Friday, October 27, 2017

PELABURAN DI PULAU PINANG

KENYATAAN MEDIA
Oleh Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
24 Oktober 2017
1. Fakta bahawa Pulau Pinang adalah negeri yang mendapat kelulusan pelaburan tertinggi dalam sektor pembuatan bernilai RM7.7 billion bagi separuh pertama 2017 adalah bukti bahawa kerajaan persekutuan tidak mendiskriminasi atau berat sebelah terhadap negeri-negeri yang dikuasai pembangkang persekutuan dalam usaha mempromosi dan menarik pelaburan ke dalam negara kita.
2. Ini dibuktikan lagi dengan pembangunan dan pembinaan rangkaian infrastruktur yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan seperti MRT, LRT dan lebuhraya yang jajarannya merentasi bandar-bandar di negeri Selangor termasuk Zon Perdagangan Bebas Digital yang terletak juga di dalam Selangor di KLIA Aeropolis dan Jambatan Pulau Pinang ke-2 yang menyambungkan tanah besar dengan pulau serta mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang yang pertama.
3. Pujian sepatutnya juga diberikan kepada agensi kerajaan persekutuan iaitu Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang sentiasa mempromosi Malaysia di peringkat global dalam usaha menarik pelaburan langsung dari luar negara.
4. MIDA membantu dan memudahkan pelabur-pelabur dengan bekerjasama bersama-sama agensi-agensi di peringkat persekutuan dan negeri berkaitan untuk mendapat kemudahan infrastruktur, menyegerakan kelulusan oleh pihak berkuasa, menyokong pelaburan semula oleh pelabur sedia ada dan bertindak sebagai pusat sehenti kepada pelabur.
5. Dua insentif cukai utama iaitu taraf perintis dan elaun cukai pelaburan yang disediakan oleh kerajaan persekutuan untuk pelabur di dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan juga disediakan untuk pelabur yang ingin melabur di negeri di bawah pentadbiran parti pembangkang persekutuan.
6. Walaupun pelbagai tuduhan palsu dibuat oleh pembangkang seperti Malaysia bukan lagi negara pilihan pelabur, pelabur asing meninggalkan Malaysia dan Malaysia adalah sebuah negara yang gagal, tetapi petunjuk data menunjukkan sebaliknya.
7. Aliran masuk bersih pelaburan langsung asing ke dalam Malaysia telah meningkat daripada RM23.9 billion (2008) kepada RM47.2 billion (2016) dan sejak 2014 pelaburan langsung asing meningkat secara konsisten walaupun Malaysia berhadapan dengan ketidaktentuan daripada luar seperti kejatuhan harga komoditi dan pasaran kewangan global yang tidak menentu.
Aliran Bersih FDI ke Malaysia
2014 - RM35.6 billion
2015 - RM39.4 billion
2016 - RM47.2 billion
8. Tatkala menyebarkan propaganda palsu demi kepentingan politik mereka, Selangor dan Pulau Pinang menikmati pertumbuhan ekonomi, pembangunan, kemakmuran dan kestabilan yang telah dibawa kerajaan persekutuan.
9. Modus operandi pembangkang adalah mengambil kredit bagi semua pencapaian positif di negeri mereka dan pantas menyalahkan kerajaan persekutuan apabila timbul apa-apa berita negatif tentang negara kita.
10. Rakyat Malaysia mesti sedar dan menilai, pihak mana yang bersungguh-sungguh menguruskan ekonomi negara dan pihak mana yang sibuk berpolitik setiap masa.
-Tamat-

No comments: