Tuesday, January 8, 2013

TUN MAHATHIR MENGHINA NABI SAW DLM UCAPAN DASAR PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2000????



“Hanya yang diperlukan ialah bersyukur kepada Tuhan. Nikmat dan rezeki yang kita dapati bukan daripada orang yang menyampaikannya. Jika tidak orang itu, orang lain yang akan menyampaikannya. Jadi kita juga TIDAK PERLU berterima kasih kepada Nabi Muhammad s.a.w. Jika tidak Nabi Muhammad, orang lain yang akan diutuskan untuk menyampaikan agama Islam. Oleh itu TIDAK PERLULAH kita mengagung-agungkan Nabi Muhammad. Memadailah dengan bersyukur kepada Allah s.w.t sahaja.”Ucapan Dasar Presiden UMNo, Dr Mahathir Mohamad.
 Petikan dari Berita Harian/Utusan Malaysia 11 Mei 2000

Tetapi itu adalah ayat yang mereka cuba putar belitkan tertapi mari kita baca ucapan penuh Tun Dr Mahathir
Yang jelas ialah kejayaan Dasar Ekonomi Baru yang membawa penduduk Melayu dari kampung ke bandar dan menjadikan mereka orang yang lebih berada, yang tidak lagi 'kais pagi makan pagi' tetapi mampu berbelanja lebih daripada keperluan hidup, sudah membentuk budaya baru bagi orang Melayu. 
Ada orang yang mengesyorkan supaya Melayu ini bersikap kurang ajar sedikit. Syor ini mendapat sambutan. Apa perlunya kurang ajar sedikit? Lebih baik kurang ajar sahajalah.
Dari sini Tun telah memberi gambaran kepada rakyat sikap PAS dan PKR yang selalu menghasut rakyat menjadi kurang ajar kepada kerajaan. Faham tak pecacai-pecacai semua sebelum kita teruskan baris ayat lain.
Dengan itu maka berkembanglah pendapat bahawa tidak perlu ada perasaan terhutang budi sampai mati. Jangan ada langsung perasaan terhutang budi. Jangan berterima kasih kepada orang yang menolong kita. Memaki mereka dan memburuk-burukkan mereka tidak salah. Hanya yang diperlukan ialah bersyukur kepada Tuhan.
Kemudian Tun mengceritakan dengan ajaran sesat cukup hanya sekadar pandai berterima kasih kepada Allah sahaja. Bermakna Pakatan haram menghalalkan rakyat memaki hamun kepada orang berjasa kepada kerajaan. Jadi disini jelas menunjukan Tun mengceritakan situasi sebenar masyarakat kita yang tidak penah ada perasaan bersyukur dan berterima kasih kepada orang yang berbudi untuk mereka.
Nikmat dan rezeki yang kita dapati bukan daripada orang yang menyampaikannya. Jika tidak orang itu, orang lain yang akan menyampaikannya. Jadi kita juga tidak perlu berterima kasih kepada Nabi Muhammad s.a.w. Jika tidak Nabi Muhammad, orang lain akan diutuskan untuk menyampaikan agama Islam. Oleh itu tidak perlulah kita mengagung-agungkan Nabi Muhammad. Memadailah dengan bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala sahaja.
Dan inlah yang cuba diputar-belitkan Pakatan Haram yang kononnya Tun Dr Mahathir telah menghina Rasulullah, Wahal Tun hanya memberi perupamaan berdasar penjelasan yang di atas. Supaya pecacai dan blogger Pakatan Haram yang jenis tidak  berapa cerdik sangat, boleh faham dengan terliti. 

Apa yang di maksudkan berterima kasih kepada orang yang menyampaikan rezeki dari Allah. Seperti mana kita berterima kasih kepada Rasulullah yang menyampaikan ajarannya kepada umat manusia. Kalau Rasulullah kita wajib mengcintainya.

Tetapi pada Tun tidak pula meminta kita menghormati atau mengangkatnya menagalahkan Rasulullah SAW Walaupun ada pengikut Pakatan Haram mengangkat ketua menyamai Rasulullah. Tun harap cukuplah kita semaikan perasaan menghargai pemberian orang lain dengan senyuman keikhlasan bukan dengan caci maki hamun. Allah juga menuntut kita sedemikian bukan!

Kalau tidak tak berbunyi Tangan Di Atas Lebih Mulia Dari Yang Bawah. Sekarang yang dibawah hendak menunjukan mereka lebih mulia dari yang diatas! Malah mereka berhak menghina atau mencaci yang di atas.  Baca teks seterusnya dari Tun dan insaflah wahai pecacai yang BM tahap cap ayam, buta-buta kau orang makan dosa fitnahkan Tun Dr Mahathir.
Demikianlah antara budaya sesetengah Melayu bandar sekarang. Dan budaya ini diburukkan lagi oleh orang politik yang berkepentingan. Jangan berterima kasih kata orang-orang ini. Jika kami berkuasa kami juga akan memberikan yang sama kepada kamu dan mungkin lebih daripada itu. Oleh itu tolak sahaja orang yang telah berbudi kepada kamu. Sebaliknya gigit tangan mereka.
Gunakanlah apa sahaja untuk menimbulkan kebencian kepada orang yang berbudi kepada kita. Surat layang, akhbar, Internet, semuanya boleh digunakan. Labelkan orang yang dimusuhi dengan gelaran yang buruk kerana dengan cara ini akan meningkatkan lagi kebencian kepada orang tertentu. Mahazalim, Mahafiraun. Sukakah kita kepada orang yang zalim, firaun? Tentu tidak. Oleh itu benci sahajalah orangyang berlabel zalim dan firaun. Tidak ada perasaan yang lebih memuaskan nafsu daripada membenci. Maka politik pembangunan pun diganti dengan politik benci. Bencilah ia dan undilah aku.
Sekarang pecacai termasuk blogger pakatan haram ada faham ke! Atau masih bodoh kepiang tahap kaldai upahan DAP je. Ini senarai blogger bodoh tidak boleh diajar buta-buta makan dosa Fitnah.


credit to : pecahpalakmikir.blogspot.com


TEKS UCAPAN PENUH

Perjuangan UMNO Belum Selesai
Ucapan Presiden Umno
Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad
Di Perhimpunan Agung UMNO
Di Dewan Merdeka,
Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur
Pada Hari Khamis, 11 Mei, 2000
Jam 9.00 Pagi

PERHIMPUNAN Agung UMNO pada tahun ini diadakan pada harijadi UMNO bagi memperingati kita akan asal usul UMNO dan sejarah 54 tahun parti kita. Dalam jangkamasa itu banyak sudah kejayaan yang telah kita capai. Kita telah menggagalkan percubaan British untuk merampas hak orang Melayu sebagai pemilik asal negeri-negeri Melayu dan negeri Selat dan dengan itu mengekalkan hak kita ke atas Tanah Melayu.

Kita, UMNO, telah berjaya menyusun strategi kerjasama luar biasa antara kaum-kaum di Tanah Melayu supaya masing-masing mengiktiraf hak masing-masing dan dengan itu dapat menjayakan perjuangan untuk kemerdekaan negara dan kemajuannya.

Bermula dengan Persekutuan Tanah Melayu sebagai pengganti Malayan Union, kita telah menubuhkan Negara Malaysia yang lebih besar bersama-sama dengan negeri Sabah, Sarawak dan Singapura. Tidak ada kekerasan yang digunakan untuk menyatupadukan negeri-negeri ini - hanya diplomasi dan rundingan di meja oleh sebuah Kerajaan yang dipimpin oleh parti yang dianggap tidak berpengalaman dalam bidang rundingan yang mempunyai sensitiviti kedaerahan, kaum dan agama.

Apabila kita dapati Singapura dan kepimpinannya tidak lagi sesuai dengan semangat persekutuan dan sikap tolak-ansur antara kaum, tanpa banyak masalah kita telah memberi kemerdekaan kepada Singapura.
Sesudah terbentuknya Malaysia, masalah yang terus dihadapi ialah hubungan antara kaum yang terpisah di antara satu sama lain, yang tinggal berasingan, terlibat dalam fungsi ekonomi yang berlainan dan dengan itu berbeza daripada segi kekayaan harta benda, budaya dan persepsi dunia (world view).

Pada tahun 1969 berlaku rusuhan kaum yang telah lama diramalkan oleh pemerhati-pemerhati asing. Peramal-peramal ini gembira dengan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 kerana mereka percaya Malaysia akan hancur, tidak aman dan tidak selamat. Malaysia, kata mereka tidak mungkin dibangun dan dimajukan. Orang Melayu yang berkuasa melalui UMNO tetap akan mengadakan pemerintahan yang zalim yang akan merampas harta kepunyaan bukan Melayu. Menurut mereka tidak ada masa depan bagi Malaysia. Seperti juga dengan negara-negara lain yang mencapai kemerdekaan, 'natives' atau penduduk asal, akan memusnahkan apa yang kononnya dibangun dan dimajukan oleh penjajah di zaman kolonial dahulu.

Tetapi sekali lagi UMNO membuktikan kebijaksanaannya. Tidak ada rampasan yang dilakukan tetapi dibentuknya Dasar Ekonomi Baru dan dengan membesarkan kek ekonomi, Bumiputera memperolehi hak mereka tanpa merampas hak bukan Bumiputera.

Dengan itu berlakulah pembangunan negara yang berterusan dan pesat dalam suasana aman dan harmoni. Bumiputera dan bukan Bumiputera mendapat nikmat yang banyak. Rata-rata jelas kelihatan kemakmuran yang tidak pernah dijangka oleh sesiapa. Mereka yang meramalkan Malaysia akan hancur terpinga-pinga melihat apa yang dipanggil oleh mereka 'the Malaysian economic miracle' atau keajaiban ekonomi Malaysia.

Pembangunan ini membawa perubahan yang ketara dalam masyarakat Melayu dan Bumiputera lain. Yang pertama, kaum yang biasanya tinggal di kampung dengan budaya dan adat resam kampung telah berhijrah beramai-ramai ke bandar.

Hidup di kampung dengan hidup di bandar amat berbeza. Di kampung kita diperhatikan oleh ibu bapa dan keluarga serta juga jiran-jiran kita. Dengan itukita berpegang dengan adat resam dan budaya asli kita. Kita menjaga tingkah laku kita. Kita menghormati ibu bapa, keluarga, jiran dan pemimpin kampung kita. Mereka mengenali kita dan kita mengenali mereka dan kita menjaga maruah kita dan maruah kampung kita. Kita tidak menunjuk-nunjuk kebolehan kita dan kita tidak sombong dan bongkak.

