Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi merujuk kepada kenyataan media Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lalu, yang menyentuh antara lain penurunan harga komoditi sawit dan getah pada tahun 2012 dan kesannya kepada pendapatan pengusaha tanaman terutamanya kepada pekebun kecil.
Di samping itu, kenyataan media tersebut juga mencadangkan beberapa langkah bagi membantu pengusaha tanaman sawit dan getah termasuk penubuhan Tabung Kebajikan Komoditi Negara dengan sumbangan sebanyak RM100 juta setahun untuk membantu keluarga pekebun kecil yang terjejas akibat penurunan harga kedua-dua komoditi ini.
Pada amnya, harga komoditi sawit adalah dipengaruhi oleh penawaran minyak sayuran lain dan permintaan di negara-negara pengimport utama seperti China, Kesatuan Eropah, Pakistan, Amerika Syarikat dan India. Pada tahun 2012, kelima-lima negara berkenaan telah menyumbang kepada 60 peratus daripada jumlah eksport sawit negara.
Sejak suku tahun ketiga tahun 2012, penurunan dalam pengeluaran domestik seperti di China dan pertumbuhan ekonomi yang lembap di Kesatuan Eropah mempunyai kesan langsung ke atas pengimportan produk-produk sawit Malaysia.
Dalam kes getah, ekonomi dunia yang merudum telah menjejaskan permintaan getah asli untuk menghasilkan produk-produk siap berasaskan getah. Negara-negara pengimport utama getah asli pada tahun 2012 adalah China, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat yang menyumbang kepada 70 peratus daripada jumlah eksport getah asli negara.
Dalam kes minyak sawit, nilai eksport pada tahun 2011 adalah sebanyak RM83.4 bilion dengan purata harga minyak sawit mentah (crude palm oil – CPO) sebanyak RM3,219 setan.
Bagaimanapun, disebabkan oleh permintaan yang lembap di negara-negara pengimport utama, harga purata CPO bagi tempoh Januari hingga November 2012 adalah RM2,844 setan dengan nilai eksport sebanyak RM65.9 bilion.
Memandangkan kepada permintaan yang lembap di pasaran luar negara, kerajaan telah mengambil beberapa langkah bagi memperkukuhkan harga CPO. Ini dicerminkan dengan kenaikan harga CPO dari RM2,065 setan pada bulan Oktober 2012 kepada RM2,235 setan pada 3 Januari 2013. Langkah-langkah yang telah diambil termasuk:
i. mempercepatkan pelaksanaan Program B5 (adunan 5 peratus metil ester sawit dengan diesel) ke seluruh negara, menggalakkan penggunaan biobahan api berasaskan sawit sehingga 10 peratus di sektor-sektor lain dan menggunakan minyak sawit di loji-loji janakuasa elektrik terutamanya di Sabah.
Langkah memperluaskan Program B5 di seluruh negara akan membolehkan penggunaan domestik sehingga 500,000 tan minyak sawit setahun. Langkah ini akan menambahkan beban Kerajaan dari segi penyediaan subsidi sebanyak RM371 juta setahun, di samping menyediakan peruntukan kewangan sebanyak RM300 juta bagi membina depot-depot adunan;
ii. penyediaan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk tujuan menebang pokok-pokok sawit yang berusia melebihi 25 tahun di bawah Skim Insentif Tanam Semula (SITS) sawit. Di bawah program ini, Kerajaan akan menyediakan insentif sebanyak RM1,000 sehektar kepada peneroka Felda, skim-skim Kerajaan dan estet.
Langkah ini dijangka dapat mengurangkan bekalan CPO di pasaran tempatan sebanyak 350,000 tan setahun yang akan memperkukuhkan harga CPO. Di samping itu, langkah ini akan dapat mengurangkan stok dan menyumbang kepada peningkatan produktiviti sawit negara dalam jangka masa panjang; dan
iii. bantuan tanam semula sawit kepada pekebun kecil yang mempunyai keluasan ladang sawit kurang daripada 40.46 hektar sebanyak RM7,500 sehektar di Semenanjung Malaysia dan RM9,000 sehektar di Sabah dan Sarawak. Bantuan ini termasuk kos penebangan pokok dan tanam semula.
