Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai UMNO tidak lama selepas saya jadi
Perdana Menteri pada 1981. Saya terkejut juga apabila dapat tahu beliau mahu
menyertai UMNO memandangkan pembabitannya dalam Angkatan Belia Islam Malaysia
(ABIM)(1*) dan kenyataan-kenyataan awamnya jelas menjadikan beliau
sekutu semula jadi PAS.
Bagaimanapun saya fikir, tentulah lebih menguntungkan beliau jika
menyertai UMNO kerana beliau tidak akan dapat mara dalam politik selagi berada
di luar UMNO. Besar kemungkinan beliau akan selama-lamanya terumbang-ambing
dalam politik pembangkang dan ini tentulah bukan apa yang dikehendakinya.
Saya juga berpendapat beliau berguna kepada UMNO. Bagi saya, parti lebih
penting dan sesiapa sahaja boleh menyumbang kepada parti, walaupun orang itu
tidak sependapat dengan saya, saya tidak akan halang kemasukannya.
Umum beranggapan UMNO yang mengambil langkah pertama membawa masuk Anwar,
tetapi itu tidak benar. Bagi tempoh masa yang lama, UMNO telah menjadi parti
yang besar dan berjaya. Ia tidak perlu bersusah-payah mencari ahli. Waktu itu,
menyertai UMNO adalah satu keistimewaan. Dalam tempoh beberapa bulan,
sebilangan orang telah datang memberitahu saya yang Anwar berminat untuk sertai
UMNO. Jadi saya pun bersetuju menemui beliau.
Pertemuan pertama kami berlangsung di pejabat saya. Itulah interaksi sebenar
yang pertama antara kami tanpa kehadiran orang lain. Beliau nampak begitu
berminat untuk menyertai UMNO, jadi beliau sedia bertolak-ansur dan tidak
memperlihatkan tindak-tanduk yang boleh menyebabkan hasratnya ditolak.
Apabila saya bertanya mengapa beliau mahu menjadi sebahagian daripada
UMNO, beliau berkata yang beliau kini bersetuju dengan perjuangan UMNO. Beliau
mengaku kepimpinan ABIM agak kritikal dengan keputusannya dan mereka juga
hendak tahu mengapa beliau mahu sertai UMNO.
Beliau memberitahu mereka yang beliau mahu mengubah UMNO supaya
sependapat dengan ABIM dan mempengaruhi Kerajaan dari dalam.
Menurut Anwar, agenda beliau adalah mahu mengubah Kerajaan menjadi
Kerajaan Islam dan dengan itu, menyertai UMNO adalah cara paling berkesan untuk
melakukannya.
Pada masa itu pun beliau sudah menunjukkan kepintarannya. Beliau berjaya
menyakinkan ABIM dan membuat peralihan tanpa memutuskan hubungan dengan
pergerakan itu. Bahkan kemudiannya saya mendapati beliau boleh menyakinkan
pihak yang bertelingkah dengannya bahawa beliau bersetuju dengan mereka
semua.
Rancangan beliau untuk mengubah UMNO dari dalam tidak membimbangkan saya
sebab saya yakin saya boleh menangani beliau. Lagi pun saya berpendapat, kalau
beliau sertai PAS tentu beliau boleh menang pilihan raya dan ini mungkin akan
membantu menarik keluar ahli UMNO daripada parti.
Dalam erti kata lain, besar kemungkinan beliau akan jadi duri dalam
daging jika berada di luar UMNO. Ciri positif penyertaan beliau dalam UMNO
boleh dilihat dari sudut seorang pemimpin muda yang memiliki ramai pengikut,
maka sudah tentu beliau mempunyai banyak kenalan di kalangan pemimpin belia
seluruh dunia.
Bentuk Islam yang diperjuangkannya tidak mengasingkan beliau daripada
pemimpin belia bukan Islam manakala pemimpin belia Islam dan aktivis Islam yang
lain menganggap beliau seorang pemimpin besar Islam.
Sebagai pemimpin ABIM, beliau mempunyai pengikut yang ramai dan ini boleh
memberi kelebihan kepada UMNO. Di kalangan pergerakan Islam Malaysia, ABIM
memang luar biasa. Ia cergas membantu belia Islam menimba ilmu, menyebarkan
ajaran Islam dan membuat kerja-kerja kebajikan.
Walaupun ABIM tidak rapat dengan UMNO atau kerajaan pimpinan UMNO, ia
pula tidak menampakkan sifat melampau. Penyertaan Anwar dalam UMNO mungkin
dapat melembutkan pendirian ABIM terhadap kerajaan atau setidak-tidaknya menumpulkannya
sedikit.
Dengan imej Islamnya, saya berharap Anwar akan memperkukuhkan kewibawaan
UMNO sebagai parti yang memperjuangkan Islam. Setelah saya putuskan untuk
menerima keahlian beliau dan mendapati tidak ada bantahan kuat daripada
rakan-rakan, maka saya pun mengaturkan supaya beliau menandatangani borang
keanggotaan di pejabat saya.