Tetapi penduduk kampung tidak mungkin maju dan kaya. Di Malaysia tidak ada tuan tanah yang memiliki semua tanah yang disewa oleh penduduk kampung. Di Malaysia orang kampung memiliki tanah sendiri dan tanah ini tidak luas, kerapkali mencukupi hanya untuk menampung keperluan hidup satu keluarga sahaja. Tidak mungkin sesiapa menjadi kaya raya di kampung.

Pendapatan yang terhad di kampung menyebabkan perbelanjaan yang terkawal. Duit digunakan dengan berhati-hati, tidak ditabur untuk tujuan lain daripada menyara hidup. Jika ada kenduri-kendara, penduduk kampung bergotong-royong, tolong-menolong antara satu sama lain supaya perbelanjaan dapat dikurangkan. Dengan ini semangat kejiranan terjalin.

Tetapi apabila Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan, orang Melayu terutama anak-anak penoreh getah dan penanam padi berpeluang mengejar pelajaran tinggi, menjadi pegawai tinggi Kerajaan, ahli profesional, peniaga dan pengusaha, kontraktor kelas `A' dan ahli korporat. Pendapatan mereka berlipat ganda. Mereka tidak kembali ke kampung tetapi menjadi penduduk bandar dengan segala kecanggihannya.

Di bandar mereka lebih bebas. Tidak lagi adaibu bapa, keluarga dan jiran yang memerhati tingkah laku mereka. Di bandar, jiran di sebelah rumah pun tidak dikenali dan sudah tentu tidak mempedulikan apa yang dilakukan oleh jiran. Orang bandar bebas, boleh buat apa sahaja. Tidak ada siapa yang perlu disegani dan dihormati. Dengan itu budaya asli orang Melayu merosot, tidak diamalkan lagi.

Mereka ternampak tidak mampu menangani kemakmuran dan kekayaan mereka. Wang yang banyak tidak dianggap sebagai modal untuk dilabur, tetapi dibelanja sesuka hati tanpa mengingati masa depan. Wang boleh membeli apa sahaja. Wang boleh membeli pengaruh dan populariti. Wang berkuasa. Dan wang bagi orang Melayu yang tinggal di bandar, berkat Dasar Ekonomi Baru, mudah didapati.

Yang jelas ialah kejayaan Dasar Ekonomi Baru yang membawa penduduk Melayu dari kampung ke bandar dan menjadikan mereka orang yang lebih berada, yang tidak lagi 'kais pagi makan pagi' tetapi mampu berbelanja lebih daripada keperluan hidup, sudah membentuk budaya baru bagi orang Melayu.

Ada orang yang mengesyorkan supaya Melayu ini bersikap kurang ajar sedikit. Syor ini mendapat sambutan. Apa perlunya kurang ajar sedikit? Lebih baik kurang ajar sahajalah. Dengan itu maka berkembanglah pendapat bahawa tidak perlu ada perasaan terhutang budi sampai mati. Jangan ada langsung perasaan terhutang budi. Jangan berterima kasih kepada orang yang menolong kita. Memaki mereka dan memburuk-burukkan mereka tidak salah. 

Hanya yang diperlukan ialah bersyukur kepada Tuhan. Nikmat dan rezeki yang kita dapati bukan daripada orang yang menyampaikannya. Jika tidak orang itu, orang lain yang akan menyampaikannya. Jadi kita juga tidak perlu berterima kasih kepada Nabi Muhammad s.a.w. Jika tidak Nabi Muhammad, orang lain akan diutuskan untuk menyampaikan agama Islam. Oleh itu tidak perlulah kita mengagung-agungkan Nabi Muhammad. Memadailah dengan bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala sahaja.

Demikianlah antara budaya sesetengah Melayu bandar sekarang. Dan budaya ini diburukkan lagi oleh orang politik yang berkepentingan. Jangan berterima kasih kata orang-orang ini. Jika kami berkuasa kami juga akan memberikan yang sama kepada kamu dan mungkin lebih daripada itu. Oleh itu tolak sahaja orang yang telah berbudi kepada kamu. Sebaliknya gigit tangan mereka.

Gunakanlah apa sahaja untuk menimbulkan kebencian kepada orang yang berbudi kepada kita. Surat layang, akhbar, Internet, semuanya boleh digunakan. Labelkan orang yang dimusuhi dengan gelaran yang buruk kerana dengan cara ini akan meningkatkan lagi kebencian kepada orang tertentu. Mahazalim, Mahafiraun. Sukakah kita kepada orang yang zalim, firaun? Tentu tidak. Oleh itu benci sahajalah orangyang berlabel zalim dan firaun. Tidak ada perasaan yang lebih memuaskan nafsu daripada membenci. Maka politik pembangunan pun diganti dengan politik benci. Bencilah ia dan undilah aku.

Inilah perubahan-perubahan yang sudah berlaku kepada sebahagian daripada orang Melayu dan Bumiputera lain hasil daripada kejayaan UMNO memaju dan membangunkan mereka. Apakah UMNO harus menamatkan Dasar Ekonomi Baru supaya orang Melayu kembali menderita dan dengan itu kembali insaf dan bersatupadu semula?
Kita ingat, kejayaan UMNO menyatupadukan orang Melayu di pertengahan abad ke-20 ialah kerana orang Melayu merasa terancam menghadapi bahaya hilang negara dan hilang bangsa. Bahaya dari luar ini menekan orang Melayu sehingga mereka terpaksa merapatkan barisan melalui UMNO untuk mempertahankan diri. Mereka tidak lagi menganggap diri mereka sebagai orang Kedah, orang Perak, orang Pulau Pinang, orang Johor dan seterusnya. Buat pertama kali mereka secara bulat dan padu menganggap diri mereka sebagai orang Melayu. Hanya sebagai orang Melayu yang bersatu padu sahaja barulah mereka dapat menyelamatkan diri dan harta pusaka warisan mereka.

Jika dahulu UMNO berjaya menyatupadukan orang Melayu, apakah UMNO kali ini tidak boleh menyatupadukan mereka semula? Sebenarnya kita tidak tahu. Mungkin boleh, mungkin tidak. Tetapi boleh atau tidak, kita mesti cuba. Itu adalah semangat UMNO. Kita tidak boleh mudah kecewa dan menyerah kalah. Kita bertanggungjawab kepada bangsa Melayu. Sama ada orang Melayu akan menyambutnya atau tidak, tanggungjawab kita mestilah kita pikul. Jika gagal apabila dicuba kita mesti cuba lagi.

Sebenarnya percubaan telahpun kita mulakan. Jika perubahan dalam budaya Melayu yang menyebabkan mereka mula menggelongsor ke arah kemusnahan, maka langkah yang perlu diambil ialah mencuba mencipta dan menyemai budaya baru yang lebih mampu melawan nafsu dan mengatasi cabaran hidup sebagai penduduk bandar yang mewah.

Sudah tentu benteng yang terkuat sekali ialah agama Islam dengan nilai-nilai murninya. Malangnya budaya yang terbentuk apabila Nabi Muhammad s.a.w. membawa Islam kepada Arab jahiliah sudah diketepikan oleh kebanyakan orang Islam. Persaudaraan dan perpaduan dalam Islam tidak lagi diamalkan oleh orang Islam. Di mana-mana sahaja mereka bermusuhan sesama sendiri bahkan sanggup bersubahat dengan musuh-musuh Islam untuk mengalahkan orang yang seagama dengan mereka.

Di Malaysia, ini juga sudah berlaku. Sudah ada orang Melayu yang membenarkan diri mereka dihasut oleh musuh supaya menggagalkan usaha untuk memaju dan mengembalikan kecemerlangan tamadun Melayu dan Islam.

Tokoh-tokoh Islam suka menyalahkan pihak Orientalis Barat apabila membincang tentang tenatnya orang Islam. Mereka menuduh kumpulan-kumpulan tertentu ditubuhkan oleh British dan Yahudi untuk memecahbelahkan orang Islam dan menghalang kemajuan mereka di dunia. Ajaran bahawa dunia ini adalah untuk orang kafir dan akhirat dikhaskan bagi orang Islam amat disukai oleh musuh Islam. Mereka tahu kepercayaan ini di kalangan orang Islam akan menyebabkan mereka asyik dengan berbagai-bagai kepercayaan dan kegiatan yang kononnya diwajibkan oleh agama Islam sehingga tidak ada masa untuk memajukan diri mereka di dunia. Dengan terbentuknya puak-puak yang bertentangan pendapat berkenaan agama, maka permusuhan sesama orang Islam akan berlaku dan mereka akan memusnahkan diri mereka sendiri. Oleh itu musuh mereka menggalak dan memuji kumpulan-kumpulan serpihan di kalangan orang Islam supaya menyerang kumpulan tunjang yang majoriti. Segala usaha oleh kumpulan majoriti untuk memajukan orang Islam akan dituduh tidak Islam. Sibuk dengan mempertahankan keIslaman mereka, kumpulan majoriti tidak dapat menumpu kepada pembangunan orang Islam. Akhirnya gagallah usaha orang Islam untuk menguasai segala ilmu dan kecekapan yang membolehkan mereka bersaing dengan bangsa-bangsa lain. Sudah berkali-kali percubaan dibuat oleh orang Islam untuk membangunkan umat Islam, tetapi telah digagalkan oleh puak serpihan yang dipengaruhi dan disokong oleh musuh-musuh Islam.

Hari ini di Malaysia kita melihat bagaimana galakan dan sokongan diberi kepada parti serpihan supaya menentang parti tunjang majoriti orang Islam. Walaupun kita tahu media Barat dan pihak-pihak tertentu begitu benci kepada orang Islam yang digambarkan oleh mereka sebagai pengganas, tetapi mereka cuba membayangkan Pas sebagai parti sederhana yang perlu disokong oleh bukan Islam untuk menjatuhkan Kerajaan pimpinan UMNO. Ternampak seolah-olah mereka ingin melihat Pas mendirikan negara Islam di Malaysia. 

Apakah benar mereka suka negara Islam? Besar juga kemungkinan mereka suka, kerana kepercayaan mereka ialah negara yang diperintah oleh apa yang mereka kenali sebagai fundamentalis Islam akan membawa perasaan tidak senang hati di kalangan penganut agama lain, akan menghalang pembangunan dan kemajuan Malaysia, melemahkannya sehingga dapat dijajah semula. Jika kerana usaha musuh-musuh Islam ini, sokongan kepada UMNO merosot, maka UMNO tidak dapat menumpu kepada kemajuan orang Melayu/Islam, bahkan mungkin UMNO akan cuba menjadi lebih Islam daripada Pas, menolak apa yang Pas cap sebagai sekular sehingga Malaysia terus mundur, lemah, tidak lagi dapat menegur negara Barat dan alat-alat mereka apabila mereka melakukan ketidakadilan kepada negara-negara membangun. Hari ini hanya Malaysia sahaja yang sanggup mengkritik Barat. Tentulah mereka merasa lega apabila UMNO sibuk dan bergelut dengan Pas sehingga lupa terhadap penganiayaan ke atas umat Islam di Bosnia, Kosovo, Sudan, Iraq, Iran dan lain-lain.

Tugas UMNO ialah cuba menyeru orang Melayu kembali kepada persaudaraan dan perpaduan seperti yang diajar oleh Islam supaya strategi mereka yang benci kepada orang Islam tidak akan berjaya. Untuk ini parti-parti serpihan orang Islam mestilah disedarkan bahawa mereka sudah dipermain dan diperalatkan oleh musuh-musuh Islam. Dalam usaha UMNO untuk menyedarkan puak serpihan ini, UMNO mestilah berpegang kepada kebenaran. Jelaskan, ceritakan hal dan keadaan yang sebenar. Ini adalah mudah, kerana kita berada di pihak yang benar. Hanya orang yang tidak bermodalkan kebenaran yang terpaksa melemparkan berbagai-bagai tuduhan, membohong dan memfitnah. Hanya orang yang tidak berpegang kepada ajaran Islam yang murni yang mudah memburukkan orang Islam lain, membohong, melabelkan orang lain dengan nama-nama yang buruk. Hanya orang yang tidak ada maruah sahaja yang tidak berasa malu apabila diketahui membohong tetapi tanpa segan-silu membohongi lagi.

Insya-Allah, jika UMNO terus berusaha menyuarakan yang benar, akhirnya walaupun mungkin tidak ramai, akan ada juga mereka yang akan menolak kemungkaran dan menerima kebenaran. Ini jelas sepertimana firman Allah dalam Surah Al-Isra', Ayat 81, yang bermaksud:
"Telah datang kebenaran dan hilang lenyaplah perkara yang salah; sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap."
Dan Surah Ali-Imraan, Ayat 104, yang bermaksud:
"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."

Agama Islam tidak sahaja menyuruh kita bersaudara tetapi menuntut kita memiliki banyak lagi nilai murni lain yang boleh membentuk peribadi yang berdaya tahan dan mampu menangkis nilai-nilai buruk yang ramai daripada kita telah serap serta menyediakan kita untuk menghadapi cabaran hidup di bandar dan cabaran-cabaran yang akan kita hadapi dalam abad ke-21 Masihi ini.

Antara nilai yang terpenting ialah disiplin, mengawal diri daripada membuat sesuatu yang tidak baik bagi diri kita, terutama melawan nafsu kita. Segala ibadat dalam Islam memerlukan disiplin diri. Kita tidak mungkin berpuasa, mengeluarkan zakat, mengerjakan ibadat haji dan sudah tentu bersembahyang tanpa disiplin. Gerakgeri kita dalam mengerjakan ibadat-ibadat ini juga memerlukan disiplin. Kita tidak perlu menunggu balasan. Orang yang berdisiplin melakukan perkara yang baik kerana kebaikan.

Disiplin memerlukan kita mengetepikan kepuasan nafsu untuk kebaikan. Percayalah, lambat laun kita akan menikmati kebaikan ini.

Apabila kita menolak sogokan yang diberikan hari ini kerana memikirkan tentang kesannya ke atas nasib bangsa kita di zaman akan datang, maka ini menunjukkan kita mempunyai disiplin diri. Hanya orang yang berdisiplin sahaja yang dapat menolak sogokan kerana bangsa, agama dan tanahair.

Tentera yang mara ke hadapan apabila diarah tentu tahu mereka mungkin terbunuh, tetapi sebagai anggota yang berdisiplin mereka tetap menurut perintah. Dengan disiplin mereka mungkin menjayakan pasukan mereka, bahkan negara mereka. Tetapi jika mereka enggan menurut perintah, besar kemungkinan pasukan mereka ditewaskan, negara mereka kalah dan mereka sendiri dibinasakan oleh musuh. Tanpa disiplin sesuatu bangsa tidak mungkin dapat mengekalkan kemerdekaannya.

Melayu yang ingin terus maju, mendirikan masa depan yang cemerlang; Melayu yang ingin menebus maruah dan mengekalkannya mestilah berdisiplin, mesti membendung nafsu, mesti sanggup berkorban untuk kebaikan masa depan bangsa, agama dan tanahair.

Selain daripada disiplin, banyak lagi nilai yang baik yang didokong oleh agama Islam yang perlu diamalkan secara sedar. Sementara kita mendakwa betapa kuatnya pegangan kita kepada ajaran Islam, ramai juga daripada kita yang mencari bomoh untuk menentukan kejayaan. Bomoh tidak boleh menentukan kemenangan kita. Kerja yang kita buat, kebaikan kita, keprihatinan kita, rekod baik kita -- ini semua yang boleh menolong kejayaan kita. Tetapi tidak ada jaminan bahawa kita akan berjaya walaupun kita membuat segala-gala yang baik dan hakikat ini mesti diterima oleh kita tanpa rasa kecewa. Yang menentukan kita berjaya atau tidak ialah Tuhan. Yang berkuasa ke atas kita ialah Allah Subhanahu wa Ta'ala. Oleh itu berdoalah kepadaNya dan berhentilah daripada menggunakan bomoh.

Satu lagi nilai hidup yang saya harap kita orang Melayu akan cuba memilikinya ialah nilai-nilai budaya luar biasa yang ditonjolkan oleh Datuk Azhar Mansor.

Pada tahun 1999 Azhar telah berjaya belayar seorang diri mengelilingi dunia. Ini bukanlah sesuatu yang sanggup atau boleh dibuat oleh sesiapa sahaja, baik orang Melayu atau mana-mana bangsa di dunia. Tentulah ada sifat-sifat yang luar biasa pada Azhar. Jika ramai lagi orang Melayu memiliki sifat-sifat ini, bangsa kita tentu akan dapat menghadapi segala cabaran dengan hati yang tabah dan kental, tidak kecewa dengan kegagalan tetapi akan bangun dan cuba mengatasi cabaran sekali lagi dan sekali lagi sehingga berjaya atau hancur musnah kerananya.

Tetapi persepsi sebahagian daripada orang Melayu terhadap kejayaan Azhar ialah ia bukan disebabkan sifat-sifat istimewa yang ada pada Azhar. Mereka bertanya Azhar apakah ilmu yang dipakai olehnya.
Di zaman dahulu ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu ghaib termasuk kononnya membela hantu, pelesit atau pontianak. Sekarang ilmu yang dimaksudkan ialah ayat-ayat tertentu daripada Al-Quran yang dipercayai boleh melindungi seseorang daripada bahaya dan juga menentukan kejayaan.

Kita orang Islam perlu membaca doa dan meminta pertolongan Allah Subhanahu wa Ta'ala tetapi kita tahu bahawa Allah tidak akan menolong kita jika kita tidak menolong diri kita sendiri, sepertimana firman Allah dalam Surah Ar-Ra'd, Ayat 11, yang berbunyi:
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."

Membaca doa semata-mata tidak mungkin membolehkan Azhar belayar mengelilingi dunia. Beliau perlu belajar segala selok belok pelayaran -- bagaimana menggunakan berbagai-bagai alatan dan bagaimana menjaga keselamatan dirinya. Di perairan tertentu suhunya begitu rendah sehingga kalau dianya terjatuh ke dalam laut dia boleh hidup hanya lima minit. Tidak mungkin ia akan diselamatkan oleh sesiapa. Laut bergelora, ombak kadang-kadang 60 kaki tinggi. Jika tidak tahu menjaga keselamatan diri, cita-cita akan menjadi abu.

Tidak ada kawan untuk menolong jika ia sakit atau terlalu letih. Tidak ada sesiapa untuk berbual. Hanya yang ada ialah dirinya sendiri. Dan bila kita berada seorang diri, kita dengar dan kita nampak macam-macam. Hanya iman yang teguh dan hati yang kental yang boleh memberi kejayaan kepada pelayar daripada bangsa kita ini.
Selama 192 hari siang dan malam beliau belayar seorang diri sehinggalah ia sampai balik ke Langkawi.
Saya tidak mencadangkan supaya kita semua memiliki kualiti budaya yang ada pada Azhar. Tetapi sekurang-kurangnya kita hendaklah sedar dan faham bahawa Tuhan hanya menolong orang yang menolong dirinya. Bacalah doa dan ayat-ayat tertentu, tetapi kuasailah juga ilmu-ilmu yang berkaitan secara langsung dengan apa juga yang diusahakan oleh kita. Kecekapan dalam ilmu-ilmu ini tidak boleh dipandang ringan kerana kita sebagai orang Islam boleh meminta pertolongan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Kita perlu akui bahawa orang yang tidak boleh meminta pertolongan juga berjaya, bahkan lebih berjaya daripada kita di dunia ini. Tetapi jika kita ingin menjadi angkasawan yang akan mendarat di atas bulan, kecekapan tertentu mestilah ada pada kita. Kegagalan orang Islam ialah kerana setelah Tuhan menjadikan mereka umat yang terpilih, sebaik-baik manusia, mereka berpendapat mereka tidak perlu berusaha lagi kerana segala-galanya akan dikurniakan kepada mereka oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ingatlah walaupun Allah Subhanahu wa Ta'ala boleh menjayakan Nabi Muhammad s.a.w. dalam mengembangkan agama Islam hanya dengan berkata ?Kun, fayakun? tetapi Baginda Rasullullah terpaksa menghadapi bermacam-macam cabaran dan berhijrah melintasi padang pasir untuk menjayakan tugasnya. Dan Nabi lebih mengetahui mengenai ilmu-ilmu dan lebih disayangi Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Sebenarnya budaya, nilai hidup dan kualiti yang dianggap perlu ada kepada orang Melayu boleh menjadikan mereka Melayu Baru, Melayu yang boleh membendung nafsu dan nilai-nilai yang buruk yang telah menakluki mereka setelah meninggalkan kampung mereka dan menikmati kemewahan hidup di bandar. Melayu Baru adalah Melayu yang berpegang kuat kepada agama Islam dan nilai-nilai murninya, berdisiplin dan sedar bahawa Tuhan hanya akan menolong mereka yang berusaha dan belajar serta menguasai ilmu-ilmu yang boleh menjayakan mereka. Melayu Baru akan mengunci keretanya sebelum menyerah kepada perlindungan Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Ada pihak yang cuba menggambarkan Melayu Baru sebagai tahi arak, kaki perempuan dan kaki judi. Kita tahu bahawa ini bukanlah Melayu Baru yang dimaksudkan oleh kita. Ini adalah ciptaan orang yang dirasuk syaitan untuk menggagalkan orang Melayu.