Di bawah program ini, kerajaan memperuntukkan RM300.2 juta bagi tahun 2012 dan RM432.8 juta bagi tahun 2013. Bagi mengurangkan kebergantungan industri sawit terhadap tenaga buruh terutamanya buruh asing, Kementerian menggalakkan langkah-langkah mekanisasi seperti penggunaan penuai bermotor sawit jenama Cantas.
Hasil kajian yang dijalankan mendapati penggunaan Cantas dapat meningkatkan produktiviti penuai melebihi 90 peratus iaitu dari 1.4 tan tandan/hari kepada 2.7 tan tandan/hari. Bagi
menggalakkan penggunaan Cantas, Kementeriaan menyediakan insentif pembelian Cantas sebanyak RM1,000 bagi setiap unit.
menggalakkan penggunaan Cantas, Kementeriaan menyediakan insentif pembelian Cantas sebanyak RM1,000 bagi setiap unit.
Di samping itu, melalui penyelidikan dan pembangunan, terdapat jentera lain dan pengangkutan dalam ladang yang telah dihasilkan seperti Roller Picker (pengutip buah lerai), Grabber (pemungut tandan buah sawit automatik), dan Super Crawler dan Beluga (pengangkutan buah sawit di ladang yang lebih efisien untuk kawasan yang sukar seperti di kawasan tanah gambut).
Dalam hal ini, insentif pengecualian dari duti import dan cukai jualan untuk mesin dan kelengkapan perladangan juga disediakan. Aktiviti mekanisasi dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh secara berperingkat, sekaligus meningkatkan produktiviti pekerja.
Selain itu, sektor perladangan sawit juga telah mempelbagaikan sumber tenaga buruh dengan meluluskan pengambilan buruh asing dari Bangladesh. Ini akan mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing dari Indonesia.
Bagi menggalakkan industri sawit menceburi dalam penghasilan produk-produk nilai tambah dan meningkatkan penggunaan minyak sawit dalam negara, kerajaan telah memperuntukkan RM202.1 juta pada tahun 2013 yang disediakan dalam bentuk geran.
Langkah ini akan membolehkan negara menghasilkan produk-produk baru bagi sektor makanan dan bukan makanan seperti produk-produk nutraseutikal dan farmaseutikal. Dalam usaha meningkatkan daya saing industri sawit negara, mulai 1 Januari 2013, kerajaan telah melaksanakan penstrukturan semula duti eksport CPO agar para pengeksport Malaysia boleh bersaing dengan pengeksport-pengeksport CPO lain. Pada masa yang sama, kemudahan di bawah Skim Eksport CPO Tanpa Duti juga telah dihapuskan.
Bagi kes industri getah, harga terendah yang telah dicatatkan adalah pada bulan Ogos 2012 iaitu sebanyak RM7.99 sekilogram getah SMR 20 dan harga pada 3 Januari 2013 adalah sebanyak RM9.21 se kilogram. Ini adalah susulan usaha-usaha yang telah diambil bagi memperkukuhkan harga getah termasuk:
i. meningkatkan program penanaman semula getah yang bertujuan mengurangkan penawarannya. Bagi tahun 2012, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM184.52 juta bagi menanam semula kawasan seluas 40,000 hektar. Di bawah program ini, insentif sebanyak RM9,230 disediakan bagi setiap hektar di Semenanjung Malaysia, RM14,000 di Sabah, dan RM13,500 di Sarawak; dan
ii. memperkukuhkan penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan produk-produk baru termasuk Pureprena dan Ekoprena, di mana kedua-dua produk ini adalah produk mesra alam.
Di samping usaha-usaha domestik, Malaysia juga telah berkerjasama dengan negara-negara pengeluar utama dunia sawit dan getah. Dalam kes sawit, Malaysia dan Indonesia mengeluarkan hampir 85% daripada pengeluaran sawit dunia.
Di bawah rangka Kerjasama Dua Hala Malaysia dan Indonesia dalam Bidang Komoditi, mesyuarat di peringkat Menteri diadakan setiap tahun bagi memperkukuhkan kerjasama termasuk dalam bidang pembangunan industri huluan dan hiliran sawit di kedua-dua negara, menangani halangan-halangan bukan tarif dan usaha-usaha memperkukuhkan peluasan pasaran melalui penerbitan kelebihan teknoekonomi minyak sawit.
