Wednesday, April 24, 2013

TAHAALUF SIYASI: SETERBUKA MANAKAH KETERBUKAAN KITA?


CREDIT TO ENGKU AHMAD FADZIL

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمدلله رب العالمين
والصلاة والسلام على سيد المرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين
وبعد

Apabila saya post pada 11 April 2013 yang lalu petikan video kuliah Al-Fadhil TUAN GURU SYEIKH NURUDDIN AL-BANJARI AL-MAKKI berkaitan sikap yang sepatutnya ada pada seorang Islam terhadap saudaranya seIslam berbanding dengan yang bukan Islam, sahabat saya yang pernah satu sekolah menengah dengan saya dahulu ada berkomentar. Komen beliau: "Pada pemerhatian saya, (Encik A, nama seseorang) yg upload video ini sudah beberapa kali cuba mempolitikkan pendapat Tn Syeikh. Saya sependapat dgn Engku Fadhil bhw hukum ini applicable kepada PAS dan juga UMNO. Walaubagaimanapun, saya kurang setuju dgn pandangan Tn Syeikh kerana beliau tidak faham suasana politik semasa dan beliau bukan ulamak politik. Kita perlu meraikan dan berlapang dada dan bersangka baik dengan Majlis Syura PAS yg di anggotai oleh ramai ulamak. Pada saya, keputusan yg dicapai melalui syura itu lebih kukuh dari pendapat individu. Allahua'lam."

Saya bersangka baik dengan sahabat saya ini bahawa yang mendorong beliau menulis komen seperti di atas adalah keikhlasan beliau untuk melihat Islam berdaulat di negara yang tercinta ini dan untuk membantu dan menyumbang ke arah memastikan hukum hakam Islam bakal dilaksanakan sebaik-baiknya oleh golongan pemerintah yang adil. Malah, secara peribadi dan dengan jujur saya juga mempunyai sangkaan yang sama terhadap sebahagian besar ummat Islam, di Malaysia khususnya, bahawa KEBANYAKAN mereka (para penyokong dan peminat parti-parti politik) membuat pilihan dan mengambil pendirian politik masing-masing dengan niat dan tujuan yang baik. Cuma fakta-fakta dan tahap kepercayaan dan penilaian yang berbeza-beza terhadap maklumat-maklumat yang sampai kepada mereka menyebabkan mereka berbeza pandangan dan berlainan pilihan politik.

 Selang beberapa komen, sahabat saya menambah lagi dengan menulis: "Saya yg jahil ini selalu diperingatkan oleh Ustaz2 tentang perlunya bersangka baik dan tidak tertipu oleh ilmu yg sedikit. Tetapi saya agak hairan bila Ustaz yg sama tidak bersangka baik dgn pendapat Ustaz yg lain dan terus menghukum tanpa bertanya terus kepada sumber asal (yakni komen diatas komen). Saya tidak menidakkan ilmu Sheikh Nuruddin tetapi merasakan kita yg mengikut kuliah beliau perlu lebih terbuka dan berlapang dgn pendapat ulamak lain, kerana selepas Rasulullah SAW, tiada yang ma'sum."

DARI SATU SUDUT, saya bersetuju 100% dengan kenyataan sahabat saya tersebut  bahawa selepas Junjungan Nabi Muhammad Rasulullah SAW tiada yang maksum. Penerimaan terhadap hakikat ini secara jujur dan adil bermakna menerima juga bahawa yang dikatakan tidak ada yang maksum selepas Junjungan Nabi Muhammad SAW ini TERMASUK LAH ulamak2 dlm majlis syura PAS yang disebut oleh sahabat saya... HAKIKATNYA mereka juga TIDAK MAKSUM sebagaimana Tuan Guru Syeikh Nuruddin juga tidak maksum atau tuan-tuan guru yang lain juga tidak maksum. Jauh lagi lah orang-orang seperti saya dan sahabat saya, pasti tanpa ragu-ragu kami tidak maksum. Lebih-lebih lagi seperti yang diisyaratkan oleh sahabat saya, tidak seperti Syeikh Nuruddin yang bukan ulamak politik, mereka ini adalah "ulamak-ulama politik". Sekiranya sahabat saya memandang secara optimis bahawa status ulamak politik ini menyebabkan mereka lebih faham dan layak menilai hukum hakam yang membabitkan politik, saya pula melihat kemungkinan yang realistik bahawa sebagai insan-insan politik (bukan yang berada di dalam parti PAS sahaja, bahkan yang berada di dalam parti UMNO juga berdepan dengan dilema yang sama) sudah pasti di sana ada kepentingan-kepentingan politik kepartian tertentu yang perlu mereka pertimbangkan menyebabkan TIDAK MUSTAHIL kepentingan-kepentingan hukum dan agama menjadi terjejas.

Namun begitu, DARI SUDUT YANG LAIN mungkin ramai daripada kita yang tidak perasan bahawa selepas Junjungan Rasulullah SAW, MASIH ADA YANG MAKSUM dari melakukan kesilapan ... masih ada yang Allah SWT pelihara daripada tersalah dan tersilap ... iaitu ummat Islam itu sendiri ... ummat ini adalah maksum ... Bila? Apabila mereka telah sepakat di dalam sesuatu perkara atau hukum. KEMAKSUMAN UMMAT di dalam kesepakatan mereka ini dijamin oleh baginda Rasulullah SAW sendiri apabila kita diberitahu oleh baginda bahawa ummat ini tidak akan bersepakat di dalam kesesatan لا تجتمع أمتي على ضلالة “Tidak akan berhimpun (bersepakat) ummatku di atas kesesatan”. Maka itu kesepakatan ummat Islam di dalam sesuatu perkara atau hukum merupakan hujjah yang sangat kuat yang ada masanya sampai ke peringkat dihukum kufur mereka yg melanggar kesepakatan ini (dihukum kufur mereka yang membantahnya يُكفر جاحده). Makna dari hadith ini sahih dan didukung oleh ayat AlQuran surah An-Nisa (4:115) yang dijadikan dalil bahawa ijma', kesepakatan ummat, sebagai hujjah yang haram dilanggar.

وَمَن يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَىٰ وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّىٰ وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَاءَتْ مَصِيرًا

"Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), DAN IA PULA MENGIKUT JALAN YANG LAIN DARI JALAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali."

HUKUM HARAM MELANTIK ORANG KAFIR sebagai orang yang mempunyai autoriti (سلطة) ke atas orang Islam merupakan hukum yg DISEPAKATI oleh ulama-ulama Islam zaman berzaman sehinggalah sampai ke zaman kita ini bila mana muncul individu-individu atau kumpulan-kumpulan yang cuba melanggar kesepakatan ini lalu dinasihati, ditegur dan ditentang oleh ulama-ulama yang FAHAM dan TUNDUK kepada hukum, usul dan kaedah. Ini adalah skop perbincangan di dalam nota ini WALAUPUN tajuk nota ini menyebut "Tahaluf Siyasi" mengambil sempena tajuk yang diberi oleh saudara kita yang bertanggungjawab upload petikan video Tuan Guru Syeikh Nuruddin yang antara lain menjadi pencetus dan dorongan untuk saya  menulis nota ini, namun isu sebenar yang menjadi fokus utama adalah hukum melantik orang yang bukan Islam ke kedudukan yang mempunyai autoriti (سلطة) ke atas orang Islam sedangkan masalah tahaluf siyasi disentuh secara sampingan sekadar yang dilihat berkaitan sahaja.


Walaupun sahabat saya di dalam komen beliau merendah diri dengan mengaku bahawa beliau jahil, hakikat yang saya lihat adalah beliau ada ilmu, beliau tahu bahawa kita perlu bersangka baik dengan pendapat orang lain, beliau ada ilmu bahawa kita ummat Islam perlu lebih terbuka dan berlapang dada dengan pendapat ulama-ulama lain. Namun, ILMU dan FAHAM merupakan dua peringkat yang berbeza. Maka itu kita diberitahu oleh Rasulullah SAW bahawa sesiapa yang Allah SWT mahukan kebaikan buat dirinya, nescaya Allah SWT akan berikan dia KEFAHAMAN di dalam perkara agama من يرد الله به خيراً يفقهه في الدين. TAHU tentang perkara-perkara dan hukum hakam agama adalah baik namun BELUM memadai, perlu bawa diri dan masyarakat untuk sampai ke peringkat seterusnya iaitu FAHAM.


Soal TERBUKA dan BERLAPANG DADA dengan pendapat yang berbeza ini pada saya merupakan sesuatu yang ramai ummat Islam sudah TAHU atau diberitahu tentangnya. Namun, tidak seramai itu yang FAHAM atau diberi faham bahawa sikap terbuka dan berlapang dada terhadap perbezaan pandangan dan pegangan ini ada ruang dan bidangnya, BUKAN semua perkara dan bukan semua bidang kita boleh mengambil sikap terbuka dan berlapang dada ini. Malah, ada ruang dan bidang yang kita wajib bertegas, bahkan di sana ada bidang dan tanggungjawab bagi yang berkuasa untuk berkeras demi menjaga keutuhan akidah dan kekukuhan syariat.


PERTAMA, terbuka dan berlapang dada adalah pada perkara cabang atau furu’ dan BUKAN pada perkara pokok atau usul. Oleh kerana itu, perbezaan pendapat dan pandangan di dalam perkara furu’ fiqhiyyah tidak sepatutnya sampai membawa perbalahan dan perpecahan sebagaimana perbezaan di dalam usul i’tiqadiyyah. Perbezaan di dalam perkara usul adalah serius dan ummat perlu bertegas di dalam mempertahankan aqidah Ahlis Sunnah wal Jamaah kerana kesilapan di dalam perkara usul sebegini bukan sahaja memudaratkan dunia ummat Islam bahkan juga bakal menderitakan akhirat mereka. Kita diberi amaran oleh Junjungan Nabi Muhammad SAW bahawa perpecahan di sini, di dalam perkara usul, akan membawa kesemua firqah yang berbeza dan berpecah itu ke neraka KECUALI satu sahaja:

ستفترق أمتي على ثلاث وسبعين فرقة، كلها في النار إلا واحدة وفي رواية: قيل: فمن الناجية؟ قال: ما أنا عليه وأصحابي 

“Akan berpecah ummatku kepada tujuh puluh tiga puak, kesemuanya masuk ke neraka kecuali satu.” Di dalam suatu riwayat, baginda ditanya “Siapakah golongan yang selamat itu?”. Jawab baginda: “Golongan yang mengikut jalanku dan jalan para sahabatku”.


KEDUA, terbuka dan berlapang dada adalah pada perkara yang BUKAN DISEPAKATI. Adapun perkara-perkara dan hukum-hukum yang telah disepakati oleh Ummat Islam, kita telah diberi amaran di dalam AlQuran agar tidak menyalahinya. Surah AnNisa’ (4:115) sebagaimana yang diistinbath oleh Al-Imam Asy-Syafie rahimahulLah dan dipersetujui oleh ulama-ulama yang lain memberi amaran bahawa sesiapa yang melakukan kesalahan melanggar kesepakatan ummat ini akan dibakar di dalam neraka Jahannam. Hakikat ini adalah suatu yang sedia maklum di kalangan mereka yang belajar Usul Fiqh di dalam bab حجية الإجماع. Ijma’ merupakan benteng yang kukuh yang memperisai agama ini dari diruntuhkan menggunakan alasan kebebasan berpendapat dan keterbukaan terhadap pendapat yang berbeza.


Oleh itu, sekali ummat telah IJMA'’ bahawa sembahyang 5 waktu adalah kefardhuan, pendapat berbeza yang mengatakan sembahyang yang fardhu cuma tiga waktu sahaja, misalnya, adalah pendapat yang tidak boleh disambut dengan dada yang terbuka, sebaliknya perlu ditentang sekeras-kerasnya. Mereka yang sampai kepada kesimpulan yang berbeza dari kesepakatan ini kononnya melalui “ijtihad” mereka, bukan sahaja wajib ditentang dengan hujjah dan burhan, malah perlu dihukum oleh penguasa melalui pencegahan dan hukuman. Oleh sebab pentingnya menjaga kesepakatan ummat ini dari diperkotak katikkan oleh sesiapa jua walau sehebat manapun ilmunya, ummat Islam di Malaysia, masyarakat awam dan ulamanya, bangkit menentang dan membantah fatwa seseorang yang suatu waktu dulu mendakwa bahawa seorang wanita boleh menjadi pelacur sekiranya terdesak untuk mencari nafkah. Fatwa songsang sebegini melanggar kesepakatan ummat yang menghukum haram perbuatan zina walau dipaksa melakukannya dan diancam bunuh sekalipun. Kita TIDAK DIBENARKAN mengambil sikap terbuka dan berlapang dada mengatakan itu adalah pendapat dan pandangan orang tersebut. Ia hakikatnya adalah suatu pandangan yang tertolak dengan ijmak ulama, terbatal oleh kesepakatan ummat.


BERBEZA halnya di dalam perkara-perkara yang tidak disepakati, perkara-perkara khilafiyyah. Di sini kita dituntut supaya berlapang dada dengan pendapat yang berbeza. Sikap terbuka bahawa pendapat kita betul tetapi berkemungkinan silap dan pendapat orang lain silap tetapi berkemungkinan betul sangat dialu-alukan. Oleh sebab itu di dalam perkara-perkara seperti sunat atau tidak sunat membaca doa Qunut, wajib atau tidak wajib membaca basmalah di dalam Fatihah solat, batal atau tidak batal wudhuk kerana tersentuh kulit lelaki dan wanita yang bukan mahram tanpa syahwat, wajib atau tak wajib solat witir, haram atau makruh menghisap rokok dan masalah-masalah khilafiyyah seumpamanya, kita memang dituntut supaya berlapang dada. Tidak perlu sampai membidaah sesatkan ummat Islam yang membaca qunut Subuh atau menghukum berdosa yang solat dengan fatihah tanpa basmalah dan seumpamanya. Malah sejarah mencatatkan bahawa Imam yang mulia, Imam Syafie rahimahulLah pernah solat Subuh berhampiran maqam Imam Abu Hanifah rahimahulLah dan meninggalkan bacaan qunut kerana terbuka menghormati pendapat Imam Abu Hanifah yang  bermaqam di situ. Mazhab Hanafi tidak sampai menghukumkan berdosa pengikut Mazhab Syafie yang meninggalkan solat witir dan Mazhab Syafie pula sampai menukar pendapat mereka yang mengatakan seafdhal-afdhal solat sunat itu solat sunat fajar kepada solat sunat witir kerana berlapang dada meraikan pendapat saudara-saudara mereka yang bermazhab Hanafi yang meletakkan solat witir sebagai suatu kewajiban.


KEMBALI, HUKUM HARAM BAGI UMMAT ISLAM melakukan perkara-perkara atau usaha-usaha bagi mengangkat orang bukan Islam sebagai ولي الأمر , sebagai orang atau badan yang mempunyai سلطة autoriti atau kuasa ke atas ummat Islam adalah suatu hukum yang DISEPAKATI oleh ulama-ulama ummat Islam zaman berzaman sehinggalah ianya cuba dipertikaikan, diberi penafsiran berbeza dan seumpamanya kebelakangan ini. TANPA MERENDAHKAN ilmu, kehebatan mahupun keikhlasan individu-individu atau kumpulan-kumpulan yang cuba melakukan perobekan terhadap kesepakatan ummat ini, perkara ini sebagaimana yang diterangkan di atas adalah perkara yang TIDAK BOLEH DIBENARKAN. Soal perkara ini telah dan mungkin sedang berlaku adalah soal yang berbeza. Sama halnya, hakikat bahawa telah ada, sedang ada dan mungkin akan terus ada ummat Islam yang minum arak, berjudi dan melakukan kemaksiatan-kemaksiatan seumpamanya tidak bermakna ummat Islam dibenarkan untuk merobekkan kesepakatan ummat dengan mengeluarkan fatwa menghalalkan perbuatan-perbuatan tersebut. Melanggar hukum adalah suatu kesalahan, menidakkan hukum merupakan kesalahan yang LEBIH BESAR. Oleh kerana itu, seorang Islam yang meninggalkan solat dengan sengaja tetapi masih mengakui kewajiban solat, misalnya, cuma dihukum fasiq, berdosa besar, oleh jumhur ulama TETAPI seorang Islam yang menafikan kewajiban solat dihukum kafir terkeluar dari Islam oleh semua ulama.


Tidak pernah diketahui sebarang KHILAF tentang ketidak layakan orang bukan Islam diberi سلطة ke atas orang Islam. Jangankan diangkat menjadi pemimpin, wakil rakyat, ahli parlimen, ADUN dan seumpamanya, ulama sepakat seorang kafir tidak diberi autoriti atau wilayah hatta untuk menikahkan anak perempuannya sendiri. Padahal, kalau kita timbangkan dengan logic akal semata-mata, apalah yang mudarat sangat kalau kita benarkan bapa yang kafir ini menjadi wali nikah anak perempuannya sendiri? Namun, sepakat ulama tidak membenarkan. Seorang kafir tidak dibenarkan mempunyai autoriti sebagai suami kepada isteri yang muslimah dan seorang perempuan yang musyrik tidak diberikan autoriti untuk menjadi isteri mentadbir rumah tangga seorang muslim atau sebagai ibu yang mempunyai autoriti mendidik anak-anak yang muslim. Di zaman perhambaan masih diamalkan, hamba Muslim tidak dibenarkan dijual kepada tuan yang kafir dan seterusnya. JANGAN KERANA KEPENTINGAN PERCATURAN POLITIK kita sampai merubah hukum Allah yang telah disepakati ini. Mereka yang belajar dan faham kaedah fiqhiyyah, mereka tahu bahawa walaupun ‘adalah العدالة (tidak fasiq) merupakan syarat lantikan pemimpin, namun sekiranya kefasikan itu berlaku setelah dilantik menjadi pemimpin, maka ulama ada yang berpendapat bahawa tidak boleh dipecat pemimpin yang telah terlantik itu. BERBEZA halnya dengan kekufuran. Bukan sahaja ulama sepakat bahawa tidak sah melantik pemimpin yang kafir, malah sekiranya والعياذ بالله kekufuran itu sabit berlaku setelah terlantik menjadi pemimpin, maka ulama juga sepakat bahawa pemimpin tersebut wajib dipecat! Kalau telah terlantik sekalipun, hukum agama menuntut agar dipecat pemimpin berkenaan disebabkan kekufuran yang mendatang, apatah lagi sekiranya kekufuran yang asal, adakah halal dilantik?


Saudara-sudaraku seIslam, TANPA MENGIRA PARTI DAN KECENDERUNGAN POLITIK kalian, jangan lah sampai kecenderungan dan percaturan politik kita sehingga mendorong kita tergamak menafikan atau melentur-lenturkan hukum hakam yang ditetapkan oleh Allah SWT sebagaimana yang diterjemahkan oleh kesepakatan para ulama. Kalau kalian tidak mampu untuk patuh, jangan sampai kalian tergamak mengubah hukum. Apabila imam membaca surah At-Thin dan selesai melantunkan ayat terakhir 95:8 أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَحْكَمِ الْحَاكِمِينَ "Tidakkah Allah SWT itu sebijak-bijak yang bijaksana?", kita menjawab dan mengaku: بلى، وأنا على ذلك من الشاهدين "bahkan, sudah tentu dan saya menjadi salah seorang saksi di atas yang demikian itu!" Malang, tingkah laku dan perbuatan kita ada masanya jelas mendustakan pengakuan kita. Tingkah laku dan perbuatan kita seolah-olah berkata dengan lisanul hal "kami ya Allah lebih bijaksana daripada Mu" والعياذ بالله.


DAF'USY SYUBUHAAT دفع الشبهات (menolak kesamaran-kesamaran)

1) SYUBHAH bahawa pengundian calon PRU bukan pemilihan pemimpin. Ada juga saya dapati sebahagian dari ummat Islam sendiri yang cuba menimbulkan syubhah (kesamaran) dengan dakwaan bahawa pemilihan calon di dalam PRU bukan proses memilih pemimpin, cuma memilih "wakil rakyat" sahaja. Ini jelas adalah suatu kenyataan daripada orang yang samada ingin mengelirukan orang lain atau dia sendiri terkeliru dengan realiti. Di dalam kitab الأحكام السلطانية susunan Al-Imam Al-Mawardi rahimahulLah beliau menerangkan syarat-syarat mereka yang layak dilantik ke jawatan-jawatan tertentu termasuk sebagai kepala negara, dipanggil "Imam" yang memegang "Imamah" إمامة, atau Menteri-menteri yang berkuasa, yang memegang "Wizarut tafwidh" وزارة التفويض atau pegawai-pegawai kerajaan yang menjalankan arahan, yang memegang "wizaratut tanfiz" وزارة التنفيذ. Dari ketiga-tiga jawatan ini, dua daripadanya iaitu imamah dan wizaratut tafwidh, Imam Mawardi berpegang, sebagaimana yang disepakati oleh ulama-ulama yang lain, bahawa salah satu daripada syarat-syarat sah perlantikannya mestilah orang yang dilantik itu seorang Islam. Cuma di dalam jawatan ketiga iaitu wizaratut tanfiz, Imam Al-Mawardi berbeza pendapat berbanding jumhur ulama dengan membenarkan orang bukan Islam (yang dikategorikan sebagai kafir zimmi, yang mempunyai aqad zimmah dengan pemerintah Islam, BUKAN kafir harbi) dilantik ke jawatan tersebut. PERSOALAN: siapakah wazirut tanfiz yang boleh dilantik orang bukan Islam kafir zimmi menjawatnya? Tentulah apa yang dimaksudkan olah Imam Al-Mawardi, maka Imam Al-Mawardi sendiri lah yang lebih layak menerangkannya. Kata beliau:

وأما وزارة التنفيذ فحكمها أضعف وشروطها أقل لأن النظر فيها مقصور على راي الإمام وتدبيره وهذا الوزير وسط بينه وبين الرعايا والولاة يؤدي عنه ما أمر وينفذ عنه ما ذكر ويمضي ما حكم ويخبر بتقليد الولاة وتجهيز الجيوش ويعرض عليه ما ورد من مهم وتجدد من حدث ملم ليعمل فيه ما يؤمر به فهومعين في تنفيذ الأمور وليس بوال عليها ولا متقلدا لها فإن شورك في الرأي كان باسم الوزارة أخص وإن لم يشارك فيه كان باسم الواسطة والسفارة أشبه وليس تفتقر هذه الوزارة إلى تقليد وإنما يراعى فيها مجرد الإذن ولا تعتبر في المؤهل لها الحرية ولا العلم لأنه ليس له أن ينفرد بولاية ولا تقليد فتعتبر فيه الحرية ولا يجوز له أن يحكم فيعتبر فيه العلم وإنما هو مقصور النظر على أمرين أحدهما أن يؤدي إلى الخليفة والثاني أن يؤدي عنه فيراعي فيه سبعة أوصاف

Terjemahannya (saudara-saudaraku, pohon betulkan sekiranya tidak tepat): "Adapun wizaratut tanfiz, maka hukumnya adalah lebih lemah (berbanding wizaratut tafwidh) dan (oleh itu) syarat-syaratnya adalah kurang kerana pertimbangan di dalam wizarah ini terhad kepada keputusan dan tindakan Imam (ketua negara). Wazir jenis ini (hakikatnya) adalah orang tengah (intermediary) antara ketua negara dan rakyat dan antara ketua negara dan penguasa-penguasa yang dilantik, (wazir jenis ini semata-mata) menjalankan apa yang diperintahkan oleh ketua negara dan melaksanakan apa yang disuruh olehnya dan menjayakan apa yang diputuskan oleh ketua negara. Dan (wazir jenis ini juga) menyampaikan berita perlantikan penguasa-penguasa dan memaklumkan tentang persiapan tentera-tentera. Wazir jenis ini pula diberi maklum tentang perkara-perkara penting yang berlaku dan perkembangan-perkembangan baru yang terjadi AGAR DIA DAPAT MENJALANKAN TUGAS-TUGAS YANG DIARAHKAN (oleh ketua negara) UNTUK DIA LAKUKAN KERANA DIA DIPILIH UNTUK MENJALANKAN TUGAS DAN BUKAN SEBAGAI YANG BERKUASA KE ATASNYA (sebagaimana halnya Imam) DAN BUKAN JUGA DILANTIK BAGINYA (sebagaimana halnya wazirut tafwidh). Sekiranya dia diajak untuk turut serta memberi pandangan, maka nama "wizarah" adalah lebih khusus dan sekiranya dia tidak diajak sama untuk memberi pandangan maka nama "wasithah" (perantara) atau "saffarah" (kedutaan) adalah lebih sesuai. Wizarah ini tidak perlu kepada lantikan (daripada ketua negara), cukuplah diambil kira semata-mata keizinan (daripada ketua negara). Dan tidak disyaratkan pada yang mampu (menjadi wazirut tanfiz ini) kemerdekaan (bukan hamba sahaya) dan tidak (disyaratkan juga) ilmu pengetahuan KERANA tidak dibenarkan dia (wazirut tanfiz) secara sendirian (tanpa kebenaran daripada ketua negara) mentadbir sesuatu perkara atau melantik sesuatu jawatan sehinggakan perlu disyaratkan kemerdekaan (jadi, tidak perlu merdeka, hamba sahaya pun boleh dijadikan wazirut tanfiz). Dan dia juga tidak dibenarkan memutuskan sesuatu keputusan sehinggakan perlu disyaratkan pada dirinya ilmu pengetahuan (jadi, tidak disyaratkan). Dia semata-mata terhad bidang kerjanya kepada dua perkara, PERTAMA: menyampaikan (maklumat-maklumat dan perkembangan-perkembangan) kepada ketua negara dan KEDUA: menyampaikan (kepada rakyat atau kepada penguasa-penguasa apa-apa maklumat atau keputusan) daripada ketua negara. Oleh itu disyaratkan (untuk layak menjadi wazirut tanfiz) tujuh sifat (syarat) .... Lalu Al-Imam Al-Mawardi menghuraikan syarat-syarat wazirut tanfiz yang tujuh tersebut.


Sesiapa yang membaca dan memahami secara jujur dan membuka fikiran kepada realiti, akan dapat menangkap bahawa apa yang dimaksudkan oleh Al-Imam Al-Mawardi dengan wizaratut tanfiz lebih kepada penjawat awam yang bertanggungjawab melaksanakan arahan dan keputusan kerajaan semata-mata dan bukan merangka polisi atau membuat keputusan. Antara contoh-contoh wazirut tanfiz juga adalah seumpama duta atau konsul yang dilantik atau Ketua Jabatan dan Ketua Pengarah yang tidak bebas membuat keputusan atau merangka polisi, sekadar menjalankan sahaja polisi-polisi yang telah ditetapkan kerajaan dan menyampaikan sahaja keputusan-keputusan kerajaan.


BANDINGKAN dengan ahli-ahli parlimen atau ahli-ahli DUN yang dilantik melalui pilihanraya di  Malaysia. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kuasa dan wewenang mereka meletakkan mereka BUKAN SAHAJA pada kedudukan yang sangat jauh tinggi berbanding wazirut tanfiz, malah tidak jauh dari realiti jika dikatakan kekuasaan dan wewenang mereka adalah pada kedudukan di antara Imamah dan wizaratut tafwidh.


Cuba lihat apakah yang boleh dilakukan oleh (bidang kuasa) ahli-ahli Parlimen di Malaysia -ahli-ahli Dewan Rakyat terutamanya- yang juga merupakan gambaran bidang kuasa ADUN pada skala yang lebih kecil, sedikit berbeza dan di bawah skop negeri berbanding skop persekutuan kerana meraikan senarai negeri dan senarai persekutuan yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ahli-ahli Parlimen di Malaysia ADA KUASA, malah ianya adalah badan khas penggubalan (legislative body) yang berkuasa untuk menggubal, meminda dan memansuhkan undang-undang. Dengan kesepakatan 2/3 dari mereka, bukan sekadar Akta Parlimen biasa boleh digubal, dipinda dan dimansuhkan, MALAH Perlembagaan Persekutuan juga boleh dipinda atau digantikan. Sokongan majoriti mereka secara konvensyen dan berdasarkan peruntukan perlembagaan bakal menentukan siapakah yang bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia, iaitu ketua eksekutif tertinggi secara realiti kerana Yang DiPertuan Agung, berdasarkan undang-undang, berfungsi di bawah konsep raja berpelembagaan dan bukan raja yang benar-benar berkuasa seperti di dalam sejarah kesultanan Melayu. Perdana Menteri selain berperanan secara legislative sebagai ahli Parlimen berperanan secara executive bersama-sama dengan ahli-ahli kabinet yang kebanyakannya, kalaupun tidak kesemuanya merupakan ahli-ahli Dewan Rakyat. Dari sudut ini lah calon-calon PRU yang berjaya diangkat menjadi ahli-ahli Dewan Rakyat sebenarnya adalah lebih tinggi kedudukan dan lebih luas kuasa mereka berbanding mereka yang diberi kepercayaan memegang jawatan di dalam wizaratut tafwidh (yang sepakat ulama mensyaratkan wajib beragama Islam) kerana wazir tafwidh dilantik dan dipecat oleh ketua negara, sedangkan di dalam sistem Raja berpelembagaan di Malaysia, ahli-ahli parlimen sebenarnya yang menentukan siapakah yang bakal dilantik oleh YDPA ke jawatan ketua eksekutif tertinggi itu. Polisi dalam dan luar negeri juga bakal ditentukan oleh ahli-ahli Parlimen yang membentuk kerajaan.


Untuk maklumat yang lebih mendalam dan terpeinci, seseorang perlu mengetahui tentang undang-undang perlembagaan atau sekurang-kurangnya tentang sistem undang-undang dan pemerintahan Malaysia. Memadailah dengan maklumat yang sedikit ini untuk seseorang yang mahu melihat secara objektif sedar dan yakin bahawa ahli-ahli Parlimen dan ahli-ahli DUN di Malaysia BUKAN sama sekali menjawat wizaratut tanfiz yang sebahagian ulama membenarkan untuk diizinkan kepada yang bukan beragama Islam, yang berstatus kafir zimmi. Ia adalah jawatan yang hakikatnya telah menghampiri imamah secara collective. Kalaupun jawatan ahli Parlimen dan ADUN tidak mahu dikatakan lebih tinggi sekalipun dari wizaratut tafwidh, jelas dan terang ia sama sekali tidak lebih rendah dari jawatan wizaratut tafwidh yang sepakat ummat Islam mensyaratkan penjawatnya beragama Islam. Perlanggaran terhadap kesepakatan hukum inilah yang sangat membimbangkan kerana sebagai orang yang beriman, kita yakin seyakin-yakinnya bahawa hukum-hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT pasti ada maslahah (kebaikan) kepada manusia dan alam semesta ini dan oleh itu, perlanggaran terhadap mana-mana hukum yang telah disepakati oleh ummat pasti membawa mudarat dan bencana kepada ummat Islam khususnya dan kepada ummat manusia amnya. (Lihat misalnya perbincangan tentang hakikat ini di dalam الموافقات karya Al-Imam Asy Syatibi rahimahulLah).


2) SYUBHAH KEWAJIBAN MENGHAPUSKAN KEZALIMAN: Antara SYUBHAH yang timbul atau ditimbulkan oleh sebahagian ummat Islam adalah mengundi orang kafir menjadi ahli Parlimen atau ahli DUN adalah dibenarkan kerana ulama sepakat bahawa menghapuskan kezaliman adalah suatu kewajiban. لا حول ولا قوة إلا بالله العلي العظيم ... Begitu mudah hukum keharaman mengangkat orang kafir ke kedudukan yang mempunyai سلطة (authority) ke atas ummat Islam (termasuk menjadi hakim atau qadhi, bukan sahaja menjadi ahli Parlimen dan ADUN) yang telah disepakati oleh ulama Islam zaman berzaman dirobek. Saya merasa sangat terkejut dan dalam masa yang sama sedih membaca kenyataan seorang sahabat yang saya hormati, yang saya anggap seperguruan dengan saya kerana pernah sama-sama menadah kitab menimba ilmu ketika di bumi anbiya dulu. Sekali lagi, saya tidak mempertikaikan keilmuan dan keikhlasan beliau. Namun, rasa hormat dan persahabatan tidak boleh sampai membutakan mata saya terhadap kekeliruan besar yang timbul dari kenyataan yang beliau umumkan. Kata beliau:

"Tidak ada sebarang masalah bagi orang Islam untuk mengundi calon bukan Islam pada PRU 13 nanti jika langkah itu boleh menjuruskan ke arah menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman yang berlaku di dalam negara ini kerana para ulama Islam sepakat bahawa menghapuskan kezaliman adalah wajib".


Ya, ulama Islam sepakat bahawa menjadi suatu kewajiban untuk menghapuskan kezaliman. Ya, ulama Islam juga sepakat menjalankan kaedah bahawa "kemudaratan itu perlu dihilangkan" الضرر يُزال. Namun kewajiban ini sebagaimana kewajiban- kewajiban yang lain ada cara dan peraturan bagaimanakah ia sepatutnya dilaksanakan. Kaedah الضرر يزال juga sebagaimana kaedah-kaedah yang lain perlu dibaca dan diamalkan bersama-sama dengan kaedah-kaedah berkaitan supaya perlaksanaannya tidak menjadi pincang dan maksud besar menjaga syariah tidak sampai terjejas atau terancam. Kaedah الضرر يزال dilaksanakan dengan terikat kepada kaedah yang memandu iaitu الضرر لا يزال بالضرر iaitu kemudaratan tidak dihapuskan dengan kemudaratan yang lain. Di dalam kaedah yang berkaitan juga, secara lebih terpeinci boleh diterangkan bahawa الضرر لا يزال بمثله أو بما هو أشدّ منه iaitu kemudaratan itu tidak boleh dihapuskan dengan kemudaratan yang sama atau lebih teruk darinya. Kezaliman (secara asasnya apabila kita meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya, kita telah berlaku tidak adil, atau secara definisi, kita telah berlaku zalim) tanpa ragu-ragu adalah suatu bentuk kemudaratan. Oleh itu kezaliman perlu diusahakan untuk dihapuskan, namun bukan dengan kezaliman yang sama dengannya, apatah lagi dengan kezaliman yang lebih besar dan teruk kerana jika yang demikian berlaku, nescaya kewajiban menghapuskan kezaliman itu hakikatnya tidak terlaksana kerana di tempat kezaliman yang lama wujud pula kezaliman lain yang sama atau lebih teruk daripadanya.


Maklum, bahawa kufur dan syirik adalah sebesar-besar dosa dan kezaliman sehinggakan dosanya, berbeza dengan dosa-dosa besar yang lain, tidak akan diampunkan sama sekali oleh Allah SWT sekiranya si pelakunya mati di dalam keadaan tidak bertaubat daripadanya. Oleh itu, pemerintah Islam yang fasiq tidak boleh dihilangkan kemudaratannya dengan melantik pula pemerintah yang kafir. Malah, perbuatan melantik penguasa atau pemerintah yang kafir itu sendiri merupakan suatu kezaliman dari sudut melanggar hukum Allah SWT yang telah disepakati dan juga dari sudut meletakkan seseorang yang jelas tidak layak memikul amanah kepimpinan pada tempat yang tidak selayaknya. Pemerintah dan penguasa Islam asalnya tidak boleh dilantik dari kalangan orang yang fasiq (yang masih sah dijadikan imam solat), namun sekiranya dia menjadi fasiq ketika telah dilantik, masih ada ulama yang berpandangan bahawa dia dikekalkan di dalam jawatannya. Berbeza halnya dengan yang kafir (yang memang tidak sah perlantikannya walau sekadar menjadi imam solat), sepakat ulama memutuskan bahawa kekufurannya menjadi penghalang bukan sahaja untuk dilantik menjadi penguasa, malah turut menjadi penghalang untuk dia dikekalkan di dalam jawatan penguasa.


Ayat "jika langkah itu boleh menjuruskan ke arah menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman" di dalam kenyataan di atas sebenarnya adalah a big IF, not to say an impossible IF. Seolah-olah kita افتراض التلازم mengandaikan ada kemestian di antara perbuatan memenangkan calon bukan Islam menjadi penguasa dan pemimpin dengan natijah "menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman". This IF is not only difficult to ascertain, it is also, from syariah viewpoint شرعاً, impossible kerana perbuatan mengangkat orang bukan Islam menjadi penguasa dan pemimpin ke atas ummat Islam itu sendiri merupakan ketidakadilan dan kezaliman. Belum lagi mengambil kira realiti di sekeliling kita baik yang berbentuk sejarah atau semasa bahawa apabila ummat Islam diberi amanah menjadi pemimpin, tidak dicatatkan berlaku kezaliman ke atas orang-orang bukan Islam semata-mata kerana mereka bukan Islam. Sekiranya berlaku kezaliman sekalipun, maka kezaliman itu disebabkan ketidak amanahan pemerintah yang mengenai semua rakyat, baik yang beragama Islam mahupun yang bukan. Tetapi keadaan yang sama tidak boleh dipertahankan apabila kedudukan adalah sebaliknya, apabila ummat Islam dibenarkan diperintah oleh yang bukan Islam, kezaliman, malah kekejaman yang bersifat pembunuhan dan penumpahan darah telah kerapkali memerahkan lembaran sejarah. Hairan, ramai ummat Islam yang rajin berkongsi maklumat tentang nasib malang yang menimpa ummat Islam di negeri-negeri yang dikuasai oleh bukan Islam, berkongsi gambar dan fakta tentang penderitaan ummat Islam di Palestin, di Bosnia, di selatan Thailand, di Myanmar dan pelbagai lagi dengan ayat-ayat doa dan simpati, namun tidak mahu mengambil pengajaran bahawa yang layak mentadbir ummat Islam tanpa diskriminasi dan penindasan agama adalah ummat Islam juga. Sekiranya ada pemimpin ummat Islam yang berlaku zalim kepada rakyat di bawah pimpinannya, maka itu adalah pecah amanah yang bakal mengenai rakyat tanpa mengira agama. Maka dia akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di atas dosa kesalahan pecah amanah ini.


3) SYUBHAH hubungan RasululLah SAW dengan orang-orang bukan Islam di Madinah. Ada juga kesamaran yang dibangkitkan oleh sebahagian masyarakat Islam bagi menghalalkan perbuatan melantik orang kafir menjadi ahli Parlimen dan ahli DUN dengan alasan RasululLah SAW ketika di Madinah pun mengatur hubungan baik di antara masyarakat majmuk di sana yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama. Oleh itu, kata mereka, kita di Malaysia yang mempunyai masyarakat yang berbilang kaum dan agama juga boleh melantik orang bukan Islam menjadi ahli Parlimen dan ahli DUN. Dakwaan sebegini memang "sedap" di dengar dan diwar-warkan kepada masyarakat. "Nabi dulu pun buat!" itu lah ayat yang menjadi "dalil qathie", yang merupakan "bukti pasti" mereka. Namun, dari segi usul fiqh perkaitan sebegini dipanggil qiyas قياس kerana memanjangkan hukum mansus منصوص (perbuatan yang ditetapkan hukum di dalam nas, di sini menyusun atur hak dan tanggungjawab serta hubungan rakyat pelbagai kaum dan agama) kepada yang tidak mansus غير المنصوص (perbuatan yang tidak ditetapkan secara jelas hukumnya di dalam nas, di sini kita andaikan ia kononnya adalah perbuatan mengangkat orang bukan Islam menjadi ahli Parlimen dan ahli DUN) kerana persamaan 'illah علة (asas hukum) antara kedua-duanya yang mansus dan yang tidak.


Pertama, qiyas sebegini adalah terbatal dari awal dan tidak sah kerana maklum di dalam usul fiqh, qiyas ini ibarat tayammum bagi orang yang ketiadaan air, batal hukum tayammum dengan mendapatkan air. Begitu juga qiyas terpaksa digunakan untuk mengenalpasti hukum apabila tiada nas yang menunjukkan kepada hukum. Sedangkan di dalam perbuatan mengangkat orang kafir menjadi penguasa dan pihak berautoriti, penggubal undang-undang, pembentuk perlembagaan, penetap polisi, pemilih kepada ketua tertinggi negara, bukan sahaja sudah terdapat nas yang sarih dari Al-Quran dan Al-Hadith, malah di sana ada ijma' yang menetapkan keharamannya.


Kedua, kalaupun for the sake of argument kita mahu menganggap sejenak bahawa boleh dilakukan qiyas di dalam perkara ini, ia tetap merupakan qiyas yang bathil, qiyas yang berbeza قياس مع  فارق kerana asas utama qiyas tidak wujud di sini iaitu العلة المشتركة, asas hukum yang dikongsi bersama. Jangan katakan asas hukum yang sama, kedua-dua perkara yang cuba dikaitkan ini hakikatnya merupakan dua perkara yang sangat berbeza sifat dan hukum. Di Madinah, Nabi Muhammad SAW merupakan ketua negara. Baginda cuma menyusun atur dan menjelaskan hak dan tanggungjawab penduduk-penduduk Madinah yang pelbagai kaum dan agama yang sememangnya disepakati sebagai salah satu tanggungjawab pemerintah Islam. Baginda tidak pernah melantik orang kafir menjadi pemimpin atau penguasa di Madinah, apatah lagi berpakat dengan kaum kafir untuk menjatuhkan sesama Islam. Kesepakatan cuma pada sama-sama mempertahankan Madinah sebagai rakyat Madinah dari serangan musyrikin Mekah dan musuh-musuh Islam yang lain. Apabila janji setia ini dikhianati, Baginda dengan bimbingan wahyu daripada Allah SWT terus mengambil tindakan tegas seperti yang berlaku kepada Yahudi Bani Quraizhah yang khianat dan memihak kepada musuh di dalam peperangan Ahzab. Bagai Timur dan Barat "Qiyas" yang cuba mereka samarkan di dalam rangka merobek hukum yang telah disepakati ummat. ولا حول ولا قوة إلا بالله العلي العظيم.


4) SYUBHAH persamaan dengan perjanjian Hudaibiyah. Ada juga di sana kecenderungan untuk menyamakan apa yang dinamakan mereka sebagai tahaluf siyasi ini (seterusnya menghalalkan perlantikan kafir ke kedudukan yang berkuasa ke atas ummat Islam) dengan apa yang dilakukan oleh RasululLah SAW di dalam perjanjian Hudaibiyah. Kesimpulan daripada perbandingan yang dilakukan oleh mereka adalah sebagaimana RasululLah SAW melakukan perjanjian Hudaibiyah dengan musyrikin Quraisy demi kemaslahatan dan kebaikan ummat Islam begitu juga ummat Islam sekarang boleh melakukan tahaluf siyasi dengan kafir musyrik demi "menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman". Begitu juga mereka membayangkan bahawa sebagaimana ada di kalangan sahabat-sahabat Nabi SAW yang tidak berpuas hati dengan terma-terma perjanjian tersebut yang dilihat mereka secara zahirnya merugikan ummat Islam, ada di kalangan ummat Islam sekarang yang "tidak faham" bakal menentang tahaluf siyasi yang dianjurkan mereka ini. Sepatutnya, rumus mereka, sebagaimana sahabat-sahabat Nabi yang tidak selesa dengan perjanjian Hudaibiyah sabar dan tunduk, begitu juga ummat Islam sekarang patut sabar dan tunduk kepada tahaluf siyasi ini. معاذ الله


Pertama, seperti yang telah saya jelaskan di atas, ayat-ayat power "Nabi pun dulu buat" ini memang laris dijual dan dijaja, namun bakal tersungkur bila dinilai secara ilmiah. Qiyas ini void ab initio, terbatal dari awal, kerana qiyas dilakukan pada perkara yang telah ada hukumnya dari nas dan ijma'. Sepaling kuat pun qiyas di dalam perkara yang telah mansus sebegini sekadar menguatkan sandaran hukum, tiada upaya untuk melawan hukum yang telah ada nas, apatah lagi untuk merobek ijmak.


Kedua, for argumental sake, let just assume for a while bahawa soal mengangkat orang kafir menjadi pihak yang berautoriti ke atas ummat Islam ini belum ada hukum. Masih, mengikut neraca usul fiqh, qiyas ini merupakan qiyas yang tidak sah dan terbatal kerana ianya qiyas antara dua perkara yang berbeza قياس مع فارق yang langsung tidak berkongsi asas hukum yang sama.

1) Perjanjian Hudaibiyah adalah perjanjian antara pemerintah Islam dan pihak berkuasa kafir membabitkan gencatan senjata, memberhentikan peperangan untuk suatu tempoh yang dipersetujui sedangkan tahaluf siyasi adalah persefahaman antara segolongan ummat Islam dan segolongan orang kafir bagi tujuan menaikkan diri mereka masing-masing Islam dan Kafir ke tampuk kuasa dan pemerintahan. Perjanjian yang pertama memang jelas dibenarkan dilakukan oleh pemerintah Islam demi kemaslahatan ummat, sedangkan persefahaman yang kedua membawa kepada natijah melanggar hukum yang telah disepakati oleh ulamak ummat.

2) Sahabat-sahabat Nabi SAW yang tidak selesa dengan sebahagian dari terma-terma perjanjian Hudaibiyah tersebut tunduk dan bersabar kerana mematuhi hukum iaitu taat kepada apa yang dibawa oleh Junjungan RasululLah SAW sedangkan natijah dari tahaluf siyasi adalah mengajak ummat Islam "bersabar" di dalam melanggar hukum yang dibawa oleh RasululLah sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Quran dan Al-Hadith dan menyeru ummat supaya "berlapang dada" di dalam perbuatan merobek ijmak.


