1. Nik Aziz
dilapor telah menjelaskan kenapa PAS tidak boleh bersama UMNO dalam usaha untuk
menyatupadu orang Melayu. Katanya PAS telah ditipu oleh UMNO semasa PAS berada
dalam Barisan Nasional. Bagaimana UMNO menipu PAS tidak dijelaskan dengan
terang.
2. Saya
berada sebagai menteri dalam kabinet Tun Hussein di waktu mana PAS keluar dari
Barisan Nasional. Saya juga ada dalam kabinet Tun Razak bersama Dato Asri Muda
dan Hassan Adli semasa PAS menyertai Barisan Nasional.
3. Dato Asri
diberi jawatan Menteri Tanah dan Galian. Ini bermakna dia bertanggung jawab
terhadap FELDA.
4. Setelah
beberapa bulan PAS berada dalam Barisan Nasional ahli-ahli UMNO Johor membuat
komplen kepada Tun Razak dalam majlis makan malam dikediaman Tun sempena
mesyuarat agong UMNO bahawa Dato Asri giat mempromosikan PAS di kalangan
peserta FELDA. Saya berada di sisi Tun pada ketika itu.
5. Secara
kebetulan hampir semua peserta FELDA terdiri daripada penyokong kuat UMNO.
Selepas Dato Asri bertanggungjawab keatas FELDA, hampir semua peserta FELDA
menjadi penyokong kuat PAS dan menolak UMNO.
6. Ahli-ahli
UMNO di seluruh negara berpendapat bahawa penyertaan PAS dalam Barisan Nasional
tidak menolong Barisan Nasional. Ia hanya untuk memberi peluang kepada PAS
mengembangkan pengaruh di kalangan ahli UMNO dan orang Melayu.
7. Di waktu
itu timbul sengketa antara Dato Asri sebagai ketua PAS dengan Dato Mohd Nasir
yang sebagai Menteri Besar untuk ganti Dato Asri. Dato Mohd Nasir mendakwa dia
telah kesan banyak penyelewengan yang dilakukan oleh Dato Asri semasa dia
menjadi Menteri Besar Kelantan.
8. Dato Asri
cuba menyingkir Dato Mohd Nasir melalui undi tidak percaya. Walaupun kalah Dato
Mohd Nasir enggan meletak jawatan.
9. Ramai
ahli PAS memihak kepada Dato Mohd Nasir. Mereka mengadakan tunjuk perasaan
secara besar-besaran menentang Dato Asri.
10. Kerana PAS
berpecah Kerajaan Barisan Nasional Kelantan tidak dapat berfungsi. Darurat
terpaksa diisytihar dan seorang pegawai kanan dilantik untuk memangku jawatan
Ketua Pentadbir Kelantan.
11. Pada Mac
1978, pilihanraya peringkat negeri diadakan di Kelantan. Dato Mohd Nasir
menubuh parti Berjasa yang bertanding melawan PAS. Sokongan kepada Berjasa
begitu kuat sehingga ia memenangi 11 kerusi. PAS memenangi hanya 2 kerusi.
12. Perpecahan
dalam PAS bukan kerana UMNO tetapi kerana Dato Mohd Nasir mencabar kepimpinan
Dato Asri. Kekalahan PAS menyebabkan PAS keluar dari Barisan Nasional. Tidak
ada penipuan oleh UMNO.
13. Walau
apapun yang terjadi dahulu, jika seruan dibuat supaya berdamai orang Islam disuruh
oleh agama Islam supaya menyambut seruan kedamaian dari musuh. Orang Islam
disuruh bersatupadu, menganggap semua orang Islam sebagai saudara. Penolakan
perpaduan sesama orang Islam tidak menepati ajaran Islam. Janganlah orang Islam
menolak usaha menyatupadu untuk memperkuatkan orang Islam dengan membuat
tuduhan yang tidak berasas.
No comments:
Post a Comment