Dalam hal ini, Konsultasi Tahunan Ke-9 antara Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Indonesia di Putrajaya pada Selasa, 18 Disember 2012 telah mengambil maklum perkongsian dan kerjasama erat yang sedia terjalin dalam bidang komoditi termasuk minyak sawit antara kedua-dua negara. Kedua-dua pemimpin juga mengalu-alukan hasil perbincangan dalam mesyuarat ketujuh Jawatankuasa Bersama Kerjasama Dua Hala Malaysia dan Indonesia dalam Bidang Komoditi yang telah diadakan di Yogyakarta, Indonesia pada 11 – 13 Julai 2012.
Dalam kes industri getah, Malaysia juga terlibat dalam kerjasama dengan negara-negara pengeluar getah utama dunia iaitu Thailand dan Indonesia, di mana ketiga-tiga negara mengeluarkan 68 peratus daripada pengeluaran getah asli dunia. Di bawah rangka International Tripartite Rubber Council, ketiga-tiga negara telah melaksanakan skim Agreed Export Tonnage Scheme yang bertujuan untuk mengimbangi penawaran getah asli di pasaran.
Pelaksanaan skim ini telah memberi kesan positif kepada harga getah sejak ianya dilaksanakan pada 1 Oktober 2012. Di samping itu, sekiranya tren paras harga getah menurun ke paras yang membimbangkan, mekanisme-mekanisme lain yang dilaksanakan di bawah rangka kerja ini termasuk Skim Pengurusan Bekalan yang melibatkan program penanaman semula pokok getah dan Strategic Market Operation yang bertujuan membeli getah dari pasaran terbuka.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan terus memantau trend harga sawit dan getah bagi memastikan paras harga komoditi kedua-dua komoditi ini tidak menjejaskan pendapatan para pengusaha tanaman terutamanya pekebun kecil. Pada harga CPO sebanyak RM2,200 se tan, pendapatan purata bagi setiap tan buah tandan segar (fresh fruit bunches – FFB) yang dihasilkan adalah RM440 se tan.
Dengan mengambil kira kos pengeluaran setan FFB di antara RM200 hingga RM250, pengusaha sawit masih meraih pendapatan kasar di antara RM190 hingga RM240 setan FFB. Selepas ditolak dengan kos-kos lain, pendapatan bersih pengusaha sawit adalah di antara RM150 hingga RM200 setan FFB.
Dalam kes getah, walaupun paras harga menunjukkan tren turun naik, ianya masih berada di tahap yang memberangsangkan. Para pengusaha getah masih meraih keuntungan kerana harga getah semasa melepasi kos pengeluaran getah asli SMR 20 sebanyak RM4 sekilogram.
Kerajaan akan terus memantau trend harga komoditi sawit dan getah dengan mengambil langkah-langkah proaktif bagi memastikan harga pasaran masih berada di paras yang stabil. Ini termasuk memperkukuhkan langkah-langkah semasa bagi meningkatkan penggunaan domestik, di samping mengeratkan lagi kerjasama yang sedia terjalin dengan negara-negara pengeluar utama lain sawit dan getah di rantau Asia.
Selain itu, Kerajaan berpendapat insentif-insentif semasa yang telah disediakan dapat menangani kejatuhan harga sementara dan tidak memerlukan pengujudan dana khas. Industri sawit dan getah merupakan antara sektor utama di bawah National Key Economic Area yang disasarkan untuk menyumbang kepada transformasi ekonomi negara ke negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Oleh demikian, kerajaan akan meneruskan usaha-usaha untuk memperkukuhkan pembangunan kedua-dua sektor komoditi ini agar matlamat negara terus tercapai, di samping memanfaatkan
para pengusaha yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam industri komoditi ini. Sebagai kerajaan yang prihatin dan berjiwa rakyat, langkah-langkah proaktif akan terus dilaksanakan bagi memantapkan pembangunan industri ini dalam jangka masa sederhana dan panjang.-6/1/2013
para pengusaha yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam industri komoditi ini. Sebagai kerajaan yang prihatin dan berjiwa rakyat, langkah-langkah proaktif akan terus dilaksanakan bagi memantapkan pembangunan industri ini dalam jangka masa sederhana dan panjang.-6/1/2013
http://www.agendadaily.com/Muka-Hadapan/kementerian-jawab-fitnah-terbaru-anwar.html
No comments:
Post a Comment