UMNO sebagai parti yang berjuang untuk bangsa, agama dan negara bertanggungjawab untuk memperbanyakkan bilangan Melayu Baru. Tetapi seperti kata Mat Salleh 'charity begins at home'. Olehitu permulaan hendaklah dibuat di kalangan pemimpin dan ahli-ahli UMNO supaya mereka akan menjadi Melayu Baru sebelum orang lain. Apabila mereka sudah berjaya membendung nafsu, mendisiplinkan diri dan menerap nilai-nilai yang mulia dan berkualiti dan menjadi Melayu Baru, maka layaklah UMNO mengembangkan budaya Melayu Baru di kalangan orang Melayu lain. Insya-Allah pemimpin dan ahli UMNO akan menjadi layak.

EKONOMI
Sejak blok Timur, iaitu Rusia dengan ideologi Komunisnya ditewaskan, semua negara telah menumpukan usaha kepada pembangunan ekonomi. Kita percaya bahawa blok Barat yang sering bercakap berkenaan dengan hak asasi manusia dan ekonomi pasaran akan menolong pembangunan negara-negara yang sudah menerima sistem dan ideologi mereka.

Tetapi sekarang kita tahu bahawa blok Barat tidak kurang buruknya daripada blok Komunis dalam usaha menindas dan cuba menggantikan Kerajaan-Kerajaan yang sah dengan boneka mereka. Hanya yang berbeza sekarang ialah cara dan pendekatan. Jika dahulu penjajahan dilakukan dengan ketenteraan, sekarang kuasa ekonomi digunakan. Hanya dengan menjadikan negara sasaran miskin sehingga meminta pertolongan daripada mereka, penjajahan dapat dijayakan. Hari ini banyaklah negara yang dikatakan bebas dan merdeka tetapi sebenarnya dijajah oleh kuasa-kuasa asing.

Di Malaysia usaha menangkis serangan ekonomi dari luar menjadi lebih rumit kerana kita masih belum dapat mengimbangkan kedudukan ekonomi antara kaum dalam negara. Orang Melayu dan Bumiputera lain memiliki peratusan yang terlalu kecil daripada kekayaan ekonomi negara berbanding dengan peratusan mereka.
Kerajaan telah mencipta dan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru yang telah berjaya meningkatkan peratusan ekonomi yang dikuasai oleh Bumiputera. Dasar Penswastaan Kerajaan juga menolong mewujudkan sebilangan kecil Bumiputera di peringkat ekonomi tertinggi.

Tetapi usaha dan dasar Kerajaan belum berjaya sepenuhnya kerana Bumiputera sendiri tidak memberi kerjasama yang diperlukan. Mereka terlalu memilih kerja sehingga banyak daripada bidang kerja tidak disertai oleh Bumiputera. Amatlah menyedihkan sementara kita berjaya mensyaratkan bahan binaan tempatan digunakan sehingga 90 peratus, tetapi pekerja yang mendirikan bangunan-bangunan yang tercanggih dan terbesar di Malaysia terdiri 95 peratus daripada orang asing. Bukanlah pekerja asing ini lebih cekap dan bukanlah kerja-kerja ini terlalu kompleks untuk dibuat oleh kita. Tidak adanya pekerja kita ialah kerana kita mencari kerja yang senang sahaja dan kita mengejar kekayaan yang cepat.

Dalam sejarah beberapa bangsa, apabila sahaja warganegara tidak sanggup membuat sendiri kerja-kerja berat dan merbahaya dan menyerahkan kerja-kerja ini kepada pekerja upahan asing, akhirnya bangsa ini kehilangan kuasa dan tamadun yang didirikan oleh mereka runtuh. Inilah yang berlaku kepada empayar Rom dan juga empayar Islam. Apabila Turki menyerahkan pertahanan negara kepada tentera upahan, maka berakhirlah empayar Othmaniah.

Kerja-kerja dan tugas yang penting dan memerlukan kecekapan mestilah dibuat oleh rakyat sendiri. Rakyat Malaysia terdiri daripada tiga kaum yang besar. Dasar Ekonomi Baru telah menetapkan bahawa identifikasi kaum dengan fungsi ekonomi mestilah dihapuskan. Tetapi jika Bumiputera tidak sanggup membuat kerja-kerja tertentu, penghapusan identifikasi kaum dengan kerja tidak akan tercapai. Jika identifikasi kaum dengan fungsi ekonomi berkekalan, agihan kekayaan antara kaum di negara ini tidak mungkin adil dan Dasar Ekonomi Baru tidak akan tercapai.

Saya akui bahawa ada juga Bumiputera yang betul-betul berusaha sendiri menjayakan projek dan perniagaan, tetapi bilangan mereka amat kecil. Sudah tentu kerana bilangan mereka kecil, banyaklah peluang yang mereka perolehi. Oleh kerana ini mereka dituduh sebagai kroni pemimpin Kerajaan oleh orang asing dan tuduhan ini disambut oleh orang tertentu di negara sendiri. Siapa sahaja yang mendapat peluang melalui apa cara pun akan ditakrif sebagai kroni. Untuk mengelakkan daripada tuduhan ini, Bumiputera tidak boleh diberi apa-apa peluang walaupun layak. Dengan itu yang menjadi peniaga besar dan kaya hanyalah bukan Bumiputera. Tetapi ini akan menyebabkan Bumiputera kecewa dan benci kepada Kerajaan dan kepada kaum lain.

Hari ini kita masih melihat bandar kita tidak mencerminkan matlamat Dasar Ekonomi Baru. Bumiputera tidak berminat dengan perniagaan runcit yang memerlukan penglibatan secara langsung, walaupun ia boleh menaikkan mereka ke kelas menengah. Dengan ini banyaklah bandar baru yang diduduki dan kedai-kedai dimiliki oleh bukan Bumiputera sahaja. Tidak ada pergaulan kaum di bandar-bandar baru ini.

Berbagai-bagai usaha telah dibuat oleh Kerajaan termasuk memperkenalkan sistem francais. Tetapi bilangan yang berminat dengan perniagaan francais juga berkurangan. Orang Melayu masih belum belajar berniaga dengan mengeluarkan modal untuk bangunan dan perbelanjaan 'overhead'. Mereka masih mengelak perbelanjaan ini dengan mendirikan gerai-gerai kecil di tepi jalan. Jika mereka untung sekalipun, keuntungan tidak digunakan untuk membolehkan mereka berpindah ke premis yang lebih selesa yang perlu dibeli atau disewa, untuk menaikkan taraf perniagaan, membesarkannya dan mengadakan cawangan-cawangan. Jika keuntungannya besar ianya dibelanjakan sahaja.

Selagi orang Melayu dan Bumiputera lain tidak sanggup memasuki bidang perniagaan runcit, sanggup berjimat cermat dalam urusan perniagaan, sanggup mengumpul modal untuk membesarkan perniagaan, selama itulah bandar-bandar di Malaysia tidak akan mencerminkan penduduk berbilang kaum di Malaysia. Sebaliknya ia menjadi bukti kegagalan Dasar Ekonomi Baru.

Di Malaysia orang Cina boleh dijadikan contoh yang baik bagi Bumiputera dalam bidang perniagaan dan perusahaan. Walaupun mereka tinggal di bandar dan purata lebih kaya tetapi mereka mampu menangani kehidupan di bandar dan kekayaan mereka. Tidaklah salah jika kita belajar daripada mereka. Kita tidakakan jadi kurang Melayu semata-mata kerana memiliki kecekapan orang Cina dalam menangani kekayaan dan kehidupan di bandar.

Saya sedar bahawa apa yang saya dedahkan di sini tidak akan menyenangkan ramai orang Melayu. Saya tidak akan menjadi popular. Parti lawan akan menggunakan pendedahan ini untuk memburukkan lagi imej saya dan parti yang saya pimpin. Tetapi saya tidak menjadi pemimpin untuk mencari populariti. Apalah gunanya menjadi Perdana Menteri jika hasil kepimpinan saya ialah bangsa saya lemah, tidak bertanggungjawab, tidak bersemangat, tidak sanggup bekerja dan menghadapi cabaran hidup dan menjadikan agama sebagai hiasan yang dipakai dan bukan sebagai panduan untuk mendapatkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Benar kita sudah mencapai sedikit kemajuan. Tetapi kita lihat sekarang bagaimana minat untuk meneruskan usaha menjayakan agenda ekonomi Bumiputera sudah berkurangan. Orang Melayu sudah berasa begitu terselamat dengan kemajuan yang sedikit yang mereka telah capai sehingga bukan sahaja mereka tidak mahu meningkatkan lagi usaha mereka, atau meneruskan usaha di tahap sekarang, tetapi ramai daripada mereka sendiri yang bosan dengan usaha ini dan sebenarnya menghalang proses memajukan orang Melayu. Mereka lebih asyik mengecam Dasar Ekonomi Baru kerana kononnya menguntungkan hanya segelintir kroni pemimpin Kerajaan. Mereka tahu bahawa Dasar Ekonomi Baru, dengan penyediaan biasiswa, pusat-pusat latihan, kelas-kelas matrikulasi dan pendidikan sains, MARA, dana-dana pinjaman untuk peniaga dan penuntut, berbagai-bagai subsidi, lesen, 'AP', potongan harga rumah dan kedai swasta untuk Bumiputera, sewa rendah dan seratus satu macam lagi kemudahan yang dikhaskan bagi Bumiputera, telah banyak membantu Bumiputera termasuk pengkritik Kerajaan itu sendiri. Tetapi malangnya ramai yang memilih untuk menidakkan usaha-usaha di bawah Dasar Ekonomi Baru dan menyokong mereka yang ingin melihat orang Melayu terus menjadi golongan yang termiskin dan menjadi penumpang di negara sendiri.

Ada orang Melayu yang berpendapat bahawa dalam Islam tidak harus ada perbezaan layanan berasaskan kaum. Dan dengan itu mereka menyokong bukan Bumiputera yang tidak suka kepada Dasar Ekonomi Baru dengan menuduh Dasar Ekonomi Baru hanya menguntungkan kroni dan keluarga pemimpin Kerajaan. Mereka ini ingin melihat pengusaha dan peniaga besar di Malaysia terdiri hanya daripada bukan Melayu.

Puak ini mengajar orang yang mendapat nikmat daripada Dasar Ekonomi Baru supaya tidak mengakuinya dan tidak bersyukur dengannya. Amatlah menyedihkan apabila kita lihat orang yang sudah mendapat nikmat cuba menolak jatuh tangga yang telah mereka naiki.

Kita telah lihat semasa kegawatan ekonomi melanda rantau ini, rusuhan kaum berlaku di negara tertentu di mana terdapat perbezaan kekayaan ekonomi yang ketara di antara kaum. Tetapi, Alhamdullillah di Malaysia, walaupun perseimbangan antara kaum tidak tercapai sepenuhnya, rusuhan kaum tidak berlaku. Dengan kerana ini kita dapat memulihkan ekonomi dengan lebih mudah. Percubaan untuk mengadakan rusuhan oleh puak tertentu juga tidak mendapat sambutan daripada rakyat. Demikianlah nikmat yang banyak daripada Dasar Ekonomi Baru.
Kita belum pun dapat mengatasi masalah ketidakseimbangan dalam ekonomi antara kaum, tetapi hari ini kita terpaksa menghadapi cabaran baru yang lebih dahsyat, iaitu globalisasi atau dunia tanpa sempadan. Kononnya globalisasi dengan memberi kebebasan penuh kepada modal dan barangan melintasi sempadan akan membawa kemakmuran kepada seluruh dunia.

Tetapi kita telah lihat apabila wang kita dibawa keluar dan diniagakan dengan bebas di luar negara kita, dalam beberapa minggu sahaja negara dan rakyat menjadi miskin. Jika kerana globalisasi barangan asing dibenarkan masuk tanpa sekatan maka segala barangan yang dikeluarkan oleh kita akan terpaksa bersaing dengan barangan import. Oleh kerana jumlah keluaran kita kecil dan kerana itu kos kita lebih tinggi, makakita tetap kalah dalam persaingan ini. Perusahaan, bank dan perniagaan kita akan rugi dan terpaksa ditutup atau dijual kepada syarikat gergasi asing.

Kita lihat bagaimana syarikat dan bank-bank di negara berdekatan menjadi tenat dan terpaksa dijual kepada orang Barat. Jika kita benarkan syarikat asing melintasi sempadan kita, apakah dapat kita mengelak daripada menerima nasib yang sama? Kita hanya akan menjadi pekerja dalam syarikat asing. Mereka akan membayar gaji yang lebih tinggi kerana ini akan membolehkan kita membeli barangan mereka yang terpaksa kita import. Tidak akan ada perusahaan nasional lagi. Tidak akan ada Dasar Ekonomi Baru. Tidak akan ada keistimewaan apa-apa bagi Bumiputera dalam bidang ekonomi.

Mungkin ramai juga daripada kita yang berminat untuk mendapat gaji yang tinggi dan hidup lebih selesa. Tetapi walaupun dibayar gaji yang tinggi, taraf kita tidak lebih daripada hamba kepada mereka. Sebenarnya kita sudah dijajah.

Apabila mereka sudah menguasai semua urusan ekonomi kita, mereka akan campurtangan dalam bidang politik pula dan mereka akan menentukan siapa yang akan membentuk Kerajaan di negara kita. Kita sudah lihat ini berlaku di negara-negara lain di mana mereka menaik dan menjatuhkan Kerajaan sesuka hati mereka. Percubaan juga dibuat di negara kita untuk menjatuhkan Kerajaan yang ada sekarang.

Apakah dapat kita menyelamatkan diri kita, negara kita daripada mengalami nasib ini? Saya yakin kita boleh, jika rakyat Malaysia terutama orang Melayu faham niat sebenar kuasa asing dan bersatupadu dan menjayakan Dasar Ekonomi Baru sepenuhnya di samping mempertahankan keharmonian antara kaum di Malaysia. Dahulu, apabila kita melaksanakan kawalan ke atas Tukaran Wang Asing dan mengawal keluar-masuk modal luar, mereka meramalkan kita akan hancur. Hari ini semakin ramai daripada mereka yang terpaksa mengaku bahawa cara kita adalah baik dan dapat memulihkan ekonomi dengan lebih cepat. Sebenarnya mereka yang mengkritik dan mencemuh kita terpaksa bersara lebih awal dan penyangak matawang yang tamak telah mengalami kerugian besar dan tidak boleh berniaga matawang lagi. Sementara itu ekonomi kita tumbuh semula dengan pesatnya.

Pendapat kita mengenai globalisasi juga pada mulanya dianggap bodoh oleh mereka. Tetapi hari ini mereka mula mengakui bahawa globalisasi tidak semestinya berbentuk mengikut pandangan mereka. Globalisasi boleh dipinda dan disesuaikan mengikut kehendak negara membangun. Saya yakin lama kelamaan mereka akan menerima, jika tidak semua tetapi sebahagian daripada pandangan kita.

Tetapi kita tidak boleh menunggu ini berlaku. Sementara kita mengekalkan seberapa yang mungkin sempadan kita, melindungi ekonomi kita, kita juga perlu menguasai teknologi maklumat, E-dagang, K-ekonomi, penggunaan komputer dan internet serta segala cara dagangan baru yang sudah dicipta dan akan dicipta.
Semua usaha mempertahankan ekonomi dan kebebasan kita bergantung kepada Kerajaan yang kukuh, kuat dan cekap. Mandat besar yang diberikan kepada Barisan Nasional dalam pilihanraya tahun 1999 akan digunakan dengan bijak untuk memulih dan membangunkan ekonomi negara, meneruskan agenda ekonomi kita, membentuk dasar dan pendekatan untuk melindungi kepentingan ekonomi rakyat dan negara, memperjuangkan orde ekonomi dan kewangan antarabangsa yang baru dan adil kepada semua, miskin dan kaya, dan menentukan globalisasi tidak akan menghapuskan kemerdekaan negara Malaysia. Dalam usaha ini orang Melayu mestilah bersatupadu. Tidak ada tempat untuk kita membalas dendam. Bumiputera yang berjaya bukan musuh Kerajaan asalkan mereka tidak menggunakan kekayaan mereka untuk menggagalkan agenda ekonomi negara.

POLITIK
Parti yang memperkenalkan demokrasi di Malaysia ialah UMNO. Sebelum dijajah sistem pemerintahan di negeri-negeri Melayu adalah sistem feudal. Penjajah British membawa sistem autokrasi di mana rakyat tidak berhak berpolitik, jauh sekali memerintah melalui wakil yang dipilih. Segala-galanya ditentukan di London dan dikuatkuasakan oleh birokrat mereka di sini.

UMNO menolak feudalisme dan autokrasi dan memilih demokrasi, pemerintahan oleh rakyat melalui wakil pilihan mereka. Demokrasi bukanlah sistem yang bebas daripada kecacatan dan mudah dijayakan. Kita tidak mempunyai pengalaman sama sekali sebelum kemerdekaan. Banyak negara yang mencapai kemerdekaan bersama dengan kita gagal menjayakan sistem demokrasi. Banyak yang terpaksa menggugurkan demokrasi dan memilih pemerintahan tentera atau autokrasi.

Tetapi Malaysia berjaya mengamalkan demokrasi. Walaupun Kerajaan berhak memerintah selama lima tahun tiap kali dipilih tetapi dalam jangkamasa 42 tahun, kita telah mengadakan pilihanraya umum 10 kali. Kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional tidak takut menyerahkan balik mandat untuk memerintah kepada rakyat supaya rakyat dapat menilai dan menentukan siapa yang layak memerintah negara ini. Alhamdullillah, tiap kali pilihanraya diadakan, rakyat telah memilih parti yang sama. Jika Kerajaan parti kita tidak dapat menunaikan janji kita untuk memelihara keamanan dan keselamatan, berusaha mengurangkan jurang perbezaan ekonomi antara kaum, membangun ekonomi dan melindungi kedaulatan negara dan mengembalikan maruah bangsa, sudah tentu kita tidak akan diberi mandat lagi.

Jika rakyat dapat melihat keadaan yang sebenar dan membuat penilaian yang wajar terhadap prestasi kita, maka sudah tentu mereka akan terus menyokong kita. Tetapi hari ini parti lawan mengambil peluang daripada kebebasan demokrasi untuk menabur fitnah, menyemai kebencian kepada parti kita dan menutup mata serta hati rakyat kepada perkara yang benar. Dengan tertutupnya mata dan hati sebilangan daripada rakyat, maka parti lawan percaya sokongan kepada pihak yang membawa nikmat dan kemajuan ini dapat dikurangkan dan dengan itu Barisan Nasional tidak akan dipilih semula menjadi Kerajaan Malaysia yang tercinta ini.

Sejak Pas ditubuhkan, strateginya tertumpu kepada membangkitkan kebencian kepada UMNO kerana kononnya UMNO tidak Islam. Awal-awal lagi Pas telah mengkafirkan orang UMNO. Walaupun ada yang terpengaruh dengan dakyah Pas, tetapi sehingga kini Pas tidak mendapat sokongan yang mencukupi untuk memerintah negara ini. Benar, Pas berjaya menawan Kelantan dan juga Terengganu, tetapi negeri bukan negara, Kerajaan Negeri bukan Kerajaan Negara.

Matlamat Pas ialah untuk menguasai Kerajaan Pusat. Untuk ini Pas sanggup membuat apa sahaja. Jika Pas perlu memeluk musuh ketat mereka iaitu DAP, jika ahli Pas perlu berkempen untuk DAP, perlu menjunjung roket sambil berteriak 'Allahu Akbar', Pas sanggup buat. Sudah tentu membuat dakwaan yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti Allah mencarut, Pas adalah Islam dan Islam adalah Pas dan lain-lain, adalah perkara kecil bagi Pas. Yang besar ialah kemenangan dalam pilihanraya.

Nasib buruk Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu nikmat bagi Pas. Walaupun pemimpin-pemimpin Pas tahu lebih awal lagi akan moral Datuk Seri Anwar, dan kerana ini mereka biasa menyindir beliau semasa beliau menjadi pemimpin UMNO, tetapi apabila beliau disingkirkan dari Kerajaan kerana sebab yang sama, Pas menutup sebelah mata dan berpura-pura mempertahankan Datuk Seri Anwar.

Kononnya penyingkiran dan dakwaan terhadap Datuk Seri Anwar adalah satu kezaliman. Untuk mengguna penyokong Datuk Seri Anwar, Pas dengan serta-merta memasuki gabungan yang dianjurkan oleh Parti Keadilan dan sanggup bersekongkol dengan orang-orang yang mencerca dan menentang matlamat Pas yang kononnya mahu mendirikan negara Islam. Menerima wanita sebagai pemimpin Barisan Pembangkang juga sanggup dibuat oleh Pas.

Gambar mata lebam Datuk Seri Anwar dipamerkan oleh Pas semasa pilihanraya umum yang lepas untuk menunjukkan betapa zalimnya Kerajaan. Walaupun mereka tahu yang mata lebam itu bukan kerana Kerajaan menyuruh Datuk Seri Anwar dipukul, tetapi Pas menyalahkan Kerajaan juga. Pas tidak bersimpati dengan Datuk Seri Anwar kerana mata lebamnya, kerana beliau telah didapati bersalah dan dipenjarakan. Yang Pas lihat hanyalah peluang untuk mengeksploitasi nasib Datuk Seri Anwar bagi memancing undi.

Jika Datuk Seri Anwar dan penyokongnya percaya Pas akan memilih beliau menjadi Perdana Menteri apabila mereka menang, mereka sebenarnya mengigau di siang hari. Melainkan Parti Keadilan mendapat lebih banyak kerusi daripada Pas dan DAP, tidak ada kemungkinan Pas akan menerima Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri.

Apakah mungkin Keadilan menang lebih daripada Pas? Dalam pilihanraya tahun 1999, Pas menentukan Keadilan dapat kawasan yang sukar dimenangi. Akibatnya Keadilan hanya mendapat lima kerusi, dan menjadi rakan yang kecil sekali dalam gabungan pembangkang.

Parti Keadilan pula mendakwa bahawa mereka berjuang untuk keadilan, untuk 'Rule of Law' atau pemerintahan mengikut undang-undang. Sebenarnya Keadilan berjuang untuk mendaulatkan ketidakadilan dan menolak 'Rule of Law'. Yang pertama dan yang diutamakan oleh parti ini ialah mengecualikan Datuk Seri Anwar daripada tindakan undang-undang negara supaya ia tidak boleh didakwa, dibicara, didapati bersalah atau dipenjarakan.
Adalah menjadi prinsip 'Rule of Law' bahawatidak ada sesiapa pun yang bebas daripada tindakan undang-undang. Di Malaysia, Raja juga berada di bawah undang-undang. Semua orang di Malaysia, rakyat dan raja adalah sama tertakluk kepada undang-undang negara. Sudah ramai pemimpin UMNO yang dihadapkan ke mahkamah dan dihukum apabila didapati bersalah.

Tidak ada siapa di negara ini dan di mana 'Ruleof Law' dikuatkuasakan yang boleh mendakwa ia tidak bersalah sebelum ia dibicarakan atas tuduhan yang dibuat terhadapnya. Menerima 'Rule of Law' bermakna sanggup tunduk kepada proses undang-undang. Mendakwa diri sendiri tidak bersalah awal-awal lagi tanpa menghadapi proses undang-undang adalah satu ketidakadilan. Tidak ada sesiapa pun yang layak atau berhak menjatuhkan hukuman tidak bersalah ke atas diri sendiri. Perbuatan ini tidak banyak berbeza daripada kaedah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang mana undang-undang membenarkan tahanan tanpa perbicaraan. Jika Datuk Seri Anwar ditahan di bawah ISA, sudah tentu Keadilan, kuncu-kuncunya dalam negeri, pemberita asing dan negara yang bermegah-megah dengan demokrasi akan mengutuk Malaysia dan mendesak supaya perbicaraan di mahkamah diadakan. Tetapi apabila Datuk Seri Anwar dihadapkan ke mahkamah berkenaan penyalahgunaan kuasa, dipertahankan oleh sembilan orang peguam, dibicara dalam mahkamah yang terbuka, diberi masa yang begitu panjang, dibenar membuat kenyataan politik, bebas berjumpa dengan sesiapa sahaja dan berbagai-bagai lagi keistimewaan, Datuk Seri Anwar dan orang-orangnya mendakwa penghakiman tidak adil, hakim bersubahat dengan Perdana Menteri serta melempar tuduhan-tuduhan lain yang tidak berasas. Keadilan bagi mereka ialah jika Datuk Seri Anwar dibicarakan ia mesti didapati tidak bersalah. Jika didapati bersalah maka ini bermakna hakim bersubahat dengan Kerajaan. Inikah yang dimaksudkan dengan 'Rule of Law'?
Mendakwa bahawa segala-galanya adalah konspirasi atau pakatan jahat orang tertentu tidak boleh menjadi alasan kenapa dakwaan di mahkamah tidak boleh dibuat. Jika konspirasi boleh diterima sebagai alasan kenapa dakwaan tidak boleh dibuat, maka tidak ada siapa yang boleh dibicarakan dan dengan itu 'Rule of Law' tidak boleh dilaksanakan.

Secara prinsip sama ada konspirasi ada atautidak ada, jika jenayah dilakukan dan hakim menerima dakwaan adalah berasas, maka yang tertuduh tetap salah juga. Konspirasi bukan alasan untuk menghalalkan jenayah.
Dalam kes pertama yang sudah selesai, jauh daripada memperjuangkan keadilan, Parti Keadilan memperjuangkan kezaliman, kezaliman terhadap mangsa jenayah Datuk Seri Anwar. Bahawa mangsa ini bukan orang Keadilan dan bukan kroni Datuk Seri Anwar tidak bermakna mereka tidak berhak kepada keadilan. Perjuangan Keadilan juga zalim kepada orang biasa yang telah melakukan kesalahan yang sama dan dihadapkan ke mahkamah, didapati bersalah, dihukum, didenda atau dipenjarakan. Pilih kasih dalam mendakwa seseorang amatlah zalim. Melepaskan pembesar atau orang yang disayangi pihak tertentu adalah lebih zalim.
Apabila didapati bersalah dalam kes pertama, penyokong-penyokong Datuk Seri Anwar menganggap keputusan mahkamah tidak adil. Media asing dan pemimpin negara Barat dengan sombong dan bongkak menuduh Kerajaan Malaysia sudah menjadi Kerajaan autokratik, tidak demokratik, tidak menurut 'Rule of Law'. Ternampak jelas hukuman tidak bersalah sahaja yang boleh diterima oleh Keadilan. Apakah gunanya 'Rule of Law' jika hanya keputusan yang dikehendaki sahaja yang boleh diterima? Lebih baiklah tidak ada proses penghakiman sama sekali. Apakah ini yang dimaksudkan dengan 'Rule of Law'?

Perbicaraan kes pertama dipolitikkan. Tuduhan terhadap Datuk Seri Anwar tidak dijawab. Sebaliknya segala-galanya dituduh disebabkan konspirasi Kerajaan, khususnya Perdana Menteri, untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar.

Apakah mungkin konspirasi yang melibatkan puluhan orang, melibatkan mangsa Datuk Seri Anwar, ramai pegawai polis, Pendakwa Raya dan pegawai serta kakitangannya, hakim, pemandu kereta dan ramai lagi saksi lain; apakah mungkin pakatan sebegini besar dapat diadakan tanpa dibocorkan kepada orang ramai dari awal-awal lagi? Di Malaysia tidak ada rahsia yang boleh disimpan. Tetapi konspirasi oleh Perdana Menteri yang kononnya diadakan bagi menjatuhkan Datuk Seri Anwar, membicarakannya dan mendapati ia bersalah, tidak sama sekali diketahui oleh sesiapa. Tuduhannya bahawa ada konspirasi terhadapnya hanyalah helah untuk mengabui mata orang terhadap kesalahannya. Jika ada bukti konspirasi, laporan polis boleh dibuatdan mereka yang berkonspirasi boleh didakwa.

Konspirasi Datuk Seri Anwar untuk menjatuhkan Perdana Menteri diketahui umum. Banyaklah maklumat yang telah disampaikan kepada saya berkenaan konspirasi Datuk Seri Anwar, dan saya juga tahu yang dialah yang menjadi dalang supaya Zahid Hamidi melemparkan tuduhan terhadap saya, tetapi saya masih ingin melihat Datuk Seri Anwar menggantikan saya kerana saya telah memutuskan untuk bersara pada tahun 1998.

Konspirasi sebesar yang dituduh oleh Datuk Seri Anwar semasa ia dibicarakan dalam kes pertama atas tuduhan menyalahgunakan kuasa, tidak mungkin berlaku. Penyingkirannya bukan kerana konspirasi. Ia bukan disingkir kerana politik saya atau politik UMNO. Ia disingkir kerana moralnya yang buruk yang menjadikannya tidak sesuai untuk memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia. Bolehkah saya berdiam diri dan membiarkan orang seperti ini terus berada dalam Kerajaan dan bakal menjadi Perdana Menteri negara ini?

Rakyat yang begitu marah kepada saya, kepada UMNO perlu memikir, perlu berlaku adil dan mendengar kedua-dua pihak tanpa terlalu emosi, terlalu memihak kepada orang tertentu yang disangka telah dianiaya. Politik orang Melayu perlu rasional kerana kita memperjuangkan bangsa, agama dan tanahair. Tersilap politik kita, semua kita akan menerima nasib yang buruk. Saya merayu kepada semua orang Melayu supaya jangan mudah terpengaruh dengan orang yang berkepentingan yang suka membawa cerita keburukan orang lain. Mereka ini termasuk dalam golongan orang yang fasik. Jika kita mengikut mereka, maka akan rosaklah kita, akan hancurlah masa depan kita, akan kembalilah kita menjadi orang yang dijajah dan dihina.

Sebenarnya Perdana Menteri berhak menyingkir mana-mana anggota Kerajaan pada bila-bila masa tanpa memberi sebab. Sudah ramai Menteri yang telah diberhentikan tanpa tuduhan konspirasi. Justeru itu, apa perlunya pakatan sulit dan tindakan mahkamah? Sebenarnya Datuk Seri Anwar sendiri yang membawa bala ke atas dirinya dengan membuat laporan polis, dengan harapan memperalatkan polis untuk mengharamkan buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi Perdana Menteri". Setelah berjaya menyalahgunakan kuasa untuk 'menggempar' Umi dan Azizan, Anwar percaya ia boleh menggunakan polis lagi untuk mengharamkan buku berkenaan. Malang baginya kali ini pendekatan ini gagal.

Parti Pas berjaya memperalatkan Datuk Seri Anwar, Parti Keadilan dan Parti DAP untuk meraih undi dalam pilihanraya tahun 1999. Tetapi ini tidak bermakna bahawa UMNO dan ahli-ahlinya tidak menyumbang kepada prestasi yang kurang baik ini. Kejayaan orang Melayu kerana Dasar Ekonomi Baru telah membawa pertukaran yang ketara dalam budaya dan nilai hidup mereka. Hari ini sikap kebendaan dan tamak haloba sudah mengganti semangat keMelayuan di kalangan ramai orang Melayu.

Ahli-ahli UMNO juga sudah lupa kepada semangat keMelayuan. Mereka juga sudah menjadi tamak. Penyertaan dalam UMNO kerapkali lebih disebabkan untuk mendapat jawatan dan nikmat tertentu. Ada yang ingin mendapat kekayaan dengan mudah. Justeru itu perebutan sering berlaku untuk menjadi pemimpin UMNO di semua peringkat, dari Ketua Cawangan sehinggalah ke Presiden Parti.

Jika perebutan kedudukan atau jawatan memecahkan parti, menimbulkan perasaan meluat di kalangan orang ramai terhadap parti, ini tidak mengapa. Yang penting bukan parti, bukan bangsa, bukan negara tetapi yang penting dan utama ialah diri sendiri. Jika gagal mendapat sesuatu, gagal menjadi calon umpamanya, ada pemimpin UMNO dan penyokongnya yang sanggup berusaha mengalahkan calon parti. Bahawa yang tidak terpilih biasa menjadi calon yang menang kerana sokongan oleh ahli parti termasuk calon kali ini, tidak sedikit pun dihargai. Kerana kali ini tidak menjadi calon, maka perasaan marah meluap hingga sanggup menolong parti lawan. Saya akui tidak semua yang bersikap demikian. Ramai juga yang mengutamakan parti. Tetapi saya kesal kerana ada yang tidak menyokong parti kerana kecewa.

Antara mereka yang dipilih dan menang, yang begitu berminat untuk menjadi wakil rakyat, ada pula yang begitu cepat bosan dengan kehadiran di Dewan. Kawasan tidak dijaga, jemputan oleh penyokong tidak dilayani. Mungkin apa yang diperkatakan dalam buku "Getek" agak keterlaluan tetapi terdapat banyak kebenaran di dalamnya.

Memang pun sudah ramai yang meluat dengan wakil rakyat dan pemimpin-pemimpin UMNO. Sekarang ini UMNO mengadakan pemilihan untuk Majlis Tertinggi. Sepatutnya kita cuba melalui tingkahlaku kita, kesederhanaan kita, kesopanan kita supaya sokongan kepada parti kita dapat dikembalikan. Tetapi kita tidak menghiraukan perasaan meluat orang. Kita terus mengejar kepentingan diri kita.

Benar tidak semua calon menggunakan wang. Tetapi ada calon yang menggunakan wang. Apa gunanya populariti yang dibeli? Bolehkah kita berbangga jika kita dipilih bukan kerana kelayakan kita, tetapi kerana rasuah?

Sementara sesetengah calon tidak mahu membeli sokongan, ada pula wakil ke Perhimpunan Agung yang ke sana ke sini menawarkan sokongan mereka dengan harga tertentu. Mereka ini sama buruk dengan orang yang menghulur wang untuk mendapat sokongan. Tidakkah mereka sedar yang duit yang mereka terima adalah duit haram, tidak kurang haram daripada hasil menjual benda yang haram?

Kepada para perwakilan yang hadir dalam Perhimpunan ini ingatlah jika anda pilih orang yang menghulur wang kepada anda, anda sebenarnya menjadi pengkhianat kepada bangsa, agama dan tanahair. Pemimpin yang perasuah yang anda pilih akan menggagalkan perjuangan untuk bangsa, agama dan tanahair. Yang akan menjadi mangsa ialah anak cucu anda. Yang akan binasa ialah bangsa, agama dan negara anda.
Justeru itu saya merayu kepada semua perwakilan supaya menolak semua calon untuk apa juga jawatan yang cuba membeli undi ataupun menggunakan cara-cara yang memburukkan imej parti dan bangsa semasa berkempen. Saya juga ingin mengingatkan para perwakilan dan calon bahawa keanggotaan dalam Majlis Tertinggi tidak menjaminkan tempat dalam Kerajaan walaupun bagi mereka yang sudah berada dalam Kerajaan.
Saya tahu apa yang saya perkatakan di sini akan menimbulkan kemarahan para perwakilan dan calon-calon kepada saya. Tetapi adalah lebih baik saya dimarahi daripada rakyat membenci UMNO dan menolaknya. Rasuah dan ketamakan mesti didedahkan dan diperangi. Rasuah dan tamak haloba boleh menghancurkan bangsa kita. Segala rancangan untuk memajukan orang Melayu dan Bumiputera lain akan gagal jika rasuah dan ketamakan menjadi sebahagian daripada budaya kita. Segala-galanya akan berkecai jika pengamal rasuah menjadi Perdana Menteri dan menganggotai Kabinet negara kita ini. Secara langsung atau tidak langsung para perwakilanlah yang menentukan sama ada perasuah dan orang yang tamak akan memimpin negara kita atau sebaliknya. Hancur atau tidak bangsa dan negara kita terletak di bahu para perwakilan. Saya yakin dan percaya para perwakilan tidak akan mengabaikan tanggungjawab mereka. Tolaklah pengamal rasuah dan mereka yang tamak.

Perjuangan UMNO adalah perjuangan yang mulia dan suci. Kita berjanji untuk membangun dan menjayakan bangsa, agama dan negara kita. Perlembagaan Parti kita jelas menyebut perkara ini.
Tidak ada janji, tidak menjadi matlamat perjuangan UMNO untuk menaikkan sesiapa, menjadikan sesiapa berkuasa atau kaya raya. Jika ada yang menjadi pemimpin, atau menjadi kaya raya, ini hanya kerana tidak akan dapat kita menjaya dan membangunkan orang Melayu tanpa ada pemimpin yang berkuasa, individu Melayu yang berjaya dan kaya raya. Agama Islam menerima hakikat ini, iaitu akan ada yang miskin dan yang kaya, yang diberi kuasa dan yang tidak. Dalam Surah Al-Nisa', Ayat 32, Allah berfirman:
"Dan janganlah kamu terharap-harap (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran)."

Kita tidak mungkin menjadikan semua orang Melayu pemimpin yang berkuasa atau orang yang kaya raya. Tetapi kita boleh mengurangkan kemiskinan, mengurangkan jurang perbezaan di antara yang miskin dengan yang kaya. Kita boleh menambah bilangan golongan menengah supaya jurang perpisahan di antara yang miskin dan kaya tidak keterlaluan. Kita boleh menaikkan pendapatan per kapita dan petunjuk-petunjuk lain yang membuktikan bahawa bangsa kita sudah maju, sudah dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa maju di dunia. Tetapi kita tidak boleh menjadikan semua rakyat sama daripada segi kedudukan, kuasa dan kekayaan. Akan ada di kalangan kita orang yang secara relatif miskin dan tidak mendapat kedudukan yang diingini mereka, orang yang menjadi pengikut dan bukan pemimpin. Kenyataan ini mesti diterima. Jika kita tidak dapat menjadi Perdana Menteri, walaupun kita layak, kita terpaksa terima bahawa tempat yang ada hanya satu sahaja. Justeru itu, layak atau tidak, apabila seorang sudah dipilih bererti yang lain tidak akan mendapat tempat yang diidamkan. Jika diadakan giliran pun, akan ada yang berminat yang tidak akan mendapat giliran mereka. Jika kerana tersangat berminat kita sanggup menggunakan wang, merosakkan parti, merosakkan bangsa, agama dan tanahair, apa yang kita akan dapat nanti ialah abu daripada kemusnahan bangsa dan negara kita. Apakah menjadi pemimpin negara yang terhina matlamat perjuangan kita?

Ahli-ahli UMNO perlu sedar dan faham perjuangan UMNO dan tanggungjawab kita sebagai ahli. Keahlian seramai 2.7 juta tidak bermakna jika komitmen mereka, kesetiaan mereka tidak boleh diharapkan. Ramai yang menjadi ahli UMNO tanpa mengetahui tujuan perjuangan UMNO, tanpa mengetahui sejarah perjuangan UMNO. Keahlian bukan untuk mendapat sesuatu secara langsung bagi diri sendiri daripada UMNO. Keahlian ialah kerana percaya perjuangan UMNO akan membawa kejayaan dan kemajuan kepada bangsa, agama dan tanahair. Dan kejayaan bangsa, agama dan tanahair tetap akan memberi sesuatu kepada diri sendiri, walaupun hanya mengembalikan maruah sahaja. Tetapi kita sudah lihat bagaimana kejayaan bangsa, agama dan tanahair telah menguntungkan kita. Justeru itu, jika kita jayakan bangsa, agama dan tanahair, sudah tentu kita akan mendapat lebih banyak nikmat dan keuntungan. Perasuah mungkin mendapat sesuatu bagi dirinya tetapi bangsa yang dipenuhi oleh perasuah, tetap akan dihina dan musnah akhirnya. Perasuah dalam bangsa seperti ini tidak akan kekal dengan kekayaannya. Sudah terlalu banyak contoh negara seperti ini yang kita lihat sekarang.

Walaupun ramai yang sudah bosan dengan sajak "Perjuangan Yang Belum Selesai", tetapi hakikatnya ialah perjuangan UMNO belum selesai. Sebenarnya perjuangan UMNO dan orang Melayu perlu diperhebatkan. Cabaran yang kita hadapi sekarang lebih besar. Cabaran yang kita hadapi bukan sahaja dari luar, tetapi dari dalam, daripada Bangsa Melayu sendiri, bahkan daripada UMNO sendiri. Jika kita tidak sedar dan berjaga-jaga, besar kemungkinan yang dikejar tidak didapati dan yang dikendong berciciran.

Kita semua menerima kemerdekaan negara kita sebagai warisan daripada pejuang-pejuang UMNO yang terdahulu daripada kita. Kita bersyukur dengan warisan ini. Tetapi apakah anak cucu kita akan berterima kasih dengan warisan peninggalan kita jika negara kita dan bangsa kita tidak mempunyai jati diri, lemah, mundur, dihina dan diperhambakan oleh orang lain?

Saya telah diberi kepercayaan untuk memimpin UMNO sekali lagi. Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang menerima nasihat Majlis Tertinggi supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan. Jika tidak kerana pengalaman pahit dahulu, pertandingan boleh diadakan. Tetapi kita khuatir akan kesan buruk politik wang dan ketamakan serta kurang kesanggupan untuk menerima kekalahan. Ramai masih tidak faham cara-cara demokrasi dan perlunya merapatkan balik barisan di belakang pihak yang menang. Kita perlu belajar cara-cara demokrasi dan meningkatkan kematangan kita dalam pengamalannya.

Demokrasi adalah ciptaan manusia untuk mengatasi masalah hidup bermasyarakat. Tetapi ia tidak bebas daripada kecacatan. Justeru itu hasil daripada pengamalannya tidak selalunya baik. Janganlah terlalu taksub dengan demokrasi sehingga segala-galanya diamalkan kerana ia dihalalkan oleh demokrasi. Banyak sudah keburukan yang dibawa oleh demokrasi yang keterlaluan. Banyak sudah negara yang tidak dapat ditadbir dan dibangunkan, kerana percubaan mengamalkan segala-gala yang dikatakan demokrasi. Keruntuhan moral yang ketara di negara-negara Barat ialah kerana demokrasi.

Justeru itu, berhati-hatilah. Demokrasi adalah untuk kebaikan kita, bukan kita harus dikorbankan untuk kebaikan demokrasi. Jangan terpedaya sekali lagi oleh Barat. Jangan terlalu taksub dengan ideologi mereka sehingga tidak mengambilkira hasilnya. Demokrasi adalah baik, tetapi hasilnya yang lebih penting. Kita mengamalkan demokrasi kerana janji kebaikan daripadanya, tetapi kita tidak harus korbankan diri kita dan kebaikan yang kita perjuangkan kerana terlalu taksub dengan demokrasi, terutama demokrasi liberal ala Barat.
Selama 54 tahun UMNO telah berusaha untuk menjayakan bangsa, agama dan tanahair kita, Malaysia. Kita telah menggunakan tangan, mulut dan hati untuk menyedar dan memimpin orang Melayu terutamanya ke arah jalan yang mulia, ke arah pencapaian kemerdekaan dan kemajuan, ke arah penebusan maruah kita.
Alhamdullillah, sedikit sebanyak kita telah berjaya. Tetapi malangnya kejayaan ini sendiri membawa alamat yang tidak baik, alamat tamadun yang kita dirikan ini akan hancur sebelum pun ia sampai ke puncak. Alamat yang buruk ini datang daripada kurang kebolehan kita menangani kejayaan dan kemakmuran kita. Ternampak jelas yang nafsu sedang mengalahkan nilai-nilai yang baik yang kita miliki dahulu dan yang telah menolong menjayakan kita.

Kita telah berusaha membendung nafsu ini dengan sedaya upaya kita, dengan mengikut ajaran agama kita supaya digunakan tangan, mulut dan hati. Kita juga telah memohon daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala supaya diberi petunjuk kepada kita semua, kepada pemimpin dan pengikut supaya kita berpegang kepada jalan yang benar, supaya kita menolak kemungkaran dan menerima kebaikan.

Walaupun kita telah berusaha tetapi pada hari ini, bersempena dengan ulangtahun ke-54 kelahiran UMNO, parti yang dipimpin dan dianggotai oleh orang Melayu, orang yang menjadikan Islam sebagai sempadan kebangsaan mereka, keMelayuan mereka, marilah kita bersama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala, marilah kita mengangkat tangan kita dan memohon kepadaNya:
Ya Allah Ya Tuhan kami, lindungilah kami daripada hasutan syaitan dan iblis, daripada nafsu tamak kami;
Lindungilah kami daripada serangan musuh-musuh kami dari dalam dan dari luar;
Berikanlah kepada kami kekuatan iman, ketabahan hati supaya dapat kami meneruskan perjuangan kami untuk kaum bangsa kami yang juga daripada umat Islam Mu, perjuangan untuk memajukan bangsa, agama dan negara kami sebagai sebahagian daripada usaha memulih kecemerlangan tamadun Islam;
Ya Allah, berilah hidayat Mu kepada kami supaya sentiasa waras dalam membuat pertimbangan dan pilihan. Lindungilah hati kami daripada terpengaruh dengan apa-apa hasutan atau pujukan. Lindungilah bangsa dan negara kami daripada niat dan tindakan buruk oleh musuh Mu dan musuh kami;
Ya Allah Ya Tuhan kami, berikanlah kejayaan kepada kami kerana segala-gala yang kami usahakan ini ialah kerana Mu, Ya Allah;
Ya Allah Ya Tuhan kami, restuilah perjuangan kami dan berilah kemenangan kepada kami di dunia dan di akhirat;
Rabbana atina fidduniya hasannah
Wafilakhirati hasannah
Waqina azabannar
Wasallallahu'ala saidina Muhammad
Wa'ala alihi wassahbihi wassallam
Subha narabika izati amma yasifun
Wassallamun 'alalmursalin
Walhamdullillahi rabbil alamin.

*******************************************************************************


Kecoh di Alam Maya dengan sebaran Tun Mahathir menghina Rasulullah SAW suatu ketika dahulu.

Tetapi mereka semuanya adalah manusia yang betul-betul jenis berlajar sahaja sekolah bertingkat tetapi peragai bodoh yang bertingkat-ting­kat juga tahapnya. Aku inggat hendak bijak. Memang bodoh. Tahu kenapa? Mari kita singkapkan keratan akkbar Utusan Malaysia pada 11 Mei 2000. Dimana ada keratan akhbar bagi teks ucapan Tun Dr Mahathir di Perhimpunan UMNO 2000.

Tetapi itu adalah ayat yang mereka cuba putar belitkan tetapi mari kita baca ucapan penuh Tun Dr Mahathir :

"Yang jelas ialah kejayaan Dasar Ekonomi Baru yang membawa penduduk Melayu dari kampung ke bandar dan menjadikan mereka orang yang lebih berada, yang tidak lagi 'kais pagi makan pagi' tetapi mampu berbelanja lebih daripada keperluan hidup, sudah membentuk budaya baru bagi orang Melayu.

Ada orang yang mengesyorkan supaya Melayu ini bersikap kurang ajar sedikit. Syor ini mendapat sambutan. Apa perlunya kurang ajar sedikit? Lebih baik kurang ajar sahajalah"

Dari sini Tun telah memberi gambaran kepada rakyat sikap PAS dan PKR yang selalu menghasut rakyat menjadi kurang ajar kepada kerajaan.

Faham tak kalian semua sebelum kita teruskan baris ayat lain.

"Dengan itu maka berkembanglah pendapat bahawa tidak perlu ada perasaan terhutang budi sampai mati. Jangan ada langsung perasaan terhutang budi. Jangan berterima kasih kepada orang yang menolong kita. Memaki mereka dan memburuk-burukk­an mereka tidak salah. Hanya yang diperlukan ialah bersyukur kepada Tuhan"

Kemudian Tun mengceritakan dengan ajaran sesat cukup hanya sekadar pandai berterima kasih kepada Allah sahaja. Bermakna Pakatan Rakyat menghalalkan rakyat memaki hamun kepada orang berjasa kepada kerajaan. Jadi disini jelas menunjukan Tun menceritakan situasi sebenar masyarakat kita yang tidak penah ada perasaan bersyukur dan berterima kasih kepada orang yang berbudi untuk mereka.

"Nikmat dan rezeki yang kita dapati bukan daripada orang yang menyampaikannya­. Jika tidak orang itu, orang lain yang akan menyampaikannya­. Jadi kita juga tidak perlu berterima kasih kepada Nabi Muhammad s.a.w. Jika tidak Nabi Muhammad, orang lain akan diutuskan untuk menyampaikan agama Islam. Oleh itu tidak perlulah kita mengagung-agung­kan Nabi Muhammad. Memadailah dengan bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala sahaja"

Dan inlah yang cuba diputar-belitka­n Pakatan Haram yang kononnya Tun Dr Mahathir telah menghina Rasulullah, Wahal Tun hanya memberi perupamaan berdasar penjelasan yang di atas. Supaya pembangkang yang jenis tidak berapa cerdik sangat, boleh faham dengan terliti.

Apa yang di maksudkan berterima kasih kepada orang yang menyampaikan rezeki dari Allah. Seperti mana kita berterima kasih kepada Rasulullah yang menyampaikan ajarannya kepada umat manusia. Kalau Rasulullah kita wajib mengcintainya.

Tetapi pada Tun tidak pula meminta kita menghormati atau mengangkatnya menagalahkan Rasulullah SAW Walaupun ada pengikut Pakatan Haram mengangkat ketua menyamai Rasulullah. Tun harap cukuplah kita semaikan perasaan menghargai pemberian orang lain dengan senyuman keikhlasan bukan dengan caci maki hamun. Allah juga menuntut kita sedemikian bukan!
Kalau tidak tak berbunyi Tangan Di Atas Lebih Mulia Dari Yang Bawah. Sekarang yang dibawah hendak menunjukan mereka lebih mulia dari yang diatas! Malah mereka berhak menghina atau mencaci yang di atas. Baca teks seterusnya dari Tun dan insaflah wahai pembangkang yang BM tahap cap ayam, buta-buta kau orang makan dosa fitnahkan Tun Dr Mahathir.

"Demikianlah antara budaya sesetengah Melayu bandar sekarang. Dan budaya ini diburukkan lagi oleh orang politik yang berkepentingan.­ Jangan berterima kasih kata orang-orang ini. Jika kami berkuasa kami juga akan memberikan yang sama kepada kamu dan mungkin lebih daripada itu. Oleh itu tolak sahaja orang yang telah berbudi kepada kamu. Sebaliknya gigit tangan mereka"

"Gunakanlah apa sahaja untuk menimbulkan kebencian kepada orang yang berbudi kepada kita. Surat layang, akhbar, Internet, semuanya boleh digunakan. Labelkan orang yang dimusuhi dengan gelaran yang buruk kerana dengan cara ini akan meningkatkan lagi kebencian kepada orang tertentu. Mahazalim, Mahafiraun. Sukakah kita kepada orang yang zalim, firaun? Tentu tidak. Oleh itu benci sahajalah orangyang berlabel zalim dan firaun. Tidak ada perasaan yang lebih memuaskan nafsu daripada membenci. Maka politik pembangunan pun diganti dengan politik benci. Bencilah ia dan undilah aku"

Transkrip Ucapan Penuh boleh dilihat disini : http://­www.utusan.com.m­y/utusan/­specialcoverage/­umno2000/­index.asp?lang&S­ec=Amanat&Pg=m_­PM_tekspenuh.ht­m

kepada penyokong pembangkang yang suka ambil sekerat2... nah... ambikkk baca... 

Bukan ini aje, untuk saya jelaskan satu demi satu ayat2 yang mereka ambil separuh2 tu penuh. cukuplah satu ini dulu ~

1 comment:

azlan said...

Jangan cuba membela orang yang tidak percaya kepada hadith nabi kelak akan menanggung dosa pulak di akhirat