam tahap baik, tidak terlalu lapuk seperti di negara-negara miskin lain, mahupun terlalu canggih seperti di negara-negara maju. Bahkan, ada hospital awam di negara kita yang sudah menuju kearah penggunaan peralatan moden dan canggih sesuai dengan demografi dan sosioekonomi pesakit yang dijaga.
Sudahpasti hospital awam juga mengalami kerosakan peralatan, sama seperti mana-mana hospital swasta sekalipun. Kerosakan peralatan bukanlah suatu perkara yang pelik mahupun aneh dalam mana-mana sektor perkhidmatan. Apatah lagi peralatan di hospital awam mengalami kekerapan penggunaan yang berkali ganda melebihi tahap penggunaan yang disarankan.
Sebagai contoh, alat pengukur tekanan darah di wad akan digunakan sebanyak lebih 300 kali sehari bagi bilangan pesakit sebanyak 50 orang dengan kekerapan setiap 4 jam sekali. Ini tidak termasuk pesakit yang perlukan pemerhatian setiap jam (24 kali sehari) dan pengulangan semula pemeriksaan apabila terdapat abnormaliti (double-checking). Dengan kekerapan penggunaan sebegini, tentunya ia akan mengalami kerosakan walaupun dijaga dengan baik. Amat mudah buat penulis untuk membandingkan alatan di hospital swasta dengan hospital awam tanpa mengambilkira kekerapan penggunaan alatan yang dilalui sehari-hari perawatan dan keperluannya.
Akan tetapi, amat jarang sekali peralatan di hospital dibiarkan 'tersadai' disudut wad, tanpa diperbaiki oleh pihak hospital seperti yang didakwa FMT. Setiap peralatan yang digunakan di wad akan diservis setiap 2 bulan sehingga 2 tahun bergantung kepada kekerapan penggunaan dan jadual pemeriksaan berkala oleh syarikat konsesi dan jabatan yang dipertanggungjawabkan. Bahkan, terdapat pegawai yang dilantik khusus untuk melakukan pemeriksaan di setiap wad, memastikan setiap alatan berada dalam keadaan yang baik dan berfungsi.
Sebagai contoh, anggota kesihatan di wad tempat saya bekerja akan memastikan mesin bantuan pernafasan berfungsi, dicuci, dinyahkuman, diservis dan dikalibrasi setiap hari sebelum digunapakai kepada pesakit. Mana-mana peralatan yang didapati rosak perlu terus dibuat aduan kepada pihak Loan Unit atau Radicare (syarikat konsesi swasta) yang terlibat dalam pembaikansemula alat. Aduan akan diselesaikan sekurang-kurangnya sebelum 48 jam selepas aduan diterima, bergantung kepada tahap keterukan dan proses pembaikan semula.
Maka, sungguh hairan bagi saya sebagai anggota kesihatan sendiri, membaca tuduhan tidak berasas sebegini dikarang sebuah tabloid popular negara. Jelas, penulisnya tidak mempunyai secebis pun pengetahuan terhadap pengurusan hospital awam.
- - - - -
Yang ketiga, FMT mencanang melalui penulisannya bahawa hospital awam mengalami kesempitan dana daripada Kementerian yang memaksa mereka mendapatkan 'ubatan tiruan' buat kegunaan pesakit, demi menjimatkan kos.
Tidaklah sipenulis tahu perbezaan diantara ubatan generik dengan ubatan tiruan. Memalukan sungguh!
Yang amat menarik perhatian saya adalah saat dimana sebuah laman Facebook yang berlandaskan gurauan bodoh seperti laman Si Rashid itu sendiri mampu memberikan contoh paling jelas dan ringkas berkaitan perbezaan ubatan generik dan ubatan tiruan berbanding seorang pengarang tabloid berhaluan kiri terkemuka negara yang memperolehi bayaran bagi setiap penulisannya.
Seperti yang diceritakan Si Rashid, ubatan generik adalah ubatan yang dihasilkan oleh dua (atau lebih) syarikat ubat dengan menggunakan formula ubat yang sama. Contoh yang diberikan Si Rashid, ubat Paracetamol dan Panadol, kedua-duanya adalah ubat dari formula Acetaminophen. Yang berbeza hanya nama sahaja, yang ditentukan oleh syarikat masing-masing mengikut hak cipta produk mereka.
Anda boleh baca tulisan Si Rashid disini : https://goo.gl/EN2tsK
Kelakar bagi saya apabila setiap petikan yang ditulis hanya menyatakan sumber yang bersifat 'anonymous', seolah-olah berita ini dikarang berdasarkan persepsi dan fantasi seorang individu yang langsung tidak wujud. Hairan apabila penulis seperti ini cukup hebat mengarang kata, akan tetapi hanya mampu mencatat sumber tak sahih semata-mata untuk mempertahankan dakwaannya. Lebih kelakar lagi apabila seorang wartawan di sebuah tabloid terkemuka mempunyai pengetahuan jauh lebih rendah daripada watak fiksyen berlandaskan humor seperti Si Rashid.
Nasihat saya buat para jurnalis FMT, JADILAH SEPERTI RASHID.

No comments: