Monday, January 7, 2013

DILEMA MELAYU MEMILIH MCA ATAU DAP : APA PILIHAN YANG SAYA ADA ?

CREDIT TO USTAZ NOR AZIZUDDIN ABDUL MANAN

1. Alhamdulillah, hari ini saya menulis lagi didinding ini. Sudah lama saya berhajat mahu membicarakan isu seperti tajuk di atas selepas melihat beberapa provokasi yang dilakukan oleh DAP terhadap MCA, saya fikir mungkin disebabkan oleh kelemahan yang dialami MCA dalam PRU 2008, sama seperti yang berlaku terhadap UMNO dalam PRU tahun yang sama.

2. MCA dan DAP, parti dua beradik sebangsa tapi berlainan agama (Bangsa Cina majoritinya menganut Agama Buddha, tetapi tak kurang juga yang menganut Agama Kristian, Hindu dan Islam). Saya telah membuat analogi (Perbandingan) kehebatan dua parti ini dalam 5 PRU sebelumnya. Bermula PRU 1990 sehinggalah PRU 2008. Politik bangsa Cina ini, pada saya agak "tersembunyi dan penuh kerahsiaan" tetapi penuh kejutan dan tidak tersangka-sangka. Jika sesiapa yang acapkali melayari Blog Dr Riduan Tee Abdullah, pastinya akan mengetahui selok belok politik bangsa Cina.

3. Memandangkan saya pernah berkhidmat di Sekolah Vernakular Cina selama 4 tahun 5 bulan, sedikit sebanyak membuka mata saya bahawa bangsa Cina memang "tidak memandang enteng" mengenai Politik. Bak kata Dr Riduan Tee Abdullah (lihat link :http://ridhuantee.blogspot.com/2011/02/memahami-politik-kaum-cina.html

), bangsa Cina amat berpegang teguh dengan 3 rukun iaitu P=Pendidikan Cina, A=Akhbar Cina dan P=Persatuan Cina dan jika diakronimkan ia menjadi (P.A.P). Semasa saya berkhidmat di sekolah cina yang paling ketara "Wehdah" mereka ialah ketikamana perasmian perletakkan batu asas bangunan sekolah baru, yang datang itu pertamanya DS Ong Tee Kiat (waktu itu masih Presiden MCA), 3 minggu kemudian datang pula Lim Guan Eng (KM DAP P.Pinang) datang untuk tujuan yang sama. Bahkan yang menariknya juga, kutipan derma untuk membina bangunan sekolah setinggi 4 tingkat itu dapat dilaksanakan dalam tempoh masa yang singkat dan dapat dikumpulkan sejumlah RM 2 juta lebih kurang, MCA pun menyumbang, DAP pun menyumbang, GERAKAN saya tidak pasti. Saya waktu itu agak terkesima melihat "politik bangsa cina" dalam aspek pendidikan. Bersungguh2 benar mereka saling bekerjasama dan mengenepikan ideologi politik masing2 demi pendidikan anak bangsa mereka.

4. Berbalik kepada isu yang ingin saya bicarakan, saya merupakan pengundi di Dun Bagan Jermal (N08) dan Parlimen Bagan (P43) memandangkan alamat dalam kad pengenalan saya adalah di Pulau Pinang. Pada PRU 2008, saya mengundi MCA untuk DUN BAGAN JERMAL dan DAP untuk PARLIMEN (pengakuan ikhlas, tiada rahsia lagi) tetapi ketika memangkah kertas undi berkenaan, apa pilihan yang saya ada, waktu itu Pak Lah membuat "onar" dengan menaikkan harga petro yang "Gila-gila Remaja", ditambah pula "EMOSI" untuk "MENGAJAR PAK LAH" akan keputusannya itu sebab saya memberi undi kepada DAP untuk Parlimen, geram punya pasal, tetapi untuk DUN saya melihat MCA masih begitu aktif membantu rakyat tanpa mengira bangsa di Dun Bagan Jermal, jadi saya memangkah MCA untuk DUN itu. Tetapi apakan daya, MCA kalah di DUN Bagan Jermal dan dimenangi oleh DAP yang turut juga memenangi Parlimen BAGAN. Itulah kesudahannya senario PRU 2008. Tanpa berfikir implikasi undi saya untuk Parlimen BAGAN, padahnya berbalik kepada saya selaku pengundi MELAYU, itulah indikator DILEMA.

5. Sebenarnya, MCA dan DAP saling bersaing dalam PRU M'sia. Berdasarkan kepada analisis yang saya lakukan, maklumat yang diperoleh adalah seperti berikut ;

5.1 PRU 1990
- MCA bertanding 33 kerusi Parlimen dan menang 18 kerusi Parlimen, manakala DAP bertanding 57 kerusi Parlimen dan menang 20 kerusi Parlimen. MCA Kalah kepada DAP.

5.2 PRU 1995
-MCA bertanding 35 kerusi Parlimen dan menang 30 kerusi Parlimen, manakala DAP bertanding 50 kerusi Parlimen dan menang hanya 9 kerusi sahaja. MCA menang mengalahkan DAP.

5.3 PRU 1999
-MCA bertanding 30 kerusi Parlimen dan menang 28 kerusi Parlimen manakala DAP bertanding 38 kerusi Parlimen dan hanya menang 10 kerusi Parlimen. Sekali lagi MCA menang mengalahkan DAP.

5.4 PRU 2004
- MCA bertanding 40 kerusi Parlimen dan menang 31 kerusi Parlimen manakala DAP bertanding 44 kerusi Parlimen tetapi menang 12 kerusi Parlimen sahaja. MCA berjaya "menampar mesra DAP" untuk sekian kalinya.

5.5 PRU 2008
-MCA bertanding 40 kerusi Parlimen dan menang 15 kerusi Parlimen manakala DAP bertanding 47 kerusi Parlimen dengan kemenangan luar jangka 28 kerusi Parlimen yang diperolehi. DAP "sepak kaw2" MCA.
(Sumber : http://1sya.com/?p=2006
)

6. Namun begitu, dalam 10 kali PRU pernah diadakan di Malaysia sebenarnya MCA hanya kalah 2 kali sahaja ditangan DAP, seri dengan DAP sekali (dalam PRU 1969) dan selebihnya MCA menang. Memperlihatkan keagresisan kedua2 parti ini, saya fikir, bangsa Cina tidak kisah parti mana yang menang asalkan parti tersebut mampu untuk menjaga 3 rukun yang dipegang. Perkara ini saya fikir betul dan tepat. Lihatlah apa yang berlaku kepada bangsa Cina sekarang, jika dilihat dengan mata kasar,mereka saling "bersengketa" antara satu sama lain walhal mereka saling "bersatu" dalam pegangan kerukunan tersebut. Kerajaan pimpinan DS Mohd Najib pasca PRU 2008 acapkali "mengalah" dengan desakan mereka dan memenuhi tuntutan itu walaupun sebenarnya pemintaan itu adakalanya tidak masuk akal dan bertentangan dengan prinsip Kerajaan Persekutuan. Tapi, saya fikir, DS Mohd Najib pun dalam dilema, demi survival BN dalam PRU akan datang, undi Bangsa Cina amat penting. Jadi dengan pengenalan Gagasan 1Malaysia, bangsa Cina sedikit sebanyak beralih sokongan kepada MCA dan BN ditambah pula dengan pendekatan "mesra rakyat" maka bangsa Cina mula berfikir untuk memberi sokongan kepada MCA.

7. Sedikit kesukaran dalam memahami politik bangsa Cina ini ialah "kerahsiaan" agenda mereka. Bukanlah maksud saya untuk bersikap "RASIS" tetapi untuk pemahaman bangsa saya, maka perlu juga kita memahami dan mengetahui permainan politik bangsa yang disebut dalam hadith Rasulallah dengan terminologi الصين . Bangsa Cina ini cerdik dalam berpolitik tetapi cara mereka berpolitik itu wajar dikaji. Bangsa Cina berpolitik dengan politik kesukuan bangsa tetapi matlamat mereka adalah sama dan amat dilarang untuk mereka saling menjatuhkan antara satu sama lain. Lain pula politik bangsa Melayu, kita cerdik berpolitik walaupun tidak bersifat kesukuan tetapi kita saling menjatuhkan antara satu sama lain, matlamat kita tidak berpadu sebab itu mudah untuk Melayu dijajah dan dijaja.

8. Kehebatan Melayu : Semasa saya di SMKA Arau, ustaz saya yang mengajar PQS sewaktu di tingkatan 4 selalu berkata, "Bangsa Melayu hanya ada dua kehebatan yang dikurniakan ALLAH selebihnya tidak ada". Kami pelajar tingkatan 4 Umar terpinga2. Tiada jawapan untuk soalan yang bukan soalan itu. Ustaz saya berkata lagi," Nak tahu apa 2 kehebatan bangsa Melayu ?", kami mengangguk. "Kehebatan pertama ialah berpolitik, kehebatan kedua ialah Lidah". Ustaz saya meneruskan ulasan itu, "Bangsa Melayu ini sebenarnya bijak berpolitik, sebab itu semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka, alam Nusantara Melayu ini meriah, gah dan hebat dimata pedagang2 dunia. Bijaknya Sultan2 Melaka yang memerintah, ditambah pula dengan keadilan dalam pemerintahan, sikap Sultan yang berhati mulia, bangsa Melayu waktu itu berpegang teguh dengan adat istiadat dan sendi2 agama jadi tidak hairan Melaka ketika itu menjadi rebutan, dan kerana kebijaksanaan berpolitik jugalah Melayu amat mudah berkelai (dialek Perlis, maksudnya bergaduh), berpecah belah dan saling bermusuhan, sudahnya Melaka dijajah beradab2 lamanya". "Lidah pula memang Melayu punya Juara, ALLAH mengurniakan Melayu dengan kefasihan dan kelenturan lidah untuk bertutur dalam pelbagai bahasa, jika bercakap Arab, bangsa Arab pun angkat topi dengan lidah Melayu dan kerana lidah jugalah Melayu amat mudah bertoleransi hatta mudah orang lain mengambil kesempatan diatas toleransi Melayu”. Begitulah antara pengajaran Ustaz saya yang paling saya ingat sehingga sekarang. POLITIK dan LIDAH !

9. Kepimpinan DS Chua Soi Lek : Memperlihatkan dengan semangat yang berkobar2 dikalangan pemimpin MCA untuk menjuarai hati pengundi Cina dalam PRU 2013 nanti, saya berfikir sejenak, sejauhmana kemampuan pemimpin MCA untuk melakukan satu anjakkan yang drastik untuk mengembalikan kepercayaan pengundi Cina terhadap parti tertua itu ?. Memang diakui MCA kalah dalam PRU 2008 kerana faktor yang serupa yang dihadapi oleh UMNO iaitu masalah kepimpinan dalaman. MCA bagi saya antara parti yang paling kerap bertukar pucuk pimpinan. Sepanjang saya hidup, saya dapat meyaksikan MCA bertukar 4 kali pucuk pimpinan bermula dengan Tun Ling Liong Sik, kemudian DS Ong Ka Ting diikuti oleh DS Ong Tee Keat dan sekarang diteraju oleh DS Chua Soi Lek. Saya pernah bertanya kepada seorang guru Cina semasa saya berkhidmat di SJKC dulu, “Kenapa orang Cina suka dengan DS Chua dan sangat membenci DS Ong Tee Keat walhal satu M’sia sudah tahu DS Chua pernah terlibat dengan skandal seks ?”. Jawabnya, “Kami (Orang Cina) tidak kisah dengan skandal seks DS Chua kerana itu adalah soal peribadi beliau, kami sukakan kepimpinan beliau (DS Chua Soi Lek), cara beliau berkomunikasi dengan kami, tegas, prihatin dan kritis, DS Ong (Ong Tee Keat) memang bagus tetapi beliau terlalu berlembut, lambat bertindak dan terlalu mementingkan golongan teknokrat”. Jawapan cikgu tersebut sedikit menyentak minda saya. Lalu cikgu tersebut memulang paku buah keras kepada saya, “Kenapa orang Melayu benci dengan Anwar ?”. Saya hanya senyum sambil menyumpah dalam hati. Dalam masa kritikal sekarang, saya melhat kabinet MCA yang diketuai oleh DS Chua bersungguh2 untuk menambat kembali hati pengundi Cina ditambah pula dengan “amaran” bahawa semua ahli MCA yang bertanding dalam PRU 2013 nanti tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kabinet BN andai mereka kalah dalam PRU akan datang. Amaran itu tegas, memang satu ketegasan yang luar biasa yang ditunjukkan oleh DS Chua.

10. Asakan DAP : DAP memang terkenal dengan provokasi dan tekanan. Memandangkan MCA dalam nyawa2 ikan dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan, maka masa inilah yang menjadikan DAP seperti kera mendapat bunga. Pelbagai isu telah dipanaskan tanpa memperdulikan sentiviti bangsa lain apatah lagi ia disusuli dengan tujuan untuk membangkitkan kemarahan bangsa cina terhadap MCA khasnya dan UMNO/BN amnya, saban malam dan hari DAP menyerang MCA tanpa henti tetapi saya melihat kepimpinan MCA lebih banyak bertahan berbanding membalas kembali asakan tersebut, saya tidak pasti samada MCA mempunyai taktik serangan yang lain untuk menangkis tohmahan DAP atau kedua2 parti ini hanya berlakon dihadapan “kamera” bangsa Melayu (saya harap bukan). DAP dalam pada masa yang sama berjaya memperkudakan salah sebuah parti majoriti Melayu-Islam iaitu PAS. Inilah yang menjadi kekhuatiran saya andai DAP memerintah M’sia nanti. Walaupun dalam Kongres DAP ke 16 baru2 ini, salah seorang pemimpin DAP mengatakan hak Melayu dijaga, namun itu hanya helah untuk meraih undi Melayu. Cukuplah dengan apa yang berlaku di Singapura jangan ia sampai berlaku pula di M’sia. SUDAH CUKUP-CUKUP SUDAH !

11. MCA dan Melayu/Islam : MCA selaku parti kedua terbesar dalam komponen BN mempunyai pendekatan berhemah dengan bangsa Melayu. Barangkali ini disebabkan oleh pengundi2 Melayu yang mengundi calon2 MCA dalam PRU yang lalu tambahan pula terdapat2 juga calon2 MCA yang bertanding di DUN/Parlimen majoriti pengundi Melayu. Pendekatan MCA terhadap bangsa Melayu barangkali juga menyebabkan DAP “panas punggung” dengan cara sedemikian rupa lantaran itu taktik yang serupa juga diamalkan oleh DAP hatta sanggup mempergunakan ayat2 Al Quran walaupun berterabur makhraj, sifat dan tajwid tetapi demi sokongan dan demi undi Melayu, apa saja sanggup dilakukan!.Pemimpin MCA tidak pula sampai ke tahap seperti pemimpin DAP lakukan kerana masih menghormati pegangan agama bangsa lain khasnya Melayu-Islam. Walaupun terdapat isu2 yang terlepas cakap daripada kenyataan pemimpin MCA seperti isu Hudud yang dibangkitkan oleh DS Chua tetapi selepas mendapat penerangan khusus oleh ILMUAN, maka maksud DS Chua hanya menentang Hudud ala PAS bukan Hudud yang sahih disisi Islam.

12. MCA dan Dong Zhong Jia Zhong : Dong Zhong Jia Zhong merupakan gabungan kesatuan lembaga pengurus sekolah cina di negara ini. Pertubuhan ini antara pertubuhan paling Rasis yang pernah saya lihat. Namun, pendekatan MCA terhadap pertubuhan ini dilakukan dengan penuh berhati2, memang diakui bangsa Cina amat sensitif dengan soal pendidikan tetapi sikap DZJZ yang agak keterlaluan sedikit sebanyak mengguris hati bangsa Melayu. Teringat saya mengenai tuntutan 17 perkara oleh SUQIU semasa tahun 1998-1999 dahulu dianggap cubaan untuk mencabuli hak dan kedudukan istimewa bangsa Melayu dan MCA saya lihat lebih banyak bertahan serta menyerah kepada kebijakkan UMNO untuk menyelesaikannya. Terkini, semasa perhimpunan DZJZ di Kolej New Era, Kajang Selangor baru2 ini menyebabkan DS Wee Ka Siong menjadi sasaran hinaan dan kejian walaupun kedatangannya itu adalah dengan tujuan murni untuk menjelaskan halatuju perancangan pendidikan pada masa hadapan, tetapi ditolak mentah2 atas alasan mengenepikan aspirasi bangsa Cina. Itulah salah satu contoh betapa biadapnya DZJZ. Saya tidak mengerti kenapa MCA seolah2 lebih banyak bertahan, bertahan dan terus bertahan dalam menghadapi DAP ke-2 (DZJZ) ini ?.

13. MCA dan Masa Depan : Saya masih optimis dengan MCA yang masih menjadi indulgence pengundi2 Cina apatah lagi melihat pelbagai perancangan dan kesungguhan kepimpinan parti itu bekerja menghadapi PRU ke-13. Sewaktu diadakan perhimpunan tahunan MCA yang lalu, banner I Love PM sedikit sebanyak memberikan sinar bahawa masih ada bangsa Cina yang sedia berkompromi dengan bangsa Melayu. Sikap toleransi UMNO dan Bangsa Melayu terhadap MCA sudah cukup membuktikan bahawa bangsa Cina tidak pernah dipinggirkan oleh kepimpinan Kerajaan Persekutuan yang diketuai oleh UMNO. Namun dalam menghadapi saat genting sebelum PRU ke-13 datang bertandang, elok juga MCA melakukan serangan dan tidak lagi asyik bertahan. UMNO, MCA, MIC dan 10 parti kompenan BN yang lain saling melengkapi antara satu sama lain, tidak ada satu pun yang terpisah. Benar, Pakatan punya impian mahukan PUTRAJAYA, tapi harus diingat agenda jahat Pakatan itu lebih perlu menjadi keutamaan untuk ditentang.

14. Penutup bicara : Walaupun masih dalam dilema atas perkara ini tapi saya ketepikannya demi survival bangsa Melayu, Islam dan tanah watan ini, untuk PRU ke-13, saya sudah membulatkan tekad, untuk DUN BAGAN JERMAL (N08) dan PARLIMEN BAGAN (P43) undi saya berpindah kepada MCA/BN. Itu jelas dan muktamad !.

No comments: