CREDIT TO ENGKU AHMAD FADZIL
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمدلله رب العالمين
والصلاة والسلام على سيد المرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين
وبعد
Apabila saya post pada 11 April 2013 yang lalu petikan
video kuliah Al-Fadhil TUAN GURU SYEIKH NURUDDIN AL-BANJARI AL-MAKKI berkaitan
sikap yang sepatutnya ada pada seorang Islam terhadap saudaranya seIslam
berbanding dengan yang bukan Islam, sahabat saya yang pernah satu sekolah menengah
dengan saya dahulu ada berkomentar. Komen beliau: "Pada pemerhatian saya,
(Encik A, nama seseorang) yg upload video ini sudah beberapa kali cuba
mempolitikkan pendapat Tn Syeikh. Saya sependapat dgn Engku Fadhil bhw hukum
ini applicable kepada PAS dan juga UMNO. Walaubagaimanapun, saya kurang setuju
dgn pandangan Tn Syeikh kerana beliau tidak faham suasana politik semasa dan
beliau bukan ulamak politik. Kita perlu meraikan dan berlapang dada dan
bersangka baik dengan Majlis Syura PAS yg di anggotai oleh ramai ulamak. Pada
saya, keputusan yg dicapai melalui syura itu lebih kukuh dari pendapat
individu. Allahua'lam."
Saya bersangka baik dengan sahabat saya ini bahawa yang
mendorong beliau menulis komen seperti di atas adalah keikhlasan beliau untuk
melihat Islam berdaulat di negara yang tercinta ini dan untuk membantu dan
menyumbang ke arah memastikan hukum hakam Islam bakal dilaksanakan
sebaik-baiknya oleh golongan pemerintah yang adil. Malah, secara peribadi dan
dengan jujur saya juga mempunyai sangkaan yang sama terhadap sebahagian besar
ummat Islam, di Malaysia khususnya, bahawa KEBANYAKAN mereka (para penyokong
dan peminat parti-parti politik) membuat pilihan dan mengambil pendirian
politik masing-masing dengan niat dan tujuan yang baik. Cuma fakta-fakta dan
tahap kepercayaan dan penilaian yang berbeza-beza terhadap maklumat-maklumat
yang sampai kepada mereka menyebabkan mereka berbeza pandangan dan berlainan
pilihan politik.
Selang beberapa komen, sahabat saya menambah lagi
dengan menulis: "Saya yg jahil ini selalu diperingatkan oleh Ustaz2
tentang perlunya bersangka baik dan tidak tertipu oleh ilmu yg sedikit. Tetapi
saya agak hairan bila Ustaz yg sama tidak bersangka baik dgn pendapat Ustaz yg
lain dan terus menghukum tanpa bertanya terus kepada sumber asal (yakni komen
diatas komen). Saya tidak menidakkan ilmu Sheikh Nuruddin tetapi merasakan kita
yg mengikut kuliah beliau perlu lebih terbuka dan berlapang dgn pendapat ulamak
lain, kerana selepas Rasulullah SAW, tiada yang ma'sum."
DARI SATU SUDUT, saya bersetuju 100% dengan kenyataan
sahabat saya tersebut bahawa selepas Junjungan Nabi Muhammad Rasulullah
SAW tiada yang maksum. Penerimaan terhadap hakikat ini secara jujur dan adil
bermakna menerima juga bahawa yang dikatakan tidak ada yang maksum selepas
Junjungan Nabi Muhammad SAW ini TERMASUK LAH ulamak2 dlm majlis syura PAS yang
disebut oleh sahabat saya... HAKIKATNYA mereka juga TIDAK MAKSUM sebagaimana
Tuan Guru Syeikh Nuruddin juga tidak maksum atau tuan-tuan guru yang lain juga
tidak maksum. Jauh lagi lah orang-orang seperti saya dan sahabat saya, pasti
tanpa ragu-ragu kami tidak maksum. Lebih-lebih lagi seperti yang diisyaratkan
oleh sahabat saya, tidak seperti Syeikh Nuruddin yang bukan ulamak politik,
mereka ini adalah "ulamak-ulama politik". Sekiranya sahabat saya
memandang secara optimis bahawa status ulamak politik ini menyebabkan mereka
lebih faham dan layak menilai hukum hakam yang membabitkan politik, saya pula
melihat kemungkinan yang realistik bahawa sebagai insan-insan politik (bukan
yang berada di dalam parti PAS sahaja, bahkan yang berada di dalam parti UMNO
juga berdepan dengan dilema yang sama) sudah pasti di sana ada
kepentingan-kepentingan politik kepartian tertentu yang perlu mereka
pertimbangkan menyebabkan TIDAK MUSTAHIL kepentingan-kepentingan hukum dan
agama menjadi terjejas.
Namun begitu, DARI SUDUT YANG LAIN mungkin ramai daripada
kita yang tidak perasan bahawa selepas Junjungan Rasulullah SAW, MASIH ADA YANG
MAKSUM dari melakukan kesilapan ... masih ada yang Allah SWT pelihara daripada
tersalah dan tersilap ... iaitu ummat Islam itu sendiri ... ummat ini adalah
maksum ... Bila? Apabila mereka telah sepakat di dalam sesuatu perkara atau
hukum. KEMAKSUMAN UMMAT di dalam kesepakatan mereka ini dijamin oleh baginda
Rasulullah SAW sendiri apabila kita diberitahu oleh baginda bahawa ummat ini
tidak akan bersepakat di dalam kesesatan لا تجتمع أمتي على ضلالة “Tidak akan berhimpun (bersepakat) ummatku di atas
kesesatan”. Maka itu kesepakatan ummat Islam di dalam sesuatu perkara atau
hukum merupakan hujjah yang sangat kuat yang ada masanya sampai ke peringkat
dihukum kufur mereka yg melanggar kesepakatan ini (dihukum kufur mereka yang
membantahnya يُكفر جاحده).
Makna dari hadith ini sahih dan didukung oleh ayat AlQuran surah An-Nisa
(4:115) yang dijadikan dalil bahawa ijma', kesepakatan ummat, sebagai hujjah
yang haram dilanggar.
وَمَن يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَىٰ وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّىٰ وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَاءَتْ مَصِيرًا
"Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah
sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), DAN IA
PULA MENGIKUT JALAN YANG LAIN DARI JALAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN, Kami akan
memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari
akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka
jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali."
HUKUM HARAM MELANTIK ORANG KAFIR sebagai orang yang
mempunyai autoriti (سلطة) ke atas orang Islam merupakan hukum yg DISEPAKATI oleh
ulama-ulama Islam zaman berzaman sehinggalah sampai ke zaman kita ini bila mana
muncul individu-individu atau kumpulan-kumpulan yang cuba melanggar kesepakatan
ini lalu dinasihati, ditegur dan ditentang oleh ulama-ulama yang FAHAM dan
TUNDUK kepada hukum, usul dan kaedah. Ini adalah skop perbincangan di dalam
nota ini WALAUPUN tajuk nota ini menyebut "Tahaluf Siyasi" mengambil
sempena tajuk yang diberi oleh saudara kita yang bertanggungjawab upload
petikan video Tuan Guru Syeikh Nuruddin yang antara lain menjadi pencetus dan
dorongan untuk saya menulis nota ini, namun isu sebenar yang menjadi
fokus utama adalah hukum melantik orang yang bukan Islam ke kedudukan
yang mempunyai autoriti (سلطة) ke atas orang Islam sedangkan masalah tahaluf siyasi
disentuh secara sampingan sekadar yang dilihat berkaitan sahaja.
Walaupun sahabat saya di dalam komen beliau merendah diri
dengan mengaku bahawa beliau jahil, hakikat yang saya lihat adalah beliau ada
ilmu, beliau tahu bahawa kita perlu bersangka baik dengan pendapat orang lain,
beliau ada ilmu bahawa kita ummat Islam perlu lebih terbuka dan berlapang dada
dengan pendapat ulama-ulama lain. Namun, ILMU dan FAHAM merupakan dua peringkat
yang berbeza. Maka itu kita diberitahu oleh Rasulullah SAW bahawa sesiapa yang
Allah SWT mahukan kebaikan buat dirinya, nescaya Allah SWT akan berikan dia
KEFAHAMAN di dalam perkara agama من يرد الله به خيراً يفقهه في الدين. TAHU tentang perkara-perkara dan hukum hakam agama
adalah baik namun BELUM memadai, perlu bawa diri dan masyarakat untuk sampai ke
peringkat seterusnya iaitu FAHAM.
Soal TERBUKA dan BERLAPANG DADA dengan pendapat yang
berbeza ini pada saya merupakan sesuatu yang ramai ummat Islam sudah TAHU atau
diberitahu tentangnya. Namun, tidak seramai itu yang FAHAM atau diberi faham
bahawa sikap terbuka dan berlapang dada terhadap perbezaan pandangan dan
pegangan ini ada ruang dan bidangnya, BUKAN semua perkara dan bukan semua
bidang kita boleh mengambil sikap terbuka dan berlapang dada ini. Malah, ada
ruang dan bidang yang kita wajib bertegas, bahkan di sana ada bidang dan tanggungjawab
bagi yang berkuasa untuk berkeras demi menjaga keutuhan akidah dan kekukuhan
syariat.
PERTAMA, terbuka dan berlapang dada adalah pada perkara
cabang atau furu’ dan BUKAN pada perkara pokok atau usul. Oleh kerana itu,
perbezaan pendapat dan pandangan di dalam perkara furu’ fiqhiyyah tidak
sepatutnya sampai membawa perbalahan dan perpecahan sebagaimana perbezaan di
dalam usul i’tiqadiyyah. Perbezaan di dalam perkara usul adalah serius dan
ummat perlu bertegas di dalam mempertahankan aqidah Ahlis Sunnah wal Jamaah
kerana kesilapan di dalam perkara usul sebegini bukan sahaja memudaratkan dunia
ummat Islam bahkan juga bakal menderitakan akhirat mereka. Kita diberi amaran
oleh Junjungan Nabi Muhammad SAW bahawa perpecahan di sini, di dalam perkara usul,
akan membawa kesemua firqah yang berbeza dan berpecah itu ke neraka KECUALI
satu sahaja:
ستفترق أمتي على ثلاث وسبعين فرقة، كلها في النار إلا واحدة وفي رواية: قيل: فمن الناجية؟ قال: ما أنا عليه وأصحابي
“Akan berpecah ummatku kepada tujuh puluh tiga puak,
kesemuanya masuk ke neraka kecuali satu.” Di dalam suatu riwayat, baginda
ditanya “Siapakah golongan yang selamat itu?”. Jawab baginda: “Golongan yang
mengikut jalanku dan jalan para sahabatku”.
KEDUA, terbuka dan berlapang dada adalah pada perkara
yang BUKAN DISEPAKATI. Adapun perkara-perkara dan hukum-hukum yang telah
disepakati oleh Ummat Islam, kita telah diberi amaran di dalam AlQuran agar
tidak menyalahinya. Surah AnNisa’ (4:115) sebagaimana yang diistinbath oleh
Al-Imam Asy-Syafie rahimahulLah dan dipersetujui oleh ulama-ulama yang lain
memberi amaran bahawa sesiapa yang melakukan kesalahan melanggar kesepakatan
ummat ini akan dibakar di dalam neraka Jahannam. Hakikat ini adalah suatu yang
sedia maklum di kalangan mereka yang belajar Usul Fiqh di dalam bab حجية الإجماع.
Ijma’ merupakan benteng yang kukuh yang memperisai agama ini dari diruntuhkan
menggunakan alasan kebebasan berpendapat dan keterbukaan terhadap pendapat yang
berbeza.
Oleh itu, sekali ummat telah IJMA'’ bahawa sembahyang 5 waktu
adalah kefardhuan, pendapat berbeza yang mengatakan sembahyang yang fardhu cuma
tiga waktu sahaja, misalnya, adalah pendapat yang tidak boleh disambut dengan
dada yang terbuka, sebaliknya perlu ditentang sekeras-kerasnya. Mereka yang
sampai kepada kesimpulan yang berbeza dari kesepakatan ini kononnya melalui
“ijtihad” mereka, bukan sahaja wajib ditentang dengan hujjah dan burhan, malah
perlu dihukum oleh penguasa melalui pencegahan dan hukuman. Oleh sebab
pentingnya menjaga kesepakatan ummat ini dari diperkotak katikkan oleh sesiapa
jua walau sehebat manapun ilmunya, ummat Islam di Malaysia, masyarakat awam dan
ulamanya, bangkit menentang dan membantah fatwa seseorang yang suatu waktu dulu
mendakwa bahawa seorang wanita boleh menjadi pelacur sekiranya terdesak untuk
mencari nafkah. Fatwa songsang sebegini melanggar kesepakatan ummat yang
menghukum haram perbuatan zina walau dipaksa melakukannya dan diancam bunuh
sekalipun. Kita TIDAK DIBENARKAN mengambil sikap terbuka dan berlapang dada
mengatakan itu adalah pendapat dan pandangan orang tersebut. Ia hakikatnya
adalah suatu pandangan yang tertolak dengan ijmak ulama, terbatal oleh
kesepakatan ummat.
BERBEZA halnya di dalam perkara-perkara yang tidak
disepakati, perkara-perkara khilafiyyah. Di sini kita dituntut supaya berlapang
dada dengan pendapat yang berbeza. Sikap terbuka bahawa pendapat kita betul
tetapi berkemungkinan silap dan pendapat orang lain silap tetapi berkemungkinan
betul sangat dialu-alukan. Oleh sebab itu di dalam perkara-perkara seperti
sunat atau tidak sunat membaca doa Qunut, wajib atau tidak wajib membaca
basmalah di dalam Fatihah solat, batal atau tidak batal wudhuk kerana tersentuh
kulit lelaki dan wanita yang bukan mahram tanpa syahwat, wajib atau tak wajib
solat witir, haram atau makruh menghisap rokok dan masalah-masalah khilafiyyah
seumpamanya, kita memang dituntut supaya berlapang dada. Tidak perlu sampai
membidaah sesatkan ummat Islam yang membaca qunut Subuh atau menghukum berdosa
yang solat dengan fatihah tanpa basmalah dan seumpamanya. Malah sejarah
mencatatkan bahawa Imam yang mulia, Imam Syafie rahimahulLah pernah solat Subuh
berhampiran maqam Imam Abu Hanifah rahimahulLah dan meninggalkan bacaan qunut
kerana terbuka menghormati pendapat Imam Abu Hanifah yang bermaqam di
situ. Mazhab Hanafi tidak sampai menghukumkan berdosa pengikut Mazhab Syafie
yang meninggalkan solat witir dan Mazhab Syafie pula sampai menukar pendapat
mereka yang mengatakan seafdhal-afdhal solat sunat itu solat sunat fajar kepada
solat sunat witir kerana berlapang dada meraikan pendapat saudara-saudara
mereka yang bermazhab Hanafi yang meletakkan solat witir sebagai suatu
kewajiban.
KEMBALI, HUKUM HARAM BAGI UMMAT ISLAM melakukan
perkara-perkara atau usaha-usaha bagi mengangkat orang bukan Islam sebagai ولي الأمر ,
sebagai orang atau badan yang mempunyai سلطة autoriti atau kuasa ke atas ummat Islam adalah suatu
hukum yang DISEPAKATI oleh ulama-ulama ummat Islam zaman berzaman sehinggalah
ianya cuba dipertikaikan, diberi penafsiran berbeza dan seumpamanya
kebelakangan ini. TANPA MERENDAHKAN ilmu, kehebatan mahupun keikhlasan
individu-individu atau kumpulan-kumpulan yang cuba melakukan perobekan terhadap
kesepakatan ummat ini, perkara ini sebagaimana yang diterangkan di atas adalah
perkara yang TIDAK BOLEH DIBENARKAN. Soal perkara ini telah dan mungkin sedang
berlaku adalah soal yang berbeza. Sama halnya, hakikat bahawa telah ada, sedang
ada dan mungkin akan terus ada ummat Islam yang minum arak, berjudi dan
melakukan kemaksiatan-kemaksiatan seumpamanya tidak bermakna ummat Islam
dibenarkan untuk merobekkan kesepakatan ummat dengan mengeluarkan fatwa
menghalalkan perbuatan-perbuatan tersebut. Melanggar hukum adalah suatu
kesalahan, menidakkan hukum merupakan kesalahan yang LEBIH BESAR. Oleh kerana
itu, seorang Islam yang meninggalkan solat dengan sengaja tetapi masih mengakui
kewajiban solat, misalnya, cuma dihukum fasiq, berdosa besar, oleh jumhur ulama
TETAPI seorang Islam yang menafikan kewajiban solat dihukum kafir terkeluar
dari Islam oleh semua ulama.
Tidak pernah diketahui sebarang KHILAF tentang ketidak
layakan orang bukan Islam diberi سلطة ke atas orang Islam. Jangankan diangkat menjadi
pemimpin, wakil rakyat, ahli parlimen, ADUN dan seumpamanya, ulama sepakat
seorang kafir tidak diberi autoriti atau wilayah hatta untuk menikahkan anak
perempuannya sendiri. Padahal, kalau kita timbangkan dengan logic akal
semata-mata, apalah yang mudarat sangat kalau kita benarkan bapa yang kafir ini
menjadi wali nikah anak perempuannya sendiri? Namun, sepakat ulama tidak
membenarkan. Seorang kafir tidak dibenarkan mempunyai autoriti sebagai suami
kepada isteri yang muslimah dan seorang perempuan yang musyrik tidak diberikan
autoriti untuk menjadi isteri mentadbir rumah tangga seorang muslim atau
sebagai ibu yang mempunyai autoriti mendidik anak-anak yang muslim. Di zaman
perhambaan masih diamalkan, hamba Muslim tidak dibenarkan dijual kepada tuan
yang kafir dan seterusnya. JANGAN KERANA KEPENTINGAN PERCATURAN POLITIK kita
sampai merubah hukum Allah yang telah disepakati ini. Mereka yang belajar dan
faham kaedah fiqhiyyah, mereka tahu bahawa walaupun ‘adalah العدالة
(tidak fasiq) merupakan syarat lantikan pemimpin, namun sekiranya kefasikan itu
berlaku setelah dilantik menjadi pemimpin, maka ulama ada yang berpendapat
bahawa tidak boleh dipecat pemimpin yang telah terlantik itu. BERBEZA halnya
dengan kekufuran. Bukan sahaja ulama sepakat bahawa tidak sah melantik pemimpin
yang kafir, malah sekiranya والعياذ بالله kekufuran itu sabit berlaku setelah terlantik menjadi
pemimpin, maka ulama juga sepakat bahawa pemimpin tersebut wajib dipecat! Kalau
telah terlantik sekalipun, hukum agama menuntut agar dipecat pemimpin berkenaan
disebabkan kekufuran yang mendatang, apatah lagi sekiranya kekufuran yang asal,
adakah halal dilantik?
Saudara-sudaraku seIslam, TANPA MENGIRA PARTI DAN
KECENDERUNGAN POLITIK kalian, jangan lah sampai kecenderungan dan percaturan
politik kita sehingga mendorong kita tergamak menafikan atau melentur-lenturkan
hukum hakam yang ditetapkan oleh Allah SWT sebagaimana yang diterjemahkan oleh
kesepakatan para ulama. Kalau kalian tidak mampu untuk patuh, jangan sampai
kalian tergamak mengubah hukum. Apabila imam membaca surah At-Thin dan selesai
melantunkan ayat terakhir 95:8 أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَحْكَمِ الْحَاكِمِينَ "Tidakkah Allah SWT itu sebijak-bijak yang
bijaksana?", kita menjawab dan mengaku: بلى، وأنا على ذلك من الشاهدين "bahkan, sudah tentu dan saya menjadi salah seorang
saksi di atas yang demikian itu!" Malang, tingkah laku dan perbuatan kita
ada masanya jelas mendustakan pengakuan kita. Tingkah laku dan perbuatan kita
seolah-olah berkata dengan lisanul hal "kami ya Allah lebih bijaksana
daripada Mu" والعياذ بالله.
DAF'USY SYUBUHAAT دفع الشبهات (menolak kesamaran-kesamaran)
1) SYUBHAH bahawa pengundian calon PRU bukan pemilihan
pemimpin. Ada juga saya dapati sebahagian dari ummat Islam sendiri yang cuba
menimbulkan syubhah (kesamaran) dengan dakwaan bahawa pemilihan calon di dalam
PRU bukan proses memilih pemimpin, cuma memilih "wakil rakyat"
sahaja. Ini jelas adalah suatu kenyataan daripada orang yang samada ingin
mengelirukan orang lain atau dia sendiri terkeliru dengan realiti. Di dalam
kitab الأحكام السلطانية
susunan Al-Imam Al-Mawardi rahimahulLah beliau menerangkan syarat-syarat mereka
yang layak dilantik ke jawatan-jawatan tertentu termasuk sebagai kepala negara,
dipanggil "Imam" yang memegang "Imamah" إمامة,
atau Menteri-menteri yang berkuasa, yang memegang "Wizarut tafwidh" وزارة التفويض
atau pegawai-pegawai kerajaan yang menjalankan arahan, yang memegang
"wizaratut tanfiz" وزارة التنفيذ. Dari ketiga-tiga jawatan ini, dua daripadanya iaitu
imamah dan wizaratut tafwidh, Imam Mawardi berpegang, sebagaimana yang
disepakati oleh ulama-ulama yang lain, bahawa salah satu daripada syarat-syarat
sah perlantikannya mestilah orang yang dilantik itu seorang Islam. Cuma di
dalam jawatan ketiga iaitu wizaratut tanfiz, Imam Al-Mawardi berbeza pendapat
berbanding jumhur ulama dengan membenarkan orang bukan Islam (yang
dikategorikan sebagai kafir zimmi, yang mempunyai aqad zimmah dengan pemerintah
Islam, BUKAN kafir harbi) dilantik ke jawatan tersebut. PERSOALAN: siapakah
wazirut tanfiz yang boleh dilantik orang bukan Islam kafir zimmi menjawatnya?