5) SYUBHAH حلف الفضول. Sesiapa yang cepat memahami usul dan kaedah, akan dapat memahami bahawa syubhah حلف الفضول juga terbatal kerana menyalahi kaedah istinbath hukum, khasnya di dalam masalah Qiyas seperti yang diterangkan di atas. Selain dari isu cegahan melakukan qiyas pada perkara yang telah diketahui hukumnya dari nas dan ijmak, percubaan untuk menyamakan حلف الفضول dengan perbuatan tahaluf siyasi yang membawa kepada perlantikan orang kafir ke kedudukan dan jawatan yang berautoriti ke atas orang Islam adalah JELAS merupakan qiyas yang bathil kerana ia merupakan  قياس مع فارق qiyas yang mempunyai perbezaan, malah perbezaan yang sangat besar. Di dalam حلف الفضول RasululLah SAW sebelum baginda diangkat menjadi Rasul turut serta berjanji setia dengan kaum musyrikin Quraisy dan baginda ada menyebut selepas kerasulan baginda bahawa sekiranya baginda diajak lagi untuk menyertai حلف الفضول nescaya baginda akan setuju. Bacalah dan pelajarilah sejarah حلف الفضول, nescaya saudara-saudaraku dapat melihat bahawa ianya adalah kesepakatan untuk memberi tekanan ke atas orang merampas atau menahan hak orang yang berhak supaya dia memulangkan semula atau menunaikan hak tersebut. Di dalam tahaluf siyasi yang bernatijah meletakkan orang-orang kafir sebagai pemimpin dan penguasa, kesepakatan adalah untuk memberi sesuatu kuasa dan kedudukan kepada yang BUKAN berhak. Wilayah kepimpinan di dalam Islam haram secara ijmak untuk diberi kepada orang kafir, bagaimana saudara-saudaraku tergamak menqiyaskan yang haram dilakukan iaitu menyerahkan kuasa kepada yang tidak layak, menyerahkan amanah kepada yang bukan ahlinya, saudara-saudaraku samakan dengan perkara yang dibenarkan iaitu bantu membantu mengembalikan hak kepada yang berhak? Ya, sekiranya di dalam kampung atau taman kita ada jiran kita yang bukan Islam disamun dan dirompak hartanya oleh perompak yang kebetulan beragama Islam atau bukan Islam, kita dibenarkan malah dituntut untuk berpakat bantu membantu bagi memulangkan harta yang dirampas dan dirompak tersebut kepada tuan yang berhak, walaupun bukan beragama Islam. Secara practical, di zaman kita sekarang tugas ini biasanya dilakukan oleh pihak berkuasa keselamatan iaitu pihak polis. Apapun, tiada halangan untuk kita melakukan seumpama حلف الفضول dengan ahli masyarakat, Islam dan bukan Islam bagi memastikan hak-hak ahli masyarakat tidak teraniaya seperti yang saya gambarkan di dalam contoh di atas. Namun, ini bukan tahaluf siyasi yang mengangkat ke jawatan pemerintah dan penguasa orang-orang yang tidak memenuhi syarat kelayakan utama menjadi pemimpin di dalam Islam iaitu mesti beragama Islam.


6) SYUBHAH di dalam menafsirkan ayat-ayat suci Al-Quran tanpa berpandukan tafsir-tafsir yang muktabar. Surah Al-Mumtahinah 60:8

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."

Ayat di atas telah ditafsirkan secara yang menyalahi tafsir-tafsir yang muktabar. Mereka mendakwa bahawa frasa أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ "berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka (orang-orang yang tidak memerangi kamu)" itu termasuk melantik orang-orang kafir menjadi pemimpin dan penguasa. Saudara-saudaraku seagama, hati-hati lah, buka lah setiap satu dari kitab-kitab tafsir yang muktabar, kecil dan besar, TIADA SATU pun yang sanggup memesongkan makna ayat suci ini dengan menafsirkan kalimah tersebut sebagai merangkumi kehalalan melantik orang kafir menjadi pemimpin dan penguasa.


Kesimpulan tafsir frasa tersebut sebagaimana yang ditafsirkan oleh para mufassirin adalah ummat Islam tidak dilarang, malah disuruh, berlaku adil dan berbuat baik kepada mereka, menerima hadiah dan pemberian daripada mereka dan seumpamanya. Malah, yang dimaksudkan dengan "mereka" itu pun, sebahagian ulama mufassirin mengatakan bahawa mereka (orang-orang yang kita disuruh berbuat baik dan berlaku adil itu) adalah orang-orang yang beriman juga yang masih belum berhijrah dari Mekah atau dari tempat-tempat lain ke Madinah; ada yang menafsirkan bahawa yang dimaksudkan adalah musyrikin Quraisy yang tidak memerangi umat Islam, malah ada yang mengatakan bahawa ayat ini telah dinasakh hukumnya oleh ayat as-saif, ayat pedang, Surah At-Taubah: Ayat 5. Apapun khilaf di kalangan mufassirin di dalam menafsirkan ayat ini tiada satu pun yang tergamak menafsirkan ia sebagai menghalalkan perlantikan orang kafir sebagai pemimpin dan penguasa ke atas ummat Islam. Terlintas di hati, adakah mereka yang sewenang-wenangnya menafsirkan ayat suci ini sesuai dengan kecenderungan dan pilihan mereka terlupa amaran keras yang telah diberikan oleh RasululLah SAW di dalam sabda baginda مَنْ قَالَ فِي الْقُرْآنِ بِغَيْرِ عِلْمٍ ‏ ‏فَلْيَتَبَوَّأْ ‏ ‏مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ "Barangsiapa yang mengatakan tentang Al-Quran tanpa ilmu, maka persiapkanlah tempat duduknya di neraka". Di dalam riwayat yang lain dikatakan:  ‏ ‏ وَمَنْ قَالَ فِي الْقُرْآنِ بِرَأْيِهِ ‏ ‏فَلْيَتَبَوَّأْ ‏ ‏مَقْعَدَهُ مِنْ النَّار ‏ "Barangsiapa yang berkata tentang (menafsirkan) Al-Quran (semata-mata) dengan pendapatnya (tanpa merujuk kepada tafsiran-tafsiran yang sahih para sahabat dan ulamak yang berpandukan perunjuk RasululLah SAW), maka sediakanlah tempat duduknya dari api neraka"!


Hairannya, di dalam keadaan mereka begitu berani menafsirkan Al-Quran secara menyalahi tafsir-tafsir ulama yang muktabar, ke mana pula mereka sorok ayat pertama dari surah yang sama? Surah Al-Mumtahinah 60:1

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُم مِّنَ الْحَقِّ يُخْرِجُونَ الرَّسُولَ وَإِيَّاكُمْ أَن تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ رَبِّكُمْ إِن كُنتُمْ خَرَجْتُمْ جِهَادًا فِي سَبِيلِي وَابْتِغَاءَ مَرْضَاتِي تُسِرُّونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَأَنَا أَعْلَمُ بِمَا أَخْفَيْتُمْ وَمَا أَعْلَنتُمْ وَمَن يَفْعَلْهُ مِنكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَاءَ السَّبِيلِ

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul."!


Kenapa mereka tidak beritahu kepada ummat siapakah yang dimaksudkan dengan frasa "musuhKu dan musuh kamu" di dalam ayat tersebut mengikut tafsir-tafsir para ulamak yang muktabar? Adakah saudara-saudara mereka seIslam yang Allah gelar sebagai عدوي وعدوكم itu atau pun hakikatnya mereka itu adalah kafir musyrik? Berlaku jujur lah wahai saudara-saudaraku di dalam menrangkan ayat-ayat Allah.


7) SYUBHAH berdakwah kepada orang bukan Islam. Ada juga di kalangan ummat Islam yang cuba justify perbuatan mengangkat orang kafir sebagai penguasa dan pemimpin dengan alasan perbuatan ini dapat membuka pintu dakwah supaya mereka dapat menerima Islam. Saudara-saudaraku seagama. Dakwah adalah suatu amalan dan tanggungjawab yang mulia yang TIDAK DILAKUKAN dengan cara melanggar hukum. Sejujurnya kalian masih boleh meneruskan usaha dakwah dengan menganjurkan majlis-majlis penerangan dan dialog yang membuka hati dan minda mereka kepada kebenaran dan keindahan Islam. Namun, sama-sama kita ingat dan insafi bahwa dakwah dengan lisanul hal iaitu dengan perbuatan lah yang paling efektif. Actions always speak louder than words. Tiada makna lisan perkataan yang bercakap, sekiranya lisan perbuatan mendustakan. Ibarat jejaka yang sudah beristeri yang ingin memikat gadis sebagai isteri kedua dengan menunjukkan lagak yang paling baik dan gentleman, dengan ayat-ayat manis yang berbunga sedangkan si gadis memerhatikan bagaimana isteri pertama diabaikan, diherdik dan dipukul, pasti terlintas di hati kecil, nanti kalau aku terima dia sebagai suami aku akan diperlakukan sedemikian juga. Tiada makna kalian beriya-beriya menjemput mereka menjadi saudara seagama kalian, sedangkan mereka memerhatikan bagaimana kalian melayan insan-insan yang sebangsa seagama kalian dengan maki hamun cerca nista dan kebencian. Mungkin mereka bermanis mulut memuji dan memuja kalian, tetapi hati kecil pasti tertawa sinis melihat gelagat yang tunggang terbalik itu.


Rasa hormat dan kagum mereka timbul apabila kita sebagai umat Islam mempunyai prinsip dan jati diri, BUKAN dengan cara mengadai prinsip dan menjual diri. Jangan sangka orang Cina hanya boleh hormat anda kalau anda memakai cheongsam dan boleh berbahasa Mandarin, atau orang India menghormati anda cuma apabila anda memakai sari dan bertutur di dalam Bahasa Tamil. Kalau anda suatu hari perlu mendapatkan sokongan dari golongan nudist, pakaian apa pula yang anda hendak pakai? Bagus kalau kita tahu berbahasa selain dari bahasa ibunda. Secara peribadi, saya lihat baik sekali kalau Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil ditawarkan sebagai mata pelajaran pilihan di sekolah-sekolah kebangsaan di samping mata pelajaran wajib Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris demi memupuk interaksi yang lebih lancar antara berbilang kaum di negara tercinta. Namun, Melayu tidak perlu menjadi Cina untuk dihormati, Cina tidak perlu menjadi India untuk disegani dan India tidak perlu menjadi Melayu untuk dipercayai. Nilai-nilai murni adalah nilai-nilai yang universal yang boleh diterima oleh semua kaum dan bangsa. Malang, kita sebagai ummat Islam sendiri yang gagal mengamalkan nilai-nilai mulia yang diajarkan di dalam Islam di dalam diri dan masyarakat lalu menimbulkan sceptism dan phobia di kalangan mereka yang baru mengenal siapa itu ummat Islam dan belum lagi mengenal apa itu Islam.

Bagi sahabat-sahabat terutamanya para asatizah yang saya hormati yang mungkin masih tidak berpuas hati dengan maklumat kesepakatan hukum ini tetapi tiada masa dan terlalu sibuk untuk menggali isi-isi kitab yang muktabar, ada suatu artikel yang ringkas tetapi jelas yang boleh dibaca dihttp://saaid.net/Doat/alsharef/46.htm

KEPADA PENDUKUNG-PENDUKUNG PARTI POLITIK, saudara-saudara saya yang seagama, apa yang saya sampaikan ini tidak ditujukan kepada mana-mana parti, barisan atau pakatan politik tertentu sahaja. Hukum yang sama terpakai kepada ummat Islam baik yang menyokong Barisan Nasional mahupun yang bersama Pakatan Rakyat. Begitu lah sifat hukum, tidak membezakan antara kumpulan dengan kumpulan antara kaum dengan kaum. Jangan sampai kebencian kita kepada sesuatu puak atau kelompok sampai menghalang kita dari berlaku adil iaitu jangan sampai menghalang kita dari berhukum dengan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Al-Maidah 5:8

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."