Anwar secara rasmi menyertai UMNO pada 1982. Saya adakan satu sidang
akhbar di pejabat saya bagi mengumumkan hal itu dengan dihadiri oleh Anwar
sendiri. Tindakan saya menggunakan premis kerajaan untuk urusan parti dikecam
oleh Tan Sri Tan Chee Khoon, bekas pemimpin Parti Keadilan Masyarakat Malaysia
(PEKEMAS) (2*).
Tan terkenal di seluruh negara sebagai Mr Opposition (Tuan Pembangkang).
Saya membalas dengan mengatakan bahawa ia akan dilihat sebagai satu lakonan
kalau saya keluar dari pejabat bagi urusan menandatangani surat penyertaan itu
dan kemudian balik semula ke pejabat untuk menemui Anwar seperti yang lazim
saya lakukan dengan semua tetamu, tidak kira orang politik atau bukan
politik.
Saya kenal bapa Anwar, Datuk Ibrahim Abdul Rahman, seorang penyokong kuat
UMNO yang menjadi Ahli Parlimen bersama-sama saya di antara tahun 1964 dan
1969. Dengan itu saya berpendapat tentulah di dalam hatinya, Anwar juga orang
UMNO. Malah beliau menjadi penyokong saya sewaktu saya berselisih faham dengan
Tunku sekitar tahun 1969-1970.
Anwar juga mempunyai ciri-ciri yang boleh menyumbang ke arah memperbaiki
kedudukan UMNO di kalangan cendekiawan. Beliau banyak membaca dan boleh memetik
kata-kata hikmat ramai ahli falsafah dan pemikir, daripada Sun Tzu kepada Malik
Bennabi.
Pencapaian bahasa Melayu beliau cemerlang dan gemar menggunakan bahasa
sastera dalam ucapan-ucapannya. Walaupun ramai yang terpaksa merujuk kamus
kerana istilah-istilah yang digunakannya, gaya beliau berucap tetap mengagumkan
mereka.
Beliau juga boleh bergaul baik dengan ahli akademik di dalam dan luar
negara. Saya benar-benar percaya beliau akan menjadi aset kepada parti, jadi
saya cenderung untuk memberi sokongan saya kepada beliau.
Sesetengah ahli UMNO bagaimanapun bimbang dan berasa terancam oleh Anwar.
Ketika Tun Razak menjadi Perdana Menteri, golongan ini telah bekerja keras
menentang kegiatan antikerajaan Anwar. Kumpulan yang tidak sukakan Anwar itu
dipimpin oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan antara anggotanya ialah Tan Sri Abdul
Aziz Shamsuddin, bekas Setiausaha Politik saya yang kemudiannya dilantik
menjadi Menteri. (3*)
Saya tidak fikir Aziz menerima hakikat kemasukan Anwar ke dalam UMNO.
Bahkan kedua-dua Tun Abdullah dan Aziz berpendapat tindak-tanduk dan kata-kata
Anwar hanyalah satu lakonan. Datuk Dr Wan Ismail Wan Mahmud, yang kemudiannya
menjadi bapa mertua Anwar, juga adalah antara orang yang menentang keras
terhadap beliau.
Pada masa itu, Wan Ismail bekerja dengan sebuah unit perang saraf dan
menjadi seorang penyokong kuat Kerajaan. Apabila saya mendapat tahu yang beliau
membantah Anwar mengahwini anaknya, Dr Wan Azizah, saya memujuk beliau agar
berlembut. Ini berlaku sebelum Anwar menyertai UMNO.
Petanda tidak baik yang pertama mengenai Anwar muncul apabila saya
membentuk Kabinet pada 1982 dan melantik beliau sebagai Timbalan Menteri.
Beliau datang berjumpa saya bagi menyatakan kehampaan kerana tidak dilantik
menjadi Menteri penuh. Saya tergamam. Saya kata: “Ada ramai lagi orang yang
lebih kanan daripada awak. Bagaimana saya hendak melantik awak?”.
Saya juga memberitahunya belum pernah sesiapa yang menjadi pengkritik
kerajaan diangkat sebagai anggota penuh Kabinet dalam masa yang singkat.
Lagipun, beliau baru sahaja menyertai UMNO. Anggota kanan Kabinet tentu
tersinggung kalau beliau terlalu cepat dinaikkan pangkat menjadi Menteri penuh.
Saya sudah pun memberi beliau jawatan yang tinggi dengan melantiknya menjadi
Timbalan Menteri.
Jadi, tindakan beliau merungut mengenainya adalah tidak wajar dan tidak
pernah berlaku sebelum ini. Pada masa itu saya tidak sedar betapa tingginya
cita-cita beliau. Mungkin saya sepatutnya berhati-hati sejak saat itu lagi
mengenai cita-cita beliau dan kemarahannya yang amat sangat apabila
rancangannya dihampakan.
Satu lagi bukti tentang cita-cita Anwar yang tinggi dapat dilihat pada
pemilihan UMNO 1982 apabila beliau memutuskan untuk bertanding jawatan
tertinggi Pemuda.
Ketua Pemuda waktu itu, Datuk Suhaimi Kamaruddin suka memegang lama
jawatan yang disandangnya dalam mana-mana pertubuhan yang diketuainya.
Misalnya, sewaktu memimpin Gerakan Belia 4B Malaysia(4*) beliau
sentiasa mengubah peraturan supaya boleh terus memimpin.
Saya menyokong usaha Anwar itu, tetapi Suhaimi menolak cadangan
mengundurkan diri untuk Anwar. Akibatnya, hubungan saya dengan Suhaimi jadi
agak tegang. Beliau tetap berkeras mahu menentang Anwar. Suhaimi kalah dan
berasa amat marah. Pada 1987, beliau menyokong Tengku Razaleigh mencabar
kepimpinan saya. Hal ini akan saya ceritakan kemudian.
Mulai saat itu, cita-cita Anwar yang tidak kenal sempadan semakin jelas.
Beliau mahu mara dalam hieraki UMNO secepat mungkin, seolah-olah itu sahajalah
matlamat beliau menyertai UMNO.
Saya segera menyedari hal ini, tetapi tidak mengambil sebarang langkah
untuk menghalang kerana saya tahu beliau mempunyai sifat seorang pemimpin yang
baik. Lagipun, elok juga kalau ada seorang yang boleh diharapkan dalam barisan
kepimpinan untuk bersedia mengambil alih tempat saya.
Bagaimanapun, menjadi Ketua Pemuda UMNO tidak memberi kepuasan yang lama
kepada Anwar. Beliau mahu menjadi Naib Presiden yang dipilih pula. Sebagai
Ketua Pemuda, beliau secara automatik adalah Naib Presiden sebagaimana
ketua-ketua sayap UMNO yang lain kecuali Puteri UMNO kerana baru
ditubuhkan.
Saya dapat tahu hasrat Anwar untuk bertanding jawatan Naib Presiden
daripada Tan Sri Megat Junid Megat Ayub yang ketika itu adalah seorang Timbalan
Menteri. Saya beritahu Megat bahawa Anwar sepatutnya berpuas hati dengan
kedudukannya dan bagi peluang orang lain untuk naik.
Bagaimanapun akhirnya, disebabkan Anwar begitu mendesak, saya biarkan
juga beliau bertanding. Mengapa saya sokong beliau? Mengapa saya tidak sekat
beliau daripada bertanding? Sebenarnya saya tidak menyokong beliau, tetapi saya
juga tidak menghalang. Apakah ada cara bagi saya untuk berkata jangan
bertanding?
Sesetengah orang mungkin menganggap bahawa kebenaran yang saya berikan
kepada Anwar untuk bertanding menandakan saya menyokongnya. Tidak sama sekali.
Ia bukanlah sokongan cuma saya tidak ada sebarang alasan untuk menyekat hasrat
beliau.
Namun saya ada beritahu Megat bahawa pada pendapat saya, langkah Anwar
itu tidak patut dan sikap tidak sabar beliau jelas kurang sopan. Bagaimanapun,
tindakan beliau itu tidak melanggar parti.
Ada tiga jawatan Naib Presiden yang dipilih di dalam UMNO. Ia adalah
jawatan paling kanan selepas Presiden dan Timbalan Presiden. Mengikut resam,
Presiden akan jadi Perdana Menteri dan Timbalan Presiden jadi Timbalan Perdana
Menteri.
Disebabkan kedudukan Naib Presiden hanya setapak ke jawatan Timbalan
Perdana Menteri, maka pertandingan untuk kerusi itu amat sengit. Inilah
peringkatnya penyandang cuba membuktikan kebolehan dan memperkukuhkan kedudukan
sebagai bakal pengganti untuk jawatan Timbalan Presiden dan seterusnya
Presiden.
Saya tahu benar betapa sengitnya pertandingan jawatan itu, terutama kalau
penyandang tidak bersedia mengundurkan diri untuk mewujudkan kekosongan. Ini
kerana saya sendiri pernah bertanding merebut salah satu daripada tiga jawatan
Naib Presiden di mana semua tiga penyandang turut bertanding, iaitu pada
1971/1972 dan saya tewas.
Saya tidak pernah bercakap dengan Anwar mengenai hasrat beliau untuk
bertanding jawatan Naib Presiden. Tindakan saya yang tidak melarang atau menggalakkan
Anwar daripada bertanding tidak ada kena-mengena dengan sikap saya terhadap
beliau. Itu memang cara dan peribadi saya.
Sebagai Presiden UMNO juga, saya jarang cuba mempengaruhi pemilihan
parti. Jika saya melibatkan diri, ia adalah dengan matlamat umum dan buka
peribadi. Saya memilih untuk tidak campur tangan dalam pertandingan untuk
jawatan tertentu parti. Saya tidak suka menyokong seorang yang tewas dan
kemudian terpaksa bekerja dengan yang menang.
Namun saya sedar bahawa walaupun saya sendiri tidak peduli sangat hal-hal
sebegitu, ramai ahli UMNO menganggap pendirian berkecuali saya sebagai tanda
sokongan dan meletakkan nilai yang tinggi kepada etika dan petunjuk lampau
tradisi Melayu.
Apa pun, mereka masih melihat sikap gelojoh Anwar untuk naik sebagai
tidak wajar sama sekali. Sebahagian sebab Anwar pantas membina asas kuasa dalam
parti adalah kerana imej keagamaannya dan apabila beliau menjadi Menteri
Pelajaran, beliau berbuat baik dengan guru-guru Melayu dan kesatuan mereka.
Sebelum orang Melayu menonjol dalam sektor perniagaan sekitar 1990-an,
guru adalah kumpulan yang mempunyai pengaruh kuat di dalam UMNO dan dianggap
sebagai satu blok kuasa yang besar di dalam parti. Mereka juga mempunyai
hubungan yang rapat dengan orang Melayu akar umbi, pengundi di kampung dan
Melayu bandar. Mereka memahami sentimen dan aspirasi orang Melayu.
Apabila Anwar hendak mengambil hati dan mendapatkan sokongan, beliau
sangat berbudi bahasa dan menawan. Beliau boleh memikat hati orang alim Arab dan
berbaik-baik dengan pelampau Yahudi yang anti-Arab. Beliau tidak dilihat
sebagai seorang ekstremis Islam.
Bahkan selepas didapati bersalah kerana rasuah dan liwat pada 1999, pun
masih ramai orang Islam yang terus mempercayai Anwar. Mereka juga percayakan
cerita kejadian itu mengikut versi beliau.
Dalam hubungan ini, jelaslah beliau seorang lelaki yang agak luar biasa.
Anwar begitu menyakinkan dan tahu bagaimana memujuk orang ramai agar
mempercayai beliau.
Bagi kebanyakan orang Islam, Anwar tampil sebagai seorang yang sangat
warak. Sebelum menyertai UMNO, beliau sudah pun membentuk barisan pengikut yang
besar di kalangan orang Islam antarabangsa. Saya teringat seorang anggota
Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur memandang serong terhadap saya, tetapi
mengubah pendiriannya terhadap kepemimpinan saya selepas Anwar menyertai
Kerajaan.
Anwar pandai berbaik-baik dengan orang dan tahu bagaimana memenangi
sokongan mereka. Beliau banyak mengembara sewaktu menjadi pemimpin belia,
menemui orang Afghanistan, Pakistan dan ramai pemimpin belia Islam dan bukan
Islam yang terkemuka. Beliau memastikan dapat berjumpa dan berbincang dengan
mereka. Beliau adalah segala-galanya kepada semua orang.
Beliau juga berbaik-baik dengan orang seperti Paul Wolfowotiz (5*)yang
ketika itu Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika dan penyokong kuat
pencerobohan Israel ke atas Palestin dan Iraq.
Anwar juga mesra dengan media antarabangsa melalui paparan imej seorang
liberal. Beliau tidak teragak-agak menunjukkan kepada mereka bahawa beliau
menentang banyak amalan Kerajaan Malaysia yang beliau sendiri adalah salah
seorang anggotanya. Beliau mengumpan mereka dengan janji bahawa keadaan akan
berubah sebaik sahaja beliau mengambil alih.
Ramai orang datang memberitahu saya yang beliau sedang
berusaha membina populariti peribadi, khususnya di kalangan pemimpin dan ahli
UMNO. Beliau kerap melawat bahagian dan cawangan parti, yang pada pandangan
saya adalah perkara biasa. Semua ahli politik cuba mendampingi orang ramai
dengan tujuan menjadi popular.
Jadi apabila Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden
UMNO, saya anggap hubungan baik beliau dengan pemimpin bahagian adalah sesuatu
yang berguna. Suatu hari nanti, beliau akan mengambil alih kepemimpinan.
Apabila ini berlaku, beliau memerlukan orang yang begitu kenali dalam parti
untuk membantunya memimpin UMNO dan negara secara lebih berkesan.
Untuk beberapa tahun lamanya, kami mempunyai hubungan peribadi yang baik.
Saya menunggang kuda dan beliau pun belajar menunggang kuda, tetapi Anwar
terbukti seorang penunggang yang tidak sabar. Sebelum beliau belajar menunggang
dengan betul, beliau sudah mula menderap menyebabkannya terjatuh dan hampir
patah tengkuk. Beliau terpaksa dimasukkan ke hospital. Kemudian (semasa
dibicara atas tuduhan) beliau mendakwa polis mencederakan tengkuknya.
Sebelum beliau jadi Timbalan Perdana Menteri, saya kerap bawa beliau
bersama-sama saya dalam lawatan rasmi ke luar negara. Di dalam kapal terbang,
kami akan berbual dan berbincang mengenai politik dan agama, dua tajuk yang
kami berdua minati. Beliau begitu berpengetahuan dan nampak komited dalam hal-hal
agama – mengambil wuduk dan bersolat walaupun di dalam pesawat.
Beliau memikat saya sebagai seorang yang mengagumkan dan warak. Beliau
adalah salah seorang penyokong kuat saya dan sering mengucapkan kata-kata yang
betul. Tidak syak lagi ada aura istimewa – satu karisma – mengenai beliau dan
saya juga mungkin terpengaruh.
Salah satu amalan dalam UMNO adalah bagi Perdana Menteri mengunjungi
rumah timbalannya pada petang hari pertama Aidilfitri selepas semua pelawat
meninggalkan kediamannya. Kunjung-mengunjungi di kalangan orang Islam bertujuan
menghapuskan segala salah faham dan memperbaharui muhibah dan persaudaraan
untuk tahun akan datang. Ini adalah amalan orang Islam di mana sahaja dan amat
dihargai oleh orang Melayu dan orang Islam Malaysia.
Hubungan di antara Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, sebagaimana
yang saya sendiri alami dengan Tun Hussein, adalah sangat kompleks. Jadi amat
penting, kepercayaan antara dua pemimpin tertinggi parti dan kerajaan ini
diulang tegas.
Bagaimanapun, di antara Anwar dan saya tidak wujud keperluan khusus untuk
membina muhibah atau mengubati luka kerana keluarga kami sangat rapat antara
satu sama lain. Isteri beliau, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyediakan
masakan utara yang saya suka dan beliau dengan Hasmah sangat akrab.
Saya menyenangi Wan Azizah yang mempunyai
tarikan tersendiri. Walaupun selepas kami berpecah haluan, saya tidak dapat
menganggap beliau sebagai musuh politik atau seseorang yang bergaduh dengan
saya. Saya faham keputusan beliau untuk menyokong suaminya.
Anwar juga seorang yang gemar menerima tetamu. Pada bulan puasa, beliau
akan menghabiskan banyak hari untuk berbuka dengan ramai orang di rumahnya. Di
majlis itu, saya dapati beliau juga menjemput Menteri Besar dari semua
negeri.
Saya sendiri tidak pernah melakukannya kerana memikirkan tentulah sukar
bagi orang di luar Kuala Lumpur hendak datang hanya kerana jamuan malam yang
pendek. Kerajaan yang bayar belanja perjalanan mereka. Namun Anwar tentu
merasakan ia adalah satu amalan hubungan awam yang baik dan menguntungkan dari
segi politik.
Selepas dapat jawatan Naib Presiden, Anwar masih resah. Matlamat beliau
seterusnya ialah jawatan Timbalan Presiden. Beliau tahu Timbalan Presiden akan
jadi Timbalan Perdana Menteri.
Pada masa lalu, Timbalan Presiden jarang dicabar. Cabaran hanya berlaku
dalam keadaan luar biasa seperti pada 1987 apabila saya sebagai Perdana Menteri
dan Tun Ghafar Baba sebagai Timbalan Perdana Menteri, telah ditentang. Saya
dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah manakala Tun Musa Hitam mencabar Tun
Ghafar.
Jadi dengan mencabar Tun Ghafar, Anwar bukan sahaja melanggar tradisi
parti, tetapi juga mempamerkan ketidaksabaran beliau untuk sampai ke puncak.
Apabila beliau datang menemui saya untuk menyatakan hasratnya itu, saya
tegaskan kepadanya bahawa tidak sesuai mencabar Tun Ghafar kerana Tun Ghafar
adalah calon saya untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri. Saya minta beliau
agar tidak bertanding. Buat seketika beliau nampaknya mendengar nasihat saya dan
tidak berkempen.
Bagaimanapun apabila saya mengkritik sesetengah pemimpin UMNO Terengganu
kerana kekal terlalu lama dalam jawatan dan tidak memberi peluang kepada
golongan muda, beliau menakrifkan hujah saya itu sebagai bermaksud bahawa saya
mahu pemimpin yang lebih tua seperti Tun Ghafar berundur.
Anwar anggap cabaran beliau terhadap Tun Ghafar adalah sejajar dengan
pandangan saya. Jadi tanpa meminta kebenaran saya, beliau memulakan
kempennya.