Tentulah apa yang dimaksudkan olah Imam Al-Mawardi, maka Imam Al-Mawardi
sendiri lah yang lebih layak menerangkannya. Kata beliau:
وأما وزارة التنفيذ فحكمها أضعف وشروطها أقل لأن النظر فيها مقصور على راي الإمام وتدبيره وهذا الوزير وسط بينه وبين الرعايا والولاة يؤدي عنه ما أمر وينفذ عنه ما ذكر ويمضي ما حكم ويخبر بتقليد الولاة وتجهيز الجيوش ويعرض عليه ما ورد من مهم وتجدد من حدث ملم ليعمل فيه ما يؤمر به فهومعين في تنفيذ الأمور وليس بوال عليها ولا متقلدا لها فإن شورك في الرأي كان باسم الوزارة أخص وإن لم يشارك فيه كان باسم الواسطة والسفارة أشبه وليس تفتقر هذه الوزارة إلى تقليد وإنما يراعى فيها مجرد الإذن ولا تعتبر في المؤهل لها الحرية ولا العلم لأنه ليس له أن ينفرد بولاية ولا تقليد فتعتبر فيه الحرية ولا يجوز له أن يحكم فيعتبر فيه العلم وإنما هو مقصور النظر على أمرين أحدهما أن يؤدي إلى الخليفة والثاني أن يؤدي عنه فيراعي فيه سبعة أوصاف
Terjemahannya (saudara-saudaraku, pohon betulkan
sekiranya tidak tepat): "Adapun wizaratut tanfiz, maka hukumnya adalah
lebih lemah (berbanding wizaratut tafwidh) dan (oleh itu) syarat-syaratnya
adalah kurang kerana pertimbangan di dalam wizarah ini terhad kepada keputusan
dan tindakan Imam (ketua negara). Wazir jenis ini (hakikatnya) adalah orang
tengah (intermediary) antara ketua negara dan rakyat dan antara ketua negara
dan penguasa-penguasa yang dilantik, (wazir jenis ini semata-mata) menjalankan
apa yang diperintahkan oleh ketua negara dan melaksanakan apa yang disuruh
olehnya dan menjayakan apa yang diputuskan oleh ketua negara. Dan (wazir jenis
ini juga) menyampaikan berita perlantikan penguasa-penguasa dan memaklumkan
tentang persiapan tentera-tentera. Wazir jenis ini pula diberi maklum tentang
perkara-perkara penting yang berlaku dan perkembangan-perkembangan baru yang
terjadi AGAR DIA DAPAT MENJALANKAN TUGAS-TUGAS YANG DIARAHKAN (oleh ketua
negara) UNTUK DIA LAKUKAN KERANA DIA DIPILIH UNTUK MENJALANKAN TUGAS DAN BUKAN
SEBAGAI YANG BERKUASA KE ATASNYA (sebagaimana halnya Imam) DAN BUKAN JUGA
DILANTIK BAGINYA (sebagaimana halnya wazirut tafwidh). Sekiranya dia diajak
untuk turut serta memberi pandangan, maka nama "wizarah" adalah lebih
khusus dan sekiranya dia tidak diajak sama untuk memberi pandangan maka nama
"wasithah" (perantara) atau "saffarah" (kedutaan) adalah
lebih sesuai. Wizarah ini tidak perlu kepada lantikan (daripada ketua negara),
cukuplah diambil kira semata-mata keizinan (daripada ketua negara). Dan tidak
disyaratkan pada yang mampu (menjadi wazirut tanfiz ini) kemerdekaan (bukan
hamba sahaya) dan tidak (disyaratkan juga) ilmu pengetahuan KERANA tidak
dibenarkan dia (wazirut tanfiz) secara sendirian (tanpa kebenaran daripada ketua
negara) mentadbir sesuatu perkara atau melantik sesuatu jawatan sehinggakan
perlu disyaratkan kemerdekaan (jadi, tidak perlu merdeka, hamba sahaya pun
boleh dijadikan wazirut tanfiz). Dan dia juga tidak dibenarkan memutuskan
sesuatu keputusan sehinggakan perlu disyaratkan pada dirinya ilmu pengetahuan
(jadi, tidak disyaratkan). Dia semata-mata terhad bidang kerjanya kepada dua
perkara, PERTAMA: menyampaikan (maklumat-maklumat dan
perkembangan-perkembangan) kepada ketua negara dan KEDUA: menyampaikan (kepada
rakyat atau kepada penguasa-penguasa apa-apa maklumat atau keputusan) daripada
ketua negara. Oleh itu disyaratkan (untuk layak menjadi wazirut tanfiz) tujuh
sifat (syarat) .... Lalu Al-Imam Al-Mawardi menghuraikan syarat-syarat wazirut
tanfiz yang tujuh tersebut.
Sesiapa yang membaca dan memahami secara jujur dan
membuka fikiran kepada realiti, akan dapat menangkap bahawa apa yang
dimaksudkan oleh Al-Imam Al-Mawardi dengan wizaratut tanfiz lebih kepada
penjawat awam yang bertanggungjawab melaksanakan arahan dan keputusan kerajaan
semata-mata dan bukan merangka polisi atau membuat keputusan. Antara
contoh-contoh wazirut tanfiz juga adalah seumpama duta atau konsul yang
dilantik atau Ketua Jabatan dan Ketua Pengarah yang tidak bebas membuat
keputusan atau merangka polisi, sekadar menjalankan sahaja polisi-polisi yang
telah ditetapkan kerajaan dan menyampaikan sahaja keputusan-keputusan kerajaan.
BANDINGKAN dengan ahli-ahli parlimen atau ahli-ahli DUN
yang dilantik melalui pilihanraya di Malaysia. Tidak keterlaluan jika
dikatakan bahawa kuasa dan wewenang mereka meletakkan mereka BUKAN SAHAJA pada
kedudukan yang sangat jauh tinggi berbanding wazirut tanfiz, malah tidak jauh
dari realiti jika dikatakan kekuasaan dan wewenang mereka adalah pada kedudukan
di antara Imamah dan wizaratut tafwidh.
Cuba lihat apakah yang boleh dilakukan oleh (bidang
kuasa) ahli-ahli Parlimen di Malaysia -ahli-ahli Dewan Rakyat terutamanya- yang
juga merupakan gambaran bidang kuasa ADUN pada skala yang lebih kecil, sedikit berbeza
dan di bawah skop negeri berbanding skop persekutuan kerana meraikan senarai
negeri dan senarai persekutuan yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan
Persekutuan. Ahli-ahli Parlimen di Malaysia ADA KUASA, malah ianya adalah badan
khas penggubalan (legislative body) yang berkuasa untuk menggubal, meminda dan
memansuhkan undang-undang. Dengan kesepakatan 2/3 dari mereka, bukan sekadar
Akta Parlimen biasa boleh digubal, dipinda dan dimansuhkan, MALAH Perlembagaan
Persekutuan juga boleh dipinda atau digantikan. Sokongan majoriti mereka secara
konvensyen dan berdasarkan peruntukan perlembagaan bakal menentukan siapakah
yang bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia, iaitu ketua eksekutif tertinggi
secara realiti kerana Yang DiPertuan Agung, berdasarkan undang-undang,
berfungsi di bawah konsep raja berpelembagaan dan bukan raja yang benar-benar
berkuasa seperti di dalam sejarah kesultanan Melayu. Perdana Menteri selain
berperanan secara legislative sebagai ahli Parlimen berperanan secara executive
bersama-sama dengan ahli-ahli kabinet yang kebanyakannya, kalaupun tidak
kesemuanya merupakan ahli-ahli Dewan Rakyat. Dari sudut ini lah calon-calon PRU
yang berjaya diangkat menjadi ahli-ahli Dewan Rakyat sebenarnya adalah lebih
tinggi kedudukan dan lebih luas kuasa mereka berbanding mereka yang diberi
kepercayaan memegang jawatan di dalam wizaratut tafwidh (yang sepakat ulama
mensyaratkan wajib beragama Islam) kerana wazir tafwidh dilantik dan dipecat
oleh ketua negara, sedangkan di dalam sistem Raja berpelembagaan di Malaysia,
ahli-ahli parlimen sebenarnya yang menentukan siapakah yang bakal dilantik oleh
YDPA ke jawatan ketua eksekutif tertinggi itu. Polisi dalam dan luar negeri
juga bakal ditentukan oleh ahli-ahli Parlimen yang membentuk kerajaan.
Untuk maklumat yang lebih mendalam dan terpeinci,
seseorang perlu mengetahui tentang undang-undang perlembagaan atau
sekurang-kurangnya tentang sistem undang-undang dan pemerintahan Malaysia.
Memadailah dengan maklumat yang sedikit ini untuk seseorang yang mahu melihat secara
objektif sedar dan yakin bahawa ahli-ahli Parlimen dan ahli-ahli DUN di
Malaysia BUKAN sama sekali menjawat wizaratut tanfiz yang sebahagian ulama
membenarkan untuk diizinkan kepada yang bukan beragama Islam, yang berstatus
kafir zimmi. Ia adalah jawatan yang hakikatnya telah menghampiri imamah secara
collective. Kalaupun jawatan ahli Parlimen dan ADUN tidak mahu dikatakan lebih
tinggi sekalipun dari wizaratut tafwidh, jelas dan terang ia sama sekali tidak
lebih rendah dari jawatan wizaratut tafwidh yang sepakat ummat Islam
mensyaratkan penjawatnya beragama Islam. Perlanggaran terhadap kesepakatan
hukum inilah yang sangat membimbangkan kerana sebagai orang yang beriman, kita
yakin seyakin-yakinnya bahawa hukum-hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT pasti
ada maslahah (kebaikan) kepada manusia dan alam semesta ini dan oleh itu,
perlanggaran terhadap mana-mana hukum yang telah disepakati oleh ummat pasti
membawa mudarat dan bencana kepada ummat Islam khususnya dan kepada ummat
manusia amnya. (Lihat misalnya perbincangan tentang hakikat ini di dalam الموافقات
karya Al-Imam Asy Syatibi rahimahulLah).
2) SYUBHAH KEWAJIBAN MENGHAPUSKAN KEZALIMAN: Antara
SYUBHAH yang timbul atau ditimbulkan oleh sebahagian ummat Islam adalah
mengundi orang kafir menjadi ahli Parlimen atau ahli DUN adalah dibenarkan
kerana ulama sepakat bahawa menghapuskan kezaliman adalah suatu kewajiban. لا حول ولا قوة إلا بالله العلي العظيم
... Begitu mudah hukum keharaman mengangkat orang kafir ke kedudukan yang
mempunyai سلطة
(authority) ke atas ummat Islam (termasuk menjadi hakim atau qadhi, bukan
sahaja menjadi ahli Parlimen dan ADUN) yang telah disepakati oleh ulama Islam
zaman berzaman dirobek. Saya merasa sangat terkejut dan dalam masa yang sama
sedih membaca kenyataan seorang sahabat yang saya hormati, yang saya anggap
seperguruan dengan saya kerana pernah sama-sama menadah kitab menimba ilmu
ketika di bumi anbiya dulu. Sekali lagi, saya tidak mempertikaikan
keilmuan dan keikhlasan beliau. Namun, rasa hormat dan persahabatan tidak boleh
sampai membutakan mata saya terhadap kekeliruan besar yang timbul dari
kenyataan yang beliau umumkan. Kata beliau:
"Tidak ada sebarang masalah bagi orang Islam untuk
mengundi calon bukan Islam pada PRU 13 nanti jika langkah itu boleh menjuruskan
ke arah menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman yang berlaku di dalam
negara ini kerana para ulama Islam sepakat bahawa menghapuskan kezaliman adalah
wajib".
Ya, ulama Islam sepakat bahawa menjadi suatu kewajiban
untuk menghapuskan kezaliman. Ya, ulama Islam juga sepakat menjalankan kaedah
bahawa "kemudaratan itu perlu dihilangkan" الضرر يُزال.
Namun kewajiban ini sebagaimana kewajiban- kewajiban yang lain ada cara dan
peraturan bagaimanakah ia sepatutnya dilaksanakan. Kaedah الضرر يزال
juga sebagaimana kaedah-kaedah yang lain perlu dibaca dan diamalkan
bersama-sama dengan kaedah-kaedah berkaitan supaya perlaksanaannya tidak
menjadi pincang dan maksud besar menjaga syariah tidak sampai terjejas atau
terancam. Kaedah الضرر يزال dilaksanakan dengan terikat kepada kaedah yang memandu
iaitu الضرر لا يزال بالضرر
iaitu kemudaratan tidak dihapuskan dengan kemudaratan yang lain. Di dalam
kaedah yang berkaitan juga, secara lebih terpeinci boleh diterangkan bahawa الضرر لا يزال بمثله أو بما هو أشدّ منه
iaitu kemudaratan itu tidak boleh dihapuskan dengan kemudaratan yang sama atau
lebih teruk darinya. Kezaliman (secara asasnya apabila kita meletakkan sesuatu
bukan pada tempatnya, kita telah berlaku tidak adil, atau secara definisi, kita
telah berlaku zalim) tanpa ragu-ragu adalah suatu bentuk kemudaratan. Oleh itu
kezaliman perlu diusahakan untuk dihapuskan, namun bukan dengan kezaliman yang
sama dengannya, apatah lagi dengan kezaliman yang lebih besar dan teruk kerana
jika yang demikian berlaku, nescaya kewajiban menghapuskan kezaliman itu
hakikatnya tidak terlaksana kerana di tempat kezaliman yang lama wujud pula
kezaliman lain yang sama atau lebih teruk daripadanya.
Maklum, bahawa kufur dan syirik adalah sebesar-besar dosa
dan kezaliman sehinggakan dosanya, berbeza dengan dosa-dosa besar yang lain,
tidak akan diampunkan sama sekali oleh Allah SWT sekiranya si pelakunya mati di
dalam keadaan tidak bertaubat daripadanya. Oleh itu, pemerintah Islam yang
fasiq tidak boleh dihilangkan kemudaratannya dengan melantik pula pemerintah
yang kafir. Malah, perbuatan melantik penguasa atau pemerintah yang kafir itu
sendiri merupakan suatu kezaliman dari sudut melanggar hukum Allah SWT yang
telah disepakati dan juga dari sudut meletakkan seseorang yang jelas tidak
layak memikul amanah kepimpinan pada tempat yang tidak selayaknya. Pemerintah
dan penguasa Islam asalnya tidak boleh dilantik dari kalangan orang yang fasiq
(yang masih sah dijadikan imam solat), namun sekiranya dia menjadi fasiq ketika
telah dilantik, masih ada ulama yang berpandangan bahawa dia dikekalkan di
dalam jawatannya. Berbeza halnya dengan yang kafir (yang memang tidak sah perlantikannya
walau sekadar menjadi imam solat), sepakat ulama memutuskan bahawa kekufurannya
menjadi penghalang bukan sahaja untuk dilantik menjadi penguasa, malah turut
menjadi penghalang untuk dia dikekalkan di dalam jawatan penguasa.
Ayat "jika langkah itu boleh menjuruskan ke arah
menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman" di dalam kenyataan di atas
sebenarnya adalah a big IF, not to say an impossible IF. Seolah-olah kita افتراض التلازم
mengandaikan ada kemestian di antara perbuatan memenangkan calon bukan Islam
menjadi penguasa dan pemimpin dengan natijah "menegakkan keadilan dan
menghapuskan kezaliman". This IF is not only difficult to ascertain, it is
also, from syariah viewpoint شرعاً, impossible kerana perbuatan mengangkat orang bukan Islam
menjadi penguasa dan pemimpin ke atas ummat Islam itu sendiri merupakan
ketidakadilan dan kezaliman. Belum lagi mengambil kira realiti di sekeliling
kita baik yang berbentuk sejarah atau semasa bahawa apabila ummat Islam diberi
amanah menjadi pemimpin, tidak dicatatkan berlaku kezaliman ke atas orang-orang
bukan Islam semata-mata kerana mereka bukan Islam. Sekiranya berlaku kezaliman
sekalipun, maka kezaliman itu disebabkan ketidak amanahan pemerintah yang
mengenai semua rakyat, baik yang beragama Islam mahupun yang bukan. Tetapi
keadaan yang sama tidak boleh dipertahankan apabila kedudukan adalah
sebaliknya, apabila ummat Islam dibenarkan diperintah oleh yang bukan Islam,
kezaliman, malah kekejaman yang bersifat pembunuhan dan penumpahan darah telah
kerapkali memerahkan lembaran sejarah. Hairan, ramai ummat Islam yang rajin
berkongsi maklumat tentang nasib malang yang menimpa ummat Islam di
negeri-negeri yang dikuasai oleh bukan Islam, berkongsi gambar dan fakta
tentang penderitaan ummat Islam di Palestin, di Bosnia, di selatan Thailand, di
Myanmar dan pelbagai lagi dengan ayat-ayat doa dan simpati, namun tidak mahu
mengambil pengajaran bahawa yang layak mentadbir ummat Islam tanpa diskriminasi
dan penindasan agama adalah ummat Islam juga. Sekiranya ada pemimpin ummat
Islam yang berlaku zalim kepada rakyat di bawah pimpinannya, maka itu adalah
pecah amanah yang bakal mengenai rakyat tanpa mengira agama. Maka dia akan
dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di atas dosa kesalahan pecah amanah
ini.
3) SYUBHAH hubungan RasululLah SAW dengan orang-orang
bukan Islam di Madinah. Ada juga kesamaran yang dibangkitkan oleh sebahagian
masyarakat Islam bagi menghalalkan perbuatan melantik orang kafir menjadi ahli
Parlimen dan ahli DUN dengan alasan RasululLah SAW ketika di Madinah pun
mengatur hubungan baik di antara masyarakat majmuk di sana yang terdiri dari
pelbagai kaum dan agama. Oleh itu, kata mereka, kita di Malaysia yang mempunyai
masyarakat yang berbilang kaum dan agama juga boleh melantik orang bukan Islam
menjadi ahli Parlimen dan ahli DUN. Dakwaan sebegini memang "sedap"
di dengar dan diwar-warkan kepada masyarakat. "Nabi dulu pun buat!"
itu lah ayat yang menjadi "dalil qathie", yang merupakan "bukti
pasti" mereka. Namun, dari segi usul fiqh perkaitan sebegini dipanggil
qiyas قياس
kerana memanjangkan hukum mansus منصوص (perbuatan yang ditetapkan hukum di dalam nas, di sini
menyusun atur hak dan tanggungjawab serta hubungan rakyat pelbagai kaum dan
agama) kepada yang tidak mansus غير المنصوص (perbuatan yang tidak ditetapkan secara jelas hukumnya
di dalam nas, di sini kita andaikan ia kononnya adalah perbuatan mengangkat
orang bukan Islam menjadi ahli Parlimen dan ahli DUN) kerana persamaan 'illah علة
(asas hukum) antara kedua-duanya yang mansus dan yang tidak.
Pertama, qiyas sebegini adalah terbatal dari awal dan
tidak sah kerana maklum di dalam usul fiqh, qiyas ini ibarat tayammum bagi
orang yang ketiadaan air, batal hukum tayammum dengan mendapatkan air. Begitu
juga qiyas terpaksa digunakan untuk mengenalpasti hukum apabila tiada nas yang
menunjukkan kepada hukum. Sedangkan di dalam perbuatan mengangkat orang kafir
menjadi penguasa dan pihak berautoriti, penggubal undang-undang, pembentuk
perlembagaan, penetap polisi, pemilih kepada ketua tertinggi negara, bukan
sahaja sudah terdapat nas yang sarih dari Al-Quran dan Al-Hadith, malah di sana
ada ijma' yang menetapkan keharamannya.
Kedua, kalaupun for the sake of argument kita mahu
menganggap sejenak bahawa boleh dilakukan qiyas di dalam perkara ini, ia tetap
merupakan qiyas yang bathil, qiyas yang berbeza قياس مع فارق kerana asas utama qiyas tidak wujud di sini iaitu العلة المشتركة,
asas hukum yang dikongsi bersama. Jangan katakan asas hukum yang sama,
kedua-dua perkara yang cuba dikaitkan ini hakikatnya merupakan dua perkara yang
sangat berbeza sifat dan hukum. Di Madinah, Nabi Muhammad SAW merupakan ketua
negara. Baginda cuma menyusun atur dan menjelaskan hak dan tanggungjawab
penduduk-penduduk Madinah yang pelbagai kaum dan agama yang sememangnya disepakati
sebagai salah satu tanggungjawab pemerintah Islam. Baginda tidak pernah
melantik orang kafir menjadi pemimpin atau penguasa di Madinah, apatah lagi
berpakat dengan kaum kafir untuk menjatuhkan sesama Islam. Kesepakatan cuma
pada sama-sama mempertahankan Madinah sebagai rakyat Madinah dari serangan
musyrikin Mekah dan musuh-musuh Islam yang lain. Apabila janji setia ini
dikhianati, Baginda dengan bimbingan wahyu daripada Allah SWT terus mengambil
tindakan tegas seperti yang berlaku kepada Yahudi Bani Quraizhah yang khianat
dan memihak kepada musuh di dalam peperangan Ahzab. Bagai Timur dan Barat
"Qiyas" yang cuba mereka samarkan di dalam rangka merobek hukum yang
telah disepakati ummat. ولا حول ولا قوة إلا بالله العلي العظيم.
4) SYUBHAH persamaan dengan perjanjian Hudaibiyah.
Ada juga di sana kecenderungan untuk menyamakan apa yang dinamakan mereka
sebagai tahaluf siyasi ini (seterusnya menghalalkan perlantikan kafir ke
kedudukan yang berkuasa ke atas ummat Islam) dengan apa yang dilakukan oleh RasululLah
SAW di dalam perjanjian Hudaibiyah. Kesimpulan daripada perbandingan yang
dilakukan oleh mereka adalah sebagaimana RasululLah SAW melakukan perjanjian
Hudaibiyah dengan musyrikin Quraisy demi kemaslahatan dan kebaikan ummat Islam
begitu juga ummat Islam sekarang boleh melakukan tahaluf siyasi dengan kafir
musyrik demi "menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman". Begitu
juga mereka membayangkan bahawa sebagaimana ada di kalangan sahabat-sahabat
Nabi SAW yang tidak berpuas hati dengan terma-terma perjanjian tersebut yang
dilihat mereka secara zahirnya merugikan ummat Islam, ada di kalangan ummat
Islam sekarang yang "tidak faham" bakal menentang tahaluf siyasi yang
dianjurkan mereka ini. Sepatutnya, rumus mereka, sebagaimana sahabat-sahabat
Nabi yang tidak selesa dengan perjanjian Hudaibiyah sabar dan tunduk, begitu
juga ummat Islam sekarang patut sabar dan tunduk kepada tahaluf siyasi ini. معاذ الله!
Pertama, seperti yang telah saya jelaskan di atas,
ayat-ayat power "Nabi pun dulu buat" ini memang laris dijual dan
dijaja, namun bakal tersungkur bila dinilai secara ilmiah. Qiyas ini void ab
initio, terbatal dari awal, kerana qiyas dilakukan pada perkara yang telah ada
hukumnya dari nas dan ijma'. Sepaling kuat pun qiyas di dalam perkara yang telah
mansus sebegini sekadar menguatkan sandaran hukum, tiada upaya untuk melawan
hukum yang telah ada nas, apatah lagi untuk merobek ijmak.
Kedua, for argumental sake, let just assume for a while
bahawa soal mengangkat orang kafir menjadi pihak yang berautoriti ke atas ummat
Islam ini belum ada hukum. Masih, mengikut neraca usul fiqh, qiyas ini
merupakan qiyas yang tidak sah dan terbatal kerana ianya qiyas antara dua
perkara yang berbeza قياس مع فارق yang langsung tidak berkongsi asas hukum yang sama.
1) Perjanjian Hudaibiyah adalah perjanjian antara
pemerintah Islam dan pihak berkuasa kafir membabitkan gencatan senjata,
memberhentikan peperangan untuk suatu tempoh yang dipersetujui sedangkan
tahaluf siyasi adalah persefahaman antara segolongan ummat Islam dan segolongan
orang kafir bagi tujuan menaikkan diri mereka masing-masing Islam dan Kafir ke
tampuk kuasa dan pemerintahan. Perjanjian yang pertama memang jelas dibenarkan
dilakukan oleh pemerintah Islam demi kemaslahatan ummat, sedangkan persefahaman
yang kedua membawa kepada natijah melanggar hukum yang telah disepakati oleh
ulamak ummat.
2) Sahabat-sahabat Nabi SAW yang tidak selesa dengan
sebahagian dari terma-terma perjanjian Hudaibiyah tersebut tunduk dan bersabar
kerana mematuhi hukum iaitu taat kepada apa yang dibawa oleh Junjungan
RasululLah SAW sedangkan natijah dari tahaluf siyasi adalah mengajak ummat
Islam "bersabar" di dalam melanggar hukum yang dibawa oleh RasululLah
sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Quran dan Al-Hadith dan menyeru ummat
supaya "berlapang dada" di dalam perbuatan merobek ijmak.
5) SYUBHAH حلف الفضول. Sesiapa yang cepat memahami usul dan kaedah, akan dapat
memahami bahawa syubhah حلف الفضول juga terbatal kerana menyalahi kaedah istinbath hukum,
khasnya di dalam masalah Qiyas seperti yang diterangkan di atas. Selain dari
isu cegahan melakukan qiyas pada perkara yang telah diketahui hukumnya dari nas
dan ijmak, percubaan untuk menyamakan حلف الفضول dengan perbuatan tahaluf siyasi yang membawa kepada
perlantikan orang kafir ke kedudukan dan jawatan yang berautoriti ke atas orang
Islam adalah JELAS merupakan qiyas yang bathil kerana ia merupakan قياس مع فارق
qiyas yang mempunyai perbezaan, malah perbezaan yang sangat besar. Di
dalam حلف الفضول
RasululLah SAW sebelum baginda diangkat menjadi Rasul turut serta berjanji
setia dengan kaum musyrikin Quraisy dan baginda ada menyebut selepas kerasulan
baginda bahawa sekiranya baginda diajak lagi untuk menyertai حلف الفضول
nescaya baginda akan setuju. Bacalah dan pelajarilah sejarah حلف الفضول,
nescaya saudara-saudaraku dapat melihat bahawa ianya adalah kesepakatan untuk
memberi tekanan ke atas orang merampas atau menahan hak orang yang berhak
supaya dia memulangkan semula atau menunaikan hak tersebut. Di dalam tahaluf
siyasi yang bernatijah meletakkan orang-orang kafir sebagai pemimpin dan
penguasa, kesepakatan adalah untuk memberi sesuatu kuasa dan kedudukan kepada yang
BUKAN berhak. Wilayah kepimpinan di dalam Islam haram secara ijmak untuk diberi
kepada orang kafir, bagaimana saudara-saudaraku tergamak menqiyaskan yang haram
dilakukan iaitu menyerahkan kuasa kepada yang tidak layak, menyerahkan amanah
kepada yang bukan ahlinya, saudara-saudaraku samakan dengan perkara yang
dibenarkan iaitu bantu membantu mengembalikan hak kepada yang berhak? Ya,
sekiranya di dalam kampung atau taman kita ada jiran kita yang bukan Islam
disamun dan dirompak hartanya oleh perompak yang kebetulan beragama Islam atau
bukan Islam, kita dibenarkan malah dituntut untuk berpakat bantu membantu bagi
memulangkan harta yang dirampas dan dirompak tersebut kepada tuan yang berhak,
walaupun bukan beragama Islam. Secara practical, di zaman kita sekarang tugas
ini biasanya dilakukan oleh pihak berkuasa keselamatan iaitu pihak polis.
Apapun, tiada halangan untuk kita melakukan seumpama حلف الفضول
dengan ahli masyarakat, Islam dan bukan Islam bagi memastikan hak-hak ahli
masyarakat tidak teraniaya seperti yang saya gambarkan di dalam contoh di atas.
Namun, ini bukan tahaluf siyasi yang mengangkat ke jawatan pemerintah dan
penguasa orang-orang yang tidak memenuhi syarat kelayakan utama menjadi
pemimpin di dalam Islam iaitu mesti beragama Islam.
6) SYUBHAH di dalam menafsirkan ayat-ayat suci
Al-Quran tanpa berpandukan tafsir-tafsir yang muktabar. Surah Al-Mumtahinah
60:8
لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan
berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu),
dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah
mengasihi orang-orang yang berlaku adil."
Ayat di atas telah ditafsirkan secara yang menyalahi
tafsir-tafsir yang muktabar. Mereka mendakwa bahawa frasa أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ
"berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka (orang-orang yang tidak
memerangi kamu)" itu termasuk melantik orang-orang kafir menjadi pemimpin
dan penguasa. Saudara-saudaraku seagama, hati-hati lah, buka lah setiap satu
dari kitab-kitab tafsir yang muktabar, kecil dan besar, TIADA SATU pun yang
sanggup memesongkan makna ayat suci ini dengan menafsirkan kalimah tersebut
sebagai merangkumi kehalalan melantik orang kafir menjadi pemimpin dan
penguasa.
Kesimpulan tafsir frasa tersebut sebagaimana yang
ditafsirkan oleh para mufassirin adalah ummat Islam tidak dilarang, malah
disuruh, berlaku adil dan berbuat baik kepada mereka, menerima hadiah dan
pemberian daripada mereka dan seumpamanya. Malah, yang dimaksudkan dengan
"mereka" itu pun, sebahagian ulama mufassirin mengatakan bahawa
mereka (orang-orang yang kita disuruh berbuat baik dan berlaku adil itu) adalah
orang-orang yang beriman juga yang masih belum berhijrah dari Mekah atau dari
tempat-tempat lain ke Madinah; ada yang menafsirkan bahawa yang dimaksudkan
adalah musyrikin Quraisy yang tidak memerangi umat Islam, malah ada yang
mengatakan bahawa ayat ini telah dinasakh hukumnya oleh ayat as-saif, ayat
pedang, Surah At-Taubah: Ayat 5. Apapun khilaf di kalangan mufassirin di dalam
menafsirkan ayat ini tiada satu pun yang tergamak menafsirkan ia sebagai menghalalkan
perlantikan orang kafir sebagai pemimpin dan penguasa ke atas ummat Islam.
Terlintas di hati, adakah mereka yang sewenang-wenangnya menafsirkan ayat suci
ini sesuai dengan kecenderungan dan pilihan mereka terlupa amaran keras yang
telah diberikan oleh RasululLah SAW di dalam sabda baginda مَنْ قَالَ فِي الْقُرْآنِ بِغَيْرِ عِلْمٍ
فَلْيَتَبَوَّأْ
مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ
"Barangsiapa yang mengatakan tentang Al-Quran tanpa ilmu, maka
persiapkanlah tempat duduknya di neraka". Di dalam riwayat yang lain
dikatakan: وَمَنْ قَالَ فِي الْقُرْآنِ بِرَأْيِهِ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّار "Barangsiapa yang berkata tentang (menafsirkan)
Al-Quran (semata-mata) dengan pendapatnya (tanpa merujuk kepada
tafsiran-tafsiran yang sahih para sahabat dan ulamak yang berpandukan perunjuk
RasululLah SAW), maka sediakanlah tempat duduknya dari api neraka"!
Hairannya, di dalam keadaan mereka begitu berani
menafsirkan Al-Quran secara menyalahi tafsir-tafsir ulama yang muktabar, ke
mana pula mereka sorok ayat pertama dari surah yang sama? Surah
Al-Mumtahinah 60:1
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُم مِّنَ الْحَقِّ يُخْرِجُونَ الرَّسُولَ وَإِيَّاكُمْ أَن تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ رَبِّكُمْ إِن كُنتُمْ خَرَجْتُمْ جِهَادًا فِي سَبِيلِي وَابْتِغَاءَ مَرْضَاتِي تُسِرُّونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَأَنَا أَعْلَمُ بِمَا أَخْفَيْتُمْ وَمَا أَعْلَنتُمْ وَمَن يَفْعَلْهُ مِنكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَاءَ السَّبِيلِ
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu
mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu
sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab
hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang
mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu;
mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan kamu
(dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu.
(Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada
jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu
mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat
mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan
(ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka
sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul."!
Kenapa mereka tidak beritahu kepada ummat siapakah yang
dimaksudkan dengan frasa "musuhKu dan musuh kamu" di dalam ayat
tersebut mengikut tafsir-tafsir para ulamak yang muktabar? Adakah
saudara-saudara mereka seIslam yang Allah gelar sebagai عدوي وعدوكم
itu atau pun hakikatnya mereka itu adalah kafir musyrik? Berlaku jujur lah
wahai saudara-saudaraku di dalam menrangkan ayat-ayat Allah.
7) SYUBHAH berdakwah kepada orang bukan Islam. Ada
juga di kalangan ummat Islam yang cuba justify perbuatan mengangkat orang kafir
sebagai penguasa dan pemimpin dengan alasan perbuatan ini dapat membuka pintu
dakwah supaya mereka dapat menerima Islam. Saudara-saudaraku seagama. Dakwah
adalah suatu amalan dan tanggungjawab yang mulia yang TIDAK DILAKUKAN dengan
cara melanggar hukum. Sejujurnya kalian masih boleh meneruskan usaha dakwah
dengan menganjurkan majlis-majlis penerangan dan dialog yang membuka hati dan
minda mereka kepada kebenaran dan keindahan Islam. Namun, sama-sama kita ingat
dan insafi bahwa dakwah dengan lisanul hal iaitu dengan perbuatan lah yang
paling efektif. Actions always speak louder than words. Tiada makna lisan
perkataan yang bercakap, sekiranya lisan perbuatan mendustakan. Ibarat jejaka
yang sudah beristeri yang ingin memikat gadis sebagai isteri kedua dengan
menunjukkan lagak yang paling baik dan gentleman, dengan ayat-ayat manis yang
berbunga sedangkan si gadis memerhatikan bagaimana isteri pertama diabaikan,
diherdik dan dipukul, pasti terlintas di hati kecil, nanti kalau aku terima dia
sebagai suami aku akan diperlakukan sedemikian juga. Tiada makna kalian
beriya-beriya menjemput mereka menjadi saudara seagama kalian, sedangkan mereka
memerhatikan bagaimana kalian melayan insan-insan yang sebangsa seagama kalian
dengan maki hamun cerca nista dan kebencian. Mungkin mereka bermanis mulut
memuji dan memuja kalian, tetapi hati kecil pasti tertawa sinis melihat gelagat
yang tunggang terbalik itu.
Rasa hormat dan kagum mereka timbul apabila kita sebagai
umat Islam mempunyai prinsip dan jati diri, BUKAN dengan cara mengadai prinsip
dan menjual diri. Jangan sangka orang Cina hanya boleh hormat anda kalau anda
memakai cheongsam dan boleh berbahasa Mandarin, atau orang India menghormati
anda cuma apabila anda memakai sari dan bertutur di dalam Bahasa Tamil. Kalau
anda suatu hari perlu mendapatkan sokongan dari golongan nudist, pakaian apa
pula yang anda hendak pakai? Bagus kalau kita tahu berbahasa selain dari bahasa
ibunda. Secara peribadi, saya lihat baik sekali kalau Bahasa Mandarin dan
Bahasa Tamil ditawarkan sebagai mata pelajaran pilihan di sekolah-sekolah
kebangsaan di samping mata pelajaran wajib Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris
demi memupuk interaksi yang lebih lancar antara berbilang kaum di negara
tercinta. Namun, Melayu tidak perlu menjadi Cina untuk dihormati, Cina tidak
perlu menjadi India untuk disegani dan India tidak perlu menjadi Melayu untuk
dipercayai. Nilai-nilai murni adalah nilai-nilai yang universal yang boleh
diterima oleh semua kaum dan bangsa. Malang, kita sebagai ummat Islam sendiri
yang gagal mengamalkan nilai-nilai mulia yang diajarkan di dalam Islam di dalam
diri dan masyarakat lalu menimbulkan sceptism dan phobia di kalangan mereka
yang baru mengenal siapa itu ummat Islam dan belum lagi mengenal apa itu Islam.
Bagi sahabat-sahabat terutamanya para asatizah yang saya
hormati yang mungkin masih tidak berpuas hati dengan maklumat kesepakatan hukum
ini tetapi tiada masa dan terlalu sibuk untuk menggali isi-isi kitab yang
muktabar, ada suatu artikel yang ringkas tetapi jelas yang boleh dibaca dihttp://saaid.net/Doat/alsharef/46.htm
KEPADA PENDUKUNG-PENDUKUNG PARTI POLITIK, saudara-saudara saya
yang seagama, apa yang saya sampaikan ini tidak ditujukan kepada mana-mana
parti, barisan atau pakatan politik tertentu sahaja. Hukum yang sama terpakai
kepada ummat Islam baik yang menyokong Barisan Nasional mahupun yang bersama
Pakatan Rakyat. Begitu lah sifat hukum, tidak membezakan antara kumpulan dengan
kumpulan antara kaum dengan kaum. Jangan sampai kebencian kita kepada sesuatu
puak atau kelompok sampai menghalang kita dari berlaku adil iaitu jangan sampai
menghalang kita dari berhukum dengan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah
SWT. Al-Maidah 5:8
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu
semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi
menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu
kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku
adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan
bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam
akan apa yang kamu lakukan."
Kita ambil satu scenario di mana seorang calon beragama
Islam berhadapan dengan seorang atau lebih calon yang bukan beragama Islam.
Katakan di dalam scenario yang pertama calon bukan Islam mewakili PR sedangkan
calon Islam tidak mewakili PR. Di dalam scenario kedua, sebaliknya, calon bukan
Islam mewakili BN sedangkan calon Islam tidak. Di dalam scenario pertama,
penyokong-penyokong PR yang beragama Islam berhadapan dengan dua bacaan dan dua
tuntutan, begitu juga halnya dengan penyokong-penyokong BN beragama Islam di
dalam scenario kedua, mereka juga berdepan dengan dua bacaan dan dua tuntutan.
Bacaan dan tuntutan pertama adalah bacaan dan tuntutan politik sementara bacaan
dan tuntutan kedua adalah bacaan dan tuntutan agama. Sekiranya mereka memilih
menaikkan calon bukan Islam yang mewakili barisan atau pakatan yang dianggotai
oleh parti politik pilihan mereka, mereka telah membaca mengikut bacaan politik
dan patuh menunaikan tuntutannya. Sekiranya mereka memilih menaikkan calon
Islam walaupun bukan daripada barisan atau pakatan yang diceburi oleh parti
politik dukungan mereka, maka mereka telah membaca dengan bacaan agama dan
bertindak menurut tuntutan agama.
Soalan Pertama: SEBAGAI SEORANG ISLAM YANG BERIMAN,
tuntutan politik kah yang kita utamakan atau tuntutan agama? Dari lubuk hati
saya, sebagai seorang Muslim yang beriman, saya tiada pilihan lain melainkan
mengutamakan tuntutan agama mengatasi tuntutan-tuntutan yang lain termasuk
tuntutan politik. Hukum hakam lah yang sepatutnya menjadi pemerintah yang
mencorakkan politik dan bukan politik pula yang menjadi hakim yang menghakimi
hukum hakam.
Soalan Kedua: SEBAGAI ORANG ISLAM, tentu kita perlu
menjawab, siapakah yang menentukan orang-orang yang kita pilih menjadi kawan
atau seteru politik kita? Jawabnya kita sendiri, mengikut pertimbangan dan
percaturan kita. Siapakah pula yang memilih manusia-manusia yang menjadi
saudara kita dunia dan akhirat? Jawabnya Allah SWT yang Maha Mengetahui setiap
yang nyata dan yang tersembunyi dan Maha Bijaksana di dalam segala pilihan dan
ketentuanNya.
Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Hujurat 49:10
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah
bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah)
itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."
Ikatan dan persefahaman politik boleh kita rungkaikan
bila-bila masa sahaja apabila kesepakatan itu tidak lagi membawa keuntungan
kepada percaturan politik kita. Malah sejarah membuktikan memang tidak ada
istilah kawan sebenar atau musuh abadi di dalam politik. Yang semalam menjadi
teman rapat sepasukan, hari ini menjadi musuh ketat dan sasaran kecaman dan
yang hari ini tidak boleh duduk semeja, besok boleh pula berpeluk-pelukan
mesra.
Adapun, ikatan persaudaraan agama yang Allah SWT
simpulkan buat kita, jangankan sampai hendak dirungkai buang, hendak dipulau
saudara seagama pun haram hukumnya sekiranya sampai melebihi tiga hari.
Diriwayatkan bahawa RasululLah SAW bersabda:
لَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا وَلَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ
"Jangan kamu benci membenci dan jangan kamu dengki
mendengki dan jangan kamu pulau-memulau. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang
bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim memulaukan saudaranya lebih dari
tiga hari".
Apabila haram bagi penyokong-penyokong PAS misalnya
berusaha menaikkan calon bukan Islam dari PR sebagai ahli Parlimen atau ahli
DUN mengalahkan calon Islam katakan dari BN atau dari luar BN, demikian juga
haram bagi penyokong-penyokong UMNO berusaha memenangkan calon bukan Islam dari
BN menjadi pemimpin negara atau negeri mengalahkan calon beragama Islam dari
PAS atau dari parti-parti lain di dalam PR atau di luar PR. Hukum tidak
sepatutnya memilih bulu antara yang hina dan yang mulia, kawan atau lawan,
kumpulan sendiri atau kumpulan orang lain. Natijah spiritual sekiranya ummat
Islam memilih untuk mendaulatkan hukum mengatasi tuntutan politik kepartian adalah
keberkatan yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka. Natijah practical dari
kepatuhan terhadap hukum ini adalah mereka akan mempunyai kekuatan untuk
berusaha mendaulatkan Islam. Kemungkinan ahli-ahli Parlimen dan ADUN beragama
Islam menjadi majoriti dewan bakal meningkat yang mana ketika itu tidak
mustahil tembok-tembok sempit kepartian dirobohkan demi memartabatkan
kepentingan agama sebagaimana tidak mustahil orang-orang bukan Islam merobohkan
tembok-tembok kepartian mereka dan bersatu demi kepentingan mereka bersama.
Di dalam sistem politik kepartian yang diamalkan di
negara kita hari ini, kita dapati sikap double standard yang menjemput
kehancuran dan kebinasaan ini cepat menular dan berleluasa. Dulu kita merungut
sikap pihak lawan politik yang ghairah menghukumkan sesat, fasiq dan kafir
kepada kita, sekarang boleh pula kita pukul rata menghukum lawan politik kita
sebagai Parti Ajaran Sesat, membiarkan orang yang menyokong melabelkan pemimpin
pihak lawan sebagai Bapak Kafir dan lain-lain gelaran yang jijik. Dulu kita
complain rancangan yang hendak dijalankan oleh seteru politik kita sebagai
tidak viable, merugikan ekonomi dan sebagainya, sekarang kita pula yang
terhegeh-hegeh menawarkan khidmat dan pakej yang serupa kepada
rakyat. Kalian marah dan melenting apabila gambar-gambar pemimpin kalian
dihina-hinakan, tetapi kalian seolah-olah merelakan dalam diam apabila
gambar-gambar pemimpin lawan dihinakan sehingga ada gambar clown yang sedang
doggy ride di belakang lelaki tua memakai serban tetapi tidak berbaju diarak ke
sana kemari. Jangan ingat gambar-gambar penghinaan seperti itu bakal
meningkatkan kebencian masyarakat terhadap orang yang dihina, sebaliknya, kalau
yang dihina benar ada melakukan kesalahan sekalipun, kebencian masyarakat hatta
yang dikatakan pengundi-pengundi atas pagar sekalipun akan beralih kepada
kalian kerana meluat dengan sikap biadap seperti itu. Kalau pihak lawan engkar
perintah raja, cepat sekali kalian berdemonstrasi menghadiahkan label derhaka
kepada orang tersebut, sedangkan ketika kalian ghairah menyekat kuasa
raja-raja, kalian tidak segan silu "membogelkan" dan mengaibkan
raja-raja di dalam media cetak dan elektronik. Malah, ada yang kononnya sampai
"menabalkan Sultan sebenar" bagi mencabar kedudukan Sultan yang tidak
sesuai dengan selera politik kalian.
Dalam masa yang sama, kalau untuk musuh politik, segala
tohmahan adalah kebenaran walau sekadar ucapan tanpa sekelumit bukti. Lalu di
mata kita, Pak Menteri telah dicap sebagai perogol orang gaji berdasarkan
tuduhan kosong seorang blogger yang telah didenda oleh mahkamah atas kesalahan
defamation, tetapi apabila teman satu camp, bukan setakat tuduhan kosong, malah
ada pengakuan إقرار
dari pasangan yang menjadi mangsa, bukti rakaman video yang pelbagai, ada yang
hitam putih, ada yang berwarna dan bersuara, kita melenting bahawa semua itu
tidak boleh diterima, semua itu hanya besi! Ya, kita akui bahawa kaedah asal di
dalam maksiat-maksiat yang tersembunyi ini adalah ianya wajar ditutup dan tidak
sepatutnya didedahkan kepada umum, apatah lagi jika dengan niat mengaibkan si
pelaku, saya juga akui sekadar rakaman video tidak memadai untuk mensabitkan
kesalahan zina atau liwat, sekadar ikrar atau pengakuan pasangan zina atau
liwat ianya tidak menjadi hujjah ke atas yang dituduh kerana ikrar pengakuan
bersalah adalah حجة قاصرة bukti yang terhad, yang sekadar mengikat orang yang
mengaku tetapi tidak mengikat pasangannya. Ya, kita akui kesemua ini. Tetapi
kenapa apabila tuduhan dan tohmahan dilontarkan kepada pihak lawan, kita menggunakan
standard of proof yang berbeza? Gambar kilauan di leher membuktikan lawan kita
bersalah memakai rantai sedangkan beliau lelaki, gambar resit pembelian
membuktikan isteri beliau bersalah menggunakan wang rakyat untuk membeli cincin
yang jutaan ringgit. Malah, tiada gambar pun, Pak Menteri dah dianggap bersalah
merogol amah. Kenapa saksi besi dan air liur basi laku pula apabila melibatkan
pihak lawan? Kalau begini standard of proof yang diterima pakai, tidak cukupkah
saksi besi ini untuk mendorong kita menjalankan siasatan dan mendapatkan
pengakuan atau penafian bersumpah dari teman sepasukan? Di dalam kes buli, kes
curi, kes amah dera bayi dan sebagainya kenapa kita akur bahawa saksi besi
menjadi asas siasatan dan pengakuan bersalah walaupun mungkin tidak memadai
secara sendiri untuk mensabitkan kesalahan. PERSOALANNYA: Kalau kalian ikhlas
hendak memartabatkan hukum dan agama, kenapa double-standard? Musuh politik
TIDAK BERANI menjalankan satu cabang dari cabang-cabang hukum syarak iaitu
hukum hudud kalian jaja dan hebahkan kesalahannya. Baik, kalau itu yang
sewajarnya KENAPA bila teman sepasukan bukan sahaja SAMA-SAMA TIDAK BERANI
menjalankan hukum hudud sepanjang karier politiknya, malah BERANI MENGIKTIRAF
"HAK" ummat Islam untuk Murtad, untuk melakukan penolakan total ke
atas keseluruhan sistem Islam, kita diam membisu!
Apabila ada saudara-saudara kita yang berkongsi maklumat
seperti yang ada di link ini http://youtu.be/5wAOvxq5HBg kalian cepat sekali menasihatkan
mereka supaya jangan mudah percaya berita-berita yang belum sahih.
Mentang-mentang yang didedahkan adalah kumpulan orang-orang kafir dari pasukan
kalian, cepat sekali kalian hendak menolak dan menidakkan maklumat yang sampai
sedangkan ayat Al-Quran, Al-Hujurat 49:6 menuntut sebaliknya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu
seorang fasik membawa sesuatu berita, maka SELIDIKILAH (untuk menentukan)
kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang
tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga
menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Ayat ini menuntut kita supaya menyiasat dan memastikan
kesahihan berita dan bukan mengambil sikap menolak mentah-mentah atau menelan
bulat-bulat. Apatah lagi sepintas lalu pun kalian, jika tidak membutakan mata
dan hati, sudah dapat cam bahawa sebahagian besar dari dakwaan-dakwaan yang
dibuat telah pun dan sedang berlaku. Sebagai satu contoh sahaja, berkaitan
dakwaan pengurangan penjawat-penjawat awam yang kebanyakannya terdiri daripada
orang-orang Islam kalian seolah-olah melakukan amnesia terpilih dengan
melupakan pengumuman yang dibuat oleh Tony Pua Kiam Wee, Setiausaha Publisiti
DAP Kebangsaan pada 1 November 2011 (Sin Chew Daily) yang menjelaskan bahawa PR
akan mengurangkan (reduce) penjawat awam secara berperingkat selama 5 tahun.
Ajaibnya apabila maklumat-maklumat tidak sahih ini
membabitkan saudara-saudara seagama kalian yang kalian anggap sebagai pengacau
kepada cita-cita politik kalian, walaupun dia belum bertanding menentang
calon-calon parti kalian, baru sekadar meletakkan calon di kawasan yang
tiada calon beragama Islam, sekadar berusaha melepaskan tuntutan fardhu
kifayah, TERUS kalian dengan lahap menelan maklumat-maklumat negatif tentang
mereka, bahawa mereka ini orang suruhan, khadam pihak lawan, dibayar dan
sebagainya. Kenapa terus ditelan tuduhan-tuduhan ini? Kenapa DOUBLE-STANDARD?
