FELDA: Bukan Tugas Sukar, Tetapi Menyakitkan Hati! - TAN SRI SHAHRIR SAMAD
Oleh SYAHRIL A. KADIR
AKU tiba di pejabat Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Tan Sri Shahrir Samad kira-kira pukul 1 petang di Menara FELDA, Kuala Lumpur. Agak luas biliknya yang terletak di tingkat 49 itu.
Meja Shahrir yang besar saiznya itu dipenuhi dokumen dan fail sekaligus menunjukkan betapa sibuknya tugas ahli politik veteran yang berumur 68 tahun tersebut dalam 'mengendalikan' urusan seharian lembaga berkenaan
Ketika itu aku sampai, Shahrir, lulusan MBA dari International Institute for Management Development (IMD), Switzerland itu sedang melayan pertanyaan daripada beberapa penulis dan wartawan. Pengasas DuBook, Mutalib Uthman , sahabat seperjuanganku Ali Imran , Saudara Mat Rodi, Saudara Azwan dan Datuk Roslan Bian pun ada.
Mereka nampak bersungguh-sungguh hendak dengar dari mulut beliau sendiri mengenai kemelut yang melanda 'kehilangan' tanah milik Felda yang terletak di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Shahrir dilihat tenang walaupun soalan-soalan yang dikemukakan cukup 'tajam'dan 'menyakitkan'.
Adakalanya beliau menyalakan sebatang rokok Mevius Light. Adakalanya beliau meneguk air di depannya. Adakalanya beliau tersenyum dan adakalanya beliau serius.
Namun yang pasti tidak ada soalan yang tidak berjawab. Untuk lebih jelas, kerap kali juga beliau melihat dokumen di atas mejanya agar fakta yang diberikan tidak lari dari butiran yang sebenar.
Sebaik saja duduk di kerusi yang disediakan, aku tanpa membuang masa terus bertanyakan pada Shahrir - teruk sangatkah keadaan FELDA ketika Tan Sri mengambil alih kerusi pengerusinya dari Tan Sri Isa Samad?
" Bila saya masuk rupanya bukan peneroka saja dah tak percaya pada FELDA, bank pun dah tak percaya pada FELDA. Banyak pinjaman yang dijanjikan tetapi ditarik balik. Kalau ada pun cuma Bank Rakyat, mereka nak bagi pinjam RM300 juta, mereka nak kolateral pun RM300 juta juga. Saya pasti awak sendiri kalau nak buat pinjaman pun akan dapat 'deal' yang lebih baik dari itu.
" Hanya baru-baru ini Maybank kata mereka boleh buatkan 'sukuk' sebanyak RM2 bilion...saya macam tak percaya pada mulanya...malah saya tanya balik 'are you sure?'
" Sebenarnya bank yakin nak bagi balik pinjaman kat kita kerana kita mempunyai aliran tunai yang besar untuk sukuk, apatah lagi selepas pelbagai usaha kita dah lakukan untuk memulihkan FELDA," katanya sambil tersenyum.
Mengenai isu Tan Sri Isa Samad dan kontroversi tanah FELDA yang 'dipindah milik' itu, Shahrir berkata siasatan diharap tidak hanya tertumpu kepada satu individu tetapi juga individu yang lain serta agensi kerajaan yang terlibat.
Katanya, beliau kena berlaku adil dalam hal ini kerana masyarakat nampaknya hanya melihat Isa tetapi 'lupa' yang kejadian yang berlaku juga membabitkan banyak pihak.
" Orang bercakap pasal Isa, tetapi individu lain bagaimana? Banyak nama besar ni. Agensi kerajaan macam pejabat tanah pula bagaimana...siasatan kena menyeluruh. Nak salahkan mana-mana pihak termasuk Lembaga Pengarah dulu pun susah juga kerana isu tanah ini tidak pernah dibincangkan dan tak ada dalam rekod mesyuarat lembaga pun, jadi saya tak nak tunding jari, siasatlah," ujarnya.
Ketika ditanya sama ada beliau ada berkomunikasi dengan Isa sejak mengambil alih kerusi kepimpinan Felda, Shahrir menafikannya.
Menurutnya, beliau tidak pernah bercakap dengan Isa dan Isa juga tidak pernah menghubunginya.
" Saya dah dengar macam-macam bila ambil alih. Saya tak bercakap dengan sesiapa pun termasuk dengan lembaga pengarah, saya hanya mendengar, " ujarnya.
Mengenai tugasnya sebagai Pengerusi FELDA, Shahrir berkata, ia bukanlah satu tugasan yang sukar dan membebankan.
Pun begitu, katanya, beliau sebenarnya lebih kepada berasa 'sakit hati' dengan apa yang berlaku.
" Cuma apa yang saya nak bagitau pada semua peneroka dan masyarakat di luar sana, jangan bimbang, ini adalah sebahagian daripada 'pembersihan' FELDA, perkara yang berlaku ini sedang kita betulkan.
" Yang pasti hasil dan tanah peneroka tidak akan terjejas. Dalam hal tanah (Jalan Semarak) ini kita dah buat macam-macam. Antaranya kita buat laporan polis, kita saman, kita akan buat tindakan sivil, kita akan cuba batalkan PA dia, pejabat Peguam Negara pun akan ambil tindakan. Saya tengah fikirkan semua cara.
" Berdasarkan 'track record', mahkamah selalunya akan berpihak kepada kita, sebab itu kita cukup cermat dan teliti dalam menangani apa-apa isu yang timbul, mungkin ia mengambil masa tetapi yang penting hasilnya," tegas Shahrir.
Shahrir juga ditanya, mungkinkah ada lagi isu atau kontroversi yang akan menyelubungi FELDA selepas ini.
Beliau dengan pantas menjawab - TIDAK ADA LAGI.
" Tiada lagi isu selepas ini. Kes pembelian hotel, kes ikan Sturgeon dan lain-lain semuanya itu telah diambil tindakan. Ada yang sedang disiasat, ada yang direman dan ada juga yang telah dituduh pun di mahkamah," tegasnya.
Mengenai persepsi yang 'pelbagai' yang ditujukan pada dirinya ketika ini, Shahrir berkata, tiada apa yang perlu beliau risaukan kerana beliau telah menjalankan amanah seperti mana yang diharapkan.
Katanya itu adalah asam garam yang terpaksa ditempuh jika bergelar ahli politik. Beliau sendiri secara peribadi 'lali' dengan segala tohmahan.
" Sampai isteri saya pun orang kata anak Robert Kuok, kononnya saya kaya raya dan sebagainya. Orang politik ni banyak pahala sebab selalu kena fitnah, dan pada masa yang sama banyak pahala kerana selalu bantu orang," katanya sambil tersenyum.
Ketika ditanya lagi adakah beliau berasa 'stress' dengan segala kemelut yang melanda dan terpaksa 'datang' ke dalam FELDA di waktu lembaga itu dibebani dengan pelbagai masalah, Shahrir berkata ia bukan perkara baru dalam hidupnya.
Ujarnya, sejak menghambakan diri dalam bidang politik, pelbagai onak dan duri telah beliau tempuh.
" Masalah yang ada memang berat tetapi kita dah mengambil langkah terbaik untuk menanganinya. Datanglah apapun dugaan, pukul 10.30 malam saya tetap tak ada masalah untuk tidur," katanya tersenyum sebelum mengakhiri perbualan kami pada petang itu.
Sebelum balik sempat aku menghadiahkan buku tulisanku 'Konfesi Prebet Adam' pada beliau.
Kami kemudiannya dijamu nasi goreng. Tak mewah. Tak ada ikan sturgeon yang menghasilkan 'kaviar'. Jangan risau, angpau pun tak ada.
Tetapi aku datang dengan senyum, balik pun dengan senyum. Sekurang-kurangnya ada 'maklumat' yang lebih mahal dari sekadar kaviar dan sekeping angpau!
No comments:
Post a Comment