Saya tidak tahu macam mana Anwar melakukannya, tetapi lebih daripada dua
pertiga bahagian mencalonkan beliau untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Malah bahagian-bahagian yang memang diketahui penyokong kuat Tun Ghafar pun
tidak mencalonkan Tun Ghafar dan jelaslah beliau akan kalah.
Melihat keadaan yang tidak memberi harapan kepada beliau maka Tun Ghafar
memilih untuk mengundurkan diri dan Anwar menang tanpa dicabar.
Saya tidak mahu menggugurkan Tun Ghafar daripada jawatan Timbalan Perdana
Menteri, tetapi apakah alasan kalau saya tidak melantik Timbalan Presiden baru
UMNO ke jawatan itu?
Saya sentiasa menimbang dan mengikut kehendak UMNO. Misalnya, pada 1993
apabila parti memilih Tun Abdullah sebagai salah seorang Naib Presiden, saya
bawa beliau balik semula ke dalam Kabinet walaupun beliau menyokong Tengku
Razaleigh menentang saya pada pemilihan 1987.
Kemudian saya diberitahu yang Anwar sedang giat mencari sokongan untuk
dirinya di kalangan bahagian UMNO dan pada masa yang sama menggesa mereka
mengkritik saya. Itu pun saya tidak peduli. Saya beritahu diri sendiri, tidak
mengapalah Anwar buat begitu sebab beliau pun akan menjadi Perdana Menteri
menggantikan saya.
Saya mahu mengekalkan hubungan kerja yang baik dengan beliau, jadi saya
bersedia mengetepikan sikap tidak sabar beliau berhubung persaraan saya.
Adalah sukar untuk menyalahkan ahli politik kerana bercita-cita besar,
bekerja kuat dan berpandangan jauh. Mungkin masyarakat Melayu sekarang
memerlukan pemimpin seperti beliau dan lagi ramai lagi baik. Kita sudah jauh
meninggalkan zaman ramah mesra Tunku yang amat membimbangkan saya sekitar lewat
1960-an. Mungkin itu ada baiknya, dan pendekatan agresif Anwar adalah
manifestasi politik baru orang Melayu.
Dengan peningkatannya yang pantas dalam UMNO, Anwar sudah tentulah
menjadi ancaman kepada kepemimpinan Tun Abdullah di dalam UMNO Pulau Pinang.
Kebimbangan Tun Abdullah itu menjadi kenyataan apabila Anwar menjadi Timbalan
Persiden dan menggantikan Tun Ghafar sebagai Timbalan Perdana Menteri. Anwar
segera mengambil alih jawatan Tun Abdullah sebagai ketua perhubungan UMNO dan
Barisan Nasional Pulau Pinang.
Masa berlalu dan saya dapati kecaman Anwar terhadap Kerajaan, terutama
berkaitan dakwaan kronisme menjadi semakin terbuka. Beliau bercakap mengenai
apa yang disifatkannya sebagai penyalahgunaan amanah rakyat dan dengan menyusun
kata-kata sebegitu rupa, beliau memberi gambaran saya terbabit.
Secara prinsipnya beliau mengutuk kronisme dan ini sangat saya
alu-alukan, tetapi kata-kata beliau itu ibarat gergaji bermata dua. Retorik
beliau adalah mainan moral – beliau adalah baik dan sesiapa sahaja yang
ditendangnya adalah jahat.
Apabila beliau bercakap lantang menentang kronisme di peringkat atas,
kepada siapakah beliau tujukan kata-kata itu kalau bukan kepada saya? Di atas
adalah saya dan beliau, tidak ada orang lain lagi.
Lagipun dengan mengutuk kronisme, beliau cuba memberi gambaran yang
beliau sendiri tidak terlibat. Ia adalah strategi yang baik bagi mengalih
pandangan daripada kronisme beliau sendiri.
Ahli kanan UMNO memberi amaran kepada saya bahawa Anwar sedang merancang
sesuatu yang tidak baik dan beliau tidak setia kepada parti. Selepas
menyingkirkan Tun Ghafar, kata mereka, sasaran Anwar yang berikutnya adalah
saya. Namun saya tidak bimbang. Saya tidak fikir beliau akan berjaya dan saya
amat yakin dengan kedudukan saya.
Walaupun keadaan sudah menjadi tidak ‘selesa’ lagi, saya fikir saya boleh
menanganinya. Saya tidak percaya beliau boleh mendapat cukup sokongan kalau
menentang saya. Sekalipun saya masih anggap Anwar sebagai seorang pemimpin yang
berkesan, saya rasa hasrat beliau untuk menyingkirkan saya terlalu
tergesa-gesa.
Bagaimanapun, dengan keyakinan teguh terhadap diri sendiri dan jalan yang
saya pilih telah membolehkan saya menerima sebarang perbezaan pendapat dengan
orang yang berfikir dan bertindak berlainan daripada saya. Mungkin saya terlalu
yakin, tetapi bagi saya adalah penting semua pihak yang bertelagah diberikan
ruang di dalam parti.
Kalau kita menyingkirkan seorang pemimpin, seorang yang lain pasti akan
mengorak langkah untuk mengambil tempatnya. Tidak ada jaminan orang yang
menggantikan itu tidak bercita-cita besar atau menimbulkan masalah. Kita masih
terpaksa berdepan dengannya. Saya tahu mesti ada yang akan menyokong Anwar jika
beliau mencabar saya, dan pergeseran ini akan melemahkan UMNO. Namun, saya
bersedia menangani semua ini.
Beberapa orang yang rapat dengan saya – orang yang tidak ada kedudukan
atau kepentingan dalam politik – juga memberitahu saya tentang apa yang mereka
lihat dan dengar mengenai Anwar. Mereka tidak disuruh oleh sesiapa untuk
memaklumkannya kepada saya, jadi tidak ada sebab untuk saya mempersoalkan motif
mereka.
Ketika itu, bermacam-macam cerita sudah disebarkan dan digalakkan
penyebarannya. Sesetengah khabar angin mengenai tuduhan rasuah dan kronisme
terhadap saya mula sampai kepada akhbar. Kesudahannya, bagi menghentikan semua
tuduhan itu, saya terpaksa siarkan nama semua orang yang mendapat kontrak
kerajaan sewaktu Anwar menjadi Menteri Kewangan.
Senarai itu menunjukkan ramai daripada mereka yang mendapat kontrak
secara rundingan adalah kawan-kawan dan anggota keluarga beliau. Terdapat juga
seorang dua anggota keluarga saya dan orang yang ada kaitan dengan saya, tetapi
kontrak mereka terlalu kecil.
Memekik “pencuri” adalah helah terbaik untuk mengalih perhatian orang
daripada kita dan itulah strategi yang diguna oleh Anwar. Saya khuatir strategi
itu masih digunakannya.
Saya perhatikan Anwar mempamerkan watak yang mengagumkan di khalayak
ramai. Beliau juga berjaya meninggalkan kesan kepada wartawan Amerika dan Barat
dengan idea-idea beliau yang pada zahirnya nampak liberal.
Beliau mengatur lawatan senator dan ahli kongres Amerika ke Malaysia
setiap tahun dengan dibiayai oleh tabung yang ditubuhkannya. Senator dan ahli
kongres itu percaya Anwar adalah seorang ahli politik yang liberal dan
demokratik. Mereka sukakan Anwar.
Pada masa yang sama, beliau mengekalkan hubungan dengan ramai aktivis
Islam di dunia Islam. Semua landasan yang beliau bina ini terbukti berguna
kemudiannya. Perhubungan yang dijalin dan imejnya yang menyerlah telah
meletakkan beliau di atas landasan yang kukuh apabila beliau dihadapkan ke
mahkamah dan dihukum atas tuduhan jenayah. Mereka percaya dengan cerita beliau
yang ianya telah diperangkap bagi menghalangnya menjadi Perdana Menteri.
Tidak syak lagi orang Amerika anggap beliau akan menjadi Perdana Menteri
yang lebih baik daripada saya. Itulah yang diuar-uarkan oleh sebilangan akhbar
dan majalah perdagangan utama mereka.
Saya kononnya kasar dan tidak pernah disukai oleh orang Amerika. Itu pun
saya masih cuba memenuhi kehendak Anwar dengan menemui senator dan ahli kongres
yang dijemputnya ke Malaysia dan menyertai seminar yang beliau anjurkan.
Mengapa pula saya mesti menolaknya?
Saya tidak mempertikaikan matlamat beliau mengundang mereka ke Malaysia
setiap tahun atas andaian membolehkan mereka mengenali Malaysia dengan lebih
baik.
Apabila tindakan diambil terhadap beliau kerana melanggar undang-undang
jenayah kita, semua orang ini mengutuk saya dan menuntut pembebasan beliau.
Memandangkan Anwar popular di pentas antarabangsa maka penangkapan dan
perbicaraannya atas dua tuduhan jenayah menjadi masalah yang terpaksa kerajaan
tangani.
Sekali lagi masalah timbul apabila Anwar mendakwa beliaulah yang berjaya
menangani krisis mata wang 1997/1998.
Di dalam negara, sesetengah pemimpin UMNO yang beliau tidak suka atau
yang rapat dengan saya, mengadu bahawa sebagai Timbalan Perdana Menteri, Anwar
buat hidup mereka susah. Seorang Ketua Menteri dituduh mempunyai hubungan sulit
dengan seorang pelajar perempuan. Beliau mendakwa, Timbalan Perdana Menteri
mengarahkan kes itu diberikan publisiti yang luas dan akhirnya, Ketua Menteri
itu hilang jawatan.
Pada 1993, Ketua Polis Negara ketika itu, Tun Mohamad Hanif Omar datang
menemui saya dengan bukti salah laku seksual Anwar. Tuduhan itu terlalu serius
sehingga saya fikir, mustahil ia benar dan mungkin itu adalah sebahagian
daripada rancangan tak masuk akal untuk menjatuhkan beliau.
Saya tidak mencadangkan agar tindakan diambil, tetapi mengikut amalan
polis, mereka akan tetap meneruskan pengawasan. Selepas itu, tidak ada lagi
laporan dibuat kepada saya sehinggalah pada 1998 apabila terdapat bukti yang
sangat kuat sehingga memaksa saya bertindak. Saya akan bincangkan perkara ini
di dalam bab yang lain.
Sementara itu, percubaan Anwar untuk memaksa saya berundur semakin
ketara. Walaupun saya tidak begitu bimbang, hubungan kami terus tegang dan saya
mula ragu-ragu sama ada beliau boleh menjadi pemimpin yang baik dan seterusnya
menggantikan saya. Saya tetap meneruskan tugas seolah-olah tidak ada apa yang
berlaku, sama seperti keadaan menjadi sukar dengan Tun Musa. Itulah cara saya
berurusan dengan orang – saya tidak menuduh mereka apa-apa. Saya teruskan
kerja.
Sewaktu Tun Musa menentang saya, saya fikir beliau merosakkan dirinya
sendiri kerana beliau menjadi tidak popular dengan parti. Saya sedia menerima
beliau semula dan saya tidak membantah apabila penyokongnya mahu beliau kembali
sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden parti. Itu terbukti satu
strategi yang betul.
Kini dengan Anwar, saya mengambil pandangan dan pendekatan yang serupa.
Anwar kekal dengan sifat mengambil hati dan bertindak seolah-olah tidak ada apa
yang berlaku. Sementara itu, saya dengar ada beberapa orang anggota Kabinet
yang pergi merata-rata tempat bercakap buruk mengenai saya.
Namun apa pun yang beliau dan sekutunya lakukan serta taktik kotor yang
digunakan, Anwar kekal dengan reputasinya sebagai orang warak dan
terhormat.
Saya simpan di dalam hati sebarang keraguan mengenai beliau. Saya yakin
jika beliau melancarkan cabaran terbuka terhadap kedudukan saya sebagai
Presiden UMNO, saya boleh menewaskannya.
Rancangan saya meletak jawatan selepas Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998
bagaimanapun terbantut akibat serangan terhadap ringgit Malaysia oleh peniaga
mata wang antarabangsa pada 1997-1998.
Apa pun rancangan peribadi saya,
ternyata saya tidak boleh berundur dalam keadaan sebegini. Saya tidak boleh
bersara sewaktu negara menghadapi krisis besar. Saya berpendapat bahawa menjadi
tugas saya memperbetulkan keadaan.
Ini menjadi lebih mendesak kerana Anwar, sebagai bakal pengganti saya,
nampaknya tidak berupaya menangani krisis itu. Beliau telah bertindak mengikut
formula IMF dan keadaan menjadi bertambah buruk. Kecuali tindakan pembetulan
dibuat, negara yang bakal diwarisi oleh pengganti saya akan menderita
kemelesetan ekonomi yang teruk.
Oleh Tun Dr Mahathir Mohamad
(1) Angkatan Belia
Islam diasaskan pada tahun 1972 dan telah menyokong kebangkitan semula Islam
dan penubuhan sebuah negara Islam di Malaysia.
(2) Tan adalah
pengasas Gerakan, tetapi telah menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat Malaysia,
iaitu sebuah parti pelbagai kaum pada 1972 setelah Gerakan menyertai Kerajaan
Barisan Nasional. Walau bagaimanapun, dalam Pilihan Raya Umum 1974, hanya
beliau sahaja ahli parti yang telah memenangi kerusi Persekutuan. Parti
tersebut dibubarkan apabila beliau bersara pada 1977 dan kebanyakan ahlinya
menyertai DAP.
(3) Datuk Abdul
Aziz Shamsuddin menjadi Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar pada 2006
sebelum hilang kerusi Persekutuannya kepada Khalid Abdul Samad dari PAS dalam
Pilihan Raya Umum 2008.
(4) Gerakan
Belia 4B Malayisa yang ditubuhkan pada 1966 sebagai sebuah pergerakan remaja
kebangsaan telah bertindak sebagai medan ujian bagi pemimpin muda UMNO.
(5) Seorang ahli
politik Amerika Syarikat yang telah berkhidmat dalam pentadbiran Ronald Reagan
dan George W. Bush, Wolfowitz juga adalah duta Amerika Syarikat ke Indonesia
sebelum berkhidmat sebagai Presiden Bank Dunia sehingga Jun 2007, apabila
beliau dipaksa meletakkan jawatan atas dakwaan membabitkan kenaikan pangkat
yang tidak wajar seorang pekerja bank bernama Shaha Reza, yang merupakan teman wanitanya.