Kalian meminta ummat Islam berlapang dada menerima "ijtihad" kalian
yang melanggar ijmak ummat tetapi kalian bersempit dada dan mengambil
pendekatan konfrontasi terhadap saudara seagama kalian yang sekadar melakukan
suatu strategi dan mengambil suatu langkah yang bukan sahaja tidak bertentangan
dengan undang-undang negara, malah tidak dilarang (kalaupun tidak mahu
dikatakan dituntut) oleh hukum hakam agama! Sekali lagi, berlaku adil lah ...
sekali lagi hayati dan amalkan perintah Allah SWT ini:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu
seorang fasik membawa sesuatu berita, maka SELIDIKILAH (untuk menentukan)
kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang
tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga
menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Sabda RasululLah SAW:
إِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمْ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمْ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الْحَدَّ وَايْمُ اللَّهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا
Hanya sanya binasa ummat yang terdahulu daripada kamu
disebabkan mereka apabila mencuri di kalangan mereka oleh orang yang mulia dan
berkedudukan, mereka lepaskan dia dan apabila mencuri di kalangan mereka oleh
orang yang lemah dan tidak berkedudukan, mereka menjalankan ke atasnya hukuman.
Demi Allah, jika sekiranya Fatimah binti Muhammad (anak perempuan kesayangan
baginda) mencuri, nescaya akan ku potong tangannya.
Sekarang di zaman dan di tempat kita, mulia atau lemah
seseorang di hadapan mata kita, adalah tetakluk kepada parti-parti atau
pasukan-pasukan politik yang disertai atau tidak disertai, lalu jadilah kita
memilih-milih di dalam menjalankan hukum Allah SWT. والعياذ بالله.
Jangan sesekali saudara-saudaraku seagama tanpa mengira
parti dan pasukan sampai lupa amaran keras daripada Allah SWT terhadap Bani
Israel yang sepakat ulamak tafsir mengatakan bakal tertimpa juga kepada kita ummat
Islam sekiranya kita tergamak melakukan perkara yang sama seperti yang
dilakukan oleh kaum Bani Israel ini. Allah berfirman di dalam surah Al-Baqarah
2:85
ثُمَّ أَنتُمْ هَٰؤُلَاءِ تَقْتُلُونَ أَنفُسَكُمْ وَتُخْرِجُونَ فَرِيقًا مِّنكُم مِّن دِيَارِهِمْ تَظَاهَرُونَ عَلَيْهِم بِالْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَإِن يَأْتُوكُمْ أُسَارَىٰ تُفَادُوهُمْ وَهُوَ مُحَرَّمٌ عَلَيْكُمْ إِخْرَاجُهُمْ أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَن يَفْعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰ أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu
berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar
dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk
menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka
datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan
mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. Sesudah itu maka patutkah kamu hanya
percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian
yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari
antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat
akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah
tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.
Kepada RAKAN-RAKAN YANG BUKAN BERAGAMA ISLAM, sekiranya
ada di antara anda yang mengambil masa membaca nota saya ini, tulisan ini BUKAN
dihasilkan sebagai menyalakan api permusuhan dan menyemai benih kebencian
terhadap kalian TETAPI berdasarkan kepentingan menyerahkan sesuatu amanah itu
kepada yang layak. Walaupun mungkin analogi ini tidak 100% tepat, secara logik
sesebuah negara yang berideologi komunis misalnya pasti akan memilih
pemimpin-pemimpin mereka yang berideologi komunis dan bukan yang berpegang
kepada kapitalis dan pro-demokrasi. Begitu juga negara yang berideologi
demokrasi dan beramalkan kapitalis tidak melantik orang-orang yang berfahaman
komunis dan sosialis untuk memimpin dan mentadbir mereka. Islam merangkumi
ideologi dan undang-undang. Kufur dan iman adalah saling bertentangan, tauhid
dan syirik adalah antithesis terhadap satu sama lain. Oleh itu tidak dilantik
untuk mentadbir dan memimpin ummat Islam mereka yang tidak beriman dengan
aqidah dan kepercayaan Islam kerana tugas utama seorang pemimpin di dalam Islam
adalah menegakkan syariat Islam dan melaksanakan undang-undang Islam. Oleh itu
orang yang bukan Islam tidak dibebankan dengan amanah untuk menjalankan hukum
hakam dan melaksanakan undang-undang yang mereka sendiri tidak subscribe kepada
ideologinya. Yang dihormati Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bagi saya berjaya
menerangkan hakikat ini secara padat dan jelas. Rumus beliau:
"Hak orang Islam dalam Negara Islam bukan sahaja
boleh jadi RAKYAT, tapi dia boleh jadi PEMERINTAH, boleh jadi KERAJAAN, boleh
jadi PEMIMPIN.
Tapi hak orang bukan Islam dia diizinkan menjadi RAKYAT
dan TAK BOLEH JADI PEMERINTAH." - Kuala Terengganu, 7 April 1981
(tolong betulkan sekiranya fakta ini silap, tahun 1981 saya baru darjah 6 dan
tidak hadir ke majlis di mana ucapan yang ringkas dan padat ini diungkapkan).
Sekali lagi saya tegaskan, tulisan ini bukan
mempromosikan diskriminasi terhadap rakan-rakan yang bukan beragama Islam,
tetapi mempromosikan kepentingan menyerahkan sesuatu amanah kepada yang layak
memikulnya.
Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله تعالى عنه قَالَ قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: فَإِذَا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا قَالَ إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ
RasululLah SAW menjawab soalan seorang Arab badwi yang
ingin tahu bilakah berlaku hari kiamat dengan sabda baginda : "apabila
disia-siakan amanah, maka tunggu sahaja lah saat kebinasaan (hari
kiamat)." Maka Badwi tersebut bertanya lagi: "Bagaimanakah amanah itu
disia-siakan?" Jawab baginda: "Apabila disandarkan (diserahkan)
sesuatu urusan itu (terutama yang berkaitan dengan pemerintahan, hukum hakam
dan kehakiman) kepada yang bukan ahlinya (yang tidak layak menanggung amanah
tersebut), maka tunggu sahaja lah saat kebinasaan (hari kiamat)."
Soal kelayakan ini bukan membabitkan syarat keIslaman
sahaja, malah banyak syarat-syarat lain yang perlu dipenuhi oleh seseorang yang
hendak dilantik menjadi pemimpin yang mana sekiranya tidak dipenuhi oleh
seseorang calon, WALAUPUN beragama Islam sekalipun SEPATUTNYA tidak
diangkat menjadi pemimpin. Jangan katakan seumpama kita yang sentiasa
bergelumang dengan hawa nafsu dan kepentingan-kepentingan peribadi, seumpama
sahabat Nabi yang mulia, Abu Zar Al-Ghifari R.A. seorang Islam yang ahli ibadat
dan taat pernah memohon untuk dilantik ke suatu jawatan yang berautoriti tetapi
ditolak oleh RasululLah SAW kerana sifat dan keperibadian beliau yang tidak
sesuai dengan amanah besar yang bakal dipikul. RasululLah berterus terang
kepada Abu Zar memberitahu kepada beliau hakikat ini. Sabda baginda:
يَا أَبَا ذَرٍّ إِنَّكَ ضَعِيفٌ وَإِنَّهَا أَمَانَةُ وَإِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْيٌ وَنَدَامَةٌ إِلَّا مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيهَا
"Wahai Aba Zar, sesungguhnya kamu ini lemah
(sedangkan penguasa perlu ada sifat kuat) dan sesungguhnya ia (jawatan ini)
merupakan AMANAH dan ianya pada hari kiamat merupakan suatu KEHINAAN dan
PENYESALAN kecuali kepada sesiapa yang menerima amanah ini dengan memenuhi
hak-haknya dan menunaikan tanggungjawab-tanggungjawabnya"
SEKIRANYA insan-insan yang sekarang sedang hangat
mengejar pangkat dan jawatan melalui proses PRU menghayati makna hadis ini,
saya percaya ramai di antara mereka tidak akan begitu ghairah dan gembira lagi
merebut kuasa dan jawatan. Malang sekali, ramai yang mengejar kuasa dan pangkat
sekarang tidak lagi melihat jawatan sebagai AMANAH, sebaliknya menganggap ia
sebagai GHANIMAH, suatu laba, habuan dan keuntungan.
Memang diakui, bukan mudah di umur dunia yang tua ini
untuk mencari mereka yang memenuhi kesemua syarat-syarat yang disyaratkan untuk
diangkat menjadi pemimpin. Namun, apakan daya, sebagaimana yang diperibahasakan
di dalam Bahasa Inggeris, in a field where there is no eagles, the dragonfly is
the eagle ... Di padang yang tiada helang, pepatung itu lah yang menjadi
helang. Di dalam keadaan di mana pilihan-pilihan pemimpin yang ada tidak mampu
memenuhi kesemua syarat-syarat yang ditetapkan, maka yang paling mampu atau
yang paling kurang ketidaklayakannya terpaksa diangkat menjadi pemimpin. ما لا يطاق كله لا يترك جله
Apa yang tidak mampu untuk dilakukan kesemuanya jangan sampai ditinggalkan
keseluruhannya.
Ya, kita tidak nafikan bahawa apabila pilihan yang ada
cuma calon-calon yang bukan Islam SAHAJA, di sini ada ruang untuk memilih calon
yang dinilaikan kurang permusuhan dan mudaratnya kepada Islam berdasarkan
kaedah ارتكاب أخف الضررين
(choosing the lesser of two harms). Namun masih menjadi kefardhuan secara
kifayah untuk ummat Islam memastikan semampu mereka agar keadaan "tiada
pilihan" seperti ini tidak berlaku.
SEDIKIT CATATAN AGAR JELAS SKOP PERBINCANGAN: Nota ini
ditulis berdasarkan hukum hakam dan peraturan agama Islam yang suci dan BUKAN
digarap dari sudut undang-undang negara kerana dari sudut undang-undang negara,
setahu saya (harap betulkan sekiranya silap) tiada undang-undang yang
menetapkan agama mereka yang boleh dilantik menjadi ahli Parlimen atau ahli
DUN. Jangan katakan yang syirik dan kufur, malah yang atheis, freethinker, yang
langsung tidak percaya kepada kewujudan tuhan sama sekali, walaupun mungkin
bercanggah dengan rukun negara, namun tidak dihalang oleh peruntukan
undang-undang hatta untuk dilantik sebagai Perdana Menteri sekalipun!
KEPADA SAUDARA-SAUDARAKU SEAGAMA, baca dan nilailah apa
yang saya katakan ini dengan suluhan ilmu dan panduan iman. SAUDARA-SAUDARAKU
YANG TELAH, SEDANG DAN BAKAL MENJADI PEMIMPIN DAN PENGUASA ... KETAHUILAH
bahawa ummat manusia di dunia ini menanggung beban amanah daripada Sang
Pencipta yang tidak sanggup ditanggung oleh gunung-ganang, langit dan bumi;
DARIPADA kalangan ummat manusia pula, ummat Islam lah yang memikul amanah yang
lebih besar sebagai خير أمة أخرجت للناس, sebaik-baik ummat yang dilahirkan bagi ummat manusia;
DARIPADA kalangan ummat Islam pula, KALIAN LAH WAHAI PEMIMPIN DAN PENGUASA yang
memikul amanah yang paling besar di kalangan ummat mentadbir dan mengurus
kehidupan mereka sesuai dan selari dengan tuntutan hukum dan peraturan Allah SWT.
SEKIRANYA KALIAN KHIANAT akan amanah ini dengan menjadikan kuasa dan jawatan
sebagai alat untuk memenuhi tuntutan nafsu peribadi dan mengabaikan kepentingan
dan kesejahteraan ummat, jasmani dan rohani, fizikal dan mental, material dan
spiritual sehinggakan ummat menjadi begitu lemas dan rimas, jemu dan meluat
dengan kepincangan-kepincangan yang kalian biarkan berleluasa sehingga mereka
pula sanggup dan tegar melanggar hukum Allah dengan mengangkat orang-orang
kafir sebagai pemimpin dan penguasa, maka tidak dapat tidak KALIAN BAKAL
MENANGGUNG SEBAHAGIAN, KALAUPUN TIDAK SEMUA DOSA DAN BENCANA akibat
perlanggaran hukum ini.