Kita ambil satu scenario di mana seorang calon beragama Islam berhadapan dengan seorang atau lebih calon yang bukan beragama Islam. Katakan di dalam scenario yang pertama calon bukan Islam mewakili PR sedangkan calon Islam tidak mewakili PR. Di dalam scenario kedua, sebaliknya, calon bukan Islam mewakili BN sedangkan calon Islam tidak. Di dalam scenario pertama, penyokong-penyokong PR yang beragama Islam berhadapan dengan dua bacaan dan dua tuntutan, begitu juga halnya dengan penyokong-penyokong BN beragama Islam di dalam scenario kedua, mereka juga berdepan dengan dua bacaan dan dua tuntutan. Bacaan dan tuntutan pertama adalah bacaan dan tuntutan politik sementara bacaan dan tuntutan kedua adalah bacaan dan tuntutan agama. Sekiranya mereka memilih menaikkan calon bukan Islam yang mewakili barisan atau pakatan yang dianggotai oleh parti politik pilihan mereka, mereka telah membaca mengikut bacaan politik dan patuh menunaikan tuntutannya. Sekiranya mereka memilih menaikkan calon Islam walaupun bukan daripada barisan atau pakatan yang diceburi oleh parti politik dukungan mereka, maka mereka telah membaca dengan bacaan agama dan bertindak menurut tuntutan agama.


Soalan Pertama: SEBAGAI SEORANG ISLAM YANG BERIMAN, tuntutan politik kah yang kita utamakan atau tuntutan agama? Dari lubuk hati saya, sebagai seorang Muslim yang beriman, saya tiada pilihan lain melainkan mengutamakan tuntutan agama mengatasi tuntutan-tuntutan yang lain termasuk tuntutan politik. Hukum hakam lah yang sepatutnya menjadi pemerintah yang mencorakkan politik dan bukan politik pula yang menjadi hakim yang menghakimi hukum hakam.

Soalan Kedua: SEBAGAI ORANG ISLAM, tentu kita perlu menjawab, siapakah yang menentukan orang-orang yang kita pilih menjadi kawan atau seteru politik kita? Jawabnya kita sendiri, mengikut pertimbangan dan percaturan kita. Siapakah pula yang memilih manusia-manusia yang menjadi saudara kita dunia dan akhirat? Jawabnya Allah SWT yang Maha Mengetahui setiap yang nyata dan yang tersembunyi dan Maha Bijaksana di dalam segala pilihan dan ketentuanNya.

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Hujurat 49:10

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."

Ikatan dan persefahaman politik boleh kita rungkaikan bila-bila masa sahaja apabila kesepakatan itu tidak lagi membawa keuntungan kepada percaturan politik kita. Malah sejarah membuktikan memang tidak ada istilah kawan sebenar atau musuh abadi di dalam politik. Yang semalam menjadi teman rapat sepasukan, hari ini menjadi musuh ketat dan sasaran kecaman dan yang hari ini tidak boleh duduk semeja, besok boleh pula berpeluk-pelukan mesra.


Adapun, ikatan persaudaraan agama yang Allah SWT simpulkan buat kita, jangankan sampai hendak dirungkai buang, hendak dipulau saudara seagama pun haram hukumnya sekiranya sampai melebihi tiga hari. Diriwayatkan bahawa RasululLah SAW bersabda:

 ‏ ‏لَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا وَلَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ

"Jangan kamu benci membenci dan jangan kamu dengki mendengki dan jangan kamu pulau-memulau. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim memulaukan saudaranya lebih dari tiga hari".


Apabila haram bagi penyokong-penyokong PAS misalnya berusaha menaikkan calon bukan Islam dari PR sebagai ahli Parlimen atau ahli DUN mengalahkan calon Islam katakan dari BN atau dari luar BN, demikian juga haram bagi penyokong-penyokong UMNO berusaha memenangkan calon bukan Islam dari BN menjadi pemimpin negara atau negeri mengalahkan calon beragama Islam dari PAS atau dari parti-parti lain di dalam PR atau di luar PR. Hukum tidak sepatutnya memilih bulu antara yang hina dan yang mulia, kawan atau lawan, kumpulan sendiri atau kumpulan orang lain. Natijah spiritual sekiranya ummat Islam memilih untuk mendaulatkan hukum mengatasi tuntutan politik kepartian adalah keberkatan yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka. Natijah practical dari kepatuhan terhadap hukum ini adalah mereka akan mempunyai kekuatan untuk berusaha mendaulatkan Islam. Kemungkinan ahli-ahli Parlimen dan ADUN beragama Islam menjadi majoriti dewan bakal meningkat yang mana ketika itu tidak mustahil tembok-tembok sempit kepartian dirobohkan demi memartabatkan kepentingan agama sebagaimana tidak mustahil orang-orang bukan Islam merobohkan tembok-tembok kepartian mereka dan bersatu demi kepentingan mereka bersama.


Di dalam sistem politik kepartian yang diamalkan di negara kita hari ini, kita dapati sikap double standard yang menjemput kehancuran dan kebinasaan ini cepat menular dan berleluasa. Dulu kita merungut sikap pihak lawan politik yang ghairah menghukumkan sesat, fasiq dan kafir kepada kita, sekarang boleh pula kita pukul rata menghukum lawan politik kita sebagai Parti Ajaran Sesat, membiarkan orang yang menyokong melabelkan pemimpin pihak lawan sebagai Bapak Kafir dan lain-lain gelaran yang jijik. Dulu kita complain rancangan yang hendak dijalankan oleh seteru politik kita sebagai tidak viable, merugikan ekonomi dan sebagainya, sekarang kita pula yang terhegeh-hegeh menawarkan khidmat dan pakej yang serupa kepada rakyat. Kalian marah dan melenting apabila gambar-gambar pemimpin kalian dihina-hinakan, tetapi kalian seolah-olah merelakan dalam diam apabila gambar-gambar pemimpin lawan dihinakan sehingga ada gambar clown yang sedang doggy ride di belakang lelaki tua memakai serban tetapi tidak berbaju diarak ke sana kemari. Jangan ingat gambar-gambar penghinaan seperti itu bakal meningkatkan kebencian masyarakat terhadap orang yang dihina, sebaliknya, kalau yang dihina benar ada melakukan kesalahan sekalipun, kebencian masyarakat hatta yang dikatakan pengundi-pengundi atas pagar sekalipun akan beralih kepada kalian kerana meluat dengan sikap biadap seperti itu. Kalau pihak lawan engkar perintah raja, cepat sekali kalian berdemonstrasi menghadiahkan label derhaka kepada orang tersebut, sedangkan ketika kalian ghairah menyekat kuasa raja-raja, kalian tidak segan silu "membogelkan" dan mengaibkan raja-raja di dalam media cetak dan elektronik. Malah, ada yang kononnya sampai "menabalkan Sultan sebenar" bagi mencabar kedudukan Sultan yang tidak sesuai dengan selera politik kalian.


Dalam masa yang sama, kalau untuk musuh politik, segala tohmahan adalah kebenaran walau sekadar ucapan tanpa sekelumit bukti. Lalu di mata kita, Pak Menteri telah dicap sebagai perogol orang gaji berdasarkan tuduhan kosong seorang blogger yang telah didenda oleh mahkamah atas kesalahan defamation, tetapi apabila teman satu camp, bukan setakat tuduhan kosong, malah ada pengakuan إقرار dari pasangan yang menjadi mangsa, bukti rakaman video yang pelbagai, ada yang hitam putih, ada yang berwarna dan bersuara, kita melenting bahawa semua itu tidak boleh diterima, semua itu hanya besi! Ya, kita akui bahawa kaedah asal di dalam maksiat-maksiat yang tersembunyi ini adalah ianya wajar ditutup dan tidak sepatutnya didedahkan kepada umum, apatah lagi jika dengan niat mengaibkan si pelaku, saya juga akui sekadar rakaman video tidak memadai untuk mensabitkan kesalahan zina atau liwat, sekadar ikrar atau pengakuan pasangan zina atau liwat ianya tidak menjadi hujjah ke atas yang dituduh kerana ikrar pengakuan bersalah adalah حجة قاصرة bukti yang terhad, yang sekadar mengikat orang yang mengaku tetapi tidak mengikat pasangannya. Ya, kita akui kesemua ini. Tetapi kenapa apabila tuduhan dan tohmahan dilontarkan kepada pihak lawan, kita menggunakan standard of proof yang berbeza? Gambar kilauan di leher membuktikan lawan kita bersalah memakai rantai sedangkan beliau lelaki, gambar resit pembelian membuktikan isteri beliau bersalah menggunakan wang rakyat untuk membeli cincin yang jutaan ringgit. Malah, tiada gambar pun, Pak Menteri dah dianggap bersalah merogol amah. Kenapa saksi besi dan air liur basi laku pula apabila melibatkan pihak lawan? Kalau begini standard of proof yang diterima pakai, tidak cukupkah saksi besi ini untuk mendorong kita menjalankan siasatan dan mendapatkan pengakuan atau penafian bersumpah dari teman sepasukan? Di dalam kes buli, kes curi, kes amah dera bayi dan sebagainya kenapa kita akur bahawa saksi besi menjadi asas siasatan dan pengakuan bersalah walaupun mungkin tidak memadai secara sendiri untuk mensabitkan kesalahan. PERSOALANNYA: Kalau kalian ikhlas hendak memartabatkan hukum dan agama, kenapa double-standard? Musuh politik TIDAK BERANI menjalankan satu cabang dari cabang-cabang hukum syarak iaitu hukum hudud kalian jaja dan hebahkan kesalahannya. Baik, kalau itu yang sewajarnya KENAPA bila teman sepasukan bukan sahaja SAMA-SAMA TIDAK BERANI menjalankan hukum hudud sepanjang karier politiknya, malah BERANI MENGIKTIRAF "HAK" ummat Islam untuk Murtad, untuk melakukan penolakan total ke atas keseluruhan sistem Islam, kita diam membisu!


Apabila ada saudara-saudara kita yang berkongsi maklumat seperti yang ada di link ini http://youtu.be/5wAOvxq5HBg kalian cepat sekali menasihatkan mereka supaya jangan mudah percaya berita-berita yang belum sahih. Mentang-mentang yang didedahkan adalah kumpulan orang-orang kafir dari pasukan kalian, cepat sekali kalian hendak menolak dan menidakkan maklumat yang sampai sedangkan ayat Al-Quran, Al-Hujurat 49:6 menuntut sebaliknya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka SELIDIKILAH (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Ayat ini menuntut kita supaya menyiasat dan memastikan kesahihan berita dan bukan mengambil sikap menolak mentah-mentah atau menelan bulat-bulat. Apatah lagi sepintas lalu pun kalian, jika tidak membutakan mata dan hati, sudah dapat cam bahawa sebahagian besar dari dakwaan-dakwaan yang dibuat telah pun dan sedang berlaku. Sebagai satu contoh sahaja, berkaitan dakwaan pengurangan penjawat-penjawat awam yang kebanyakannya terdiri daripada orang-orang Islam kalian seolah-olah melakukan amnesia terpilih dengan melupakan pengumuman yang dibuat oleh Tony Pua Kiam Wee, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan pada 1 November 2011 (Sin Chew Daily) yang menjelaskan bahawa PR akan mengurangkan (reduce) penjawat awam secara berperingkat selama 5 tahun.


Ajaibnya apabila maklumat-maklumat tidak sahih ini membabitkan saudara-saudara seagama kalian yang kalian anggap sebagai pengacau kepada cita-cita politik kalian, walaupun dia belum bertanding menentang calon-calon parti kalian, baru sekadar  meletakkan calon di kawasan yang tiada calon beragama Islam, sekadar berusaha melepaskan tuntutan fardhu kifayah, TERUS kalian dengan lahap menelan maklumat-maklumat negatif tentang mereka, bahawa mereka ini orang suruhan, khadam pihak lawan, dibayar dan sebagainya. Kenapa terus ditelan tuduhan-tuduhan ini? Kenapa DOUBLE-STANDARD? Kalian meminta ummat Islam berlapang dada menerima "ijtihad" kalian yang melanggar ijmak ummat tetapi kalian bersempit dada dan mengambil pendekatan konfrontasi terhadap saudara seagama kalian yang sekadar melakukan suatu strategi dan mengambil suatu langkah yang bukan sahaja tidak bertentangan dengan undang-undang negara, malah tidak dilarang (kalaupun tidak mahu dikatakan dituntut) oleh hukum hakam agama! Sekali lagi, berlaku adil lah ... sekali lagi hayati dan amalkan perintah Allah SWT ini:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka SELIDIKILAH (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Sabda RasululLah SAW:

إِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمْ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمْ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الْحَدَّ وَايْمُ اللَّهِ لَوْ أَنَّ ‏ ‏فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ ‏ ‏سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا

Hanya sanya binasa ummat yang terdahulu daripada kamu disebabkan mereka apabila mencuri di kalangan mereka oleh orang yang mulia dan berkedudukan, mereka lepaskan dia dan apabila mencuri di kalangan mereka oleh orang yang lemah dan tidak berkedudukan, mereka menjalankan ke atasnya hukuman. Demi Allah, jika sekiranya Fatimah binti Muhammad (anak perempuan kesayangan baginda) mencuri, nescaya akan ku potong tangannya.


Sekarang di zaman dan di tempat kita, mulia atau lemah seseorang di hadapan mata kita, adalah tetakluk kepada parti-parti atau pasukan-pasukan politik yang disertai atau tidak disertai, lalu jadilah kita memilih-milih di dalam menjalankan hukum Allah SWT. والعياذ بالله.


Jangan sesekali saudara-saudaraku seagama tanpa mengira parti dan pasukan sampai lupa amaran keras daripada Allah SWT terhadap Bani Israel yang sepakat ulamak tafsir mengatakan bakal tertimpa juga kepada kita ummat Islam sekiranya kita tergamak melakukan perkara yang sama seperti yang dilakukan oleh kaum Bani Israel ini. Allah berfirman di dalam surah Al-Baqarah 2:85

ثُمَّ أَنتُمْ هَٰؤُلَاءِ تَقْتُلُونَ أَنفُسَكُمْ وَتُخْرِجُونَ فَرِيقًا مِّنكُم مِّن دِيَارِهِمْ تَظَاهَرُونَ عَلَيْهِم بِالْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَإِن يَأْتُوكُمْ أُسَارَىٰ تُفَادُوهُمْ وَهُوَ مُحَرَّمٌ عَلَيْكُمْ إِخْرَاجُهُمْ أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَن يَفْعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰ أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.


Kepada RAKAN-RAKAN YANG BUKAN BERAGAMA ISLAM, sekiranya ada di antara anda yang mengambil masa membaca nota saya ini, tulisan ini BUKAN dihasilkan sebagai menyalakan api permusuhan dan menyemai benih kebencian terhadap kalian TETAPI berdasarkan kepentingan menyerahkan sesuatu amanah itu kepada yang layak. Walaupun mungkin analogi ini tidak 100% tepat, secara logik sesebuah negara yang berideologi komunis misalnya pasti akan memilih pemimpin-pemimpin mereka yang berideologi komunis dan bukan yang berpegang kepada kapitalis dan pro-demokrasi. Begitu juga negara yang berideologi demokrasi dan beramalkan kapitalis tidak melantik orang-orang yang berfahaman komunis dan sosialis untuk memimpin dan mentadbir mereka. Islam merangkumi ideologi dan undang-undang. Kufur dan iman adalah saling bertentangan, tauhid dan syirik adalah antithesis terhadap satu sama lain. Oleh itu tidak dilantik untuk mentadbir dan memimpin ummat Islam mereka yang tidak beriman dengan aqidah dan kepercayaan Islam kerana tugas utama seorang pemimpin di dalam Islam adalah menegakkan syariat Islam dan melaksanakan undang-undang Islam. Oleh itu orang yang bukan Islam tidak dibebankan dengan amanah untuk menjalankan hukum hakam dan melaksanakan undang-undang yang mereka sendiri tidak subscribe kepada ideologinya. Yang dihormati Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bagi saya berjaya menerangkan hakikat ini secara padat dan jelas. Rumus beliau:

"Hak orang Islam dalam Negara Islam bukan sahaja boleh jadi RAKYAT, tapi dia boleh jadi PEMERINTAH, boleh jadi KERAJAAN, boleh jadi PEMIMPIN.
Tapi hak orang bukan Islam dia diizinkan menjadi RAKYAT dan TAK BOLEH JADI PEMERINTAH." -  Kuala Terengganu, 7 April 1981 (tolong betulkan sekiranya fakta ini silap, tahun 1981 saya baru darjah 6 dan tidak hadir ke majlis di mana ucapan yang ringkas dan padat ini diungkapkan).


Sekali lagi saya tegaskan, tulisan ini bukan mempromosikan diskriminasi terhadap rakan-rakan yang bukan beragama Islam, tetapi mempromosikan kepentingan menyerahkan sesuatu amanah kepada yang layak memikulnya.

Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah:

عَنْ ‏ ‏أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله تعالى عنه ‏ ‏قَالَ  قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: فَإِذَا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا قَالَ إِذَا ‏ ‏وُسِّدَ ‏ ‏الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ

RasululLah SAW menjawab soalan seorang Arab badwi yang ingin tahu bilakah berlaku hari kiamat dengan sabda baginda : "apabila disia-siakan amanah, maka tunggu sahaja lah saat kebinasaan (hari kiamat)." Maka Badwi tersebut bertanya lagi: "Bagaimanakah amanah itu disia-siakan?" Jawab baginda: "Apabila disandarkan (diserahkan) sesuatu urusan itu (terutama yang berkaitan dengan pemerintahan, hukum hakam dan kehakiman) kepada yang bukan ahlinya (yang tidak layak menanggung amanah tersebut), maka tunggu sahaja lah saat kebinasaan (hari kiamat)."

Soal kelayakan ini bukan membabitkan syarat keIslaman sahaja, malah banyak syarat-syarat lain yang perlu dipenuhi oleh seseorang yang hendak dilantik menjadi pemimpin yang mana sekiranya tidak dipenuhi oleh seseorang calon, WALAUPUN  beragama Islam sekalipun SEPATUTNYA tidak diangkat menjadi pemimpin. Jangan katakan seumpama kita yang sentiasa bergelumang dengan hawa nafsu dan kepentingan-kepentingan peribadi, seumpama sahabat Nabi yang mulia, Abu Zar Al-Ghifari R.A. seorang Islam yang ahli ibadat dan taat pernah memohon untuk dilantik ke suatu jawatan yang berautoriti tetapi ditolak oleh RasululLah SAW kerana sifat dan keperibadian beliau yang tidak sesuai dengan amanah besar yang bakal dipikul. RasululLah berterus terang kepada Abu Zar memberitahu kepada beliau hakikat ini. Sabda baginda:

يَا ‏ ‏أَبَا ذَرٍّ ‏ ‏إِنَّكَ ضَعِيفٌ وَإِنَّهَا أَمَانَةُ وَإِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْيٌ وَنَدَامَةٌ إِلَّا مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيهَا

"Wahai Aba Zar, sesungguhnya kamu ini lemah (sedangkan penguasa perlu ada sifat kuat) dan sesungguhnya ia (jawatan ini) merupakan AMANAH dan ianya pada hari kiamat merupakan suatu KEHINAAN dan PENYESALAN kecuali kepada sesiapa yang menerima amanah ini dengan memenuhi hak-haknya dan menunaikan tanggungjawab-tanggungjawabnya"


SEKIRANYA insan-insan yang sekarang sedang hangat mengejar pangkat dan jawatan melalui proses PRU menghayati makna hadis ini, saya percaya ramai di antara mereka tidak akan begitu ghairah dan gembira lagi merebut kuasa dan jawatan. Malang sekali, ramai yang mengejar kuasa dan pangkat sekarang tidak lagi melihat jawatan sebagai AMANAH, sebaliknya menganggap ia sebagai GHANIMAH, suatu laba, habuan dan keuntungan.


Memang diakui, bukan mudah di umur dunia yang tua ini untuk mencari mereka yang memenuhi kesemua syarat-syarat yang disyaratkan untuk diangkat menjadi pemimpin. Namun, apakan daya, sebagaimana yang diperibahasakan di dalam Bahasa Inggeris, in a field where there is no eagles, the dragonfly is the eagle ... Di padang yang tiada helang, pepatung itu lah yang menjadi helang. Di dalam keadaan di mana pilihan-pilihan pemimpin yang ada tidak mampu memenuhi kesemua syarat-syarat yang ditetapkan, maka yang paling mampu atau yang paling kurang ketidaklayakannya terpaksa diangkat menjadi pemimpin. ما لا يطاق كله لا يترك جله Apa yang tidak mampu untuk dilakukan kesemuanya jangan sampai ditinggalkan keseluruhannya.


Ya, kita tidak nafikan bahawa apabila pilihan yang ada cuma calon-calon yang bukan Islam SAHAJA, di sini ada ruang untuk memilih calon yang dinilaikan kurang permusuhan dan mudaratnya kepada Islam berdasarkan kaedah ارتكاب أخف الضررين (choosing the lesser of two harms). Namun masih menjadi kefardhuan secara kifayah untuk ummat Islam memastikan semampu mereka agar keadaan "tiada pilihan" seperti ini tidak berlaku.


SEDIKIT CATATAN AGAR JELAS SKOP PERBINCANGAN: Nota ini ditulis berdasarkan hukum hakam dan peraturan agama Islam yang suci dan BUKAN digarap dari sudut undang-undang negara kerana dari sudut undang-undang negara, setahu saya (harap betulkan sekiranya silap) tiada undang-undang yang menetapkan agama mereka yang boleh dilantik menjadi ahli Parlimen atau ahli DUN. Jangan katakan yang syirik dan kufur, malah yang atheis, freethinker, yang langsung tidak percaya kepada kewujudan tuhan sama sekali, walaupun mungkin bercanggah dengan rukun negara, namun tidak dihalang oleh peruntukan undang-undang hatta untuk dilantik sebagai Perdana Menteri sekalipun!


KEPADA SAUDARA-SAUDARAKU SEAGAMA, baca dan nilailah apa yang saya katakan ini dengan suluhan ilmu dan panduan iman. SAUDARA-SAUDARAKU YANG TELAH, SEDANG DAN BAKAL MENJADI PEMIMPIN DAN PENGUASA ... KETAHUILAH bahawa ummat manusia di dunia ini menanggung beban amanah daripada Sang Pencipta yang tidak sanggup ditanggung oleh gunung-ganang, langit dan bumi; DARIPADA kalangan ummat manusia pula, ummat Islam lah yang memikul amanah yang lebih besar sebagai خير أمة أخرجت للناس, sebaik-baik ummat yang dilahirkan bagi ummat manusia; DARIPADA kalangan ummat Islam pula, KALIAN LAH WAHAI PEMIMPIN DAN PENGUASA yang memikul amanah yang paling besar di kalangan ummat mentadbir dan mengurus kehidupan mereka sesuai dan selari dengan tuntutan hukum dan peraturan Allah SWT. SEKIRANYA KALIAN KHIANAT akan amanah ini dengan menjadikan kuasa dan jawatan sebagai alat untuk memenuhi tuntutan nafsu peribadi dan mengabaikan kepentingan dan kesejahteraan ummat, jasmani dan rohani, fizikal dan mental, material dan spiritual sehinggakan ummat menjadi begitu lemas dan rimas, jemu dan meluat dengan kepincangan-kepincangan yang kalian biarkan berleluasa sehingga mereka pula sanggup dan tegar melanggar hukum Allah dengan mengangkat orang-orang kafir sebagai pemimpin dan penguasa, maka tidak dapat tidak KALIAN BAKAL MENANGGUNG SEBAHAGIAN, KALAUPUN TIDAK SEMUA DOSA DAN BENCANA akibat perlanggaran hukum ini.