Ketika kalian asyik dibuai kuasa, kalian meletakkan
kepentingan rakyat dan ummat dibawah selipar kalian sahaja. Sebarang teguran
dan kritikan tidak dilayan secara terbuka, sebaliknya yang mengkritik dan
menegur dilabel sebagai dipengaruhi pembangkang, anti-establishment dan
sebagainya, ditukar tempat kerja, diberi tekanan, ditarik tauliah mengajar
agama dan pelbagai lagi. Sedangkan yang sanggup dan sudi menjilat dan membodek
kalian diberikan pangkat, kedudukan dan kemewahan. Ada anak-anak rakyat yang
sebangsa dan seagama dengan kalian yang layak dibantu baik ketika ingin
melanjutkan pelajaran melalui biasiswa, atau peluang pekerjaan dan perniagaan
melalui ruang dan bantuan tetapi disekat kerana ibu ayah mereka dicap sebagai
pro pembangkang atau orang-orang puak sana atau semata-mata kerana mereka bukan
orang yang ada cable. Lalu kalian secara tidak sedar mencipta musuh-musuh dan
pembenci-pembenci kalian.
Kini, ketika kalian tercungap-cungap dan tergapai-gapai
merasakan bahawa kekuasaan kalian terancam, sokongan terhadap kalian makin
terhakis, barulah kalian terhegeh-hegeh hendak menunjukkan kononnya kalian
prihatin terhadap rakyat sehinggakan sms harijadi pun kalian hantar. Tolong lah
... Honestly, who cares whether you guys remember our birthdays or not? Saya
tak kata salah, tapi nampak sangat artificial dan melebih-lebih, belum kira
kalau silap haribulan lagi, entah birthday siapa dan nama siapa yang ada dalam
senarai yang kalian beli itu. Yang penting bukan itu wahai YB-YB ku sekelian
atau bakal2 YB atau bakal2 bekas YB. Yang penting adalah kalian benar-benar
berkhidmat kepada rakyat. Di zaman internet ini kalau kalian benar-benar prihatin,
cukup mudah untuk kalian dapatkan maklumbalas daripada rakyat apa yang mereka
perlukan dan apa yang mereka harapkan. Setting up FB accounts for example is
not just to gain popularity, but more importantly is to listen to rakyat's
aspiration, to evaluate and to deliver. Takkan lah empat lima tahun kalian
diberi amanah dan kepercayaan dan kalian khianati, dengan sms birthday kalian,
rakyat akan kata "How nice, how sweet, the YB wishes me the best on my
birthday! I will surely vote for him!" Tolong lah YB-YB sekelian, jangan
lah hinakan tahap pemikiran rakyat sedemikian rupa. Muhasabah secara jujur
kekurangan-kekurangan kalian di dalam menjalankan tanggungjawab yang kalian
menawarkan diri untuk memikulnya supaya kalian tidak terus mengkhianati amanah
dan kepercayaan yang diberikan. MALANG, saya percaya tidak sedikit daripada
rakyat yang masih setia memberi undi dan menaikkan kalian BUKAN kerana berpuas
hati dengan prestasi kalian dan mengiktiraf kelayakan kalian mentadbir, jauh
sekali merestui penyelewengan dan pembaziran kalian, TETAPI kerana menganggap
dengan pilihan-pilihan yang ada, kalian masih lagi THE LESSER OF TWO EVILS.
Alangkah baiknya sekiranya hasil muhasabah dan mujahadah, kalian naik sebagai
THE CHOICE, the better of two choices. Jangan time nak PRU ni la baru kalian
nak tunjuk muka di masjid surau, nak pakai kopiah, pakai ketayap, jubah dan
baju Melayu. Lepas PRU kalian lesap entah ke mana, kalian pula menyokong kuat
pesta-pesta maksiat dan acara-acara keruntuhan moral ummat. Kepada calon-calon
YB yang beragama Islam TANPA MENGIRA PARTI DAN PASUKAN, elok juga dijadikan
ilmu akhlak dan tasawwuf sebagai mata pelajaran wajib yang berterusan untuk
kalian pelajari dan hayati, sekurang-kurangnya dua minggu sekali agar dapat
menjadi "kertas pasir" dan "berus besi" yang mengikis dan
mengurangkan ketebalan penyakit حب الدنيا cinta dunia yang melampau-lampau yang bersarang di hati
kalian dan yang menjadi رأس كل خطيئة punca segala dosa dan kesalahan.
SAYA SEDAR bahawa di dalam suasana sekarang, di dalam
kehangatan persaingan politik yang sengit di negara kita, tulisan-tulisan
seperti yang saya catatkan ini bakal tidak menyenangkan hati banyak pihak.
Nasihat-nasihat seperti yang saya luahkan ini merupakan nasihat yang saya
jangka merupakan nasihat-nasihat yang tidak popular dan berpotensi dilihat
sebagai melawan arus. Namun, apakan daya ... semenjak saya di bangku sekolah
menengah, saya telah dididik bahawa apabila Allah kurniakan nikmat ilmu kepada
seseorang, nikmat ini membawa bersama-samanya tanggungjawab yang berat untuk
berlaku amanah. Masih saya ingat, kurang lebih kata-kata guru saya Al-Marhum
Tuan Guru Haji Mohd Saman Kati: "Saya (almarhum) ni macam bull-dozer, mana
yang bonggoi (bonggol) saya kena langgaq bagi rata, mana yang tak betoi saya
kena langgaq bagi luruih (lurus)". AlhamdulilLah selepas ketiadaan beliau,
sikap tegas beliau menegakkan amanah ilmu ini diwarisi oleh anak-anak beliau,
antaranya yang saya hormati Ustaz Haji Adnan Haji Mohd Saman dan Ustaz Haji
Khairuddin Mohd Saman yang merupakan guru-guru dan pembimbing-pembimbing saya.
AlhamdulilLah dalam masa yang sama Allah pertemukan dan membuka ruang dan
peluang kepada saya untuk turut menumpang berguru menadah ilmu dengan Tuan Guru
Syeikh Nuruddin Al-Banjari yang meneruskan tradisi kecekalan dan ketegasan di
dalam memikul amanah ilmu. Kalau ulama hebat dan terkenal seperti beliau
sanggup "dicerai talak tiga" oleh masyarakat di dalam rangka
menegakkan kebenaran, apalah sangat yang hendak dibimbangkan oleh manusia
kerdil seperti saya, harta kurang, ilmu apa adanya, pengaruh tiada, penyokong
dan peminat jauh sekali, kemasyhuran dan nama pun tiada, sekadar nama yang
diberi oleh ayah bonda dan tercatat di Mykad itu sahaja. Sememangnya, saya akui
sebagai manusia yang bukan Nabi dan Rasul, guru-guru saya juga tidak ma'sum
dari tersalah dan tersilap. Malah, di dalam perkara-perkara yang lebih kepada
sudut pandangan dan pendapat dan bukan membabitkan soal hukum halal haram, atau
membabitkan soal hukum halal haram, tetapi bukan yang disepakati, cuma soal
tarjih (memilih yang kuat) di antara-antara pendapat-pendapat ulama di dalam
perkara-perkara khilaf, saya dapati ada masanya secara peribadi saya berbeza
kecenderungan dan pandangan daripada kecenderungan dan pandangan guru-guru saya
sendiri. Namun sekurang-kurangnya sifat tegas dan amanah mereka di dalam
menanggung dan menyampaikan ilmu memberi suatu ketenangan dan kekuatan ke dalam
diri saya untuk turut menghulur sekelumit sumbangan lebih-lebih lagi apabila
apa yang dipertahankan oleh mereka adalah perkara yang telah disepakati oleh
ummat.
AKHIR KATA, SEKIRANYA saudara-saudaraku seagama tanpa
mengira parti dan kesepakatan politik boleh menerima isi kandungan nota saya
ini, maka alhamdulilLah, segala puji-pujian itu kembali kepada Allah SWT akhirnya,
hidayah dan taufiq itu milikNya jua ... Sekiranya saudara-saudaraku tidak dapat
menerimanya pun, itu bagi saya itu adalah adat kehidupan di dunia ini. Cuma
harapan saya, kalau tidak bersetuju dengan isi kandungan nota ini sekalipun,
tidak perlu sehingga nak beremosi atau marah-marah kerana apabila kita
perhatikan, kita dapati proses komunikasi terutamanya melalui internet seperti
di laman FB menjadi kurang atau tidak berfaedah apabila perbezaan pandangan dan
maklumat tidak lagi ditangani dengan fakta dan hujjah sebaliknya dihujani
dengan maki hamun dan ejek mengejek, pure name callings, pure stereotyping.
Ruang-ruang komen di laman FB dibanjiri oleh kata-kata cacian dan penghinaan.
Istilah "macai dan pencacai" menjadi begitu popular untuk membakul
sampahkan fakta dan hujjah pihak yang tidak sependapat. Kalau ada juga yang
ingin marah dan beremosi boleh beritahu sahaja bahawa anda marah, tidak perlu
susah-susah taip panjang-panjang luahan emosi berkenaan. I will do you a favor,
insyaAllah tak susah sangat nak cari kata-kata emosi dan maki hamun di dalam FB
ni, saya boleh tolong carikan, copy, paste dan baca sendiri. Di dalam laungan
semangat kita hendak menegakkan sebahagian dari hukum Allah, sedar atau tidak,
kita telah "campak ke longkang" sebahagian hukum hakam Allah
yang lain seperti yang kerap terjadi kepada firman Allah SWT di dalam surah
Al-Hujurat 49:11
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu
puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain,
(kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka (yang
mencemuh); dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan
merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang
dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka (yang mencemuh); dan janganlah
setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu
lempar melempar antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan
yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah
buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan
(ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka
merekalah orang-orang yang zalim."
Yang lebih baik pada pandangan saya, sekiranya ada
di antara saudara-saudara seagama yang saya kasihi yang tidak bersetuju dengan
isi kandungan nota ini tolong lah, sekiranya dapat, bawa kepada saya suatu
bukti dari kitab-kitab yang muktabar hasil tangan para mujtahid silam yang
menunjukkan bahawa para ulama tidak pernah sepakat di atas keharaman melantik
orang yang bukan beragama Islam ke kedudukan yang mempunyai autoriti سلطة ke
atas ummat Islam sebagaimana yang dipunyai oleh ahli-ahli Parlimen dan ahli-ahli
DUN di Malaysia supaya saya tahu bahawa oleh kerana perkara ini tidak pernah
disepakati, maka ummat Islam di zaman kita ini mempunyai pilihan dan keluasan
untuk memilih salah satu pendapat dari pendapat-pendapat berbeza ulama-ulama
muktabar itu. Jika tidak, tiada kata-kata yang tidak bersandarkan hukum
Al-Quran dan Al-Hadith sebagaimana yang telah diistinbath oleh para mujtahid
yang berkelayakan dan ikhlas yang dapat menjejaskan pendirian ini, insyaAllah.
Bagi saya, selain panduan Al-Quran dan hadith-hadith
Nabi SAW tentang peri pentingnya menyatakan kebenaran walaupun tidak popular di
hati-hati manusia, walaupun tidak diterima, walaupun ditolak, MUTIARA-MUTIARA
HIKMAH daripada Quthubud Da'wah wal Irsyad, Al-Habib Abdullah Ibn 'Alawi
Al-Haddad juga sangat memberi kesan ke dalam hati saya. Beliau
menegaskan: ما ترك من الجهل شيئاً من يرضي المخلوقين بإسخاط رب العالمين
"Tidak meninggalkan daripada kejahilan itu sedikitpun (yakni tersangat
jahil) sesiapa yang meredhakan (MENGGEMBIRAKAN HATI) manusia dengan cara
memurkakan (MENYEBABKAN KEMURKAAN) Tuhan sekelian alam.
والله أعلم بالصواب وهو يهدي إلى سبيل الهدى والرشاد
اللهم أعد لهذه الأمة رشدها، اللهم ارحم أمةَ محمد، اللهم فرّج عن أمة محمد، اللهم أصلح أمة محمد، اللهم اجعل أهواءنا تابعةً لما جاء به رسولك وحبيبك سيدنا وشفيعنا محمد صلى الله عليه وسلم، اللهم آمين