Ketika kalian asyik dibuai kuasa, kalian meletakkan kepentingan rakyat dan ummat dibawah selipar kalian sahaja. Sebarang teguran dan kritikan tidak dilayan secara terbuka, sebaliknya yang mengkritik dan menegur dilabel sebagai dipengaruhi pembangkang, anti-establishment dan sebagainya, ditukar tempat kerja, diberi tekanan, ditarik tauliah mengajar agama dan pelbagai lagi. Sedangkan yang sanggup dan sudi menjilat dan membodek kalian diberikan pangkat, kedudukan dan kemewahan. Ada anak-anak rakyat yang sebangsa dan seagama dengan kalian yang layak dibantu baik ketika ingin melanjutkan pelajaran melalui biasiswa, atau peluang pekerjaan dan perniagaan melalui ruang dan bantuan tetapi disekat kerana ibu ayah mereka dicap sebagai pro pembangkang atau orang-orang puak sana atau semata-mata kerana mereka bukan orang yang ada cable. Lalu kalian secara tidak sedar mencipta musuh-musuh dan pembenci-pembenci kalian.


Kini, ketika kalian tercungap-cungap dan tergapai-gapai merasakan bahawa kekuasaan kalian terancam, sokongan terhadap kalian makin terhakis, barulah kalian terhegeh-hegeh hendak menunjukkan kononnya kalian prihatin terhadap rakyat sehinggakan sms harijadi pun kalian hantar. Tolong lah ... Honestly, who cares whether you guys remember our birthdays or not? Saya tak kata salah, tapi nampak sangat artificial dan melebih-lebih, belum kira kalau silap haribulan lagi, entah birthday siapa dan nama siapa yang ada dalam senarai yang kalian beli itu. Yang penting bukan itu wahai YB-YB ku sekelian atau bakal2 YB atau bakal2 bekas YB. Yang penting adalah kalian benar-benar berkhidmat kepada rakyat. Di zaman internet ini kalau kalian benar-benar prihatin, cukup mudah untuk kalian dapatkan maklumbalas daripada rakyat apa yang mereka perlukan dan apa yang mereka harapkan. Setting up FB accounts for example is not just to gain popularity, but more importantly is to listen to rakyat's aspiration, to evaluate and to deliver. Takkan lah empat lima tahun kalian diberi amanah dan kepercayaan dan kalian khianati, dengan sms birthday kalian, rakyat akan kata "How nice, how sweet, the YB wishes me the best on my birthday! I will surely vote for him!" Tolong lah YB-YB sekelian, jangan lah hinakan tahap pemikiran rakyat sedemikian rupa. Muhasabah secara jujur kekurangan-kekurangan kalian di dalam menjalankan tanggungjawab yang kalian menawarkan diri untuk memikulnya supaya kalian tidak terus mengkhianati amanah dan kepercayaan yang diberikan. MALANG, saya percaya tidak sedikit daripada rakyat yang masih setia memberi undi dan menaikkan kalian BUKAN kerana berpuas hati dengan prestasi kalian dan mengiktiraf kelayakan kalian mentadbir, jauh sekali merestui penyelewengan dan pembaziran kalian, TETAPI kerana menganggap dengan pilihan-pilihan yang ada, kalian masih lagi THE LESSER OF TWO EVILS. Alangkah baiknya sekiranya hasil muhasabah dan mujahadah, kalian naik sebagai THE CHOICE, the better of two choices. Jangan time nak PRU ni la baru kalian nak tunjuk muka di masjid surau, nak pakai kopiah, pakai ketayap, jubah dan baju Melayu. Lepas PRU kalian lesap entah ke mana, kalian pula menyokong kuat pesta-pesta maksiat dan acara-acara keruntuhan moral ummat. Kepada calon-calon YB yang beragama Islam TANPA MENGIRA PARTI DAN PASUKAN, elok juga dijadikan ilmu akhlak dan tasawwuf sebagai mata pelajaran wajib yang berterusan untuk kalian pelajari dan hayati, sekurang-kurangnya dua minggu sekali agar dapat menjadi "kertas pasir" dan "berus besi" yang mengikis dan mengurangkan ketebalan penyakit حب الدنيا cinta dunia yang melampau-lampau yang bersarang di hati kalian dan yang menjadi رأس كل خطيئة punca segala dosa dan kesalahan. 

SAYA SEDAR bahawa di dalam suasana sekarang, di dalam kehangatan persaingan politik yang sengit di negara kita, tulisan-tulisan seperti yang saya catatkan ini bakal tidak menyenangkan hati banyak pihak. Nasihat-nasihat seperti yang saya luahkan ini merupakan nasihat yang saya jangka merupakan nasihat-nasihat yang tidak popular dan berpotensi dilihat sebagai melawan arus. Namun, apakan daya ... semenjak saya di bangku sekolah menengah, saya telah dididik bahawa apabila Allah kurniakan nikmat ilmu kepada seseorang, nikmat ini membawa bersama-samanya tanggungjawab yang berat untuk berlaku amanah. Masih saya ingat, kurang lebih kata-kata guru saya Al-Marhum Tuan Guru Haji Mohd Saman Kati: "Saya (almarhum) ni macam bull-dozer, mana yang bonggoi (bonggol) saya kena langgaq bagi rata, mana yang tak betoi saya kena langgaq bagi luruih (lurus)". AlhamdulilLah selepas ketiadaan beliau, sikap tegas beliau menegakkan amanah ilmu ini diwarisi oleh anak-anak beliau, antaranya yang saya hormati Ustaz Haji Adnan Haji Mohd Saman dan Ustaz Haji Khairuddin Mohd Saman yang merupakan guru-guru dan pembimbing-pembimbing saya. AlhamdulilLah dalam masa yang sama Allah pertemukan dan membuka ruang dan peluang kepada saya untuk turut menumpang berguru menadah ilmu dengan Tuan Guru Syeikh Nuruddin Al-Banjari yang meneruskan tradisi kecekalan dan ketegasan di dalam memikul amanah ilmu. Kalau ulama hebat dan terkenal seperti beliau sanggup "dicerai talak tiga" oleh masyarakat di dalam rangka menegakkan kebenaran, apalah sangat yang hendak dibimbangkan oleh manusia kerdil seperti saya, harta kurang, ilmu apa adanya, pengaruh tiada, penyokong dan peminat jauh sekali, kemasyhuran dan nama pun tiada, sekadar nama yang diberi oleh ayah bonda dan tercatat di Mykad itu sahaja. Sememangnya, saya akui sebagai manusia yang bukan Nabi dan Rasul, guru-guru saya juga tidak ma'sum dari tersalah dan tersilap. Malah, di dalam perkara-perkara yang lebih kepada sudut pandangan dan pendapat dan bukan membabitkan soal hukum halal haram, atau membabitkan soal hukum halal haram, tetapi bukan yang disepakati, cuma soal tarjih (memilih yang kuat) di antara-antara pendapat-pendapat ulama di dalam perkara-perkara khilaf, saya dapati ada masanya secara peribadi saya berbeza kecenderungan dan pandangan daripada kecenderungan dan pandangan guru-guru saya sendiri. Namun sekurang-kurangnya sifat tegas dan amanah mereka di dalam menanggung dan menyampaikan ilmu memberi suatu ketenangan dan kekuatan ke dalam diri saya untuk turut menghulur sekelumit sumbangan lebih-lebih lagi apabila apa yang dipertahankan oleh mereka adalah perkara yang telah disepakati oleh ummat.

AKHIR KATA, SEKIRANYA saudara-saudaraku seagama tanpa mengira parti dan kesepakatan politik boleh menerima isi kandungan nota saya ini, maka alhamdulilLah, segala puji-pujian itu kembali kepada Allah SWT akhirnya, hidayah dan taufiq itu milikNya jua ... Sekiranya saudara-saudaraku tidak dapat menerimanya pun, itu bagi saya itu adalah adat kehidupan di dunia ini. Cuma harapan saya, kalau tidak bersetuju dengan isi kandungan nota ini sekalipun, tidak perlu sehingga nak beremosi atau marah-marah kerana apabila kita perhatikan, kita dapati proses komunikasi terutamanya melalui internet seperti di laman FB menjadi kurang atau tidak berfaedah apabila perbezaan pandangan dan maklumat tidak lagi ditangani dengan fakta dan hujjah sebaliknya dihujani dengan maki hamun dan ejek mengejek, pure name callings, pure stereotyping. Ruang-ruang komen di laman FB dibanjiri oleh kata-kata cacian dan penghinaan. Istilah "macai dan pencacai" menjadi begitu popular untuk membakul sampahkan fakta dan hujjah pihak yang tidak sependapat. Kalau ada juga yang ingin marah dan beremosi boleh beritahu sahaja bahawa anda marah, tidak perlu susah-susah taip panjang-panjang luahan emosi berkenaan. I will do you a favor, insyaAllah tak susah sangat nak cari kata-kata emosi dan maki hamun di dalam FB ni, saya boleh tolong carikan, copy, paste dan baca sendiri. Di dalam laungan semangat kita hendak menegakkan sebahagian dari hukum Allah, sedar atau tidak,  kita telah "campak ke longkang" sebahagian hukum hakam Allah yang lain seperti yang kerap terjadi kepada firman Allah SWT di dalam surah Al-Hujurat 49:11

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka (yang mencemuh); dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka (yang mencemuh); dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu lempar melempar antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim."

 Yang lebih baik pada pandangan saya, sekiranya ada di antara saudara-saudara seagama yang saya kasihi yang tidak bersetuju dengan isi kandungan nota ini tolong lah, sekiranya dapat, bawa kepada saya suatu bukti dari kitab-kitab yang muktabar hasil tangan para mujtahid silam yang menunjukkan bahawa para ulama tidak pernah sepakat di atas keharaman melantik orang yang bukan beragama Islam ke kedudukan yang mempunyai autoriti سلطة ke atas ummat Islam sebagaimana yang dipunyai oleh ahli-ahli Parlimen dan ahli-ahli DUN di Malaysia supaya saya tahu bahawa oleh kerana perkara ini tidak pernah disepakati, maka ummat Islam di zaman kita ini mempunyai pilihan dan keluasan untuk memilih salah satu pendapat dari pendapat-pendapat berbeza ulama-ulama muktabar itu. Jika tidak, tiada kata-kata yang tidak bersandarkan hukum Al-Quran dan Al-Hadith sebagaimana yang telah diistinbath oleh para mujtahid yang berkelayakan dan ikhlas yang dapat menjejaskan pendirian ini, insyaAllah.

 Bagi saya, selain panduan Al-Quran dan hadith-hadith Nabi SAW tentang peri pentingnya menyatakan kebenaran walaupun tidak popular di hati-hati manusia, walaupun tidak diterima, walaupun ditolak, MUTIARA-MUTIARA HIKMAH daripada Quthubud Da'wah wal Irsyad, Al-Habib Abdullah Ibn 'Alawi Al-Haddad juga sangat memberi  kesan ke dalam hati saya. Beliau menegaskan: ما ترك من الجهل شيئاً من يرضي المخلوقين بإسخاط رب العالمين "Tidak meninggalkan daripada kejahilan itu sedikitpun (yakni tersangat jahil) sesiapa yang meredhakan (MENGGEMBIRAKAN HATI) manusia dengan cara memurkakan (MENYEBABKAN KEMURKAAN) Tuhan sekelian alam.

والله أعلم بالصواب وهو يهدي إلى سبيل الهدى والرشاد

اللهم أعد لهذه الأمة رشدها، اللهم ارحم أمةَ محمد، اللهم فرّج عن أمة محمد، اللهم أصلح أمة محمد، اللهم اجعل أهواءنا تابعةً لما جاء به رسولك وحبيبك سيدنا وشفيعنا محمد صلى الله عليه وسلم، اللهم آمين

No comments: